Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 3

UBEK merenung wajah Cika yang cemberut di suatu sudut. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Aiseh! Bad mood lagilah tu!

Is she okay?” Tanya lelaki muda itu seraya turut menjeling ke arah Cika yang diam sahaja.

Ubek berpaling semula ke arah lelaki itu seraya tersenyum. “Dia okey. Mood dia memang macam tu. Always swing! Don’t worry. Dan maaf sekali lagi sebab salah faham ni.” Ujar Ubek.

“Tak apa. Mujur tak ada tok kadi kat kawasan ni. Kalau tidak, saya kena kahwin free agaknya dengan dia.” Ujar lelaki itu selamba.

Ubek terkedu mendengarnya. Kahwin free? Ubek tiba-tiba ketawa terbahak-bahak. Entah kenapa dia rasa lucu mendengar kata-kata lelaki muda itu.

Cika mengerling abangnya dari jauh. Entah apa yang lucu sehingga Ubek ketawa begitu? Sejurus anak mata Cika beredar ke arah lelaki yang sedang bercakap-cakap dengan abangnya. Lelaki itu agak segak orangnya dengan rambut panjang sehingga ke bawah telinga. Siapa dia agaknya? Kaki pancing seperti abangnya Ubek jugakah?

Seperti tahu dirinya diperhatikan, lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah Cika. Cika yang tidak sempat melarikan anak matanya mulai gugup. Aiseh! Dia pandang sini pulak! Malunya…

Tapi pandangan lelaki itu di wajahnya tetap jua selamba. Lelaki itu hanya memandangnya sebentar sahaja sebelum menumpukan perhatian pada abangnya Ubek. Cika mengeluh panjang. Gila! Apa yang kau harapkan Syafika Nordin? Lelaki setampan itu takkan mahu memandang kau lama-lama!

* * * *

“Teruk betul adik ni. Takkan tak kenal khemah kita sendiri?” Rungut Ubek seraya mahu kembali ke portmemancingnya. Cika yang mengekori dari arah belakang hanya mampu berdiam diri.

“Macamanalah boleh salah masuk khemah? Mujur abang datang tadi, kalau tak teruk juga nak jelaskan pada lelaki tu fasal adik. Tak fasal-fasal dia ingat adik ni nak mencuri barang-barang kat khemah dia.”

“Yalah sangat tu. Macamlah ada benda-benda berharga kat dalam khemah dia. Cika konfius la abang, gelap sangat. Mana Cika tahu khemah kita dengan khemah dia dekat-dekat aje. Dah tu warna khemah pun lebih kurang sama.” Keluh Cika.

“Mujur dia tak saman adik.” Senyum Ubek.

Cika mencebik. Nak saman apa? Bukan dia rugi apa-apa pun. Aku ni yang rugi! Poyo betul mamat tu.

“Hai cik adik, baik-baik jalan tu nanti jatuh.” Muncul suatu suara tak dikenali. Cika dan Ubek serentak berpaling. Beberapa orang anak muda yang sedang memancing menoleh ke arah Cika. Tersenyum-senyum sumbing petanda nak cuba nasib.

Cika memandang abangnya. Ubek juga sudah tersenyum-senyum.

“Abang, Cika rasa mamat tadi tu mesti gay.” Ujar Cika tiba-tiba.

Senyuman Ubek padam. La apa ke jadahnya pula mereka bercakap soal lelaki tadi gay atau tidak. Releven ke mana isu ni Cika oi! Keluh Ubek dalam hati. Malas dia mahu melayan kerenah adiknya lagi sedangkan joran-jorannya harus diperiksa kalau-kalau ada seekor dua toman yang melekat di mata kailnya. Duit RM10,000 beb, siapa yang tak mahu?

“Abang dengar tak ni?”

“Dengar.” Jawab Ubek acuh tak acuh.

“Budak-budak berhingus tu sempat lagi nak mengorat Cika. Ini bermakna Cika ni bukanlah teruk sangat. Cantiklah juga. Tapi guy tadi tu tengok Cika semacam aje, acuh tak acuh. Memang Cika dah agak. Memang sah, memang confirmdia memang gay.”

Ubek memandang adiknya. Ketawanya berderai sehingga hampir berair matanya. Funny! Alahai adik aku ni, kalau tak buat ayat perah santan tu tak boleh ke?

“Yang adik susah-susah fikir dia gay ke tidak ni apahal? Jangan-jangan adik suka kat lelaki tu ya?” Teka Ubek nakal.

“Abang! Mana ada!” Cebik Cika. Padahal dalam hati dia menyesal panjang meneka sebarangan tentang lelaki yang baharu sahaja dikenalinya sebentar tadi. Tak fasal-fasal Ubek berandaian yang dia menyukai lelaki berwajah dingin itu. Eii…tak kuasa den!

“Lelaki tu bukan kaki pancing. Katanya dia datang ke mari sebab temankan abang angkatnya yang kaki pancing. Dia tengah tidur kat dalam khemah waktu adik main serbu masuk.” Jelas Ubek tersenyum-senyum.

“Patut pun.” Cika mengeluh. Hari ini dalam sejarah, dia tersalah masuk ke dalam khemah seorang lelaki. Mujur tengah tidur! Cuba kalau lelaki itu tengah menyalin pakaian, lagi masak dia dibuatnya. Elok-elok dapat title pencuri, terus dapat titlepervert’ pulak. Aiyoo ama, tak mahu!

“Eh ada ikan!” Ubek tiba-tiba berlari ke arah joran-jorannya. Cika berpaling. Melihat lelaki itu terhegeh-hegeh berusaha mengendalikan joran-jorannya, perlahan-lahan dia melangkah ke arah abangnya.

“Adik, cepat tolong abang. Berat ni! Abang rasa ini mesti ikan besar!” Jerit Ubek. Cika mencebik. Ikan besar konon! Kalau ada yu sekalipun melekat kat joran abangnya itu, dia tetap tidak peduli. Manakan tidak, kali ini seluruh hati dan perasaanya teringatkan lelaki itu. Entah kenapa ada sesuatu pada renungan lelaki itu yang menikam dasar hatinya. Wajah itu seperti bermisterius, seakan sedang membendung sesuatu. Aduh! Dalam pulak aku berfalsafah kali ini, keluh Cika.

“Adik, are you out of your mind. Cepat ke mari, tolong abang!” Jerit Ubek lagi separuh geram. Mahu tak mahu, Cika segera berlari ke arah lelaki itu. Membantu abangnya mengangkat joran tersebut. Ubek memang tidak berbohong. Joran abangnya itu memang berat. Kelam kabut mereka cuba menarik mata kail itu ke atas. Buat seketika port mereka menjadi perhatian orang sekitar yang turut tertarik mahu tahu apa yang telah memakan umpan mata kail Ubek.

* * * *

Dari jauh matanya ralit memerhatikan gelagat dua adik beradik yang kelihatan gila-gila itu. Mana tidak gila kalau suka-suka hati sahaja masuk ke dalam khemah orang lain tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Gosh! Nightmare betul malam ini.

Dia sedang sedap-sedap tidur di dalam khemah, apabila merasakan ada seseorang sedang menarik zip pintu khemah. Dengan mata separuh terbuka, dia melihat sesusuk tubuh yang kelihatan samar-samar masuk ke dalam khemahnya. Pada mulanya dia menyangka itu Jak, tapi melihat susuk tubuh yang masuk itu kecil sahaja sedangkan Jak bertubuh besar, dia mula menumpukan perhatian. Sekadar memerhatikan apa yang dilakukan lembaga itu.

Melihat lembaga itu meraba-raba beg yang terletak di sudut khemah, dia mula mengesyaki lembaga itu pastinya seorang pencuri. Dia mula mengawasi apa sahaja yang dilakukan lembaga itu sementara mencari peluang terbaik untuk menangkapnya.

Dan kesempatan itu datang akhirnya. Dia segera menangkap lembaga itu dan menggasaknya ke tepi khemah. Sebelah tangannya menutup mulut lembaga itu manakala sebelah tangan yang lain pula meraba-raba poketnya. Telefon bimbitnya hilang entah ke mana. Tapi ketika dia bergerak sedikit, dia terpijak sesuatu. Cepat-cepat dia mengutip telefon bimbit yang pastinya milik pencuri itu. Mod lampu yang sudah sedia bernyala disuluh ke arah wajah di hadapannya. Ketika itulah dia tersentak dan terkejut.

Wajah yang muncul di hadapannya entah kenapa membuatkan dia terpanar sebentar. Bukan lelaki seperti yang terpeta di fikirannya sebaliknya seorang gadis. Dan sepasang mata yang bundar dan indah itu kelihatan takut-takut memandang ke arahnya.

“Siapa awak? Kenapa awak menceroboh khemah saya? Awak nak mencuri ya?” Dia mengemukakan pertanyaan yang agak keras. Sengaja berlagak seperti seorang polis menyoal penjenayah. Tapi penjenayah di hadapannya itu seorang gadis yang cantik dan kelihatan polos!

“Sa..saya tersalah masuk khemah.” Itu jawapan si gadis itu.

“Salah masuk khemah? Itu jawapan paling baik yang awak boleh sediakan?”

“Betul saya tak bohong, saya memang salah masuk khemah. Saya ingat ini khemah saya, tapi tak sangka ini khemah awak.” Ujar si gadis lagi.

“Awak siapa? Apa awak buat kat sini?”

“Err..saya temankan abang saya memancing.”

“Mana dia?”

“Ada kat kolam pancing.”

Dia mendengus keras. Jawapan gadis itu benar-benar lurus kedengaran. Hendak ketawa pun ada. Dia percaya alasan gadis itu. Tapi entah kenapa melihat wajah itu takut-takut dia merasa seronok pula mempermainkan gadis itu. Wajahnya sengaja diseriuskan! Biar gadis itu kecut perut melihatnya.

Please..lepaskan saya ya? Saya cakap perkara betul. Saya memang tak sengaja masuk ke khemah ni. Lagipun kalau saya tahu ada orang, takkan saya nak masuk juga.” Ujar gadis itu.

“Saya belum sepenuhnya percaya pada awak. Zaman sekarang ni, jangan katakan seorang gadis kaki tipu, nenek yang usia 70an tu pun boleh mencuri.” Dia merenung wajah di hadapannya.

“Kalau awak tak percaya, saya boleh panggilkan abang saya.”

Dia terdiam sejenak. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Tanpa disedari, dia sebenarnya sedang ‘berkhalwat’ dengan seorang gadis di dalam khemahnya. Bukanlah secara langsung, tapi dengan berdua-duaan lebih lama dengan gadis itu, dia sebenarnya sedang menjerat dirinya sendiri. Silap-silap haribulan dia boleh kena tangkap basah. No way! Dia masih muda, belum masanya untuk dia mendirikan rumahtangga. Lagi-lagi kahwin basah seperti ini! Hell not!

Memikirkan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku, akal warasnya mula bertindak spontan. Dia segera menarik tubuh gadis itu keluar dari khemahnya. Si gadis agak terkejut tapi kelihatan lebih lega dari tadi. Dia mahu menyambung soal siasatnya, tapi suara seorang lelaki muncul dan mematikan hasratnya. Tak semena-mena abang gadis itu muncul di situ. Kelakarnya mereka bertiga saling renung-merenung seakan suspicious untuk beberapa minit, sebelum masing-masing cuba menyelesaikannya secara berdiplomasi.

Dia ketawa kecil. Lucu! Insiden ini memang lucu dirasakannya. Mujur sahaja abang si gadis percaya dengan penjelasannya.Jika tidak, mahu lebam biji matanya dibelasah.

“Hai senyum sorang ni kenapa?” tegur suatu suara.

Dia menoleh. Seorang lelaki bertubuh tinggi lampai dan memakai topi lebar muncul di sisinya.

“Banyak dapat ikan?” Tanyanya.

Lelaki itu hanya ketawa. “Tak ada seekor pun. Agaknya semuanya tahu kita semua pakat nak datang ramai-ramai malam ini. Itu fasal ikan-ikan semuanya bersembunyi dalam lubuk.” Jawab Jak seraya ketawa kecil.

Dia tersenyum mendengar jawapan Jak.

“Susah-susah sangat, beli aje ikan kat pasar. Habis cerita!”

Jak ketawa besar mendengarnya. Brilliant idea!

“Kalau kau tak minat memancing, yang kau setuju ikut abang ke mari kenapa?” Soal Jak seraya duduk di sampingnya.

“Saja je ikut, kumpul pengalaman.”

“Orang kumpul pengalaman dengan memancing, tapi kau cuma tidur dalam khemah. Macamana nak dapat ikan kalau begitu.” Keluh Jak.

“Duduk dalam khemah pun kalau bernasib baik, dapat juga ikan. Ikan yang comel lagi.” Ujarnya seraya ketawa kecil.

Dahi Jak berkerut. Ternyata lelaki itu gagal memahami maksud tersiratnya. Dia menyambung ketawa tanpa ada niat mahu menjelaskan apa-apa pada Jak tentang apa yang telah berlaku di khemah mereka tadi. Sekali lagi matanya mencuri pandang ke arah gadis itu dan abangnya yang baru sahaja mengangkat naik joran yang dihujungnya terdapat kasut but getah melayang-layang di mata kail. Sekali lagi dia ketawa besar, lucu melihat muka si gadis mencuka dan wajah si abang yang terduduk lemah. Penat tapi tak ada hasil!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh