Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 23

SEKALI lagi adegan pencariannya berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai. Dia mendongak wajah lalu memandang langit yang mulai gelap. Sesekali dia memerhatikan ke arah bangunan Jumbo Jeep di hadapannya. Restoran kegemarannya, khas untuk bertemujanji seperti yang dimahukan ibunya. Restoran itu dipilih kerana makanannya yang sedap-sedap.

Dahulu ayahnya sering membawanya makan-makan di situ. Itu sampai sudah dia asyik melekat di Jumbo Jeep. Comelnya ada patung seekor gajah menjadi hiasan dan maskot di restoran itu. Jumbo juga merujuk kepada istilah binatang berbelalai panjang itu. Tapi jangan ditanya dari mana pemiliknya mendapat nama yang comel itu. Tak kuasa!

Sudah dua jam lebih dia merayau-rayau di situ tapi masih gagal menemukan plannernya. Cika mula merasa hampa dan putus asa. Dia cuba mengingati apa yang berlaku pada hari dia ke situ bersama ibunya untuk bertemu Puan Jamilah dan Idham Hariz. Ketika itu dia duduk bersandar pada badan sebuah kereta Toyota Prius berwarna putih. Plat nombor dia tak ingat, hanya dia teringat ada melihat initial NA berwarna perak pada bahagian bonet kereta tersebut. Jangan-jangan pemandu kereta itu ada terjumpa planner itu. Tapi siapa pemilik Toyota Prius itu? Pengunjung restoran Jumbo Jeepkah atau salah seorang dari staf di situ?

Cika tiba-tiba terfikir untuk bertanya perihal kereta Toyota Prius berwarna putih itu dengan pekerja-pekerja di Jumbo Jeep. Manalah tahu si pemilik kereta itu pelanggan tetap Jumbo Jeep. Untung-untung bukunya dapat ditemui semula. Tanpa membuang masa dia segera berlari masuk ke dalam restoran yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan restoran. Di situ dia segera meluru ke arah kaunter.

“Err..maaf, boleh tumpang tanya tak? Ada tak sesiapa yang terjumpa buku saya yang tercicir kat mana-mana di sekitar restoran ni?” Tanya Cika pada dua orang pelayan yang berada di kaunter. Pelayan di kaunter itu tercengang melihat Cika yang sudah basah kuyup. Sejurus kemudian dia menoleh ke arah temannya yang hanya menggelengkan kepala.

“Rasanya tak ada pulak. Kenapa? Cik tercicir sesuatu?” Soal salah seorang pelayan lelaki yang bertubuh tegap dan tinggi lampai. Yang seolah lagi berambut punk berwarna putih.

Cika mengangguk. “Kelmarin saya ada datang ke mari. Lepas tu saya mungkin tercicir sesuatu berdekatan sebuah kereta pelanggan di sini. Keretanya Toyota Prius warna putih kalau tak salah.” Ujar Cika memberitahu.

“Err susah juga tu. Ramai pelanggan kami kat sini yang pakai Toyota Prius.” Ujar lelaki itu seraya tersengih ke arah temannya.

“Ada perkataan NA pada kereta tu, di bahagian bonet kalau tak salah.” Pintas Cika berharap. Minta-mintalah pelayan-pelayan di situ tahu sesuatu.

Seperti yang diharapkan, lelaki-lelaki itu saling bertatapan sebentar. Sejurus kemudian, salah seorangnya tersenyum memandangnya.

“Rasanya kami boleh tolong. Itu kereta pemain piano kami. Setiap dua malam sekali dia akan buat persembahan di sini dari jam lapan hingga sebelas. Mungkin dia yang cik maksudkan. Kalau cik tunggu sekejap, mungkin cik akan jumpa dia kat sini.” Ujar pelayan yang berambut punk di hadapan.

Cika menarik nafas panjang. Alhamdullilah! Mujurlah boleh jumpa dengan pemilik kereta itu. Tapi kata-kata pelayan lelaki itu mendadak muncul di fikiran, membuatkan dia terkedu. Sejak bila ada pemain piano di sini?

Mahu tak mahu dia duduk sekali lagi di restoran yang sama. Di sinilah tempat dia sering bertemujanji dengan lelaki-lelaki yang sering dicarikan ibunya. Boleh kata tempat ini ada sentimental value. Tapi anehnya dia tidak pernah ingat ada persembahan piano di tempat ini. Ini kerana sebelum jam 8 malam dia harus pulang ke rumah, menurut perintah larangan ibunya yang berkuatkuasa dua puluh empat jam atau dia akan dipanah racun berbisa yang keluar dari mulut Puan Bahyah yang bengkeng laksana singa lapar. Hanya sesekali dia makan di situ bersama ayahnya. Tapi tidak pernah pula dia dapat menghayati persembahan piano di situ meskipun perasan ada sebuah piano putih di tengah-tengah ruangan restoran itu.

Best jugak kalau dia ajak Gina datang ke sini tadi. Tak adalah dia menunggu seorang diri sahaja sedangkan semua pelanggan yang datang malam ini semuanya berteman. Mana syok datang seorang. Habis semua orang yang lalu mengerling ke arahnya bagaikan otak semua orang sedang menilai apabila dia Syafika Nordin, si broker hartanah yang baru berjinak-jinak memiliki empayar sendiri rupa-rupanya hanya sendirian. Tidak ada sesiapa yang boleh digelar teman lelaki. Kau nak begitu ke Cika? Suara hatinya memprovok.

Pantas dia menggeleng! Tak mahu!

Ah pedulikan mata yang memandang. Aku datang sini bukan ada sesi candle light dinner pun. Aku datang sini sebab nak cari si pemilik Toyota Prius yang mungkin terambil buku hitam aku yang tercicir itu. Cika segera membetulkan niat hati. Sekaligus menyedapkan hati sendiri yang mula gelisah.

Segelas fresh orange tiba-tiba diletakkan di hadapannya.

Cika mendongak wajah lalu memandang si pelayan lelaki tadi yang kini berada di hadapannya.

“Buat basahkan tekak.” Ujar pelayan lelaki bertubuh tinggi lampai itu.

Cika segera mengeluarkan dompet duitnya. “Err berapa? Nanti saya bayar.”

“Eh tak payah cik. Minuman ini percuma sahaja. Oh ya, ini tuala kering kalau-kalau Cik nak lap muka.” Lelaki itu menghulurkan sehelai tuala kepadanya.

Cika tersenyum sekaligus menyedari keadaan dirinya yang basah kuyup.

“Terima kasih.” Ucapnya lalu mencapai tuala muka tersebut dan dilapkan pada wajah dan badannya sebentar tadi. Patutlah semua orang pandang semacam aje. Rupa-rupanya tak ada orang nak fikir samaada dia ada teman lelaki atau tidak, selain masing-masing pelik melihatnya basah kuyup begitu. Dia sahaja yang perasan sendiri! PoorCika!

“Oh ya, boleh saya tanya sesuatu?” Soal pelayan lelaki itu.

Cika tercengang. Nak tanya apa pulak? Macam serius aje bunyinya?

“Kalau tak salah, cik pelanggan tetap di restoran kami bukan? Saya dan kawan-kawan saya di belakang sana bertaruh kalau cik lah gadis yang selalu blind date di meja hujung sana bukan?” Lelaki itu menunjukkan ke suatu arah.

Cika tergaman. Serentak matanya beredar ke arah kaunter dan terpandang tiga empat orang pelayan yang tersengih-sengih memandang ke arahnya. Malah ada yang melambaikan tangan ke arahnya. Ada juga yang mengangkat dua anak jari dan menunjukkan peace no war. Ayoyo…mereka semua perasan ke? Malunya!

“Awak semua perasan ke selama ini?” Cika memberanikan diri bertanya dengan wajah merah padam.

Pelayan lelaki yang tinggi lampai itu ketawa kecil. “Maaf, selama ini memang kami selalu perhatikan cik. Oh ya nama saya Ebit. Nama cik?”

“Syafika. Panggil saya Cika sahaja.”

“Selamat berkenalan ya Cik Cika. Kami semua selalu tertunggu-tunggu blind date Cik Cika yang seterusnya. Yang ke-14 kan kalau tak salah?” Tanya Ebit tersenyum.

Cika ketawa malu. Aduh! Kenapalah mereka semua ni boleh perasan semua benda ni? Siap tahu lagi fasal blind date ke-13 ke, ke-14 ke. Malu sungguh! Taubat aku kena tukar port lain ni!

“Ebit!” laung satu suara.

Ebit segera berpaling. Cika turut menoleh lalu memerhatikan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkemeja licin sedang menggamit Ebit dari penjuru kaunter. Dia juga perasan, lelaki-lelaki muda di kaunter tadi sudah menghilang entah ke mana.

“Alamak, itu bos saya. Saya pergi dulu Cik Cika. Kalau nak apa-apa bagitahu saja.” Ujar Ebit lalu segera beredar dari situ. Cika terus memerhatikan Ebit dan majikannya berbual-bual. Dia masih ingat lelaki yang berbual-bual dengan Ebit itu. Jak! Itulah nama lelaki itu. Bukankah mereka pernah bertemu semasa dia ditangkap ‘berkhalwat’ dengan Nadim Ammar tempohari? Sesekali mata kedua-duanya beralih ke arahnya. Dia mula cemas. Lain macam sahaja! Apa yang mereka berdua bualkan tu? Fasal aku ke?

Melihat lelaki itu menuju ke arahnya, Cika lekas-lekas mengalihkan pandangannya sambil berdoa lelaki itu tidak singgah ke mejanya. Namun doanya tidak diperkenankan apabila lelaki tinggi lampai, berambut pendek kemas itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya.

“Cika bukan?” Lelaki itu menjengahnya sambil tersenyum.

Hendak tak hendak Cika terpaksa berpaling. Bibirnya melemparkan senyuman meski hati terasa segan dengan lelaki itu.

“Saya Jak, ingat lagi?”

Cika mengangguk. Of course aku ingat!

“Dah lama abang tak nampak Cika datang ke mari?” Tegur Jak seraya duduk di samping anak gadis itu.

“Eh ada. Kelmarin tengahari saya ada datang ke sini.” Cepat-cepat Cika menyahut. Jak tersenyum lebar memandangnya.

Blind date lagi?”

Cika terdiam. Sah! Aku kena tukar port blind date aku. Nampaknya semua orang di Jumbo Jeep perasan apa yang aku lakukan selama ini, termasuklah majikan Jumbo Jeep sendiri. Bera! Wajahnya sudah merah padam seperti udang dibakar.

“Abang pun tahu juga hal ni?” Wajah Cika berubah muram. Jak mula menyedari gadis itu tidak senang memperkatakan tentang urusan janji temunya.

Come on, bukan teruk sangat pun kalau blind date di sini. Kalau Cika nak tahu, bukan Cika seorang yang suka bertemu janji kat sini. Ramai pasangan yang datang.” Pujuk Jak.

“Tapi saya seorang sahaja yang selalu bertukar-tukar pasangan kan?” Cika tersenyum hambar.

“Belum jumpa yang berkenan di hati?”

Cika menggeleng. Jujur mengakui pada lelaki itu.

“Kenapa?”

Hendak tak hendak dia bercerita panjang lebar dengan Jak tentang ibunya yang asyik mencarikannya calon-calon yang berpotensi untuk dijadikan suami. Sesekali Jak ketawa kecil mendengar rungutan Cika terhadap ibunya.

“Insya ALLAH, abang yakin suatu hari nanti Cika mesti jumpa dengan lelaki yang ditakdirkan jadi soulmate Cika. Lagipun Cika ni kan lawa orangnya, mesti ramai yang sangkut.” Jak memuji. Bukan mengambil hati, tapi ikhlas di hatinya.

“Kalau tak jumpa juga?” Cika menoleh ke arah lelaki itu.

“Kalau tak jumpa jugak, Cika pilih ajelah mana-mana staf abang yang berlima tu. Tengok tu, semuanya dah jadi peminat Cika.” Ujar Jak seraya menunjukkan ke suatu arah.

Cika mengekori arah pandangan Jak dan terlihat pelayan-pelayan di kaunter sedang berkumpul sesama sendiri dan tersenyum-senyum memandang ke arahnya. Serentak tawa Cika terburai. Hilang sebentar kebimbangannya kerana kehilangan diari hitamnya, sebaliknya dia merasa terhibur dengan jenaka Jak. Tak sangka lelaki itu pandai menghiburkan hatinya, padahal mereka baru kenal.

“Abang kelakar.” Puji Cika seraya menaikkan ibu jarinya.

“Cika pun kelakar! Patutnya abang tukar Jumbo kat depan tu dan ganti dengan Cika jadi maskot Jumbo Jeeo. Mesti lagi laris perniagaan abang.” Usik Jak.

Cika ketawa lagi. Tukar aku dengan Jumbo tu jadi maskot? Haha takut bukan semakin bertambah pelanggan yang datang, sebaliknya makin berkurang. Semuanya terkejut melihatnya nanti!

“Oh ya, Ebit ada beritahu abang tadi yang Cika nak cari Nadim?” Soal lelaki itu.

“Nadim?” Cika keliru. Nadim Ammarkah? Bila masa pulak aku nak jumpa mamat poyo tu?

“Eh mana ada. Buat apa Cika nak cari mamat perasan tu?”

“Tapi Ebit kata tadi, Cika sedang mencari pemilik kereta Toyota Prius putih tu kan. Kereta tu milik Nadim.” Ujar lelaki itu. Dalam hati hendak tergelak pula mendengar Cika memanggil Nadim ‘mamat perasan’.

Cika terkedu mendengarnya. Kereta Nadim?

“Boleh abang tahu apa halnya Cika nak jumpa dia? Nadim ni agak low profile. Dia takkan jumpa sesiapa kalau dia sedang buat persembahan di sini. Dah ramai gadis-gadis yang nak jumpa dia, tapi satu pun dia tak layan.” Canang Jak.

Cika terdiam. Amboi, macam artis pulak mamat ni. Kalau dengar dari gaya Jak bercerita, Cika hampir-hampir sahaja hendak terjeluak. Macamlah aku ni peminat dia. Padahal aku cuma mahu mendapatkan buku hitam itu sahaja. Tapi dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu salah seorang pekerja di Jumbo Jeep. Sangkanya selama ini Nadim Ammar pelanggan restoran itu sama seperti dirinya. Kata Jak, lelaki itu pemain piano. Pandaikah dia bermain piano?

Kerana tidak mahu disalah sangka, Cika terpaksa bercerita panjang lebar kenapa dia mahu menemui lelaki bernama Nadim itu. Seperti yang diduga, Jak terlongo mendengar penjelasan Cika. Malah lelaki itu ketawa kecil dan segera meminta maaf kerana tersalah menduga.

“Ini kali pertama abang dengar perempuan cari Nadim kerana sebab lain. Sejak Nadim bermain piano di sini, selalu sangat dia jadi tumpuan anak-anak gadis yang datang makan kat sini. Kadangkala tak menang tangan kami dibuatnya Maaf ya Cika, jangan salah faham. Abang terpaksa bertanya begini untuk beri keselesaan pada Nadim. Well macam abang kata tadi, dia tu low profile orangnya.” Jelas Jak tersenyum.

“Speaking of the devil, dia dah sampai. Tapi Cika kena tunggu sampai dia habis persembahan dulu.” Ujar Jak berbisik, seraya berlalu pergi dari situ.

Cika berpaling, namun pandangan matanya tidak sempat melihat apa-apa lantaran lampu di pentas utama serta di ruangan restoran itu tiba-tiba sudah dimalapkan. Dia terpisat-pisat di dalam gelap. Terkejut usah dikatakanlah. Dia sempat mendengar bunyi garpu, sudu dan pinggan berlaga. Jangan-jangan bukan dia sahaja yang terkejut beruk dengan lampu yang dipadamkan secara tiba-tiba itu.

Tiba-tiba muncul di gegendang telinganya alunan piano yang sedang memainkan lagu Unbreak My Heart dendangan Toni Braxton. Cika berpaling ke arah pentas dan sebuah lampu sudah terpasang di situ, menyorot ke arah seorang lelaki muda berpakaian kot serba hitam yang sedang memainkan piano di pentas utama.

Tangan lelaki itu lincah menari-nari di atas piano membuatkan Cika ikut tertarik. Merdunya. So sweet! Bisik hati kecilnya. Apabila lagu itu sampai ke bahagian kedua, sebuah lampu kecil entah dari mana datangnya menyorot pula ke wajah pemain piano itu, menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan Cika terpegun. Dia beristighfar panjang. Ya ALLAH! Betullah memang dia! lelaki itu memang Nadim Ammar dan mamat poyo itu sedang memainkan piano di atas pentas utama bagaikan seorang profesional.

Selesai memainkan lagu Unbreak My Heart, sesi kedua bersambung dengan lagu I Will Always Love You yang menjadi kegemaran Cika. Lelaki itu memang mengagumkan semua mata yang memandangnya, tidak terkecuali Cika sendiri yang sempat menyumpah diri sendiri. Kalaulah dia tahu lelaki itu bermain piano di situ setiap dua malam sekali, sudah pasti dia akan sentiasa berada di tempat itu.

Selama ini dia memang tertarik dengan muzik apatah lagi sedari kecil dia sudah sering mengikut ayahnya yang berkerja dengan orkestra RTM. Menadah telinga mendengar memang dia suka, tapi untuk mengikut jejak ayahnya yang pandai bermain muzik, memang out of league. Tak pandai langsung! Jangan kata nak main gitar atau piano, nak main kompang dengan tiup rekorder pun dia tak lulus!

Di rumahnya ada pelbagai alatan muzik seperti biola, seruling dan sebuah piano lama milik ayahnya. Tapi dia dan Ubek tidak pernah menyentuhnya kerana tidak berminat. Dengar sahaja boleh, selebihnya dia dan Ubek langsung tidak mewarisi bakat ayahnya di dalam muzik.

Kalau di sekolah dahulu, dia sering menjadi mangsa guru muziknya yang sering memegang kayu pemukul dram. Jika tersalah sedikit memainkan not, pasti kayu itu cepat sahaja singgah di kepalanya. Kata orang, yang kerap ditindas guru pasti yang paling cepat pandai. Malangnya di sekolah rendah atau di sekolah menengah, prestasinya dalam pelajaran muzik sama sahaja meskipun dia anak Encik Nordin, konduktor orkestra di stesyen televisyen negara itu.

“Itulah lelaki yang Cik Cika nak jumpa.” Bisik Ebit, pelayan lelaki tadi yang entah sejak bila datang dan meletakkan kepingan kek Rose Velvet pula di hadapannya.

“Bos belanja.” Bisik Ebit lagi.

Namun Cika tidak menjawab. Matanya masih terpaku pada wajah itu. Dan bagaikan bermimpi, lelaki itu tiba-tiba berpaling ke arahnya. Dia gugup. Renungan itu sampai ke wajahnya, meski dia tidak pasti apakah lelaki itu benar-benar sedang memandangnya atau dia sahaja yang syok sendiri.

Tapi melihat lelaki itu sedang tersenyum memandang tepat ke arah meja yang

didudukinya, Cika terpempan. Sure! He’s staring at me. Perasan gundah-gundahnya kembali. Dia segera tunduk merenung bawah meja. Cuba mengelak dari dipandang lelaki itu sebegitu rupa.

Sebaik alunan piano yang dimainkan lelaki itu selesai dan berhenti rehat seketika, Cika berhasrat mahu angkat kaki dan pergi dari situ. Tapi tiba-tiba sahaja lelaki itu mengangkat tangan ke arahnya bagaikan menyuruh dia menunggu.

Ceh! Ingat lagi rupanya lelaki itu padanya. Ingatkan tak ingat aku dah! Cika mencebik tanpa disedari. Tapi cebikan itu hanya dibibir, yang pasti tidak ada kebencian berladung di hatinya saat itu. Langsung tidak!

Previous: Bab 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh