Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 19

KETIKA dia turun dari perut keretanya, muncul sebuah kereta Naza Rio berwarna kuning terang lalu diparkir betul-betul bersebelahan dengan keretanya. Nadim menoleh. Emilia keluar dari perut kereta sambil memandangnya dengan wajah empat belas.

Nadim hanya mampu menelan liur. Entah apa mahunya Emilia kali ini. Dia benar-benar rimas dengan gelagat gadis itu yang kuat memaksa. Tidak cukupkah kata-katanya selama ini bahawa antara dia dan Emilia, hubungan mereka tidak akan pernah berjaya seperti yang diharapkan oleh ayah-ayah mereka. Memang tak faham bahasa langsung! Keluh Nadim. Hendak tak hendak dia terpaksa keluar dari perut keretanya. Sudah sampai ke kawasan apartmennya, takkan nak berpatah balik ke Jumbo Jeep pula semata-mata kerana gadis itu.

“Ikut I kejap. I ada benda nak cakap dengan you.” Pinta Emilia.

“I penat Emy. I baru balik ni.” Dia beralasan.

“Sekejap sahaja. Bukan you yang drive, I yang drive.” Gesa Emilia lagi, meninggikan suara seperti biasa.

Nadim mengeluh panjang. Malas mahu bertengkar panjang, dia setuju menaiki kereta gadis itu. Emilia memandu jauh dari kawasan apartmennya lalu menuju ke suatu arah.

“You nak cakap apa sebenarnya ni?”

Emilia menoleh ke arahnya. Wajah gadis itu tetap seperti tadi. Terus-terusan mempamerkan airmuka yang dingin.

“Ayah you nak tetapkan tarikh perkahwinan kita. Dia nak kita kahwin sebelum kita ke New York. You tahu itu?”

Nadim tersentak. What?

“Kakak you pun tahu. Dia tak beritahu you apa-apa?”

Nadim menggeleng. Dia baru bertemu dengan Marseila. Tapi dia tidak pernah tahu bahawa tarikh perkahwinannya sudah dipilih. Suka hati mereka aje! Keluh Nadim bengang sedikit.

Ketawa Emilia bergema. “I sangka keluarga Tuan Aaziz Ibrahim tak pernah berahsia apa-apa. Hal sebesar ini pun you masih tak tahu?” Sindir Emilia.

Nadim terdiam.

“Malam semalam ayah you datang ke rumah. Dia dan daddy I sudah bincangkan majlis kita. Dua minggu sebelum tarikh kita ke New York, itulah tarikh majlis perkahwinan kita.” Ujar Emilia sinis.

Damn it!” Wajah Nadim merah padam. Ayahnya benar-benar sudah melampau. Tergamak lelaki itu merancangkan semua ini tanpa pengetahuannya sendiri.

“You tak boleh elakkan diri lagi Nadim. Mereka dah tetapkan tarikh.” Emilia memperingatkannya.

“Baru tetapkan tarikh, belum kahwin lagi. You ingat ayah you dengan ayah I boleh seret I ke majlis kahwin I sendiri?” Nadim membalas kasar.

Emilia segera menekan pedal brek. Keretanya berhenti di tepi jalan. Dia menoleh memandang ke arah Nadim yang kelihatan berang.

“Kenapa you langsung tak nak faham hati I Nadim? I sayangkan you. Kita kenal bukan sehari dua. Keluarga kita sudah lama berkawan dan I sudah lama sukakan you sejak sebelum you kenal dengan Naomi lagi.”

“Sebab kita dah lama kenal, kerana itu mustahil untuk I anggap you lebih dari sekadar seorang adik. You mean nothing to me Emy. I thought you would understand this.” Ujar Nadim.

“You memang pentingkan diri sendiri Nadim. Sikit pun you tak mahu buka hati you pada I. You kejam!” Tuduh Emilia bersama sakit hati yang sukar dilerai.

Nadim hanya diam. Cakaplah apa sahaja, dia sudah tidak peduli. Emilia sepatutnya paling sedar bahawa dia tidak mampu memberi cintanya. Tapi kedegilan dan sikap gadis itu benar-benar merimaskan dirinya. Sama seperti ayahnya yang tidak habis-habis cuba mengatur hidupnya.

“Emy, I percaya you tentu mahu bahagia dalam percintaan, bahagia dalam perkahwinan dan bahagia sehingga ke tua. Tapi sanggupkah you hidup dengan lelaki yang tidak pernah mencintai you? Sanggupkah you?” Soal Nadim ingin tahu. Kali ini dia cuba berlembut dengan gadis itu. Cuba membuatkan Emilia mengerti.

“I sanggup. Sebab I percaya suatu hari nanti hati you akan terbuka untuk I. I akan nantikan saat itu tiba Nadim.” Ujar Emilia.

Nadim mengeluh panjang. Kenapalah Emilia tidak mahu faham-faham? Puas sudah dia cuba menerangkan pada Emilia tentang perasaan hatinya. Berkali-kali dia mengulang ayat yang sama untuk membuatkan gadis itu faham. Tapi ternyata dia seolah-olah bercakap dengan tiang yang hanya akan mendengar tetapi tidak mahu memahami. Payah!

“Emy, sebenarnya I dah ada pengganti Naomi.” Nadim nekad mahu menggunakan kaedah lain pula.

Seperti yang diduga, wajah Emilia berubah sebaik mendengar kata-katanya. Wajah yang masam semakin mencuka. Airmuka yang dingin semakin keruh. Bersedialah kau Nadim untuk menerima lahar berapi dari gadis itu! Bisik hati kecil Nadim seraya menarik nafas panjang.

“You bohong.” Tuduh Emilia.

“I cakap benar Emy. I baru kenal dia.”

“Siapa dia?” Wajah Emilia semakin mencuka.

Nadim mengigit bibir. Siapa yang harus dijadikan mangsa pembohongannya kali ini? Dia meramas-ramas buku hitam yang masih di tangannya. Sepantas kilat muncul idea semberono di kepalanya.

“Kenapa you diam Nadim? You dah habis idea nak tipu I?” Sindir Emilia.

“Cika.” Bisik Nadim tiba-tiba.

Emilia tercengang. Cika? Siapa pulak ni?

Mata lelaki itu tiba-tiba menyorot ke arahnya. Pandangan yang kelihatan tenang tetapi seperti membendung emosi.

“Nama dia Cika. And I love her so much.” Akui Nadim seraya tersenyum. Dia sendiri tidak tahu kenapa bibirnya begitu ringan mencipta pembohongan demi pembohongan. Fikirnya jika Emilia tetap berkeras tidak mahu melepaskannya, maka dia akan melakukan apa sahaja asalkan dirinya tidak disuruh menjalin hubungan dengan gadis anak kenalan ayahnya itu.

“Siapa Cika? You sengaja nak bohong dengan I kan?”

“You kan pernah jumpa dia. Dia gadis yang kita jumpa kat restroom di Jumbo Jeep tempohari. You lupa ke? I berkenalan dengan dia sejak itu.” Ujar Nadim selamba,

“Bohong! You tak mungkin akan jatuh cinta dengan perempuan yang you baru kenal.” Bentak Emilia.

“Terpulang you nak kata apa pun. Tapi I cuma nak ingatkan you, cinta tak ada kena mengena dengan lama berkenalan atau pun tidak. Cinta hanya kerana ini.” Ujar Nadim lalu memegang permukaan dadanya. Merasakan hatinya yang sedang bergetar di dalam.

Hati Emilia benar-benar mendidih mendengar pengakuan itu. Sakitnya hati hanya tuhan yang tahu. Dia segera memulas stereng keretanya, lalu masuk ke jalan besar. Hajat hati mahu memandu ke restoran dan berbincang tentang hubungannya dengan Nadim, kini terencat dengan pengakuan lelaki itu.

* * * *

NADIM menghempas tubuhnya ke dada sofa di ruang tamu. Segelas mug dibawa ke mulut lalu diteguk. Coklat panas pada malam-malam hari begini sudah menjadi kegemarannya. Sebaik mug berisi coklat panas itu selesai dihirup beberapa kali, dia meletakkan mug itu ke tepi sebelum mencapai sebuah buku tebal berkulit hitam di atas meja kopi.

Dari petang tadi lagi dia cuba bersabar dari membelek buku hitam itu. Beberapa kali dia membuka dan menutup buku tersebut. Setiap kali hendak membukanya, nalurinya melarang. Tak menghormati privasi orang langsung! Itu kata hati kecilnya. Tapi selepas dia teringatkan sesuatu tentang gadis bernama Cika itu, entah kenapa dia berminat mahu mengetahui lebih lanjut tentang gadis itu. Manalah tahu kalau Emilia benar-benar mahu menyiasat tentang gadis itu, sekurang-kurangnya dia tahu serba sedikit tentang gadis itu.

Dia masih ingat bagaimana gadis itu asyik merenungnya sewaktu di bilik air wanita tempohari. Dia memang tidak bermaksud mahu mencerobohi bilik bersemayam kaum-kaum wanita itu. Tapi demi kerana mahu memujuk Emilia, dia terpaksa menebalkan mukanya. Pura-pura tidak kisah menjerit-jerit menyuruh Emilia keluar dari bilik kecil itu sedangkan mukanya sudah bera. Tak pernah-pernah dia yang sopan santun dan terdidik dengan akhlak terpuji akan meluru ke arah bilik air perempuan seperti ini. Dan ironinya dia terserempak dengan seorang gadis aneh yang mempunyai mulut agak celupar.

Kelakarnya ketika itu juga dia disalahtafsirkan sebagai perogol yang mahu merogol gadis itu. Kasihan makcik yang membuat laporan polis itu, tak fasal-fasal kena serangan asma. Terkejut sangat agaknya!

Nadim ketawa kecil. Lucu setiap kali teringatkan kejadian itu. Mujur dia tak didakwa, jika tidak mahu masuk lokap dia dalam beberapa hari. Gadis itu pun satu! Tercengang-cengang sahaja melihatnya. Liat sungguh mahu bangun dari lantai bilik air itu. Dia benar-benar tak menyangka, Cika adalah gadis yang sama yang ditemuinya di Ulu Yam ketika mengikut Jak pergi memancing tempohari. Kes salah masuk khemah, mujur tidak kena tangkap basah!

Kali ketiga dia menemui Cika ialah di pejabat ayahnya. Siapa sangka dia akan menyelamatkan gadis itu dari terjatuh. Siapa juga sangka Cika bekerja di sebelah pejabat ayahnya. Dan masuk kali ini sudah empat kali dia dipertemukan dengan gadis itu. Bilangan empat ialah bilangan yang boleh didefinisikan sebagai kerap. Kerap itu tandanya berjodoh!

Cika! Sekali lagi Nadim menyebut perkataan besar yang tertulis di laman pertama buku berkulit tebal itu. Apabila dia menyelak helaian kedua, sekeping gambar jatuh ke ribanya. Nadim mengutip lalu memandang seraut wajah yang sedang tersenyum riang di dada potret sambil memegang seekor ikan besar dan joran pancing. Di sisi gadis itu terdapat seorang lelaki tinggi lampai sedang menaikkan ibu jari di samping gadis itu.

Nadim ketawa kecil. Wah! Kaki pancing rupanya! Boleh tahan! Desis hati kecil Nadim. Dia mengecam lelaki di sebelah Cika itu. Ini pasti abangnya yang kerek itu yang tersilap memancing kasut but sewaktu di The Woods.

Dia segera membelek-belek halaman seterusnya dan ternampak pula kad perniagaan Cika yang terselit di dalam buku hitam itu. Nadim membaca sepintas lalu. Syafika Nordin. G-PropertiesSdn Bhd. Executive Director (ED). Syarikat jual beli aset dan hartanah merangkap broker hartanah profesional. Nadim membaca isi kad tersebut satu persatu.

Hebat! Not bad at all. Berapa agaknya umur perempuan ni? Nadim asyik mengumpul pertanyaan demi pertanyaan. Tiba-tiba sahaja dia tidak ada kerja lain selain menyelongkar khazanah hidup seorang gadis yang tidak pernah dikenalinya selama ini.

Apabila dia beralih ke halaman seterusnya, matanya terbuntang luas. Degupan jantungnya berlari kencang. Entah kenapa imej yang dilakar di helaian itu membuatkan dia terkedu. Siapa tak terkejut melihat wajah sendiri dilukis dan dilakar di dalam diari milik seorang gadis yang baru beberapa kali ditemuinya. Selama ini dia mengintip aku ke? Nadim bertambah bingung.

Lakaran gadis itu cantik sekali. Setiap larikan pada lukisan itu menyamai apa yang ada di wajahnya. Sehinggakan dia merasa seperti memandang wajah sendiri di paparan cermin. So much alike!

Nadim mengerutkan dahinya. Masih tertanya-tanya dan terfikir-fikir. Kenapa gadis itu melukis wajahnya? Untuk apa? Aku yang stalkdiari dia, tapi dia dulu yang stalk aku rupanya! Keluh Nadim bersama kerut di dahi.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh