Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 15

MARSEILA asyik mendongak ke atas, memerhatikan bangunan tujuh tingkat di atas kepalanya yang menempatkan apartmen adiknya. Dia sebenarnya malas mahu menjenguk adiknya, lagi-lagi kerjayanya sebagai ketua pramugari dengan penerbangan Malaysia sering tidak mengizinkan dia mempunyai banyak masa lapang. Tapi demi kerana si ayah, dia memaksa diri. Dalam sibuk-sibuk, dia cuba meluangkan masa untuk menemui Nadim. Mujurlah malam ini dia tidak bertugas di awan biru.

Budak keras kepala! Marseila sempat merungut-rungut begitu. Adiknya itu tak habis-habis membuatkan semua orang risau! Dia sendiri jika diikutkan malas mahu mencampuri urusan adiknya. Tapi mengenangkan mereka hanya dua beradik, dia terpaksa mengalah.

Apartmen yang Nadim duduki sejak dua tahun yang lalu memang jarang-jarang dijenguknya. Selalunya kalau dia menelefon mahu datang bertandang, Nadim akan memberi usul agar mereka bertemu di luar. Dia jarang benar dapat melihat tempat tinggal adiknya itu. Ada sahaja alasan Nadim untuk tidak membenarkannya masuk. Entah ada berlian agaknya di rumah tu, Marseila membuat kesimpulan sendiri. Jangan ada perempuan sudahlah! Takut juga dia jika apa yang kadangkala berlegar di fikirannya menjadi kenyataan. Tapi dia percaya, Nadim bukan lelaki begitu. Adiknya itu walaupun bukan kategori orang yang kuat beragama, tapi dia percaya Nadim tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh di apartmen peninggalan arwah ibu mereka.

Apartmen Nadim terletak di tingkat paling atas bangunan tersebut. Sudah beberapa kali dia membunyikan loceng pintu, tapi tidak ada sesiapa yang membuka pintu untuknya. Dahi Marseila berkerut sedikit. Tidak adakah budak itu di rumah? Ke mana dia?

Tangannya terus menekan-nekan loceng pintu. Dia menanti dengan sabar. Tapi setelah sepuluh minit tercegat seperti orang bodoh, Marseila mengeluh panjang. Dengan segera dia menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan segugus anak kunci. Tanpa perasaan bersalah kerana menganggu privasi orang lain, dia segera memulas anak kunci tersebut lalu melangkah masuk. Mujurlah dia memiliki kunci apartmen peninggalan arwah ibunya untuk Nadim.

Melihat apartmen itu, mulutnya melopong sedikit. Kemas dan teratur dengan elemen gaya klasik yang mengekalkan warna kesukaan Nadim, hitam dan putih. Tidak seperti apa yang bermain di kepalanya yang menyangka apartmen adiknya itu pasti bersepah-sepah seperti rumah orang bujang yang lain.

Marseila hanya mampu tersenyum sendiri. Dia hampir terlupa yang sikap Nadim memang lebih mirip ibunya yang pengemas dan tidak suka dengan keadaan kotor. Tidak seperti dia yang kurang pandai mengemas seperti arwah ibunya.

Dia mencari-cari Nadim di ruang tamu tapi kelibat anak muda itu tidak ada. Marseila menjenguk pula ke arah ruang dapur, namun kelibat adiknya juga tidak ada di situ. Wajahnya berkerut. Jangan-jangan Nadim masih tidur! Begitulah rentak fikiran Marseila ketika itu. Dia segera menghela langkah ke arah ke bilik tidur. Melihat cadar bilik tidur yang kemas tidak terusik, dia jadi bingung. Sah memang betul Nadim tidak ada di rumah ketika ini.

Marseila mula merasa seperti orang bodoh. Datang dengan niat mahu memberi kejutan kepada si adik, tapi berakhir dengan kekecewaan pula. Dia berkira-kira mahu pulang sahaja. Tapi ketika dia melintasi kawasan beranda itu, telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi. Marseila menoleh, lalu terpandang sesusuk tubuh sedang tertidur di atas sofa bulat di luar beranda, menghadap ke arah bangunan Menara Kuala Lumpur yang tersergam megah.

Marseila menghela nafas lega. Jumpa juga akhirnya! Dia ingin mengejutkan Nadim, namun entah kenapa dia tidak sampai hati. Anak muda itu tidur lena di hadapannya.

“Pujuk dia Sheila. Ayah dah buat persiapan untuk dia ke luar negara dan habiskan pelajaran. Sudah sampai masanya dia belajar jadi lelaki yang matang, bukan duduk sahaja merengek dan menangisi orang yang sudah tiada.” Kata-kata ayahnya bermain semula di tubir minda.

Marseila merenung setiap inci wajah itu dengan teliti. Poor Nadim! Macamana kakak nak ubah fikiran kamu jika kamu sendiri tidak ingin membuka hatimu untuk kami Nadim? Keluh Marseila rungsing.

Kelopak mata adiknya tiba-tiba terbuka luas. Marseila hanya mampu tersengih, apabila Nadim bingkas bangun sambil merenungnya dengan wajah serius. Hendak tak hendak, dia terpaksa menayang gugus kunci yang berada di tangannya.

* * * *

PASPORT, visa dan dokumen-dokumen berkaitan diletakkan di hadapan anak muda itu. Nadim hanya memandangnya tanpa sebarang reaksi. Wajah itu selamba sahaja. Sebaliknya kopi yang panas berasap di hadapannya yang dicapai dahulu. Lelaki itu menghirupnya dengan tenang. Sebaliknya dia pula yang merasa serba-salah.

“Nadim, please.. listen to me. Kakak harap sangat kali ini Nadim jangan membantah. Ikut sahaja kata ayah. Ayah dah siapkan semuanya untuk Nadim. In fact, ini untuk masa depan Nadim.” Pujuk Marseila cuba berlembut.

“Masa depan Nadim atau masa depan ayah?” Soal lelaki itu seraya merenung wajah Marseila.

“Tentulah semua ini untuk masa depan Nadim. Ayah tahu apa yang terbaik untuk kita.” Pujuk Marseila.

“Hidup Nadim bukan untuk ayah tentukan kak.” Jawab Nadim.

Marseila terdiam. Dia mencapai cawan kopinya lalu dihirup beberapa kali. Dia benar-benar perlukan kekuatan untuk berhadapan dengan adiknya yang keras kepala itu.

“Nadim, kenapa degil sangat ni?” Keluh Marseila.

“Patutlah ayah suruh Nadim singgah di pejabat dia tempohari. Rupa-rupanya ini yang dia nak bincangkan. Tak sabar-sabar dia nak suruh Nadim pergi dari sini kan?” Nadim tersenyum tenang.

“Nadim ada ke pejabat ayah? Bila?” Giliran Marseila pula yang tercengang.

Nadim ketawa kecil. Memang dia ada menerima pesanan dari Rossie setiausaha ayahnya agar dia menemui lelaki itu di pejabatnya. Tapi belum sempat dia mahu bertemu ayahnya, berlaku pula kekecohan yang menyebabkan dia bertukar fikiran. Seharusnya dia berterima kasih pada gadis itu kerana membuatkan dia menukar fikirannya di saat-saat akhir. Jika tidak, pasti dia akan dihidangkan dengan perkara yang sama yang diutarakan Marseila kepadanya hari ini.

Mujurlah ramai staf-staf ayahnya tidak mengenalinya sebagai anak kepada Tuan Aaziz Ibrahim. Jika tidak, pasti sukar untuknya melepaskan dirinya ketika itu.

“Nadim..” panggil Marseila.

Anak mata Nadim beredar ke wajah kakaknya. Terkelip-kelip mata gadis itu memandangnya.

“Sampai bila Nadim nak bersikap macam ni? Sampai bila Nadim nak asyik dengan gitar dan piano tu? Takkan sudah kalau Nadim tak further study kat New York tu.” Ujar Marseila.

“Nadim lebih suka macam ni kak. Kat sini Nadim bebas buat apa sahaja. Dan muzik adalah segala-galanya untuk Nadim. Jangan bimbang, Nadim akan tetap sambung belajar. Cuma bukan sekarang masanya.” Ujar anak muda itu.

“Kalau macam tu Nadim akan buat ayah kecewa. Kenapa macam ni Nadim? Selepas mama meninggal, Nadim dah tak macam dulu lagi. Dan kematian Naomi, buat Nadim makin jauh dari kami. Mana Nadim yang kakak kenal dulu?”Keluh Marseila rungsing.

Nadim terdiam. Bicara Marseila menusuk ke jiwa. Dia tahu semua orang tertanya-tanya tentang perubahan dirinya. Tapi tidak ada seorang pun yang tahu kenapa dia jadi begini.

“Kakak baliklah. Beritahu ayah, bukan semua benda di dunia ini mampu dikawalnya.” Dia bingkas bangun.

“Nadim..” Marseila menegah. Memegang lengan adiknya.

“Emilia macamana?”

Nadim tergaman. Kenapa pula nama Emilia harus muncul dari bibir Marseila? Untuk apa kakaknya membangkitkan perihal gadis itu pula?

“Pertunangan Nadim dengan Emy macamana?” Soal Marseila ingin tahu.

“Macamana apa?”

Marseila melepaskan keluhan. Dia tahu Nadim tidak pernah menyukai anak gadis Tan Sri Jabbar itu. Selama ini Emilia sahaja yang tergedik-gedik mahu mendekati adiknya. Dia sendiri kurang berkenan dengan Emilia. Muka memanglah cantik kalah model, tapi perangai gedik dan manja Emilia melemaskannya. Kalau dia yang jumpa dengan Emilia sekali sakala pun boleh rimas, inikan pula Nadim yang dipaksa bertunang dengan gadis itu.

“Kalau tak ada apa-apa, Nadim balik dulu kak.” Ujar Nadim seraya berlalu pergi meninggalkan Marseila yang masih berteleku di meja itu sambil termenung panjang.

Marseila melemparkan pandangan kosong ke arah Nadim yang sudah melangkah pergi. Sebaik kelibat anak muda itu menghilang di muka pintu restoran, dia hanya mampu mengeluh. Tak tercapai juga misinya mahu memujuk anak muda itu! Ayah pun satu. Kalau nak pujuk, pujuklah sendiri. Ini tak..aku yang tak ada skillmemujuk ini juga yang harus ambil peranan. Rungut Marseila seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Nadim berhenti selang beberapa jarak dari titik pertemuannya dengan kakaknya Marseila. Kepalanya ditoleh ke belakang. Ada gusar bermain di jiwa. Pertanyaan Marseila tadi seakan mengigit sukmanya.

“Selepas mama meninggal, Nadim dah tak macam dulu lagi. Dan kematian Naomi, buat Nadim makin jauh dari kami. Mana Nadim yang kakak kenal dulu?”

Keluhannya meluncur dari bibir sebaik kata-kata Marseila sebentar tadi menikam ke sukma jiwanya. Nadim yang kakak kenal dulu sudah mati! Jiwanya sudah lama hancur kak! Jadi jangan ditanya ke mana Nadim Ammar yang dahulu sentiasa riang! Bisik Nadim seraya meneruskan langkah yang tergendala sebentar tadi.

* * * *

KETIKA dia singgah di rumah itu, pintu hadapan terbuka luas. Dia masuk tanpa berfikir panjang dan terlihat Naomi sudah mengemas bagasi-bagasinya.

“You buat apa ni?” Tanyanya bingung.

Gadis berambut perang muda itu menoleh tapi hanya sebentar. Kehadirannya seolah-olah tidak dipedulikan gadis itu memaksa dia mendekati Naomi lebih rapat. Melihat ke arah barang-barang berselerak yang sedang dimuatkan gadis itu ke dalam sebuah beg besar, dia semakin risau.

Naomi, what are you doing?” Suaranya sedikit meninggi.

Naomi berhenti mengemas. Gadis itu duduk di atas sebuah sofa sambil memandang ke arahnya.

“I dapat calldari CDG (Cave Diving Group) di UK pagi tadi. Mereka jemput I sertai mereka. Mereka nak buat ujian kelayakan di Bahamas hujung bulan ini.” Ujar Naomi merujuk kepada kumpulan penyelam dari UK yang diktiraf dunia itu.

“Dan you nak pergi macam tu aje?” Dia merenung Naomi.

“I suka dengan laut Nadim. In fact this is my life. I rasa dengan semua masalah yang kita hadapi sejak akhir-akhir ini, ini peluang terbaik kita untuk mencari apa sebenarnya yang kita mahu. I tak mahu dituduh ayah you jadi penghalang diri you untuk berjaya.” Ujar Naomi berterus terang.

“Ayah I tak ada hak ke atas kita.”

“Itu kata you. Tapi bagi dia, you satu-satunya anak lelaki dia. I dah bosan dipersalahkan semua orang kerana you. Cakap dia betul. I tak sepatutnya halang hidup you. Kalau bukan sebab I, you dah lama ke New York kan?”

Wait..you ada jumpa ayah I? Bila?”

Naomi terdiam sejenak. Wajah yang merah padam di hadapannya direnung dengan perasaan serba salah.

“I jumpa dia kelmarin.” Ujar Naomi.

And you tell me nothing about this?”

“Nadim, I’m so sorry. I tahu you akan marah kalau you tahu I ada jumpa ayah you. Tapi cakap ayah you ada benarnya. You tak patut habiskan masa you untuk I sedangkan you ada masa depan yang cerah.”

“Apa dia cakap Naomi.”

“Nadim.. dia..”

“Beritahu I, apa yang ayah I mahu dengan you?’ Suaranya semakin keras. Berang dengan apa yang diketahuinya.

“Dia bagitahu I yang dia nak you sambung pelajaran you di New York. Katanya sebab I, you masih terperap di tempat ini. Sebab I juga, you akan korbankan masa depan you.”

“I lakukan semua ini sebab I sayangkan you. I love you so much.”

And I do love you sayang. Tapi ini bukan caranya kita menyintai antara satu sama lain. Kita bebas buat apa sahaja yang kita suka tanpa memikirkan orang lain. Kita tak peduli pada yang lain kecuali melakukan apa yang kita suka. Tapi itu I, sayang. This is not you. I kenal Nadim Ammar. Dia lelaki yang bijak, caring dan penuh perhatian. Believe me, I was so in love with that man. Tapi semakin lama you begini, I hanya akan jadi penghalang untuk masa depan you. I fikir you harus pergi ke New York lanjutkan pelajaran.” Putus Naomi.

Don’t do this to me Naomi. Please.. New York bukan satu-satunya benda penting dalam hidup I. You lebih penting.” Rayunya.

Gadis itu bingkas bangun lalu menghampirinya. Sepasang mata Naomi yang basah menatap sayu ke arahnya.

“I dah buat keputusan. I nak pergi ke Bahamas. I akan dapatkan kelayakan CDG tu dan you mesti sambung pengajian you di New York. Mungkin beberapa tahun dari sekarang, kita akan bertemu semula dan waktu itu, kita akan buat keputusan samaada mahu meneruskan hubungan ini ataupun tidak.” Ujar Naomi.

Dan gadis itu nekad mahu meninggalkannya. Dia pula akur dengan pergi ke New York seperti yang dimahukan ayahnya. Namun hidup di rantau orang tidak pernah memberi ketenangan lantaran dia sudah kehilangan Naomi dan kehilangan hidupnya. Dari jauh, khabar Naomi masih diikuti dan didahului. Khabar dari jauh meniup berita di telinganya tentang Naomi yang kini menjadi salah seorang ahli penyelam profesional dengan Cave Diving Group. Kadangkala gadis itu mengikuti operasi bersama pihak penyelamat menyelamatkan mangsa-mangsa bencana yang berkait dengan air.

Dua tahun bersama CDG, Naomi kemudiannya dihantar ke Teluk Hope membantu mangsa kapal karam. Naomi sempat menghubunginya, sekadar memberitahu tentang ekspedisinya ke Teluk Hope. Tapi malang tidak berbau. Dia menerima berita buruk itu ketika sedang bermain piano di sebuah kelab. Dunia seolah-olah runtuh saat itu. Jiwanya bergelodak dengan kepiluan yang terus merantai jiwa. Dia terseksa, hatinya rawan dalam semangat yang kian pudar. Dan kematian Naomi diletakkan di atas ayahnya. Dia kehilangan Naomi kerana lelaki itu. Kerana ayahnya sendiri!

“Kenapa ayah? Kenapa ayah nak pisahkan Nadim dan Naomi?”

“Gadis itu tidak bawa apa-apa kebaikan pada kamu Nadim. Ayah cuma mahu melindungi kamu.” Alasan ayahnya langsung tidak masuk akal.

“Nadim cintakan dia ayah.”

Mata ayahnya terbeliak mendengar pengakuannya. Wajah lelaki itu sudah bertukar merah padam. Ternyata kata-katanya memancing kemarahan lelaki itu.

“Dia bukan berasal dari rumpun budaya kita. Malah dia seorang ateis. Ayah tak mahu bakal menantu ayah seorang ateis yang tidak percayakan agama.” Ujar ayahnya.

Dia terdiam mendengar hujah ayahnya. Kata-kata lelaki itu memang benar. Naomi seorang ateis. Lahir dari rahim seorang ibu berbangsa Cina dan seorang lelaki Inggeris dari UK. Sejak kecil, Naomi bersendirian setelah kedua ibu bapanya bercerai. Mereka bertemu dan berkawan apabila sama-sama menuntut di International School. Ketika itu dia baru pulang dari luar negara bersama ayah dan kakaknya Marseila.

Membesar di rantau orang membuatkan dia tidak betah meneruskan persekolahan di sekolah awam biasa, lantaran selama ini dia diasuh untuk berteman dan bersahabat dengan rakan-rakan berbilang bangsa. Kerana mahu menyelesakan dirinya, maka dia dihantar ke International School. Dan di situ dia tertarik melihat seorang gadis perenang yang cukup lincah di kolam renang. Itulah Naomi Lee Schubert. Gadis idaman hatinya, sekaligus menjadi penawar dan juga racun.

“Kenapa you tak percayakan tuhan?” Dia pernah memberanikan diri bertanya kepada gadis itu.

“Entahlah. Mungkin sejak kecil I tak pernah kenal siapa itu tuhan.” Jawab Naomi mudah.

“Tapi you percaya yang tuhan itu ada bukan?” Sekali lagi dia menguji.

Naomi memandangnya seraya tersenyum. “I akan percaya apa sahaja yang you percaya Nadim.” Jawab Naomi.

Dia terdiam. Tubuhnya disandarkan ke dada kerusi, seraya merenung wajah Naomi yang sedang menjamah aiskrim di kafeteria ketika itu.

“I tak boleh paksa you terima apa yang I percaya. I nak you sendiri yakin dengan tuhan. Hidup kita mesti ada pegangan Naomi. Dan pegangan itu haruslah bersandarkan tuhan. Kerana ALLAH!” Dia berhujah sekadar meletakkan sedikit asas di hati Naomi yang kontang ketika itu.

Naomi terdiam mendengar kata-katanya. Kerut di wajah gadis itu seperti memikirkan sesuatu. Dia tahu Naomi ingin bertanyakan sesuatu, tapi entah kenapa gadis itu tidak pernah meluahkannya. Sehinggalah ke saat-saat akhir dia cuba mendekati Naomi, cuba mendekatkan gadis itu dengan ajaran Islam meskipun dia bukan orang paling layak untuk mendidik gadis itu. Adakala apabila masuk bulan Ramadhan, Naomi akan turut berpuasa. Meskipun dia tahu gadis itu hanya menurut apa yang dilakukannya, tapi Naomi seperti berminat dengan Islam.

Tapi hubungannya dengan Naomi ditentang ayahnya Tuan Aaziz Ibrahim. Lelaki itu tidak suka dia berhubungan dengan Naomi, sebaliknya dia diperkenalkan dengan anak gadis teman lama ayahnya Emilia yang sentiasa cuba mendekatinya. Malah ada perancangan antara ayahnya dengan Tan Sri Jabbar yang ketika itu masih bergelar datuk untuk menyatukan hubungan mereka.

Ironinya Emilia turut memasuki International School selepas itu dengan agenda mahu merapatinya. Namun gedik Emilia merimaskannya. Dia tahu Naomi juga rimas dengan kehadiran gadis itu. Ke mana-mana sahaja dia pergi, Emilia akan mengekorinya, menyelit di sampingnya meskipun Naomi ada bersama ketika itu.

Lama kelamaan hubungannya dengan Naomi jadi renggang kerana Emilia. Banyak kali mereka bergaduh kerana soal yang remeh-temeh. Mungkin ini juga sebabnya kenapa Naomi seakan putus asa dan tega meninggalkannya begitu sahaja.

Semua ini salahnya! Mungkin kalau dia bertegas melarang Naomi ke UK dahulu, tentu gadis itu masih hidup. Masih bernafas dan tersenyum memandangnya. Naomi, semoga kebaikan hatimu dan keluhuran dirimu diterima ALLAH di sisinya. Nadim menarik nafas panjang. Hanya itu yang mampu didoakannya terhadap insan yang berada di hatinya sejak sekian lama.

Deringan telefonnya entah sejak bila berbunyi minta dijawab. Dia seperti tersedar dari mimpi yang panjang. Telefon yang tadinya sekadar dicampak ke atas meja dikutip lalu dikerling. Nama yang terpapar pada skrin, mula membuahkan senyuman. Jak!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh