Bila The Loser bertemu The Pianist
Apakah Tugu Cinta Bakal Dibina?
Atau Bencana Yang Akan Tiba?
SUDAH lima belas minit dia
memerap di bilik air. Hendak keluar dan kembali ke meja, entah kenapa dia berat
hati. Jika tadi Gina meninggalkannya seorang diri, kini gilirannya pula berbuat
demikian Dia tahu Gina pasti kekok berada di meja itu bersama bekas-bekas
pelajar kelas 5A. Tak guna Sarah! Ada
ke diberinya mereka berdua tempat duduk bersama-sama lelaki-lelaki di kelas 5A
itu. Dan ironinya, mereka duduk di hadapan Idham Hariz.
Sepanjang duduk di situ, renungan Idham terus meratah
wajahnya. Dia cuba
berpura-pura selamba, berpura-pura tidak kisah. Tapi semakin lama dia semakin
lemas dengan sikap Idham. Mata lelaki itu seperti melekat di wajahnya. Kali ini
Hasrul memperkenalkannya pada teman-temannya. Ketika itu semua orang di meja
terdiam melihatnya. Barangkali tidak menyangka Syafika yang dahulu hodoh kini
boleh jadi seperti sekarang.
Cika meraup wajah. Permukaan
dadanya ditekup dengan telapak tangan. Memujuk agar hatinya bersabar untuk
malam ini sahaja. Dia keluar dari bilik air. Ketika dia mahu masuk kembali ke
dewan, muncul Nadim Ammar dari arah bertentangan. Dia terkejut. Hendak mengelak
sudah tidak sempat, lantaran mata lelaki itu sudah mengesan kehadirannya.
Dahi Nadim Ammar berkerut. Bagai disuruh-suruh, mereka
berhenti di hadapan masing-masing. Cika meneliti lelaki itu dari atas ke bawah.
Tubuh lelaki itu bersarung dengan sepasang sut hitam, Cika menelan liur. Aduh!
Kalaulah Nadim Ammar tidak sering cuba menyakitkan hatinya,
kemungkinan besar dia akan jatuh cinta dengan lelaki itu. Segak sungguh lelaki
itu dengan sut hitam itu, puji hati kecil Cika.
“Awak buat apa di sini?” Soal Nadim dengan wajah serius.
Matanya tak habis-habis memerhatikan Cika yang kelihatan anggun dan berbeza
dari selalu.
“Saya ada reunion
kat dalam.”Ujar Cika perlahan.
“Kat dalam?” Nadim seakan keliru. Jadi selama dia bermain
piano untuk majlis reunion sekolah
itu, Cika sudah ada di dalam, memerhatikannya?
“Saya nampak awak main piano tadi.” Ujar Cika bagaikan
tahu apa yang sedang difikirkan lelaki itu.
Nadim mengangguk. Dia benar-benar kehilangan kata-kata
kali ini. Memandang Cika saat ini membuatkan jantungnya sedikit berdebar-debar.
She’s adorable!
“Oh ya, terima kasih sebab pulangkan planner saya tu.”
“Dah lama saya nak pulangkan. Hak orang tak baik simpan
lama-lama.”
Cika tersenyum mendengarnya. Dah kau tahu begitu, kenapa
setelah seminggu baru nak pulangkan? Cika berleter sendiri. Tiba-tiba dia
teringatkan coretan nakal Nadim di dalam buku miliknya. Hendak ketawa pun ada
sebaik dia teringatkan catatan yang terletak di bawah lakaran wajah Nadim Ammar
yang dilukisnya.
Saya
tahu saya handsome, tapi jangan pandang lama-lama gambar saya. Bahaya! Saya takut
awak jatuh cinta!
Cis! Perasan saja dia handsome. Erk..tapi memang pun! Nadim
Ammar mungkin tidaklah sekacak Idham Hariz, tapi ada sesuatu pada wajah selamba
Nadim Ammar yang membuatkan dia tidak kisah merenung wajah itu lama-lama.
Itupun kalau perbuatannya tidak diketahui lelaki itu. Cika, behave yourself! Jangan pandang lama-lama nanti terjatuh
cinta susah pulak! Hati kecilnya melarang sejurus dia teringatkan coretan
lelaki itu semula.
“Hmmm..kenapa awak diam sahaja Cik Syafika?”
Cika tergaman. Serentak
darah panas menular ke kepalanya. Sedap-sedap dia berangan dan berfikir yang
bukan-bukan sedangkan Nadim pula asyik memerhatikannya. Ah! Malunya!
“Err..saya nak masuk ke
dalam dulu. Kawan saya dah tunggu kat dalam,” Cika mahu beredar, tapi serentak
pegangan tangan Nadim pantas memaut tangannya. Cika terkedu. Menyedari dia
tersalah, Nadim segera melepaskan tangannya.
“Saya berhenti rehat sekejap
sementara para alumni sekolah awak tu habis berucap. Saya tak kenal sesiapa kat
sini kecuali awak. Boleh awak temankan saya sekejap?” pinta Nadim tak diduga.
Cika terdiam. What? Dia nak suruh aku temankan dia?
Aku mimpi ke ni? Mamat poyo tu nak aku temankan dia?
* *
* *
MEREKA berjalan-jalan mengambil
angin di luar. Nadim senyap sahaja. Cika juga tidak tahu apa yang harus
diperkatakan. Sudahlah dia tidak masuk-masuk ke dalam dewan, selepas itu dia
rela pula menemani lelaki yang selama ini membikin hatinya sebal dan naik
angin. Sure aku dah gila! Keluh Cika!
“Awak diam sangat ni. Selalu awak yang paling suka
bertekak dengan saya.” Nadim tiba-tiba berpaling.
Cika tersenyum sinis. “Saya ke awak yang sebenarnya suka
bertekak?”
Nadim ketawa kecil. Gembira kerana berjaya memprovok
gadis yang suka menjawab itu. Sweet!
“Oh ya, awak ingat tak masa awak pulangkan planner saya tempohari?” Cika tiba-tiba
teringatkan sesuatu. Hampir dia terlupa mahu menanyakan perihal nenek tua yang
menumpang kereta lelaki itu tempohari.
“Kenapa?” Nadim memandang anak gadis itu dengan wajah
hairan.
“Waktu awak naik Volkswagen tu, saya ternampak seorang
perempuan tua menumpang kereta awak.” Cika berhati-hati menyebutnya.
Silap-silap haribulan dia dikatakan gila pulak!
Nadim termenung panjang mendengar pertanyaan Cika.
“Jadi kenapa?”
“Saya cuma nak tahu nenek tu siapa?” Cika memberanikan
diri bertanya. Aduh! Kalau Nadim benar-benar tidak tahu apa yang sedang
diperkatakannya, maka sah! Nenek tua yang ditemuinya tempohari memang hantu!
Jenis hantu apa dia pun tak tahu! Zaman sekarang, hantu pun boleh pakai skirt,
boleh naik kapcai!
“Saya memang ada tumpangkan seorang nenek tempohari.
Kenapa pulak? Awak kenal ke dia?” Renung Nadim pada wajah Cika yang agak
gelabah kali ini. Membuatkan dia tertanya-tanya sahaja.
“Eh tak adalah, saya tanya aje.” Cika menggeleng. Tapi
penjelasan Nadim sedikit sebanyak melegakannya. Nenek tu bukan hantu! Yes! Itu menjelaskan padanya kenapa
Nadim Ammar masih hidup sampai sekarang. Kalaulah ditakdirkan yang nenek tua
itu sebenarnya hantu, pasti Nadim Ammar tidak akan berada di hadapannya ketika
ini. Maklumlah kena cekik hantu!
“Hmmm..malam ni awak pelik.” Komen Nadim tersengih.
“Satu lagi soalan, apa jadi dengan gadis yang awak
tinggalkan tu?” Soal Cika. Sebenarnya dia tidak berminat mahu ambil tahu
tentang gadis yang bergaduh dengan Nadim di tandas Jumbo Jeep tempohari. Dia
hanya mahu melencongkan perbualan mereka dari terus memperkatakan tentang nenek
tua yang menimbulkan kehairanannya.
Dahi Nadim berkerut. “Maksud awak Emilia?”
Emilia? Itu ke nama perempuan cantik yang dilihatnya
bersama Nadim di bilik air wanita di Jumbo Jeep dulu?
“Dia hidup lagi kalau awak ingat dia dah bunuh diri.”
Gelak Nadim.
“Hmm..memang patut pun dia hidup. Tak berbaloi pun nak
bunuh diri untuk lelaki macam awak.” Sanggah Cika.
Nadim ketawa lagi. She’s
back.
“Saya bukan tinggalkan dia. Kami tak pernah bercinta pun.
Tapi saya beritahu dia, reason saya tak
boleh terima dia ialah sebab saya dah jatuh cinta dengan seseorang.” Nadim
membuat cerita.
“Huh dasar lelaki, semua sama je!” Getus Cika seraya
menarik nafas panjang.
“Dia mungkin bukan anak Tan Sri, bukan secantik seperti
Emilia atau berstatus tinggi. Tapi saya suka dia sebab dia kasar, banyak mulut,
penyibuk, suka naik marah, suka membentak dan macam-macam lagi perangai buruk.”
Canang Nadim lagi tanpa mempedulikan bebelan Cika.
“Awak suka perempuan macam tu?” Dahi Cika pula berganti
kerutan. Mak oi teruk sungguh citarasa lelaki ini. Dah ada yang cantik macam
perempuan kat toilettu, dia nak juga
pilih yang perangai buruk! Memang tak faham betul!
“Saya suka sangat.” Jawab Nadim tersengih.
“Kat mana awak jumpa perempuan macam tu? Kat tepi jalan?”
Sindir Cika.
“Tak..saya jumpa di bilik air perempuan di Jumbo Jeep.”
Bilik air? Again?
Nadim Ammar memang ada citarasa yang pelik bersangkut paut soal tandas.
Eii..tak senonoh la dia ni! Wait!Nadim
jumpa dia bilik air di Jumbo Jeep. Kasar, banyak mulut, penyibuk, suka naik
marah dan bla-bla. Kenapa semuanya macam aku?
Cika mengangkat wajah memandang Nadim Ammar. Lelaki itu
sudah gelak-gelak kecil. Sebelah matanya dikenyitkan ke arah Cika.
“Awak!” Cika terjerit dibuatnya. Mula menyedari bahawa
dirinya dipermain-mainkan. Bodoh sungguh dia! Macamana dia boleh tak perasan
lelaki itu sedang bercakap tentangnya?
Ketawa Nadim terus bergema. Lucu melihat Cika yang naik
angin sekali lagi. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia gemar pula mengusik
anak gadis itu.
Dari jauh, ketawa lelaki itu singgah di telinga Idham
Hariz. Hajat hati mahu mencari Cika yang hilang dari mejanya mempertemukannya
dengan pasangan yang sedang bercakap-cakap tidak jauh dari situ. Dia sedar
lelaki yang bersama Cika itu pemain piano yang dijemput khas untuk majlis reunion mereka. Aneh! Kenalkah Cika pada
lelaki itu? Mereka kelihatan mesra sekali. Melihat lelaki itu ketawa besar serta
Cika pula asyik menampar bahu lelaki itu dengan gaya manja, entah kenapa membangkitkan perasaan
tidak senang di hatinya. Kenapa Idham? Cemburukah kau?
Idham berpaling, berniat mahu beredar ke dalam.
Pemandangan di hadapan matanya sudah tidak mampu ditonton lagi, bimbang hati di
dalam semakin diasak dengan rasa cemburu. Di belakangnya, berdiri Gina entah
sejak bila. Mata mereka bertentangan buat seketika. Idham tidak menegur Gina sebaliknya
dia terus bergegas masuk.
Gina sekadar memerhatikan lelaki itu berlalu pergi.
Sejurus kelibat Idham menghilang, dia mengalihkan pandangan. Dari jauh dia
melihat kelibat Cika sedang asyik bercakap-cakap dengan seorang lelaki. Bebola
mata Gina menuju ke arah lelaki di samping Cika. Agak lama!