TAK
FASAL-FASAL
dia kena cuti dua hari gara-gara Ubek. Tapi bagusnya ibunya tidak lagi bertanya
tentang ke mana dia menghilang hari itu. Dan soal Idham seperti tenggelam terus
dari bibir ibunya. Tiba-tiba juga dia dilayan seperti puteri raja dari cerita
dongeng. Awesome!
Setiap pagi sebelum pergi kerja, ibunya akan menyiapkan
sup dan bubur untuknya. Dan dia pula berpura-pura demam dan tidak bangun-bangun
dari katil. Selepas wanita itu beredar, dia terus meloncat-loncat sekeliling
rumah sambil bersenang-lenang sepanjang hari. Habis DVD Ubek diselongkar buat
menemani hari-harinya di rumah.
Lebam di bawah mata diperhatikan melalui cermin. Dengan
sekali sapuan, lebam itu menghilang dengan mudah. Inilah yang dinamakan efek
khas. Nak berlakon kena ada CGI. Tapi CGI dia pakai berus dan eyeshadowsahaja. Dengan sekali sapuan
dan calitan, maka wujudlah lebam biru yang ketara di bawah mata serta di
pipinya. Lebam yang dikatakan akibat dipukul penyamun, sedangkan hakikatnya itu
hanyalah pembohongan yang dilakukannya
berkat idea bernas abangnya.
Sebentar tadi Gina ada menelefonnya bertanyakan khabar.
Kononnya satu pejabat sudah kecoh tentang dirinya yang disamun. Sekali lagi dia
terpaksa berlakon.
Berlakon sunat katakan!
“Kau rehat cukup-cukup, nanti semua kerja kau kat sini
biar aku yang uruskan.” Ujar Gina, prihatin dengan nasib temannya.
“ThanksGina.
Mujur ada kau, kalau tidak entah apa aku nak buat.”
“Dah kewajipan aku.Lagipun kita kan rakan kongsi, memang patut pun aku take overkerja kau. Tapi kalau boleh
cuti tu jangan lama-lama sangat, aku ni bukan pandai sangat melayan klien-klien
kita tu. Buta aku jadinya kalau kau tak ada.” Ujar Gina.
“Insya Allah, esok aku cuba datang office. Lagipun tak kuasa aku nak lama-lama atas katil ni. Sehari
lagi aku dalam bilik ni boleh naik gila aku dibuatnya.” Dia merungut pada Gina.
Gadis itu ketawa terkeheh-keheh mendengar kata-katanya.
“Okeylah aku ada hal lain ni. Jaga diri baik-baik.” Gina
menamatkan perbualan. Dia pula meletakkan telefon bimbitnya dengan wajah bosan.
Nak buat apa ya? Nak membaca dia malas. Nak menonton, siang-siang begini mana
ada rancangan menarik. Lainlah kalau dia berminat nak jadi chef atau belajar
hal ehwal dekorasi rumah. Hanya itu rancangan-rancangan yang kerap ditayang di
televisyen pada waktu-waktu begini.
Tiba-tiba Cika teringatkan sesuatu. Dia segera mencapai
beg tangannya lalu mencari-cari sesuatu di dalamnya. Namun melihat apa yang
dicari tidak ada di dalam beg, wajah Cika berkerut. Tak ada? Biar betul!
Ke mana perginya buku hitamnya? Buku itu penting dan
memuatkan banyak contact number klien. Malah dia juga mencatat
semua jadual-jadual kerjanya di dalam buku hitam itu. Aduh! Parah kalau begini!
Wajah Cika resah. Dadanya sudah berat. Kalau tanpa buku
hitam itu, dia seperti orang buta kehilangan tongkat. Tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Setahunya dia tidak pernah meletakkan buku itu sebarangan selain
dari dalam tas tangannya. Takkan buku hitam itu boleh meloncat sendiri dari
dalam tas tangannya pulak. Impossible!
* *
* *
HAMPIR satu jam lamanya dia
menyelongkar mejanya. Namun apa yang dicari belum terlihat oleh pancaindera.
Sudahnya dia menyapu keringat di dahi sambil mengeluh panjang. Aduh mana pulak
perginya ni?
Gina yang baru sahaja melintas biliknya tercengang
melihat wajah Cika yang mencuka sambil menyepahkan barang-barang di atas meja
yang sudah sedia bersepah. Aik? Baru satu jam yang lalu dia berbicara dengan
anak gadis itu. Takkan sekelip mata Cika boleh datang kerja pula. Sudah
sihatkah dia? Nampak muka macam sihat aje, tak ada gaya orang sakit langsung! Telah Gina sambil
mengerutkan dahinya.
Dia singgah
sebentar lalu memerhatikan anak gadis itu yang kelihatan kelam-kabut serba tidak
kena.
“Apa yang kau buat tu?” Tanya Gina ingin tahu.
Cika mengangkat mukanya sebentar sebelum menyambung
pencariannya. “Kau ada nampak planner
aku tak? Yang warna hitam kulit tebal tu.” Cika memberi deskripsi antara acuh
tak acuh.
“Tak ada. Kenapa? Hilang?”
“Ahah..puas aku cari tak jumpa-jumpa jugak. Entah mana
perginya buku tu. Buat spoil mood aku
je pagi-pagi begini.” Rungut Cika bengang. Sudahlah dia teringat dia ada mesyuarat
penting di sebuah syarikat pemaju perumahan awal pagi esok. Tapi dia gagal
mengingati tarikh dan masa mesyuarat tersebut. Kerana dia seorang yang pelupa,
maka dia mencatatkan semuanya dalam buku tebal yang berisi semua
maklumat-maklumat dan tarikh-tarikh penting. Dan buku itu selalunya sentiasa
berada di dalam beg tangannya.
“Kau salah letak kut.” Suara Gina muncul kembali.
Agaknya! Cika mengeluh panjang tanpa berkata apa-apa
lagi.
“Kau datang officeni
dah sihat ke sebenarnya?” Suara Gina ternyata ragu-ragu. Cika yang mahu
meneruskan pencarian buku hitamnya bungkam seketika. Alamak! Lupa pulak! Dengan
wajah tak bersalah dia tersengih.
“Sorrylah Gina,
sebenarnya aku tak sakit pun. Ini semua rancangan Ubek gara-gara nak
mengelakkan aku kena marah dengan umi.” Dia berterus-terang.
“What? Kau biar
betul. Jangan-jangan fasal kau kena samun tu pun tipu jugak?” Gina tercengang.
Cika hanya mengangguk gelihati. Tipu sunat, kawan!
“Gila kau! Satu pejabat ni tahu kau kena samun tahu. Awal
pagi lagi umi kau announce pada si
Darren tu. Kau tahulah mamat lembut tu mana reti nak duduk diam. Habis semua
orang dia beritahu fasal kau cedera sebab baru kena samun.”
“Ala
relakslah Gina. Satu pejabat tahu apalah sangat,” Cika membalas acuh tak acuh.
Gina menggelengkan kepalanya sambil bergerak mendekati
meja Cika. Dia memandang Cika sambil tersengih.
“Cik Syafika, bila aku kata semua orang, I mean everyone.” Ujar Gina lalu menekan
punat pada telefon di atas meja Cika. Sebentar kemudian muncul suatu suara.
“Hello Cika, ini I Datuk Fakhri. I dengar dari staf you
yang you kena samun. Betul ke? Kalau betul I nak you call I immediately. I
benar-benar risaukan keadaan you. Hope
you will get well soon.”
“Cika, Fitzerald
here. Have been heard about that new. I’m really worried. Lain kali kalau
nak keluar jangan sorang-sorang, ajak I temankan. Take care ya.”
“Cika, Datuk Fakhri again. I tak senang duduk kalau tak
tahu keadaan you. Kenapa offtelefon,
susah I nak call.”
Klik! Gina mematikan sistem perakam telefon sambil
memandang Cika yang sudah terlongo dengan muka blur.
“See? Kan aku dah cakap tadi.”
Cika terduduk lemah. Macam-macam hal dengan dua orang
lelaki itu. Aku juga yang tersepit di tengah-tengah! Keluh Cika bengang. Idea
bernas Ubek sudah menjadi idea bodoh kali ini. Masak aku!
“Ah lantaklah. Malas aku nak layan lelaki dua orang tu.
Sekarang ni yang lebih penting ialah buku hitam aku tu. Esok aku ada mesyuarat
kat Maju Construction dekat M.” Ujar Cika.
Mata Gina membulat. “M? Fitzerald?” Gadis itu tersengih
nakal.
“Yang kau sebut Fitzerald ni kenapa pulak? Aku ada meeting dengan staf bahagian promosi MC,
bukan dengan Fitzerald.” Jawab Cika. Dia teringatkan lelaki dari USA
yang berwajah kacak dan bergaya peragawan itu.
“Yalah, alang kepalang kau dah ada kat sana, apa salahnya kau cari Fitzerald. Bukan
jauh mana pun Maju Construction tu dengan
M, dalam satu bangunan sahaja. Ajaklah dia minum dan borak-borak. Dia pun syok
gila kat kau.” Gina mula cucuk jarum.
“Eh tak ada maknanya aku nak buat begitu. Kirim salam.
Kalau kau berkenan sangat dekat Fitzerald tu, kaulah yang ayat dia.” Cika menyelar.
“Kalau dia sukakan aku, dah lama aku mengorat dia.
Masalahnya Cik Syafika, lelaki tu sukakan kau. Itulah siapa suruh kau pergi ke sana dan marah-marah fasal
line telefon kau yang kena curi tu? Kan tak fasal-fasal
jumpa mat saleh handsome yang prihatin.
“ Usik Gina lantas ketawa mengingatkan peristiwa Cika ketika mula-mula bertemu
dengan Fitzerald dahulu.
Ketika itu Cika mengajaknya
menemaninya ke Syarikat Telekomunikasi M, kerana mahu membuat aduan tentang line telefonnya yang kena hack. Tak pakai tapi kena bayar sampai
beribu! Siapa tak hot! Kalau dia pun
tentu bengang tahap kronik. Tapi dia tidak adalah seperti Cika yang nekad
marah-marah di tempat itu. Muncul Fitzerald yang mendengar aduannya dan cuba
menyelesaikan masalahnya. Kelakarnya mereka semua ingat Fitzerald tu juruteknik
telefon. Rupa-rupanya lelaki itu senior
engineer di situ. Dan dari situ perkenalan Cika dan Fitzerald semakin
berkembang.
Fitzerald lelaki
dari USA
yang boleh bertutur bahasa melayu dengan sangat fasih. Orangnya juga boleh tahan
handsome. Siapa yang melihat pasti
cair termasuk dia dan ramai lagi staf-staf di G-Properties. Semuanya sepakat
memujuk agar Cika sudi bertemujanji dengan lelaki itu, malangnya Cika sudah ada
standard sendiri tentang lelaki. Yang handsome
macam Fitzerald memang gadis itu suka. Tapi Cika lebih suka dengan lelaki
berwajah dan berwatak Josh Duhamel, aktor Hollywood yang terkenal dalam siri Las Vegas dan Transformer
itu. Hampir semua orang yang mengenali Cika tahu bahawa anak gadis itu sangat
obses dengan Josh Duhamel.
“Jangan nak mengarut. Dari kau asyik sebut Fitzerald,
baik kau tolong aku cari buku hitam aku ni. Esok aku nak meeting.” Gesa Cika. Mabuk darah dia kalau terus menyebut atau
berbicara tentang Fitzerald yang sangat romantik hingga ada kala macam nak
demam-demam dia mendengar ayat bunga-bunga lelaki itu. Hui kalah lelaki melayu
tipikal. Ayat bunga-bunga Fitzerald lagi mengancam.
“Dah macam padang jarang padang tekukur kau geledah
bilik kau ni, aku rasa memang dah tak ada tu. Mesti kau tercicir kat mana-mana
ni.” Ujar Gina separuh malas mahu ikut campur.
Cika berhenti mencari. Dia terduduk lemah. Entah di mana
dia hilangkan buku hitamnya itu? Bila kali terakhir aku pegang buku tu? Cepat
Cika, ingat semula. Seingatnya dia ada memegang buku itu sewaktu dia menanti
ibunya ketika di Jumbo Jeep tempohari. Maklumlah ketika itu dia bosan dengan
bebelan ibunya lalu keluar untuk mengambil angin di luar. Jangan-jangan kat
situlah dia tercicirkan bukunya. Wajah
Cika sudah cemberut. Alahai kalau hilang macamana ni?
Dia lekas-lekas mencapai beg tangannya lalu berlari ke
luar ke muka pintu. Gina yang memandang terpinga-pinga.
“Kau nak ke mana tu?” Laung Gina ingin tahu.
Namun tidak ada sahutan dari Cika. Ternyata kelibat anak
gadis itu sudah menghilang jauh. Gina mengeluh panjang. Kelam kabut punya
kawan. Dia sekadar mampu menggelengkan kepala. Yang nyata masalah Cika sentiasa
bertambah dari hari ke sehari. Belum selesai yang itu, bertambah pula masalah
yang lain.
Belum sempat Gina mahu ikut keluar dari bilik Cika, bunyi
panggilan telefon dari atas meja temannya itu menarik perhatian. Dia terhenti
lalu memaksa diri mengangkat gagang telefon tersebut.
“Hello.”
“Hello, itu Syafika? Hai Cika, ini Idham cakap. Idham
Hariz.”
Gina terpempan. Idham Hariz?
“We need to talk
Cika. A very long discussion. Saya dah balik sekarang. Saya berharap sangat
nak jumpa awak. Please...” Suara
lelaki itu seperti merayu.
Tiba-tiba pintu bilik itu dikuak kasar. Gina terkejut
lalu cepat-cepat meletakkan gagang telefon. Kelibat Cika muncul di muka pintu.
Gadis itu merenungnya satu macam membuatkan dia gugup tanpa disedari.
“Kau ni kenapa? Pucat semacam aje aku tengok.” Cika
mengerutkan dahinya. Hairan melihat wajah Gina yang pucat lesi. Dia melangkah
masuk seraya melangkah ke arah mejanya lalu mengutip kunci kereta yang
tertinggal.
“Err..tak ada apa-apa, aku terkejut je tengok kau main terjah
macam tu.” Gina tersenyum gugup. Mujur Cika hanya mahu mengambil kunci kereta.
Sangkanya Cika sudah terdengar bunyi panggilan telefon itu.
“Okeylah, aku keluar dulu. Kau uruskanlah apa-apa yang
patut. Aku nak pergi cari planner aku
tu. Entah kat mana aku cicirkannya.” Rungut Cika lalu segera beredar pergi.
Gina menarik nafas panjang. Dia melemparkan pandangan ke
arah gagang telefon yang sudah diletakkannya. Suara lelaki itu masih kelihatan
sama seperti dulu. Suara itu pernah menggetarkan naluri perempuannya. Dia
pernah angau dan gila bayang terhadap Idham Hariz, sehinggalah dia sedar Idham
Hariz lelaki yang tidak punya perasaan. Tidak ada hati perut!
Apa sebenarnya lelaki itu mahu dengan Cika?
Mahu menyakiti hati Cika lagikah? Tidak! Aku tak boleh biarkan Cika berjumpa
dengan lelaki itu. Never! Itu tekad
dan iltizam Gina sejak dulu. Kerananya Cika jadi begitu. Maka dia harus
bertanggungjawab menjaga Cika agar kawan baiknya itu tidak terus disakiti.