One
Upon A Time…
BUNYI
ketawa
mengekek itu menganggu gegendang
telinganya. Pelbagai ton ejekan dan jeritan sudah lali di telinga setiap kali
dia melintas kelas 5A. Kelas itu nama sahaja dipenuhi dengan pelajar-pelajar
bijak tapi kurang kesedaran sivik. Dan dia sentiasa menjadi mangsa usikan yang
melemaskan. Annoying!
“Loser! Loser! Loser!” Ya itulah perkataannya. Menggambarkan dirinya
dari persepsi pelajar-pelajar di kelas itu. Dia dipanggil Loser.Kalau menurut kamus, Loser
maksudnya orang yang memalukan. Disgrace!
Dan dia menjadi si Loser itu sepanjang
tahun. Terhina dan diejek serta diletakkan di tempat paling rendah, hanya
gara-gara sekeping surat
cinta.
Dia seorang gadis. Seorang
gadis seharusnya dihormati dan disanjungi. Dijaga maruahnya dan dilindungi. Dan
dia mengharapkan ada seorang lelaki yang boleh melakukan semua itu terhadapnya.
Yang boleh melindunginya setiap masa. Berada di sampingnya setiap kali dia
memerlukannya.
Sejak usianya masih kecil
dia mengharapkan itu semua. Sentiasa terpesona dengan kisah-kisah dongeng
Cinderella, Snow White, Beauty and The Beast, malah juga kisah si Red Riding
Hood. Dia anak gadis yang menginginkan keajaiban itu berlaku. Dia mahu bertemu
dengan seorang lelaki yang layak dicintai. Layak dikasihi seperti gadis-gadis
lain. Salahkah untuknya mengharap?
Seorang putera muncul. Hadir
dalam susuk tubuh yang menawan dan penampilan yang segak. Seperti mana
gadis-gadis lain menggilai lelaki itu di sekolah, dia juga turut begitu.
Sangkanya tidak ada salahnya dia mempunyai perasaan seperti itu. Putera yang
dimaksudkannya adalah pemain ragbi di sekolahnya merangkap presiden Kelab
Catur.
Idham Hariz. Nama yang
memaparkan karisma. Aktif bersukan dan berekreasi. Selalu pula terlibat dengan
banyak aktiviti-aktiviti di sekolah. Paling penting, lelaki itu antara yang paling
popular di sekolah dan memiliki ramai peminat perempuan.
Mereka kerap berselisih di
jalan. Senyuman lelaki itu juga murah. Membuatkan dia merasa di awang-awangan meski
sekadar datang ke sekolah tanpa menyiapkan kerja sekolah atau membawa duit
belanja. Cukup hanya untuk bertemu lelaki pujaan hati, dia tidak kisah dimarahi
atau didenda guru jika sering ponteng kelas semata-mata kerana mahu lalu di
hadapan kelas lelaki itu. Idham Hariz adalah pujaan hati. Idham Hariz adalah
segala-galanya!
Tapi satu peristiwa, satu kisah membuatkan
tanggapannya terhadap lelaki itu tersasar jauh. Kerana sekeping surat cinta yang jatuh
dari fail yang dipegangnya, lelaki yang terlihat agung di matanya kini menjadi
racun yang menusuk ke hati.
“Loser!” Jerit seorang
pelajar perempuan ketika melewatinya.
Dia terpempan. Melihat
renungan tajam pelajar perempuan tingkatan 5 itu, hatinya mulai kecut. Si gadis
itu tiba-tiba meluru ke arahnya lalu menampar pipinya berulangkali. Peritnya
tuhan sahaja yang tahu. Dia mengaduh kesakitan sambil mengalirkan airmata
menahan sakit. Namun pelajar perempuan itu hanya berhenti memukulnya setelah
puas.
“Muka tak malu macam kau ni
lebih baik berhenti sekolah sahaja. Perempuan bedebah.” Tutur pelajar perempuan
itu agak kasar. Dengusan nafas pelajar perempuan itu singgah ke gegendang
telinganya sebelum gadis itu beredar.
Sebaik ditinggalkan, dia
mengengsot-engsot sambil menahan sakit. Ada
cecair dirasakan meleleh di bibirnya. Apabila dia menyentuhnya, terdapat darah
pekat melekat di tangannya. Wajahnya cemas. Tentu esok bibirnya akan kelihatan
lebam dan kebiru-biruan.
Ada beberapa orang pelajar
perempuan lalu di situ. Tapi melihat dia di dalam keadaan lemah, semuanya hanya
memandang jijik tanpa ada niat mahu membantunya. Hatinya sedih. Dia merasa
terpinggir dan terluka. Hendak diluahkan, dia tidak tahu siapa yang akan
mendengarnya. Untuk pertama kali dia merasa gementar. Merasa bersendirian di
bumi ALLAH yang luas ini. Dan nama The Loser itu terus kekal sehingga ke
hari-hari berikutnya. Cika! Cika The Loser. Yup,
it’s me!
* *
* *
DIA terjaga dari tidur.
Terkelip-kelip memerhatikan siling bilik yang berwarna putih. Untuk seketika
dia cuba
mengingatkan nightmare yang
dialaminya. Ya! Idham Hariz adalah nightmare
dalam kehidupannya. Lelaki yang harus dielakkan jika bertemu di jalanan. Lelaki
yang harus dijauhi tanpa perlu berfikir dua kali.
Di telinganya masih tergiang-giang
panggilan Cika The Loser. Dan panggilan itu terus melekat padanya bagaikan simbiosis.
Dia bingkas bangun dari katilnya. Selimutnya dicampak ke
tepi. Jarum jam di dinding bilik diperhatikan. Baru pukul 2 pagi tapi dia sudah
mengigau dan bermimpi ngeri. Gosh! Ini mesti bahana menonton Freddy Kruger
sehingga lewat malam. Tak guna punya Ubek! Kerana lelaki itu, dia melekat di
hadapan televisyen dan menonton hantu bercakarkan pisau cukur yang hanya muncul
di dalam mimpi. Dan filem itu bukanlah menakutkannya sangat apatah lagi rupa
Freddy Kruger yang hodoh itu langsung tidak berjaya membuatkan dia takut. Hanya
ada satu wajah, satu nama yang membuahkan trauma di hatinya sejak sekian lama.
Dan orang itu adalah Idham Hariz. Si putera idaman ramai di zaman
persekolahannya yang sudah lama tidak ditemuinya.
Dia memerhatikan wajahnya di hadapan cermin.
Membandingkan rupanya yang sekarang dengan wajahnya 12 tahun yang lalu sewaktu
dia berusia 16 tahun. Ketika itu dia dara sunti yang memiliki wajah nerd. Berambut ikal yang sering diikat
ekor kuda dan cermin mata tebal yang hampir menyamai tahap rabun neneknya di
Melaka. Kalau dikira dari segi populariti, of
course dia bukan golongan pelajar perempuan yang akan diminati oleh lelaki
sekacak Idham Hariz. The truth is,
dia langsung tidak popular. Cikai adalah dengan wajah serabai dan penampilan
yang sedikit kelam kabut. Agaknya sebab itulah dia dipanggil Cika oleh ibu
bapanya sendiri. Nama yang cukup sesuai untuk seorang gadis yang simple sahaja dari atas kepala sehingga
ke hujung kaki.
Itu portfolionya sewaktu dia berusia 16 tahun. Sekarang
dengan usia yang menjangkau 28 tahun, dia bukan lagi terkategori gadis yang
cikai atau selekeh. Kini dia adalah seorang perunding hartanah profesional yang
menguruskan urusan jual beli hartanah yang sudah lima tahun berkembang pesat di ibukota. G
Properties Sendirian Berhad adalah syarikat yang membuktikan keupayaannya,
kesungguhannya dan penat lelahnya selama ini.
Sepatutnya dalam keadaan sekarang, dia berbangga dengan
apa yang sudah dikecapinya. Malah dia pernah bergelar top real estate agent dengan listings
mencecah hampir 400 lebih hartanah dengan sebuah syarikat bumiputera sebelum
dia berhenti dan membuka perniagaannya sendiri. Pendek kata dia sudah berjaya! No more Cika The Loser!
Masalahnya sekarang, siang tadi dia menerima sekeping kad
undangan. Pengirimnya ialah Sarah, presiden alumni sekolah menengah lamanya.
Dia masih ingat Sarah, gadis gempal yang sering menjilat aiskrim setiap kali
waktu rehat. Tak sangka gadis yang paling sihat di sekolahnya suatu ketika
dahulu adalah presiden Persatuan Alumni sekolah lamanya. Dan kad undangan itu
adalah trauma terbesar untuknya kali ini. Sebab itu sampai sekarang dia masih
gagal melelapkan matanya walau sepicing.
DENGAN
SEGALA HORMATNYA, ANDA DIJEMPUT MENGHADIRI REUNION DI SEKOLAH MENENGAH X SESI
2000/2001. KEHADIRAN ANDA ADALAH AMAT DIALU-ALUKAN. SILA BERHUBUNG DENGAN AHLI
JAWATANKUASA ALUMNI SECEPAT YANG MUNGKIN UNTUK BUTIR PERINCIAN. TERIMA KASIH.
Kad yang simple
tapi elegen dan cantik. Warna emas yang digunakan menandakan majlis itu pasti
akan gilang gemilang. Tapi warna hatinya saat membaca kad tersebut ialah keruh
macam air kapur di dalam makmal.
Jika dia hadir ke perjumpaan reunion itu, pasti dia akan dipertemukan semula dengan Idham Hariz.
Gila ke apa? Dia takkan sesekali menjejakkan kakinya ke perjumpaan reunion sekolah menengahnya itu.
Memikirkannya juga tidak! Seumur hidupnya dia cuba mengelak dari lelaki itu.
Bertahun lamanya dia belajar untuk menjadi kuat dan tabah. Dan kehadiran
sekeping kad itu membuatkan ingatannya pada zaman kelam hidupnya kembali
semula.
Cika melangkah ke arah meja soleknya. Memerhatikan kad
undangan yang terdampar di situ. Dia terfikir sesuatu. Kenapa Gina diam sahaja?
Tidakkah teman baiknya itu juga menerima kad tersebut? Kalau Gina menerimanya,
pasti telefonnya sudah berdering. Dan mereka kemungkinan besar akan sama-sama
berkongsi rasa fobia yang serupa!
Cika mengeluh panjang. Double Trouble! Apa patut aku buat?
Belum sempat dia mahu mendapatkan jawapan, telinganya
mendengar suatu bunyi datangnya dari arah luar biliknya. Dahi Cika berkerut
seribu. Bunyi apa pulak tu? Tikuskah? Atau barangkali kamelion milik abangnya
Ubek sudah terlepas dari sangkar. Kalau betullah itu bunyi kamelion, rasanya
dia surrendermahu keluar menjenguk.
Dia memang geli-geleman dengan benda yang serupa biawak itu.
Tapi makin lama kelamaan bunyi itu semakin jelas. Macam
bunyi tapak kaki pun ada. Cika segera menghampiri tombol pintu. Meskipun dalam
keadaan takut, dia nekad cuba
untuk berani. Perlahan-lahan pintu di hadapannya dikuak lebar. Sedikit demi
sedikit kepalanya menjengah keluar. Tapi sesusuk tubuh yang sedang menyelinap
di luar biliknya, membuatkan dia terkejut besar. Mak oi!
Cika cepat-cepat menguak pintu biliknya selebar-lebarnya.
Seperti yang diduga, lembaga yang sedang terjingkit-jingkit itu tergaman
melihatnya yang sudah bercekak pinggang berdiri di hadapan pintu biliknya.
“Abang buat apa ni?” Tanya Cika dengan wajah berkerut.
Ubek tidak menjawab. Sebaliknya senyuman lebar singgah di
wajah Ubek. Jari telunjuknya singgah di
tengah bibir. Memberi isyarat agar anak gadis itu berdiam diri.
“Abang nak pergi memancing kat Ulu Yam.” Bisik Ubek.
“Tengah malam macam ni?”
Ubek mengangguk. “Malam-malam macam ni la banyak ikan.
Ikan kan suka
suasana sunyi-sunyi. Abang dengar malam ni ramai kaki pancing yang akan
bercamping kat Ulu Yam, sebab ikan tengah banyak sekarang kat situ. Abang ingat
nak tidur semalam kat situ. Adik jangan beritahu umi ya.” Pesan Ubek.
Cika mengeluh kecil mendengar kata-kata abangnya. Memang
Ubek kaki pancing paling gila pernah dikenalinya. Abangnya itu nama sahaja
seorang jurutera, tapi lelaki itu lebih suka pada ikan dan jorannya dari sibuk
mencari seorang teman wanita untuk dibuat special.
Agaknya kalau ikan tu boleh bercakap, dah tentu abangnya itu akan memilih
seekor ikan betina untuk dijadikan isteri!
“Adik jangan beritahu umi tau. Esok pagi abang balik.”
Pesan Ubek bertalu-talu. Takut benar dia jika ibunya tahu dia diam-diam
menyelinap dari rumah tengah-tengah malam buta gara-gara kerana mahu pergi
memancing.
Cika tersengih lebar. Hmm…macam best!
“Cika tak jamin kalau umi tahu.” Ujar Cika dengan wajah
nakal.
“Adik..” Wajah Ubek berubah kelat. Mati dia kalau dia
ditangkap warden rumah itu yang dipanggil Puan Bahyah. Hukuman penjara seumur
hiduplah jawabnya!
“Cika akan tolong abang simpan rahsia tapi dengan satu
syarat.”
Ubek tercengang. Alahai, syarat apalah pulak ni?
“Syaratnya, abang kena bawa Cika sekali.”
“No way!”
Bantah Ubek pantas.
“Cika nak ikut jugak. Cika tak boleh tidurlah malam ni.
Baik Cika ikut abang ke Teluk Gong. Manalah tau ikan kat tasik tu tertawan
dengan kejelitaan Cika ni.” Gelak Cika dengan nada tertahan, bimbang didengar
ibunya.
“Nanti umi tahu.”
“Hai kata nak balik awal pagi esok.”
Ubek terdiam. Sudah mati kutu mahu mengajak Cika
berdebat. Tidak pernah dia menang jika berlawan bicara dengan adiknya yang agak
degil itu.
“Bolehlah abang.” Pujuk Cika berharap.
Ubek mendengus perlahan. Lama-kelamaan dia mengangguk.
Hah nak ikut sangat? Ikutlah! Esok kalau dua-dua kena pelengkung kepala dengan
umi, jangan pulak nak sengal-sengal mengadu atau merungut, getus hati kecil
Ubek.
Tersenyum lebar Cika dibuatnya. Cepat-cepat dia masuk
semula ke biliknya mengambil apa-apa yang patut untuk dibawa bersama.
Termasuklah bantal strawberrykesayangannya.
Menjeling panjang Ubek melihat bantal strawberry berbentuk love di tangan
Cika. Aku dah agak dah! Kalau nak ke mana-mana tak berenggang langsung dengan
bantal tu! Rungut Ubek dengan wajah bengang.