Tuan
Aaziz termenung panjang. Otaknya sedang ligat memikirkan sesuatu. Peristiwa
siang tadi membuatkan dia pening kepala. Dengan pihak polis dan juga wartawan
yang membanjiri perkarangan pejabatnya, ini bukan populariti yang dimahukannya
untuk berniaga.
Lelaki bernama Mat itu bukan klien
syarikat mereka. Lelaki itu diberhentikan kerja oleh syarikat biskut tempatnya
berkerja. Isteri dan anak-anak pula
mengambil keputusan mahu meninggalkannya. Kerana itu lelaki itu datang ke pejabatnya
kerana mahu menyaman bekas majikannya di kilang biskut itu. Tapi mereka menolak
kes tersebut kerana kekurangan bukti dan susah hendak menang. Lagipun saluran
pemberhentian lelaki itu mengikut saluran yang betul. Tak fasal-fasal kerana
itu, lelaki itu mengamuk lalu mengugut mahu membunuh diri di pejabatnya. Teruk
betul! Keluh Tuan Aaziz seraya memicit kepalanya. Mujurlah tak ada apa-apa yang
berlaku. Jika tidak teruk!
Sesekali
singgah juga di kepalanya tentang apa yang ditanya gadis pemilik syarikat
G-Properties itu tentang lelaki yang menyelamatkannya. Mungkinkah lelaki itu
Nadim? Apakah anak muda itu ada singgah di pejabatnya siang tadi? Tuan Aaziz
tertanya-tanya sendiri.
Dia
segera mendail nombor di telefon bimbitnya Taliannya didengar beberapa saat sehingga
panggilannya bersambut.
“Sheila,
ini ayah. Kamu ada bercakap dengan Nadim sejak dua menjak ni?”
Diam.
“Beritahu
adik kamu tu, suruh dia datang jumpa ayah. Jangan nak buat keras kepala dia
sahaja.” Gumamnya dengan suara agak meninggi. Begitulah dia selalunya. Kalau
bercakap soal anak lelaki yang satu itu, dia akan mudah naik angin tidak tentu
hala.
Nadim terlalu degil, tidak seperti
anak gadisnya Marseila yang lebih menurut kata. Tapi sebenarnya jauh di dasar
hati dia tahu, semua itu salahnya juga. Nadim berperang dingin dengannya kerana
peristiwa lama.
“Suruh
dia balik ke rumah, jangan nak duduk di luar seperti orang yang tak ada
keluarga.” Getusnya lagi. Semua arahan diberi kepada Marseila, dengan harapan
Marseila mampu memujuk adiknya. Tapi selama dua tahun kebelakangan ini, dia
sering dikecewakan anak itu. Nadim langsung tidak mahu memahami kebimbangan
seorang ayah sepertinya.
“Ayah
kena sabar dengan dia.” Itulah ayat yang selalunya diajar Marseila kepadanya.
“Nak
sabar apa? Kalau satu hari dia tak menyusahkan kepala ayah, ayah dah cukup
bersyukur. Sudahlah dia membuang masa tak tentu hala. Ayah mana yang sanggup
tengok seorang anak musnahkan hidup sendiri?”
Marseila
hanya diam mendengar
ocehannya.
“Mungkin
kalau ayah tak paksa dia, semua ni takkan jadi begini.” Sahut anak gadisnya.
Dia melontarkan pandangan ke arah Marseila. Wajah anak gadisnya serius. Dia
tahu benar apa maksud Marseila.
“Apa
yang teruk sangat kalau jadi menantuTan Sri Jabbar? Tan Sri Jabbar tu boleh
bagi adik kamu kesenangan dan hidup yang baik. Emilia bukan tak cantik, cantik
dan baik budaknya. Apa lagi yang dia hendak dari ayah?”
“Mungkin
bukan itu yang Nadim mahukan ayah.”
“Merepek!
Dia seharusnya dengar cakap ayah. Ayah tahu apa yang ayah lakukan. Lagipun pertunangan
mereka dah diatur sejak mereka masih sekolah lagi. Suka atau tidak, Nadim harus
kahwin dengan Emilia.” Putusnya dengan tegas. Itu yang sudah ditetapkan sejak
azali. Jika anak itu memutuskan untuk merosakkan masa depan sendiri, maka Nadim
akan diserahkan pada Tan Sri Jabbar. Lelaki itu pernah menjadi mentornya dalam
bidang guaman suatu ketika dahulu. Biar lelaki itu sahaja yang mengatur hidup
anak lelakinya itu agar kekerasan hati Nadim dapat dilenturkan.
Tuan
Aaziz melontar keluhan kesal. Potret seorang
wanita di anjung mejanya diperhatikan. Wajah itu tenang dan sentiasa tersenyum.
Sayangnya arwah isterinya tidak ada bersama untuk mengawasi anak-anak mereka.
Aisyah! Bisik hati kecilnya. Siapa sangka dia merindui arwah isterinya saat
ini. Alangkah
baiknya jika wanita itu ada di sisinya ketika ini. Tentu isterinya mampu
menundukkan hati anak itu! Keluhnya seraya mengusap wajah di dada potret
tersebut.
*
* * *
Marseila
menamatkan perbualan dengan wajah keruh. Lelaki di hadapannya diam-diam
memerhatikan ke arahnya. Barangkali sudah perasan airmukanya yang berubah
sebaik menerima panggilan tersebut.
Keluhan
Marseila kedengaran. Rungsing sekali! Jak segera mengengsot mangkuk berisi banana split ke arah gadis itu. Marseila
mengangkat wajah. Tersenyum ke arah Jak.
“Thanks.” Ujarnya.
“Siapa
yang call? Tuan Aaziz?”
Marseila
mengangguk muram. “Dia cari Nadim.” Ujar Marseila.
“Apa
dia hendak?”
“Macam
biasa. Dia hendak Nadim further study
kat New York.
Dia hendak Nadim kahwin dengan Emilia. Dia hendak Nadim turutkan semua
kehendaknya.” Marseila berkata tenang.
“Budak
free spiritmacam Nadim takkan ikut.”
Ujar Jak.
“Yes I know that. Sebab itu I minta
tolong you. You kawan I yang paling dekat. You paling rapat dengan arwah mama
dulu. I trust you more than I trust anyone
else.” Ujar Marseila lalu merenung ke arah lelaki itu.
Jak
terdiam. Wajah manis Marseila dipandang agak lama. Ada sesuatu yang mahu disebut, tapi dia
sentiasa gagal sebelum mencuba. Marseila sering mengungkapkan kata-kata tentang
‘kawan rapat’, my best buddy, the sweet guy dan macam-macam lagi. Itu
tafsiran hati Marseila terhadapnya. Tapi gadis itu sentiasa gagal mentafsir
bahawa dia sudah lama jatuh cinta pada anak kepada ibu angkatnya sendiri.
“Ayah
dengan Nadim sama-sama degil, sama-sama keras kepala. Mereka tu sebenarnya sama
sahaja. Susah kalau masing-masing tak mahu
mengalah. Kalaulah mama masih ada, tentu ayah tak sekeras ini pada Nadim.”
Keluh Marseila lagi.
“I
akan jaga Nadim baik-baik. You jangan risau sangat.” Ujar Jak. Memahami hati
Marseila yang sering tidak keruan jika berbangkit soal ayah dan adiknya.
“Thanks Jak.I tahu I boleh berharap pada
you.” Balas Marseila. Banana split
dipotong sedikit lalu dibawa ke mulutnya. Sedap! Aroma pisang nangka yang enak
dengan aiskrim coklat dan vanila benar-benar cair di mulutnya.
“Nice dessert. You buat sendiri?” Puji
Marseila seraya mengangkat ibu jari.
Jak
mengangguk lalu tersenyum. Dia tahu Marseila paling gemar dengan Banana Split.
“I
belajar buat dessert tu untuk you.
Campuran aiskrim coklat dan vanila dengan fruit
mixed mesti sama banyak supaya rasa krim pada pisang tu menyerlah. You
takkan jumpa hirisan badam, walnut,
cashew dan kacang-kacang lain ditabur di atas banana split tu sebanyak yang I hidangkan untuk you di mana-mana restoran
lain.” Canang Jak.
Marseila
terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu. Dia hanya bertanya sedikit sahaja tapi
penerangan Jak panjang berjela pulak. Tanpa dapat ditahan-tahan dia ketawa
besar membuatkan Jak tercengang-cengang.
Tapi
ketawa Marseila tiba-tiba mati. Bunyi piano di atas pentas di suatu sudut
restoran itu menarik perhatiannya. Terkejut! Mujurlah lelaki yang sedang
memetik piano putih itu bukan Nadim Ammar, adiknya.
“Jangan
risau! Malam ni Nadim tidak bermain piano. Malam ni I bagi dia cuti.” Ujar Jak
bagaikan tahu apa yang Marseila fikirkan.
Marseila
terdiam. Kerut di wajah gadis itu tiba-tiba muncul. Jak ingin bertanya, tapi
gadis itu sudah melemparkan pandangan ke arahnya.
“I
rungsinglah Jak. Sampai bila Nadim nak hidup macam ni? Ayah I tak salah bila
dia nak Nadim ikut cakapnya. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk Nadim.” Ujar
Marseila.
“Jangan
risau. Dia tahu apa yang dia buat.” Ujar Jak cuba memujuk. Tangan Marseila
diraih lalu digenggam erat. Kebimbangan yang berputik di wajah manis Marseila
benar-benar menganggu emosinya. Apa yang Marseila risaukan, itulah yang mahu
dikongsinya bersama.