DIA
menonong
sahaja masuk ke biliknya tanpa mempedulikan si ibu yang memanggil. Langkahnya
deras. Daun pintu dikatup rapat dan dikunci. Sengaja tidak mahu privasinya
diganggu pada saat-saat seperti ini.
Cika mencampakkan begnya ke
atas meja, Tanpa bersalin pakaian, dia menjatuhkan tubuhnya ke atas katil. Wajah
Nadim Ammar mencelah masuk. Puas dia cuba menolak wajah itu pergi jauh
dari fikiran, tapi usahanya langsung tidak membuahkan hasil. Jantungnya masih
belum berhenti berdegup kencang. Wajah lelaki itu amat mengasyikkan, menyentap
seluruh kekuatan yang selama ini dipamer di hadapan mana-mana lelaki. Siapa
sangka, malam ini dia diselamatkan dengan kehadiran Nadim.
Dia sendiri menyesal kerana
pergi ke majlis itu. Sepatutnya dia sudah boleh meramal, bekas-bekas teman
sekolahnya itu tidak akan pernah berubah. Lagi-lagi fenomena Cika The Loser
sangat kuat ketika itu. Dan Sarah juga satu hal! Kalau bukan gadis itu
memberinya tempat duduk di hadapan Idham, pasti semua ini takkan berlaku. Sekarang
semuanya berantakan dan kucar-kacir. Semuanya tidak kena sejak dari awal.
Kehadiran Idham Hariz di majlis itu juga tidak kena pada masanya.
Telefon bimbitnya berbunyi
nyaring. Cika bangun lalu mencapai tas tangannya. Dia mengeluarkan telefon
bimbitnya. Nama Gina terpapar di situ. Dia mengeluh panjang. Panggilan itu
dibiarkan sahaja tidak dijawab. Dia tahu apa yang mahu dikatakan Gina dan malam
ini dia tidak mahu mendengarnya.
Ketika dia bingkas bangun
dari katilnya mahu ke bilik air, sekali lagi telefon bimbit itu rancak
berbunyi. Cika serba-salah. Dia tidak mahu meminggirkan Gina hanya kerana
masalah tadi. Hendak tak hendak, dia terpaksa mencapai telefon bimbitnya.
“Hello Gina, sorry..aku tak mahu buat kau risau. Kita
bincang hal ni esok saja ya. Aku nak masuk tidur. ” Ujarnya sebelum sempat Gina
bersuara.
“Saya nak cakap sebentar dengan awak.” Suara
itu perlahan sahaja.
Cika terkedu. Bukan suara Gina. Suara itu jarang
didengar, tapi dia boleh menggagak, Idham Hariz ada di talian.
“Cika, do you listen?” Idham Hariz kedengaran tertekan.
“Apa awak nak Idham?”
“Saya nak jumpa awak.”
“Untuk apa? Saya tak nak
jumpa awak.”
“Cika, saya tahu saya banyak
buat salah. Seperti awak kata, maaf takkan selesaikan segala-galanya antara
kita. Tapi belum terlambat untuk saya menebusnya.”
“Saya tak faham.”
“Keluarga kita. Ibu awak dan
ibu saya. Mereka pernah berbincang fasal hubungan kita. Saya rasa awak tahu apa
yang mereka inginkan.”
Cika mengetap bibir. Bicara
Idham Hariz sudah terpesong semakin jauh. Dia tahu apa maksud lelaki itu. Tapi
dia benci mendengarnya. Benci!
“Mereka nak kita kahwin
Cika.” Sambung Idham.
“So what? Awak nak ke kahwin dengan perempuan losermacam saya ni? Yang hanya akan memalukan status terhormat
awak tu?” Sindir Cika.
“Don’t say that Cika.”
“Itu yang sebenarnya kan? Awak tak mahu ikut
cadangan ibu-ibu kita Idham. Ya saya tahu dan saya faham. Awak tentu telefon
saya ni sebab nak suruh saya bincang dengan umi saya supaya mereka tak fikir
bukan-bukan fasal kita lagi. Itu yang awak mahu kan?”
“Cika..”
“Jangan risau. Saya akan
tunaikan hasrat awak. Hubungan yang mereka cuba bina untuk kita memang
merepek. Ia takkan berlaku seperti keinginan mereka.” Getus Cika kasar.
“Tapi saya mahu…”
Cika tersentak. Apa
sebenarnya maksud Idham?
“Cika, awak dengar bukan?
Saya mahukan hubungan ini. Saya akan tebus salah saya. Bukan sahaja sebab saya
sudah melukakan hati awak berkali-kali, tapi sebab saya fikir saya menyukai
awak Cika. Saya menyukai awak sepertimana awak menyukai saya dahulu. Malah surat lama awak masih saya
simpan sampai sekarang.”
Klik! Dia memutuskan
panggilan sebelum terduduk lemah di birai katil. Dirinya masih tidak mampu mempercayai
semua ini. Apakah Idham Hariz, lelaki idola di sekolahnya dahulu sedang mengaku
menyukai dirinya? Lelaki pembuli itu menyukainya? Damn it! Samaada Idham sudah gila, atau aku sebenarnya yang gila!
* *
* *
TELEFON bimbitnya dilontar
ke tepi. Dia bangkit dari kerusi lalu melangkah ke arah beranda biliknya.
Nafasnya dilontar tidak keruan.
Dia tahu Cika mungkin tidak akan bersetuju dengan aturan
jodoh yang diam-diam dipersetujui ibunya dan Puan Bahyah, ibu Cika.
Memandangnya sahaja mungkin hanya akan menimbulkan kebencian gadis itu. Tapi
dia sudah nekad mahu terus memujuk Cika. Lelaki muda pemain piano itu! Kerana
lelaki itulah dia menyimpan matlamat mahu memenangi hati Cika semula. Tapi hati
gadis itu terlalu keras. Bagaimana dia mahu memujuk Cika agar menerimanya?
Dia termenung panjang. Cuba memikirkan strategi terbaik
untuk melembutkan hati Cika, si gadis Loser
itu. Apa agaknya?
Tiba-tiba sahaja wajah Gina terbayang di ruang matanya.
Syarifah Suhana Syed Mokhtar atau Gina, itulah sahabat baik Cika sejak di zaman
persekolahan. Kedua-duanya sering dilihat merayau-rayau bersama ke mana-mana
sahaja. Ke perpustakaan, ke koperasi, ke kelas, malah sehingga ke tandas juga
sering berdua-duaan seperti belangkas.
Cuma satu sahaja masalahnya!
Idham mengeluh panjang. Gina turut membencinya sama banyak seperti Cika.
Mungkin juga berkali-kali lebih banyak, jika tidak masakan Gina menjelingnya
seperti mahu membahamnya sahaja ketika di majlis reunion tadi. Lantas bagaimana dia mahu menggunakan Gina untuk
memujuk Cika? Aduh! Keluh Idham rungsing.
* *
* *
JARUM jam sudah menjangkau
pukul 1.15 pagi. Menandakan Jumbo Jeep sudah mahu ditutup. Tetamu terakhir
beredar pada pukul 11 lebih tadi. Mereka terus mengemas dan membersihkan
restoran itu. Pekerja-pekerja Jumbo Jeep sudah mula beransur pulang. Tapi
seperti biasa, Jak menjadi orang terakhir yang keluar. Dia lebih senang
memastikan segala-galanya berjalan lancar sebelum balik berehat.
Ketika dia mahu melintasi ruang legar restoran, bersedia
untuk mengunci pintu hadapan, telinganya tiba-tiba mendengar bunyi piano di
pentas kecil tidak jauh dari situ. Langkah Jak tidak jadi diteruskan,
sebaliknya dia berpaling. Kelibat seseorang sedang duduk di hadapan piano
berwarna putih itu menggamit perhatiannya.
Irama yang meletus keluar dari piano sederhana besar itu
menghadirkan segaris senyuman di bibir Jak. Dia tahu lagu itu. Itu antara lagu
yang kerap Nadim mainkan. Lagu yang sama pernah didendangkan di telinganya
sewaktu dia kecil dahulu. Kerana lagu itulah dia mengenali Aisyah, mama Nadim.
Wanita yang sangat berjasa padanya.
“Auntie Aisyah…” bisik Jak, tiba-tiba terharu dilambung
emosi yang tiba-tiba mengugah.
“Jak, belajar rajin-rajin. Buktikan pada semua yang Jak
pun mampu berjaya. Auntie akan bantu Jak, auntie akan sentiasa di sisi Jak.”
Itu nasihat pertama dari seorang wanita yang dianggap ibunya sendiri.
Wanita itu sering melawat
rumah anak-anak yatim Darul Amar tempat dia menumpang berteduh. Dia yang
kehausan kasih sayang seorang ibu, sering tertarik dengan perwatakan wanita
manis yang sering bermain piano untuk anak-anak yatim sebaya usianya. Aisyah
pula sering mendekatinya.
Hampir tiap-tiap minggu wanita itu muncul bersama
timbunan hadiah untuk anak-anak yatim di rumah itu. Kadangkala dia akan memerhatikan
Aisyah bermain piano berjam-jam lamanya. Piano tua itu tinggalan pemilik lama
rumah anak-anak yatim itu. Meskipun piano itu sudah buruk, tapi kerana Aisyah,
irama yang dimainkan wanita itu membuatkan dia tidak mampu memandang rendah
pada piano usang itu. Wanita itu memang berbakat, maka tidak mustahil bakat
bermain piano itu tumpah pada Nadim Ammar.
“Jak, itu anak auntie, Marseila. Jak berkawanlah dengan
Marseila.”
Dia memandang ke arah gadis kecil yang sedang duduk diam
di samping ibunya. Mata Marseila cerah menawan. Rambut Marseila hitam lebat
berwarna sedikit keperangan. Bibir anak gadis itu merah seperti anak patung.
Dengan segera dia terjatuh suka pada Marseila yang terkelip-kelip memandang ke
arahnya.Memang Marseila sangat comel ketika itu. Siapa sangka dia akan jatuh
cinta pada gadis kecil berusia 7 tahun itu.
“Saya nak ambil Jak sebagai anak angkat, Puan Mala. Saya
dah anggap Jak macam anak saya sendiri.”
“Insya ALLAH saya cuba, tapi Puan Aisyah sudah
berbincang dengan suami tentang hal ni? Kalau belum, eloklah dibawa berbincang
dahulu. Manalah tahu timbul pula masalah lain di kemudian hari nanti.” Ujar
Puan Mala, pengetua di rumah anak-anak yatim Darul Amar itu.
Dia tersenyum mengingatkan perbualan antara Puan Mala
dengan wanita itu yang sempat dicuri
dengarnya. Meskipun hasratnya untuk tinggal bersama keluarga Aisyah tidak
pernah kesampaian, tapi dia tahu wanita itu menyayanginya. Dia juga sayangkan
wanita itu seperti ibu kandungnya sendiri.
Sejak dia memasuki alam persekolahan, Aisyah jugalah yang
menanggung belanja pakainya. Dia juga kenal Aaziz Ibrahim suami wanita itu.
Ayah kepada Marseila dan Nadim Ammar. Dia pernah beberapa kali ke rumah mereka
sewaktu anak-anak yatim Darul Amar dijemput ke rumah terbuka sempena Hari Raya
Aidilfitri atau majlis-majlis keraian yang lain. Tuan Aaziz merupakan seorang lelaki
yang berwajah dingin, sentiasa serius setiap masa.
“Abang, ini Jak.”
“Jak? Such a weirdo
name for a boy.” Komen lelaki itu seraya memandangnya dari atas ke bawah.
“Jak. Zakri Safid. Anak Imani. You remember her don’t you?”
Pertanyaan itu membuatkan rona di wajah Aaziz Ibrahim
berubah. Kerlingan lelaki itu menular ke wajahnya. Ada riak tidak senang di wajah itu. Tanpa
sebarang suara, Aaziz Ibrahim beredar dari situ dengan wajah sugul.
Dia memerhatikan ke arah Aisyah yang kelihatan amat
muram. Entah kenapa dia tidak memahami satu perkara. Bagaimana wanita itu boleh
menyebut nama ibunya Imani dengan lancar? Di mana wanita itu mengenali ibunya
sedangkan selama ini dia tidak pernah menyebut perihal ibunya di hadapan wanita
itu?Itulah persoalan yang tidak pernah dijawab wanita itu sehingga kini.
“Auntie….” Panggilnya apabila dilihatnya Aisyah tunduk
sahaja. Mendengar dirinya diseru, wanita itu berpaling. Dia terkejut. Kelopak
mata wanita itu basah. Dia langsung tidak mengerti sekaligus tertanya-tanya apa
yang tidak kena dengan Aisyah. Kenapa wanita sebaik itu mengalirkan airmata?
Untuk apakah airmata itu dibazirkan?
“Jak dah makan? Jom kita ke sana. Auntie nak kenalkan Jak dengan anak
bongsu kakak, Nadim. Dia pendiam budaknya. Mungkin Jak boleh berkawan dengan
dia.” Ujar Aisyah seraya beredar ke suatu arah. Dia hanya mampu memerhatikan
lenggok wanita itu pergi tanpa sepatah kata. Apa yang tersingkap di kepala
tidak mampu dihuraikan kerana ternyata wanita kesayangannya itu seperti tidak
sudi bercerita panjang lebar.
“Abang?” Panggil satu suara,
Jak menoleh. Terlihat wajah
Nadim yang sedang memandangnya dengan kerut aneh. Dia cepat-cepat menyeka
airmata di pipinya. Malulah kalau orang melihat lelaki macho sepertinya sedang
menangis.
“Err..mata abang masuk
habuk.” Ujar Jak sebelum sempat Nadim bertanya. Gasaklah alasan itu logik atau
tidak asalkan dia boleh coveremosi
yang dirasainya saat ini medengar Nadim mendendangkan The Love menerusi petikan
piano yang dimainkannya.
“Restoran ni banyak habuk
ke?” Nadim ketawa kecil seraya menggelengkan kepalanya. Jak terdiam. Dia
pura-pura mencari kunci dari poket seluarnya.
“Abang dah nak balik ni. Jom
ikut abang.”
Nadim terdiam. Dia tahu Jak
sedang memikirkan sesuatu sebentar tadi. Sesuatu yang tidak pernah mahu
dikongsinya dengan orang lain.
“Hai yang kau terkulat-kulat
tu kenapa? Dah, tolong abang tutup aircond
tu. Lepas tu kita balik, abang penat sangat ni.” Ujar Jak.
Nadim tersenyum lalu
mengangguk. Dia segera melakukan apa yang disuruh Jak dengan berlapang dada.
* *
* *
DARI jauh sepasang mata asyik
memerhatikan kedua-dua lelaki yang baru sahaja mengunci dan meninggalkan Jumbo
Jeep. Melihat Nadim berada di situ, dia melepaskan keluhan rungsing.
Matanya beredar pula ke arah lelaki di samping Nadim.
Melihat wajah itu entah kenapa dia sering merasa tidak enak. Diam-diam dia
sering mengikuti perkembangan lelaki itu biarpun dari jauh.
Ketika lelaki itu membuka Jumbo Jeep beberapa tahun yang
lalu, dia juga ikut datang dan memerhatikan segalanya dari jauh. Namun
menyaksikan sendiri kegigihan lelaki muda itu, entah kenapa dia sering
membandingkan kesungguhan Jak dan sikap tidak rasional Nadim yang sering
menikam jiwanya. Dan sedikit demi sedikit, kekecewaan yang dirasainya terhadap Nadim
Ammar sudah diubati oleh Jak, lelaki yang seringkali murah dengan senyuman itu.
Senyuman yang amat mirip dengan Imani, gadis pertama yang mencuri hatinya
sebelum dia menikahi Aisyah.
“Sampai bila bang? Awak kena menerimanya samaada awak
suka ataupun tidak. Dia tetap darah daging abang.”
“Darah daging saya hanya Marseila dan Nadim. Bukan zuriat
dari wanita yang tak ada kena mengena dengan saya.” Itu katanya dulu.
“Tak ada kena mengena abang kata? Dia anak abang. Lahir
dari rahim Imani. Wanita yang pernah abang cintai dulu.”
“Awak jangan mengarut yang bukan-bukan boleh tak? Memang
saya pernah bercinta dengan Imani, tapi itu dulu sebelum saya kahwin dengan
awak Aisyah.” Bersungguh-sungguh dia cuba menyakinkan wanita itu.
“Imani pernah datang jumpa saya sebelum dia meninggal,
sebelum Jak lahir ke dunia ini. Dia yakinkan saya yang Jak tu benar-benar anak
abang.”
“Saya dah kata dia bukan anak saya! Apa lagi yang awak
tak faham ni?” Herdiknya sudah mula berang.
“Mulai hari ini jangan cakap lagi fasal dia atau fasal
Imani. Saya tak mahu dengar.” Dia mahu beredar dari situ.
“Saya nak ambil Jak tinggal dengan kita.” Ujar Aisyah.
Kata-kata wanita itu membuatkan langkahnya terhenti. Dia
berpaling dengan wajah merah padam.
“Saya tak setuju.” Tegasnya.
“Saya nak ambil dia jadi anak angkat kita.”
“Jangan buat saya naik angin Aisyah. Saya kata tak boleh,
tak bolehlah.” Tutur katanya semakin keras. Dia tidak mahu lagi mendengar soal
Imani dan anaknya dibangkitkan. Dia enggan mendengar apa-apa lagi! Aisyah ditinggalkan
bersendirian dengan perasaan marahnya yang memuncak. Dan saat itu dia semakin
jauh dari isterinya sendiri. Jauh sehingga dia tidak tahu Aisyah sedang sakit.
Isterinya sedang menderita ketumbuhan di otak. Ketika wanita itu menahan sakit,
dia pula sibuk dengan soal kerja sehingga soal anak-anak juga terabai.
“Akukah yang salah Aisyah? Kerana terlalu degil dan keras
kepala, aku hilang segala-galanya.” Keluhnya rungsing. Matanya kembali ke arah
dua anak muda yang sedang menaiki sebuah Volkwagen lalu beredar dari kawasan
restoran itu.