TERKELIP-KELIP
mata Cika
apabila mendengar bisikan budak lelaki itu. Hendak percaya ke tidak ni? Budak
lelaki berkulit hitam legam dan berminyak-minyak itu semakin rapat ke arahnya.
Tiba-tiba sahaja budak lelaki itu muncul, entah dari mana dan menjadi penyampai
pesanan tak bergaji.
“Betul ke dik?”
Tanya Cika masih ragu-ragu.
“Betul kak, mak
kakak yang pakai baju kebaya warna hitam tu kan?” Ujar budak lelaki itu sambil tersengih
lebar.
Cika mengangguk
dengan cepat. Mendengar budak lelaki itu tahu warna baju kebaya ibunya dia mulai
yakin sedikit. Tak sangka betul! Prihatin juga ibunya kali ini. Inilah yang
Cika nanti-nantikan sebenarnya. Tak kuasa betul dia mahu masuk menunggu Idham
di dalam. Balik rumah tengok kartun lagi bagus!
“Mak kakak suruh
kakak balik je. Dia kata lelaki yang dia nak perkenalkan pada kakak tu tak jadi
datang hari ini. Dia pula ada hal nak pergi jumpa kawan dia.” Ujar budak lelaki
itu dengan petah.
Cika
terpisat-pisat sebentar. Antara gembira dan lega, semuanya terpapar jelas di
wajah.
“Tapi ada satu
hal lagi kak.” Budak lelaki itu menyambung bicara.
Cika menoleh.
Dahinya berkerut. Ada
lagi?
“Upah saya kakak
kena bayar.”
“Upah?”
“Upah kasi tahu
kakak la. Tak mahal, RM5 je.” Ujar budak lelaki itu selamba.
Cika terkedu.
Samdol budak ni! Hantar pesanan pun kena berupah. Ini mesti umi kedekut nak
bagi budak ni duit! Tapi sejurus kemudian dia tersengih. Tak kisahlah, upah pun
upahlah. Mujur kau bawa berita baik budak hitam. Kurang-kurang
lega sedikit gelodak resah yang dirasainya sepanjang penantian.
“Sebab awak bawa
berita baik, tak apa, kakak up sikit
upah tu jadi sepuluh ringgit. Nah!” Cika segera menghulurkan not RM10 itu ke
tangan budak lelaki itu. Melihat wang di tangannya, wajah itu sudah bertukar
ceria. Sempat pula budak itu mengucapkan terima kasih sebelum beredar pergi.
Sebaik
kanak-kanak lelaki itu beredar, dia mahu balik sahaja. Tapi entah kenapa, macam
ada yang tak kena pula dirasakannya saat itu. Ah double check! Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya lalu
mendail nombor telefon ibunya. Beberapa kali mendengar, wanita itu langsung
tidak mengangkat panggilannya. Cika masih tidak berpuas hati. Dia segera
melangkah ke arah pintu restoran lalu mengintai ke dalam. Namun kelibat ibunya
ternyata tidak ada di tempat duduk Betul agaknya! Barangkali memang benar Puan
Jamilah dan anaknya Idham tidak jadi datang dan ibunya pula sudah balik.
Bibirnya
tiba-tiba tersenyum lebar. Seronoknya! Lepas ni dia merancang mahu meraikan
hari kebebasannya dari masalah berkait dengan Idham. Yes! Independence Day. Orang meraikan kebebasan dari jajahan musuh.
Dia pula meraikan kebebasan dirinya dari belenggu yang diikat ibunya. Anyway,siapa peduli? Asal dia senang
hati cukuplah. Dengan bernyanyi-nyanyi kecil, dia segera berjalan ke arah keretanya
yang diparkir tidak jauh dari situ.
Nadim pula sudah
sampai ke arah keretanya. Dia menoleh lalu memandang ke arah Cika yang sudah pun
memasuki perut keretanya sendiri. Senyuman nakalnya bertaut di bibir. Kelakarnya dia nampak bagaimana Cika
menghulurkan wang kertas pada budak yang diupahnya sebentar tadi. Cerdik betul
budak tu! Sempat lagi ‘pau’ duit pada gadis itu. Dia memang kagum gila! Tapi
tak kisahlah, hari ini dia gembira kerana berjaya mendajalkan gadis itu.
Ketika dia mahu
memasuki perut kereta, matanya tiba-tiba terpandag sesuatu. Matanya tertarik
memerhatikan sebuah buku hitam berkulit tebal yang terdampar berdekatan
keretanya. Dia terus mengutip buku tersebut. Siapa punya ni? Gadis tadikah?
Didorong
perasaan ingin tahu, dia segera menyelak helaian pertama buku berkulit tebal
itu. Dan matanya dengan lekas tertancap pada tulisan besar di halaman pertama.
Cika?
* *
* *
PUAN BAHYAH asyik
terhendap-hendap ke dalam bilik air wanita di restoran itu. Puas menanti di luar, akhirnya dia memaksa diri masuk ke
dalam. Tapi kelibat Cika entah ke mana. Bibirnya diketap kegeraman. Budak ni
memang nak kena ni! Kata tadi nak ke tandas sekejap sahaja tapi ini dah dekat
setengah jam berlalu.
Dia meraba-raba
beg tangannya, cuba
mencari telefon bimbitnya. Alamak! Tak ada pulak! Rungut Puan Bahyah sambil cuba
mengingatkan di mana dia meletakkan telefon bimbitnya. Aduh parah kalau begini.
Hendak tak hendak dia terpaksa kembali ke mejanya. Namun kehadiran dua kelibat
tubuh di mejanya membuatkan nafas Puan Bahyah jadi kencang. Hendak tak hendak
dia terpaksa melangkah ke arah kedua-duanya.
“Min, dah lama sampai?” Tegur Puan Bahyah pada teman lama
satu universitinya dahulu. Mereka bersalaman dan berpelukan seketika, meskipun
bukan lama mana mereka tidak bertemu. Padahal baru dua hari lepas mereka
terserempak di pusat beli belah sebelum berbicara tentang anak masing-masing.
Dan baru semalam juga mereka saling berceloteh di dalam telefon, merancang
pertemuan hari ini.
“Baru aje sampai Yah. Sorry
aku lambat. Ni ha anak bujang aku ni bersiap mengalahkan perempuan. Punyalah
lama baru dapat bergerak ke mari.”
Ujar Puan Jamilah yang cukup ceria
orangnya dan bertubuh ramping meskipun sudah mencecah usia 50an.
Puan Bahyah memandang lelaki muda di samping temannya.
Idham Hariz sedang tersenyum memandangnya. Melihat anak muda itu Puan Bahyah
menarik nafas panjang. Aduhai makin smart
anak teruna temannya itu. Dia sendiri tidak faham kenapa Cika liat sungguh mahu
diajak bertemu dengan Idham. Tengoklah Idham Hariz ini. Kacak dan kemas
pakaiannya. Orangnya juga terpelajar dan berbudi bahasa. Jenis yang mana si
Cika ni hendak agaknya? Keluh Puan Bahyah seraya mengigit bibir.
“Eh mana Syafika?” Tanya Puan Jamilah sambil
menjengah-jengah sekitar tempat itu mahu mencari anak gadis Puan Bahyah. Sejak
tadi dia mengintai tetapi tida bersua pandang dengan anak gadis temannya itu.
Puan Bahyah menelan liur. Gugup dan risau seiring.
Telatah anak gadisnya memang tidak makan saman. Apa yang mahu dikatakannya pada
temannya itu? Alasan apa yang patut diberikan untuk menjustifikasikan
kehilangan Cika?
“Err sebenarnya Cika ada datang tadi. Tapi aku suruh dia
balik. Budak itu entah apa yang dimakannya tiba-tiba sahaja sakit perut. Cirit-birit
agaknya.” Ujar Puan Bahyah.
“Cirit-birit? Eh bahaya tu kalau dibiarkan begitu sahaja.
Kena hantar ke klinik tu.” Wajah Puan Jamilah bersalut kebimbangan. Dia mengerling
seketika ke arah Idham. Anehnya wajah anak muda itu seakan lega mendengar
kata-kata Puan Bahyah.
“Err dah..aku
dah suruh dia ke klinik lepas tu balik berehat. Aku minta maaf banyak-banyak Min,
tak sangka pulak hal macam ni nak jadi. Agaknya dia nerveoussangat dapat jumpa Idham.” Ujar Puan Bahyah, main hentam
kromo sahaja apa yang tersagat di kepalanya saat itu.
“Tak apalah, nak buat macamana. Idham pun tak sabar-sabar
nak jumpa Syafika bila aku tunjukkan gambar Syafika yang terbaru tu pada dia.”
Ujar Puan Jamilah sambil mengerling anak bujangnya.
Puan Bahyah menelan liur seraya memandang ke arah Idham.
“Maaf ya Idham, auntie tak sangka pulak nak jadi macam
ni.” Ujar Puan Bahyah kesal. Wajahnya tampak tenang, namun hati di dalam
seperti ingin meletup-letup. Yang pasti lepas ni dia sudah bersedia untuk balik
dan meletupkan kepala Cika pula. Buat masalah sungguh anak daranya yang seorang
itu.
“Tak apalah auntie. Saya pun dah lama tak jumpa Cika.
Bila mummy tunjukkan gambar Cika, saya terkejut juga. Cika dah banyak berubah.”
Ujar Idham. Memang dia jujur bila mengatakannya. Wajah Cika memang berubah
seratus peratus. Tidak ada lagi wajah nerd
dan rambut kerinting pendek itu seperti ketika mereka di bangku sekolah dahulu.
Sebaliknya wajah yang terpapar di potret itu kelihatan ayu dan manis sekali.
“Dah besar memanglah berubah. Idham pun auntietengok sejak balik dari luar
negara ni semakin tampan dan segak.” Puan Bahyah memuji. Hakikat yang tidak
payah disangkal lagi. Anak muda itu memang kacak orangnya.
“Tak apalah Yah, alang-alang kita dah ada kat sini.
Marilah kita makan dahulu sambil bersembang.” Cadang Puan Jamilah. Mahu tak
mahu Puan Bahyah mengangguk. Setuju dengan cadangan wanita itu.