MARSEILA asyik mendongak ke atas,
memerhatikan bangunan tujuh tingkat di atas kepalanya yang menempatkan apartmen
adiknya. Dia sebenarnya malas mahu menjenguk adiknya, lagi-lagi kerjayanya
sebagai ketua pramugari dengan penerbangan Malaysia sering tidak mengizinkan
dia mempunyai banyak masa lapang. Tapi demi kerana si ayah, dia memaksa diri.
Dalam sibuk-sibuk, dia cuba
meluangkan masa untuk menemui Nadim. Mujurlah malam ini dia tidak bertugas di
awan biru.
Budak
keras kepala! Marseila sempat merungut-rungut begitu. Adiknya itu tak
habis-habis membuatkan semua orang risau! Dia sendiri jika diikutkan malas mahu
mencampuri urusan adiknya. Tapi mengenangkan mereka hanya dua beradik, dia
terpaksa mengalah.
Apartmen
yang Nadim duduki sejak dua tahun yang lalu memang jarang-jarang dijenguknya.
Selalunya kalau dia menelefon mahu datang bertandang, Nadim akan memberi usul
agar mereka bertemu di luar. Dia jarang benar dapat melihat tempat tinggal adiknya
itu. Ada sahaja
alasan Nadim untuk tidak membenarkannya masuk. Entah ada berlian agaknya di
rumah tu, Marseila membuat kesimpulan sendiri. Jangan ada perempuan sudahlah!
Takut juga dia jika apa yang kadangkala berlegar di fikirannya menjadi kenyataan. Tapi
dia percaya, Nadim bukan lelaki begitu. Adiknya itu walaupun bukan kategori orang yang kuat beragama,
tapi dia percaya Nadim tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh
di apartmen peninggalan arwah ibu mereka.
Apartmen
Nadim terletak di tingkat paling atas
bangunan tersebut. Sudah beberapa kali dia membunyikan loceng pintu, tapi tidak
ada sesiapa yang membuka pintu untuknya. Dahi Marseila berkerut sedikit. Tidak
adakah budak itu di rumah? Ke mana dia?
Tangannya
terus menekan-nekan loceng pintu. Dia menanti dengan sabar. Tapi setelah sepuluh
minit tercegat seperti orang bodoh, Marseila mengeluh panjang. Dengan segera
dia menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan segugus anak kunci. Tanpa perasaan
bersalah kerana menganggu privasi orang lain, dia segera memulas anak kunci
tersebut lalu melangkah masuk. Mujurlah dia memiliki kunci apartmen peninggalan
arwah ibunya untuk Nadim.
Melihat
apartmen itu, mulutnya melopong sedikit. Kemas dan teratur dengan elemen gaya klasik yang
mengekalkan warna kesukaan Nadim, hitam dan putih. Tidak seperti apa yang
bermain di kepalanya yang menyangka apartmen adiknya itu pasti bersepah-sepah
seperti rumah orang bujang yang lain.
Marseila hanya mampu tersenyum
sendiri. Dia hampir terlupa yang sikap Nadim memang lebih mirip ibunya yang
pengemas dan tidak suka dengan keadaan kotor. Tidak seperti dia yang kurang
pandai mengemas seperti arwah ibunya.
Dia
mencari-cari Nadim di ruang tamu tapi kelibat anak muda itu tidak ada. Marseila
menjenguk pula ke arah ruang dapur, namun kelibat adiknya juga tidak ada di
situ. Wajahnya berkerut. Jangan-jangan Nadim masih tidur! Begitulah rentak
fikiran Marseila ketika itu. Dia segera menghela langkah ke arah ke bilik tidur.
Melihat cadar bilik tidur yang kemas tidak terusik, dia jadi bingung. Sah
memang betul Nadim tidak ada di rumah ketika ini.
Marseila
mula merasa seperti orang bodoh. Datang dengan niat mahu memberi kejutan kepada
si adik, tapi berakhir dengan kekecewaan pula. Dia berkira-kira mahu pulang
sahaja. Tapi ketika dia melintasi kawasan beranda itu, telinganya tiba-tiba menangkap
suatu bunyi. Marseila menoleh, lalu terpandang sesusuk tubuh sedang tertidur di
atas sofa bulat di luar beranda, menghadap ke arah bangunan Menara Kuala Lumpur
yang tersergam megah.
Marseila menghela nafas lega. Jumpa
juga akhirnya! Dia ingin mengejutkan Nadim, namun entah kenapa dia tidak sampai
hati. Anak muda itu tidur lena di hadapannya.
“Pujuk
dia Sheila. Ayah dah buat persiapan untuk dia ke luar negara dan habiskan
pelajaran. Sudah sampai masanya dia belajar jadi lelaki yang matang, bukan duduk
sahaja merengek dan menangisi orang yang sudah tiada.” Kata-kata ayahnya
bermain semula di tubir minda.
Marseila merenung setiap inci wajah
itu dengan teliti. Poor Nadim!
Macamana kakak nak ubah fikiran kamu jika kamu sendiri tidak ingin membuka hatimu
untuk kami Nadim? Keluh Marseila rungsing.
Kelopak
mata adiknya tiba-tiba terbuka luas. Marseila hanya mampu tersengih, apabila
Nadim bingkas bangun sambil merenungnya dengan wajah serius. Hendak tak hendak,
dia terpaksa menayang gugus kunci yang berada di tangannya.
*
* * *
PASPORT, visa dan dokumen-dokumen
berkaitan diletakkan di hadapan anak muda itu. Nadim hanya memandangnya tanpa
sebarang reaksi. Wajah itu selamba sahaja. Sebaliknya kopi yang panas berasap
di hadapannya yang dicapai dahulu. Lelaki itu menghirupnya dengan tenang.
Sebaliknya dia pula yang merasa serba-salah.
“Nadim, please.. listen to me. Kakak harap sangat kali ini Nadim jangan
membantah. Ikut sahaja kata ayah. Ayah dah siapkan semuanya untuk Nadim. In fact, ini untuk masa depan Nadim.”
Pujuk Marseila cuba
berlembut.
“Masa depan Nadim atau masa depan
ayah?” Soal lelaki itu seraya merenung wajah Marseila.
“Tentulah semua ini untuk masa depan
Nadim. Ayah tahu apa yang terbaik untuk kita.” Pujuk Marseila.
“Hidup Nadim bukan untuk ayah
tentukan kak.” Jawab Nadim.
Marseila terdiam. Dia mencapai cawan
kopinya lalu dihirup beberapa kali. Dia benar-benar perlukan kekuatan untuk
berhadapan dengan adiknya yang keras kepala itu.
“Nadim, kenapa degil sangat ni?”
Keluh Marseila.
“Patutlah ayah suruh Nadim singgah
di pejabat dia tempohari. Rupa-rupanya ini yang dia nak bincangkan. Tak
sabar-sabar dia nak suruh Nadim pergi dari sini kan?” Nadim tersenyum tenang.
“Nadim ada ke pejabat ayah? Bila?”
Giliran Marseila pula yang tercengang.
Nadim ketawa kecil. Memang dia ada menerima
pesanan dari Rossie setiausaha ayahnya agar dia menemui lelaki itu di
pejabatnya. Tapi belum sempat dia mahu bertemu ayahnya, berlaku pula kekecohan yang
menyebabkan dia bertukar fikiran. Seharusnya dia berterima kasih pada gadis itu
kerana membuatkan dia menukar fikirannya di saat-saat akhir. Jika tidak, pasti
dia akan dihidangkan dengan perkara yang sama yang diutarakan Marseila
kepadanya hari ini.
Mujurlah ramai staf-staf ayahnya
tidak mengenalinya sebagai anak kepada Tuan Aaziz Ibrahim. Jika tidak, pasti
sukar untuknya melepaskan dirinya ketika itu.
“Nadim..” panggil Marseila.
Anak mata Nadim beredar ke wajah
kakaknya. Terkelip-kelip mata gadis itu memandangnya.
“Sampai bila Nadim nak bersikap
macam ni? Sampai bila Nadim nak asyik
dengan gitar dan piano tu? Takkan sudah kalau Nadim tak further study kat New
York tu.” Ujar Marseila.
“Nadim lebih suka macam ni kak. Kat
sini Nadim bebas buat apa sahaja. Dan muzik adalah segala-galanya untuk Nadim. Jangan
bimbang, Nadim akan tetap sambung belajar. Cuma bukan sekarang masanya.” Ujar
anak muda itu.
“Kalau macam tu Nadim akan buat ayah
kecewa. Kenapa macam ni Nadim? Selepas mama meninggal, Nadim dah tak macam dulu
lagi. Dan kematian Naomi, buat Nadim makin jauh dari kami. Mana Nadim yang
kakak kenal dulu?”Keluh Marseila rungsing.
Nadim terdiam. Bicara Marseila
menusuk ke jiwa. Dia tahu semua orang tertanya-tanya tentang perubahan dirinya.
Tapi tidak ada seorang pun yang tahu kenapa dia jadi begini.
“Kakak baliklah. Beritahu ayah, bukan
semua benda di dunia ini mampu dikawalnya.” Dia bingkas bangun.
“Nadim..” Marseila menegah. Memegang
lengan adiknya.
“Emilia macamana?”
Nadim tergaman. Kenapa pula nama
Emilia harus muncul dari bibir Marseila? Untuk apa kakaknya membangkitkan
perihal gadis itu pula?
“Pertunangan Nadim dengan Emy
macamana?” Soal Marseila ingin tahu.
“Macamana apa?”
Marseila melepaskan keluhan. Dia
tahu Nadim tidak pernah menyukai anak gadis Tan Sri Jabbar itu. Selama ini
Emilia sahaja yang tergedik-gedik mahu mendekati adiknya. Dia sendiri kurang
berkenan dengan Emilia. Muka memanglah cantik kalah model, tapi perangai gedik
dan manja Emilia melemaskannya. Kalau dia yang jumpa dengan Emilia sekali
sakala pun boleh rimas, inikan pula Nadim yang dipaksa bertunang dengan gadis
itu.
“Kalau tak ada apa-apa, Nadim balik
dulu kak.” Ujar Nadim seraya berlalu pergi meninggalkan Marseila yang masih
berteleku di meja itu sambil termenung panjang.
Marseila melemparkan pandangan kosong
ke arah Nadim yang sudah melangkah pergi. Sebaik kelibat anak muda itu
menghilang di muka pintu restoran, dia hanya mampu mengeluh. Tak tercapai juga
misinya mahu memujuk anak muda itu! Ayah pun satu. Kalau nak pujuk, pujuklah
sendiri. Ini tak..aku yang tak ada skillmemujuk
ini juga yang harus ambil peranan. Rungut Marseila seraya menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Nadim berhenti selang beberapa jarak
dari titik pertemuannya dengan kakaknya Marseila. Kepalanya ditoleh ke
belakang. Ada
gusar bermain di jiwa. Pertanyaan Marseila tadi seakan mengigit sukmanya.
“Selepas mama meninggal, Nadim dah
tak macam dulu lagi. Dan kematian Naomi, buat Nadim makin jauh dari kami. Mana
Nadim yang kakak kenal dulu?”
Keluhannya meluncur dari bibir
sebaik kata-kata Marseila sebentar tadi menikam ke sukma jiwanya. Nadim yang kakak
kenal dulu sudah mati! Jiwanya sudah lama hancur kak! Jadi jangan ditanya ke
mana Nadim Ammar yang dahulu sentiasa riang! Bisik Nadim seraya meneruskan
langkah yang tergendala sebentar tadi.
*
* * *
KETIKA dia singgah di rumah itu,
pintu hadapan terbuka luas. Dia masuk tanpa berfikir panjang dan terlihat Naomi
sudah mengemas bagasi-bagasinya.
“You
buat apa ni?” Tanyanya bingung.
Gadis
berambut perang muda itu menoleh tapi hanya sebentar. Kehadirannya seolah-olah
tidak dipedulikan gadis itu memaksa dia mendekati Naomi lebih rapat. Melihat ke
arah barang-barang berselerak yang sedang dimuatkan gadis itu ke dalam sebuah
beg besar, dia semakin risau.
“Naomi, what are you doing?” Suaranya
sedikit meninggi.
Naomi
berhenti mengemas. Gadis itu duduk di atas sebuah sofa sambil memandang ke
arahnya.
“I
dapat calldari CDG (Cave Diving
Group) di UK
pagi tadi. Mereka jemput I sertai mereka. Mereka nak buat ujian kelayakan di Bahamas
hujung bulan ini.” Ujar Naomi merujuk kepada kumpulan penyelam dari UK
yang diktiraf dunia itu.
“Dan
you nak pergi macam tu aje?” Dia merenung Naomi.
“I
suka dengan laut Nadim. In fact this is
my life. I rasa dengan semua masalah yang kita hadapi sejak akhir-akhir
ini, ini peluang terbaik kita untuk mencari apa sebenarnya yang kita mahu. I
tak mahu dituduh ayah you jadi penghalang diri you untuk berjaya.” Ujar Naomi
berterus terang.
“Ayah
I tak ada hak ke atas kita.”
“Itu
kata you. Tapi bagi dia, you satu-satunya anak lelaki dia. I dah bosan dipersalahkan
semua orang kerana you. Cakap dia betul. I tak sepatutnya halang hidup you.
Kalau bukan sebab I, you dah lama ke New York kan?”
“Wait..you ada jumpa ayah I? Bila?”
Naomi
terdiam sejenak. Wajah yang merah padam di hadapannya direnung dengan perasaan
serba salah.
“I
jumpa dia kelmarin.” Ujar Naomi.
“And you tell me nothing about this?”
“Nadim,
I’m so sorry. I tahu you akan marah
kalau you tahu I ada jumpa ayah you. Tapi cakap ayah you ada benarnya. You tak
patut habiskan masa you untuk I sedangkan you ada masa depan yang cerah.”
“Apa
dia cakap Naomi.”
“Nadim..
dia..”
“Beritahu
I, apa yang ayah I mahu dengan you?’ Suaranya semakin keras. Berang dengan apa
yang diketahuinya.
“Dia
bagitahu I yang dia nak you sambung pelajaran you di New York. Katanya sebab I, you masih terperap
di tempat ini. Sebab I juga, you akan korbankan masa depan you.”
“I
lakukan semua ini sebab I sayangkan you. I
love you so much.”
“And I do love you sayang. Tapi ini bukan
caranya kita menyintai antara satu sama lain. Kita bebas buat apa sahaja yang kita
suka tanpa memikirkan orang
lain. Kita tak peduli pada yang lain kecuali melakukan apa yang kita suka. Tapi
itu I, sayang. This is not you. I
kenal Nadim Ammar. Dia lelaki yang bijak, caring dan penuh perhatian. Believe me, I was so in love with that man.
Tapi semakin lama you begini, I hanya akan jadi penghalang untuk masa depan
you. I fikir you harus pergi ke New
York lanjutkan pelajaran.” Putus Naomi.
“Don’t do this to me Naomi. Please.. New York bukan
satu-satunya benda penting dalam hidup I. You lebih penting.” Rayunya.
Gadis
itu bingkas bangun lalu menghampirinya. Sepasang mata Naomi yang basah menatap
sayu ke arahnya.
“I
dah buat keputusan. I nak pergi ke Bahamas. I akan dapatkan kelayakan
CDG tu dan you mesti sambung pengajian you di New York. Mungkin beberapa tahun dari
sekarang, kita akan bertemu semula dan waktu itu, kita akan buat keputusan
samaada mahu meneruskan hubungan ini ataupun tidak.” Ujar Naomi.
Dan
gadis itu nekad mahu meninggalkannya. Dia pula akur dengan pergi ke New York seperti yang
dimahukan ayahnya. Namun hidup di rantau orang tidak pernah memberi ketenangan
lantaran dia sudah kehilangan Naomi dan kehilangan hidupnya. Dari jauh, khabar
Naomi masih diikuti dan didahului. Khabar dari jauh meniup berita di telinganya
tentang Naomi yang kini menjadi salah seorang ahli penyelam profesional dengan
Cave Diving Group. Kadangkala gadis itu mengikuti operasi bersama pihak
penyelamat menyelamatkan mangsa-mangsa bencana yang berkait dengan air.
Dua
tahun bersama CDG, Naomi kemudiannya dihantar ke Teluk Hope membantu mangsa
kapal karam. Naomi sempat menghubunginya, sekadar memberitahu tentang
ekspedisinya ke Teluk Hope. Tapi malang
tidak berbau. Dia menerima berita buruk itu ketika sedang bermain piano di
sebuah kelab. Dunia seolah-olah runtuh saat itu. Jiwanya bergelodak dengan
kepiluan yang terus merantai jiwa. Dia terseksa, hatinya rawan dalam semangat
yang kian pudar. Dan kematian Naomi diletakkan di atas ayahnya. Dia kehilangan
Naomi kerana lelaki itu. Kerana ayahnya sendiri!
“Kenapa
ayah? Kenapa ayah nak pisahkan Nadim dan Naomi?”
“Gadis
itu tidak bawa apa-apa kebaikan pada kamu Nadim. Ayah cuma mahu melindungi
kamu.” Alasan ayahnya langsung tidak masuk akal.
“Nadim
cintakan dia ayah.”
Mata
ayahnya terbeliak mendengar pengakuannya. Wajah lelaki itu sudah bertukar merah
padam. Ternyata kata-katanya memancing kemarahan lelaki itu.
“Dia
bukan berasal dari rumpun budaya kita. Malah dia seorang ateis. Ayah tak mahu
bakal menantu ayah seorang ateis yang tidak percayakan agama.” Ujar ayahnya.
Dia
terdiam mendengar hujah ayahnya. Kata-kata lelaki itu memang benar. Naomi
seorang ateis. Lahir dari rahim seorang ibu berbangsa Cina dan seorang lelaki
Inggeris dari UK.
Sejak kecil, Naomi bersendirian setelah kedua ibu bapanya bercerai. Mereka
bertemu dan berkawan apabila sama-sama menuntut di International School.
Ketika itu dia baru pulang dari luar negara bersama ayah dan kakaknya Marseila.
Membesar di rantau orang membuatkan
dia tidak betah meneruskan persekolahan di sekolah awam biasa, lantaran selama
ini dia diasuh untuk berteman dan bersahabat dengan rakan-rakan berbilang
bangsa. Kerana mahu menyelesakan dirinya, maka dia dihantar ke International School. Dan di situ dia tertarik melihat
seorang gadis perenang yang cukup lincah di kolam renang. Itulah Naomi Lee
Schubert. Gadis idaman hatinya, sekaligus menjadi penawar dan juga racun.
“Kenapa
you tak percayakan tuhan?” Dia pernah memberanikan diri bertanya kepada gadis
itu.
“Entahlah.
Mungkin sejak kecil I tak pernah kenal siapa itu tuhan.” Jawab Naomi mudah.
“Tapi
you percaya yang tuhan itu ada bukan?” Sekali lagi dia menguji.
Naomi
memandangnya seraya tersenyum. “I akan percaya apa sahaja yang you percaya
Nadim.” Jawab Naomi.
Dia
terdiam. Tubuhnya disandarkan ke dada kerusi, seraya merenung wajah Naomi yang
sedang menjamah aiskrim di kafeteria ketika itu.
“I
tak boleh paksa you terima apa yang I percaya. I nak you sendiri yakin dengan
tuhan. Hidup kita mesti ada pegangan Naomi. Dan pegangan itu haruslah
bersandarkan tuhan. Kerana ALLAH!” Dia berhujah sekadar meletakkan sedikit asas
di hati Naomi yang kontang ketika itu.
Naomi
terdiam mendengar kata-katanya. Kerut di wajah gadis itu seperti memikirkan
sesuatu. Dia tahu Naomi ingin bertanyakan sesuatu, tapi entah kenapa gadis itu
tidak pernah meluahkannya. Sehinggalah ke saat-saat akhir dia cuba mendekati Naomi, cuba mendekatkan gadis itu dengan
ajaran Islam meskipun dia bukan orang paling layak untuk mendidik gadis itu.
Adakala apabila masuk bulan Ramadhan, Naomi akan turut berpuasa. Meskipun dia
tahu gadis itu hanya menurut apa yang dilakukannya, tapi Naomi seperti berminat
dengan Islam.
Tapi
hubungannya dengan Naomi ditentang ayahnya Tuan Aaziz Ibrahim. Lelaki itu tidak
suka dia berhubungan dengan Naomi, sebaliknya dia diperkenalkan dengan anak
gadis teman lama ayahnya Emilia yang sentiasa cuba mendekatinya. Malah ada
perancangan antara ayahnya dengan Tan Sri Jabbar yang ketika itu masih bergelar
datuk untuk menyatukan hubungan mereka.
Ironinya Emilia turut memasuki International School selepas itu dengan agenda mahu
merapatinya. Namun gedik Emilia merimaskannya. Dia tahu Naomi juga rimas dengan
kehadiran gadis itu. Ke mana-mana sahaja dia pergi, Emilia akan mengekorinya,
menyelit di sampingnya meskipun Naomi ada bersama ketika itu.
Lama
kelamaan hubungannya dengan Naomi jadi renggang kerana Emilia. Banyak kali
mereka bergaduh kerana soal yang remeh-temeh. Mungkin ini juga sebabnya kenapa
Naomi seakan putus asa dan tega meninggalkannya begitu sahaja.
Semua
ini salahnya! Mungkin kalau dia bertegas melarang Naomi ke UK dahulu,
tentu gadis itu masih hidup. Masih bernafas dan tersenyum memandangnya. Naomi,
semoga kebaikan hatimu dan keluhuran dirimu diterima ALLAH di sisinya. Nadim
menarik nafas panjang. Hanya itu yang mampu didoakannya terhadap insan yang
berada di hatinya sejak sekian lama.
Deringan
telefonnya entah sejak bila berbunyi minta dijawab. Dia seperti tersedar dari
mimpi yang panjang. Telefon yang tadinya sekadar dicampak ke atas meja dikutip
lalu dikerling. Nama yang terpapar pada skrin, mula membuahkan senyuman. Jak!