MUKA
masing-masing letih tapi dipaksa duduk di sofa empuk buatan tempatan seraya
menghadap wajah si ibu yang mencuka sahaja. Sesi interrogationbermula sejak pukul 5 pagi tadi lagi sewaktu dua
beradik itu cuba
menyelinap masuk ke dalam rumah. Sayangnya si ibu bangun lebih awal pagi ini
untuk sesi tadarus Al-Quran sementara menunggu solat subuh.
Mendengar bunyi enjin kenderaan memasuki perkarangan
rumah, Puan Bahyah segera mengintai. Melihat kelibat anak-anaknya sedang
berjingkit masuk, temperature
darahnya serentak mendidih. Bila masanya budak-budak bertuah itu keluar, dia
sendiri tidak sedar. Tapi melihat Ubek membawa masuk kotak umpan dan joran
pancing, dia segera mengerti ke mana kedua-duanya pergi. Tak habis-habis Ubek
ni dengan kegilaannya terhadap ikan! Kalau kat rumah, nak suruh goreng ikan
seekor pun berkira! Rungut Puan Bahyah.
Sesekali kelibat Encik Nordin muncul. Seringkali lelaki
itu berulang-alik dari dapur ke ruang tamu. Setiap kali itu juga Cika dan Ubek
menjeling Encik Nordin, cuba meminta bantuan agar
dilepaskan dari hukuman yang bakal menanti. Tapi Encik Nordin hanya tersengih.
Kasihan pada anak, tapi dia lebih takut pada isterinya. Kalau dia cari fasal,
lagi teruk jadinya.
“You all berdua
sekarang dah pandai melawan cakap umi ya? Dah berapa kali umi pesan? Mujur umi
bangun awal nak mengaji, kalau tak sampai bila-bila pun umi tak tahu yang awak
berdua ni buat komplot tipu umi.” Getus Puan Bahyah kesal.
“Sorrylah umi, Ubek
cuma pergi memancing dekat Ulu Yam, itu aje. Cika yang nak ikut Ubek.” Ujar
Ubek dengan muka kasihan yang dibuat-buat.
“Yang awak ni Ubek asyik memancing aje kerjanya. Cubalah
sesekali pergi berkebun, keluarkan peluh. Tak pun mainlah Paintball, ada juga
faedahnya.” Rungut Puan Bahyah.
Cika tersengih. Main Paintball? Amboi umi, sejak bawa
anak-anak murid bermain Paintball di pusat reakreasi, asyik-asyik Paintball aje
yang umi sebut.
“The Woods adakan pertandingan memancing umi, besar
hadiahnya dekat RM10,000. Itu sebab Ubek ke sana semalam.” Alasan Ubek.
“Uih besar hadiah tu. Habis dapat tak ikannya?” Tak
disangka-sangka Encik Nordin menyampuk dari belakang. Turut sama teruja
mendengar kisah memancing Ubek yang tidak pernah habis.
Puan Bahyah menjeling panjang ke arah suaminya. “You are not helping me, dear.” Ujar Puan
Bahyah dengan ton suara yang manja-manja kucing. Encik Nordin menelan liur.
Alamak! Lupa pulak!
“Dapat apa bendanya babah, dapat kasut but adalah.” Bisik
Cika. Ubek menjeling tajam. Tak habis-habis Cika mengungkit fasal kasut yang
membuatkan dia diketawakan kaki-kaki pancing yang lain. Lain yang diharapkan
melekat di mata kailnya, lain pula yang muncul. Entah but siapalah yang boleh
melekat di jorannya. Samdol betul!
“Sudah! Tiga beranak ni asyik-asyik cakap fasal pancing.
Umi bosan tahu asyik dengar benda yang sama. Sekarang ni, umi tak kasi lagi
awak pergi memancing malam-malam. Kalau nak memancing, siang-siang sahaja.
Itupun pun hanya hari-hari minggu.”
“Ala
umi, tapi…” keluh Ubek.
“Tak ada tapi-tapi. Umi makin risau dengan aktiviti awak
ni Ubek. Kalau asyik memancing aje, lama-lama semua kawan-kawan awak akan lari.
Muka awak pun dah macam ikan todak, umi tengok.”
Berderai ketawa Cika dan Encik Nordin mendengar Puan
Bahyah menyamakan muka Ubek dengan ikan todak.
“Dan awak Cika..” Tumpuan Puan Bahyah kini beralih ke
arah Cika pula.
Ketawa Cika mati. Dia berdebar-debar menunggu hukuman apa
yang bakal dilaksanakan ibunya kali ini.
“Lain kali umi tak benarkan awak ikut abang awak memancing
jauh-jauh malam. Ini kerja orang lelaki, bukan kerja orang perempuan. Umi lebih
suka awak belajar menjahit atau belajar memasak. Kalau awak berumahtangga
nanti, tidaklah suami awak nanti kelaparan atau pakai baju koyak.”
Cika terkedu. Aduh umi! Dia dah startbalik dah! Ini yang aku malas nak dengar ni. Kalau Ubek yang
salah, dia yang akan diungkit soal kahwin. Kalau Ubek terlupa menutup lampu dan
kipas di biliknya, dia juga yang dileter soal kahwin. Kalau Ubek tak basuh
kereta pun, dia juga yang kena tempias soal kahwin. Tak aci betul!
“Awak dengar tak apa yang umi cakap ni?” Puan Bahyah
menjegilkan anak matanya.
“Dengar.” Jawab Cika acuh tak acuh.
“Jangan cakap sahaja, buatnya tidak. Awak berdua ni bukan
budak-budak lagi, dah besar panjang. Cubalah matang sikit. Fikir sebelum buat.”
Leteran Puan Bahyah masih berterusan.
Cika hanya mampu menjeling Ubek yang diam sahaja tidak
berkutik. Almaklum sudah dilarang dari pergi memancing malam-malam, itu
sebabnya muka abangnya betul-betul dah jadi muka ikan todak. Muka tak ada
semangat!
“Dahlah, pergi masuk mandi dan lepas tu turun makan. Awak
Cika, tunggu sini sekejap. Umi nak cakap lagi dengan awak.” Arah Puan Bahyah.
Perlahan-lahan Ubek bangkit dari kerusi lalu meninggalkan Cika bersama ibu dan
ayahnya.
“Umi nak cakap apa? Cika dah tahu salah Cika. Lain kali
Cika tak akan ikut lagi abang. Tapi semalam Cika pergi sebab Cika tak dapat
tidur.” Ujar Cika sebelum sempat wanita itu membuka mulutnya.
“Umi tak nak cakap lagi fasal hal tu. Yang umi nak cakap sekarang
ni ialah fasal esok. Umi nak awak pergi esok dan jumpa dengan anak saudara
Makcik Sapiah awak tu.” Ujar Puan Bahyah.
“Ala
umi, Sapiah mana pulak ni?’ Cika mengeluh panjang.
“Hai takkan dah lupa. Makcik Sapiah, jiran mak long awak
yang duduk kat Taman Buntal tu. Dia yang asyik tanya-tanya fasal awak untuk
anak saudaranya Zain dari bulan lepas lagi.”
“Sapiah ke? Zain ke? Apa kena mengenanya dengan Cika umi?
Cika rimaslah. Masuk yang ini dah 13 orang umi aturkan blind date untuk Cika. Cika tak suka.” Rungut Cika.
“Dan dah 12 orang awak kenakan teruk-teruk sampai
semuanya fobia bila sebut fasal anak umi ni. Umi tak kira. Selagi awak
kantoikan semua usaha-usaha umi, selagi itulah umi akan terus buat macam ni
sampailah awak bertemu calon yang paling sesuai untuk dijadikan suami. Esok
pergi ke restoran Jumbo Jeep tu dan jumpa dengan Zain.” Tegas Puan Bahyah.
Cika mengeluh kesal. Umi…umi..perlukah Cika buat semua
ini umi? Cika ni perempuan, Cika ni masih ada harga diri. Cika malu kalau asyik
diaturkan temujanji dengan lelaki-lelaki yang Cika sendiri tidak kenal. Nampak
sangat Cika sudah terdesak mahu bersuami! Keluh Cika, tapi hanya di dalam hati.
Yang pasti dia bukan seberani itu untuk berterus-terang dengan uminya. Nak
mampus?