Bila The Loser bertemu The Pianist
Apakah Tugu Cinta Bakal Dibina?
Atau Bencana Yang Akan Tiba?
DARI dalam kereta, dia terpandang
kelibat Cika sedang menunggu teksi di laluan teksi tidak jauh dari kawasan
hotel. Dia menarik nafas lega. Mujurlah! Cika tak mungkin akan berada jauh dari
kawasan itu. Memang niatnya mahu mengejar gadis itu agar tidak hilang dari
mata.
Dia segera memandu ke arah
Cika yang duduk bersendirian di situ. Tingkap dibuka lalu kepalanya menjenguk
keluar.
“Jom saya hantarkan awak
balik.” Teriak Nadim, cuba mengimbangi bunyi enjin
kenderaan lain di situ.
Cika menoleh. Menunduk
sedikit, cuba
mengecam siapakah yang memandu kereta Volkswagen berwarna kuning terang itu.
Sebaik matanya bersapa pandang dengan wajah Nadim Ammar, dia terkedu.
“Please, masuk ke dalam kereta. Teksi tengah tunggu nak masuk laluan
ni.” Pujuk Nadim.
Cika melontarkan pandangan
ke suatu arah. Baru dia perasan kereta Volkswagen itu sedap-sedap sahaja berada
di petak laluan teksi.
“Awak nak pergi, pergi
ajelah. Jangan ganggu saya.” Cika menjawab. Malas mahu melayan Nadim. Dia tahu
Nadim pasti sudah mendengar setiap patah perkataan teman-teman sekolahnya
sebentar tadi. Sedikit sebanyak dia malu dengan Nadim Ammar. Kat mana dia nak
letak airmukanya? Dalam tempayan? Dalam botol?
“Saya takkan pergi selagi
awak tak naik kereta ni.” Ugut Nadim.
Cika tersenyum sinis.
Macamlah aku yang bakal dimarahi para pemandu teksi di Kuala Lumpur ni. Go to hell!
“Cika….please.” Suara Nadim lembut memujuk.
Cika terkedu dibuatnya. Buat
pertama kalinya dia mendengar lelaki itu memanggilnya dengan panggilan Cika.
Aduh! Bunyinya lembut sekali membikin hati yang terasa rawang sejuk dalam sekelip
mata.
Bunyi hon bertalu-talu yang
muncul dari arah belakang membuatkan kedua-duanya tergaman. Nadim melontarkan
pandangan ke arah cermin sisi. Dia nampak jelas ada sebuah teksi mahu masuk di
laluan itu. Keluhannya meniti keluar.
“Nak naik ke tak nak ni?” Nadim sudah mulai
bosan. Hendak tak hendak, Cika segera membuka pintu kereta lalu melangkah ke
dalam. Grrr..geramnya! Kalau bukan sebab dia datang dengan menumpang kereta Gina,
pasti menumpang kereta lelaki itu adalah pilihan terakhirnya.
Ketika Nadim menghalakan
Volksawagen itu keluar dari perkarangan kawasan hotel, sebuah kereta datang
dari arah bertentangan. Si pemandu menoleh ke arah Volkswagen tersebut. Melihat
wajah Nadim Ammar tersenyum ke arah seorang gadis di sampingnya, wajah si
pemandu segera berubah. Mendadak dia memberhentikan keretanya.
Emilia keluar dari kereta
yang dipandunya. Matanya mengintai-intai kereta yang sudah berlalu pergi. Ada kegusaran melanda
sekeping hatinya saat itu. Siapakah gadis bersama Nadim itu? Hati Emilia sarat
dengan pelbagai pertanyaan. Bibirnya diketap rapat, cuba menahan perasaan marah dan
kecewa yang seiring di kamar hati.
* *
* *
SEGELAS
mug
diletakkan di hadapan Cika. Cika mendongak, memandang ke arah mug kopi yang
masih berasap. Dia sempat melihat wajah Ebit yang tersengih-sengih memandang ke
arahnya. Alan yang berambut spike
berwarna putih itu sejak awal-awal sudah melambai ke arahnya. Yang lain-lain
dia tidak kenal nama. Tapi kesemua mereka asyik memandangnya dengan wajah nakal
dan ada yang terlebih nakal, bersiul ke arahnya.
“Tak sangka awak popular jugak kat sini.” Tegur Nadim,
muncul entah dari mana. Sekeping kek blueberry dan pinggan berisi buah-buahan
diletakkan di hadapan Cika. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan gadis itu.
“Kenapa kita kat sini?” Soal Cika dengan wajah mulai
bosan.
“Saya nak makan, lapar. Awak sangka saya dah makan ke
semasa kita kat hotel tadi?” Jawab Nadim seraya menyuap sedikit kek ke
mulutnya.
“Manalah saya tahu awak makan ke belum? Lagipun yang awak
ikut saya keluar tadi kenapa? Kenapa tak tunggu makan kat situ aje?” Cebik
Cika.
Nadim tidak menjawab. Wajah Cika yang merah padam
ditenung agak lama. Dia tahu Cika masih sedih dengan apa yang berlaku di dewan
hotel tadi. Sengaja gadis itu berpura-pura tidak kisah, berpura-pura tidak ada
apa yang berlaku.
Sebenarnya dia sendiri tidak tahu kenapa dia tinggalkan
majlis itu begitu sahaja sedangkan tugasnya masih belum selesai. Upah pun belum
diambil lagi. Alih-alih sebaik melihat peristiwa yang berlaku malam ini serta
Cika yang meluru keluar, ada suara di telinganya membisikkan agar dia keluar
mencari gadis itu.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Cika mengerutkan
dahinya. Tidak sedap hati membiarkan wajahnya terus menjadi sasaran anak mata
Nadim. Aku bukan alien tau!
“Awak nak beritahu saya apa-apa?”
Cika tergaman. Pertanyaan Nadim cukup lembut.
“I’m here, if there
is something you want to share.” Sambung Nadim lagi, prihatin lantaran dia
sendiri tertanya-tanya apa maksud gadis-gadis yang mengelilingi Cika tadi.
Bunyi isi pergaduhan itu seperti serius sahaja!
Cika menarik nafas panjang. “Yes, there is something.”
Nadim tersenyum. Here
we go. Cika sudi bercerita, dan dia pula lebih dari sudi menjadi kaunselor
tidak bergaji gadis itu.
“Well..sebenarnya
saya pun tak sempat nak makan tadi. Boleh tak kita ordernasi goreng kampung dengan jus tembikai? Tapi awak kena
belanja sebab saya tak bawa duit.”
Nadim terkedu sebentar. Cis! Sia-sia sahaja aku prihatin,
tapi takde hasil pun. Mati-mati dia ingatkan Cika sudi berkongsi masalah.
“Makan buah-buahan ni dulu.” Nadim menolak pinggan
buah-buahan ke arah Cika. Pinggan kek blueberrynya turut ditolak sama.
Cika memerhatikan buahan-buahan itu seraya menggelengkan
kepala.
“Sorry, saya
tak boleh makan betik. Alergik!”
Nadim mengeluh. Ada-ada sahaja! Manusia mana yang alergik
dengan betik? Tak pernah dengar pun selama ini! Dia segera berteriak memanggil
Ebit. Terkocoh-kocoh anak muda itu menghamnpirinya.
“Kenapa bro?”
“Ebit, kau buatkan nasi goreng kampung untuk minah ni.
Untuk aku, bagi nasi goreng USA.
Jus tembikai dua.” Nadim memesan makanan. Ebit segera beredar sebaik mengambil
pesanan.
“Puas hati sekarang?” Tanya Nadim separuh memerli.
Cika hanya tersenyum. Dia tahu Nadim mahukan dirinya
bercerita tentang kisah lalunya, tapi itu tak mungkin berlaku. Dia masih ada
harga diri yang harus kekal disimpan untuk dirinya sendiri. Bukan untuk
disebarkan dari telinga ke telinga.
“Dah lama awak jadi pemain piano?” Tanya Cika sengaja
mahu memulakan perbualan. Selebihnya dia mahu mengelakkan Nadim berbual tentang
dirinya.
“Dekat sini baru dua tahun. Lepas saya balik dari New York.”
“Buat apa kat New
York?” Cika semakin berminat ingin tahu.
“Belajar. Tapi sekerat jalan sahaja. Saya balik ke mari
dua tahun lepas.”
“Kenapa belajar sekerat jalan sahaja?” Soal Cika seperti
hairan.
Nadim tidak menjawab. Wajah anak gadis itu dipandang acuh
tak acuh. Sibuk sahaja hendak tahu! Diri sendiri pun nampak macam banyak
masalah! Keluh hati kecil Nadim.
Sekejap sahaja Ebit datang kembali dengan dua pinggan
nasi goreng. Cika menelan liur melihat nasi goreng yang masih berasap itu.
“Makanlah nasi goreng tu sebelum sejuk. Lepas tu saya
hantar awak balik.” Suruh Nadim sambil dia sendiri teruja mahu mengisi
temboloknya.
Cika tidak bertangguh segera menyuap makanan itu ke
mulutnya. Begitu juga dengan Nadim. Kedua-dua mereka seperti sudah tidak makan
berminggu-minggu lamanya.
“Sedap?” Nadim menyoal seraya memandang gadis di
hadapannya.
Cika hanya mengangguk.
“Awak tak pelik ke, kita jumpa hari ni tapi kita tak
gaduh?” Nadim tersengih.
Cika mendongak wajah memandang lelaki itu. Dahinya
berkerut. “Awak lebih suka kita jumpa dan gaduh?”
Nadim ketawa kecil. “Tak, sebenarnya saya lebih suka kita
begini. Dapat makan macam ni sama-sama dan berbual-bual.” Ujar Nadim.
Cika menarik nafas panjang. “Baguslah, sebab saya tak
larat nak gaduh dengan awak lagi Nadim. Saya tak ada mood.”
“Awak nak beritahu saya apahalnya tadi? Kenapa mereka
buat awak macam tu?” Pertanyaan Nadim muncul semula. Cika mengeluh. Dia tahu
sesiapa sahaja yang bertembung dengan peristiwa hari ini pasti akan
tertanya-tanya seperti Nadim Ammar ketika ini.
“Sebab awak berhadapan dengan Loser, Nadim. Saya melalui
masa persekolahan yang tidak pernah indah. Dan mereka semua adalah
penyebabnya.” Ujar Cika muram.
Dahi Nadim berkerut. Loser? Apa maksud gadis itu?
“Tell me more.”
Pinta Nadim serius. Semakin tertarik ingin tahu.
Hendak tak hendak Cika terpaksa bercerita panjang lebar.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan ringan mulut dia bercerita segala-galanya
pada lelaki itu. Kalau dengan keluarganya sendiri dia tidak pernah memberitahu
semua ini, tapi anehnya dengan Nadim Ammar, semuanya keluar dari mulutnya
termasuklah nama Idham Hariz.
Nadim menarik nafas panjang mendengar cerita Cika. Wajah anak
gadis itu ditatap simpati. Dia benar-benar tidak menyangka gadis yang terlihat
gila-gila itu ada sejarah hitam di sekolah. Dalam hati dia turut mengutuk
manusia bernama Idham Hariz itu. Apa punya lelaki daa?
“Sekarang awak dah tahu semuanya. Saya memang tak
sempurna, tapi saya tak harus diperlakukan seperti ini. Saya tak patut dilayan
seperti sampah begini.” Getus Cika sebak. Tidak tahu kenapa, tiba-tiba sahaja
emosinya meledak.
“Bagi saya awak dah cukup sempurna Syafika Nordin.” Tukas
Nadim seraya merenung wajah di hadapannya yang kelihatan sedih. Kelopak mata
yang indah itu jelas bertakung air jernih.
Cika terdiam. Kata-kata itu membuatkan dia terpaku. Dia
memberanikan diri menatap wajah Nadim yang merenung lama ke wajahnya. Ada rasa terharu yang menyentuh
pangkal hatinya saat ini.