DUA pasang mata saling berpandangan.
Menatap tanpa sebarang suara yang keluar. Dua cawan kopi di atas meja
mengeluarkan asap dan aroma yang harum, namun tidak dikisahkan kedua-duanya. Baru
sebentar tadi juga ada pelayan meletakkan sepotong kek rose velvet yang sama
untuk lelaki itu seperti dihantar Ebit sebentar tadi.
Cika
resah. Kalau itu yang mahu ditanya. Kenapa resah? Untuk apa? Yalah, dia gadis
yang mula terpesona dengan sisi lelaki itu yang lebih adorable. Lelaki super poyo itu seorang pemain piano. Selalunya
pemain piano mempunyai aura dan tarikan tersendiri. Begitu juga dia melihat
sisi baru Nadim Ammar kini. Dengan sut hitam itu, lelaki itu benar-benar
seperti Prince Charming. Perawakan yang menarik perhatian sesiapa sahaja pada
malam itu.
Hendak
berpura-pura selamba, memang cukup susah kali ini. Wajahnya jelas gugup. Lelaki
itu sedang merenung wajahnya sejak setengah jam yang lalu. Meski dia pernah
menuduh lelaki itu celupar dan sengal kerana perselisihan mereka yang berlaku
tempohari, namun hakikatnya dia tetap sahaja seorang perempuan. Lagipun
marahnya segera padam apabila lelaki itu menyelamatkan dirinya tempohari. Kalau
bukan kerana lelaki itu, mana mungkin dia akan berada di situ malam ini.
Entah-entah tempatnya pasti di hospital, kalau bernasib baiklah.
Nadim
berwajah serius. Merenung gadis itu kerana dia tahu wajahnya digeruni, Jika tidak
masakan tangan gadis itu terketar-ketar. Dia menggunakan segala kelebihannya
kali ini dengan berlagak macho dan terhormat. Tapi sebenarnya di dalam hati
sudah seladung gelak ketawa cuba
ditahan dari terhambur keluar.
Dia
sendiri sebenarnya tidak menduga Cika akan datang mencarinya. Pelik! Baru
sahaja dia berniat mahu mencari gadis itu dan memulangkan buku hitam milik
gadis itu, tiba-tiba sahaja Syafika Nordin yang kerap bertembung dengannya
sejak akhir-akhir ini kini sudah ada di hadapan mata. Muncul di Jumbo Jeep tempatnya
mencari rezeki secara sambilan.
“Kenapa
awak nak jumpa saya?” Tanya Nadim ingin tahu.
Cika
menarik nafas panjang. Gementar hatinya cuba ditahan sedaya upaya.
“Sa..saya
nak ucapkan terima kasih.” Ujar Cika. Mukadimah pertama haruslah lebih sopan.
Itu yang berada di petak fikirannya saat ini.
Mata
Nadim terus merenung wajah itu tidak berkelip. Agak lama. Cantik juga dia ni.
Alis mata Cika dipandang ralit. Kelopak mata Cika melindungi sepasang mata yang
cantik bersinar.
“Terima
kasih untuk apa?”
Cika
mengetap bibir. Dia ni pura-pura sahajakah? Mustahil lelaki itu tidak ingat setiap
inci peristiwa di firma guaman tempohari. Semua stesyen televisyen membuat
liputan tentang kisahnya, takkan lelaki itu tak ingat pulak?
“Saya
nak ucapkan terima kasih sebab awak selamatkan saya tempohari.” Ujar Cika
berterus terang. Budi kena bayar dulu!
“Itu
sahaja?” Nadim menyoal dengan wajah bosan. Dia segera bingkas bangun, bersedia
untuk beredar. Cika tercengang. Tidak menyangka kalau bicaranya dengan lelaki
bernama Nadim itu hanya sesingkat ini sahaja.
“Tunggu
sekejap.” Tahan Cika sambil ikut bangun.
Nadim
menoleh.
“Kalau
setakat nak ucapkan terima kasih, benda itu bukan apa-apa bagi saya.
Menyelamatkan gadis yang buat kerja bodoh macam awak is my pleasure Cik Syafika.” Sindir Nadim tersenyum sinis.
Wajah
Cika berubah. Berdesing telinganya mendengar nada bicara mengusik kalbu lelaki
itu. Cis langsung tak boleh buat baik! What?
Kerja bodoh?
“Kalau
itu kerja bodoh bagi awak, kenapa awak selamatkan saya tempohari? Kenapa awak
tak biarkan sahaja perempuan bodoh ni tergelincir dan terus mati kat situ
jugak?” Bidas Cika bengang.
Nadim
berpaling. Kerutan di dahinya semakin bertambah sebaik mendengar suara Cika
yang meninggi. Dia tahu gadis itu sedang panas hati. Cakap sikit pun nak marah
ke?
“Sebenarnya
saya datang ke mari bukan nak hadap sangat muka awak tu. Saya datang sebab nak
tanya, ada tak awak ternampak atau terambil planner
saya yang berkulit hitam?” Cika terus ke pokok persoalan. Tak payah
mukadimah atau intro lagi. Buang
masa!
“Planner? Kenapa awak tanya saya? Awak
ingat saya ambil barang awak?” Soal Nadim semula. Sengaja pura-pura tidak tahu
apa yang Cika maksudkan. Hatinya entah kenapa seronok dapat mempermainkan gadis
itu. Macam menang piala sumbangsih pulak!
“Saya
ada duduk berdekatan dengan kereta Toyota Prius awak tempohari. Saya hilangkan
buku tu di situ. Sebab tu saya cari awak, kalau-kalau awak ada nampak atau
terambil.” Ujar Cika lagi dengan wajah masam mencuka.
“Sepatutnya
saya yang tanya awak dulu, apakah awak yang tercalarkan kereta saya tempohari?”
Soal Nadim dengan wajah serius.
Cika
terkesima. Saat ini tuhan sahaja yang tahu berapa sakitnya hatinya. Dia yang
bertanya tapi lelaki itu pula yang menyoalnya. Bukan susah sangat pun
soalannya.Kalau ada jawab ada. Kalau tak ada pun jawablah tak ada supaya dia boleh
angkat kaki dari tempat itu secepat yang mungkin. Boleh jadi gila dirinya kalau
terus-menerus menghadap muka lelaki itu.
“Saya
tak calarkan pun kereta awak. Tapi soalan saya awak tak jawab lagi. Jadi saya
andaikan awak tak tahu apa-apa fasal buku saya tu. Terima kasih banyak-banyak
sebab luangkan masa awak yang sangat berharga tu.” Ujar Cika benar-benar sakit
hati. Dia sudah mengemaskan beg tangannya ke bahu, bersedia untuk beredar
sahaja dari tempat itu.
Namun
belum sempat dia melangkah pergi, suara Nadim kembali bergema.
“Kalau
saya jumpa buku awak tu macamana pula?” Soal lelaki itu. Cika terpempan. Dia
mengetap bibir, cuba
menahan sabar. Perlahan-lahan dia berpaling ke arah Nadim yang sedang menghadap
ke arahnya dengan senyuman menawan yang dirasakan lebih ke arah sindiran.
“Buku
tu bukan milik awak lagi Cik Syafika.” Ujar Nadim.
Cika
tersentak. Kata-kata Nadim gagal dicerna kali ini.
Tiba-tiba
lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari sisipan saku bajunya. Buku hitam itu
dilayang-layangkan ke udara. Cika terkejut. Buku miliknya benar-benar ada di
tangan lelaki itu. Tiba-tiba dia
teringatkan sesuatu. YA ALLAH! Gambar!
Dia meluru mahu mendapatkan buku itu,
tapi Nadim lebih pantas melarikannya. Cika hampir mahu menangis. Dia lebih suka
kalau bukan lelaki itu yang mengutip bukunya. Sekarang dia sudah tahu kenapa
kata-kata lelaki itu lebih pedas dari kali pertama mereka bertemu dahulu. Pasti
lelaki itu sudah melihat isi buku hitamnya. Aduh! Malunya.
“Pulangkan semula buku saya tu.”
Pinta Cika.
“Saya dah kata, buku ni bukan lagi
milik awak.”
“Awak..awak sengaja nak cari fasal kan?” Herdik Cika.
Nadim terdiam. Dia segera menyelak
helaian mukasurat buku hitam itu lalu menayangkannya di hadapan a Cika.
Senyumannya berlegar di bibir. Senyuman kemenangan!
“Ini buktinya kenapa saya kata buku
ini bukan lagi milik awak. Gambar ini..boleh awak jelaskan? Jelaskan kenapa
gambar saya boleh ada dalam buku hitam awak ni?” Soal Nadim.
Wajah Cika sudah merah padam. Dia
benar-benar malu. Salahnya juga kerana melukis gambar lelaki itu di dalam planner hitamnya. Dan sekali lagi
kebodohannya membuatkan airmukanya jatuh di hadapan lelaki kerek itu. Josh
Duhamel yang kerek! Menyampah!
“Don’t
say to me that you are in love with me Cik Syafika.”
Cika tersentak.
“Is
it?” Nadim semakin galak mengusik. Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu.
Merenung wajah Cika yang sedang kaku. Namun sebaik dia melihat ada air jernih
bertakung di kelopak mata gadis itu, Nadim tiba-tiba hilang punca. Terbit pula
rasa bersalah. Dia menangiskah?
Airmata Cika semakin ringan mahu luruh.
Tiba-tiba sahaja Cika menolak tubuh Nadim lalu segera berlari keluar dari
tempat itu. Dia tidak ingin terus dimalukan lelaki itu seperti ini. Sejarah
lamanya dengan Idham Hariz takkan dibiarkannya berulang lagi.
Tinggal Nadim sendirian mematung
dalam keadaan bingung. Hendak dikejar gadis itu, namun egonya melarang.
Sudahnya dia hanya terkebil-kebil merenung planner
di tangannya yang tidak sempat diambil gadis itu. Kenapa dengan gadis itu?
Bahagian manakah dari kata-katanya yang menikam hati Cika? Nadim tertanya-tanya
separuh nanar.