Wajahnya ditatap di hadapan cermin
bilik air itu. Bibir yang sedikit pucat dioles dengan lip gloss berwarna merah muda. Rambutnya agak keperang-perangan,
versi dicelup-celup seperti rata-rata gadis kota yang lain. Tapi rambutnya bukanlah
perang melampau seperti artis-artis barat. Sikit je, itulah ayat yang sama yang
dicanang pada si ibu.
“Cika, lain kali kalau umi nampak
rambut awak begini lagi, lebih baik umi cukur sahaja sampai botak.” Leter
ibunya.
Dia hanya memekakkan telinga apabila
dileter oleh ibunya yang tidak suka dia mencelup rambut. Berdosa kata si ibu
jika kita mengubah-ubah kejadian ALLAH. Tapi kerana dasar dia anak keras
kepala, tak makan diajar, maka suruhan wanita itu hanya dibuat endah tak endah
sahaja. Paling-paling dia akan kata dia adalah gadis kota moden. Gadis extravaganza di era baru.
Setelah berpuas hati dengan
penampilan diri sendiri, Cika keluar dengan hati lapang. Almaklum misi ibunya
hendak menjodohkan dia dengan hamba Allah bernama Zain itu berjaya lagi
digagalkan. Bila sebut ‘lagi’ ini bermakna bukan sekali ini sahaja dia akan
hadir ke perjumpaan jodoh. Sudah acapkali dia cuba dicarikan jodoh oleh ibunya.
Kalau elok di matanya okeylah jugak, ini semuanya markah kosong. Kalau ada yang
handsome pun, mesti jenis buaya
tembaga semuanya.
“Adik tu memilih sangat. Asyik nak
yang macam muka Josh Duhamel, mana nak cari? Cuba-cubalah rendahkan sikit
kriteria tu, ambik ajelah muka-muka Bangla dan Lombok yang bersepah kat Kuala Lumpur ni.” Ejek
Ubek tempohari.
“Eh mana boleh? Abang nak Cika pilih
aje yang bersepah-sepah tu? No way!
Kalau setakat nak cari muka macam tu, kat pejabat Cika pun banyak. Abang, salah
ke kalau Cika ni memilih sikit? Takkan sebab Cika ni perempuan, maka Cika tak
ada hak nak memilih. Lagipun Cika yang nak kahwin bukan orang lain. Suka hati Cikalah
nak pilih siapa pun.” Dia menyatakan rasional sikap cerewetnya.
“Tak salah nak memilih, tapi jangan
sampai lalai masa. Awak tu bukan muda lagi. Abang tak apa, tak ada expired date. Bila-bila masa abang boleh
kahwin. Tapi adik tu perempuan.” Ubek ketawa kecil.
Dia mengetap bibir. Bengang dengan
bunyi ketawa Ubek yang bukan ikhlas menasihatinya, tapi sekadar mengulang
kembali kata-kata ibunya.
“Cika nak tunggu bila lagi? Kita
orang perempuan ni bukan sentiasa muda. Umur kita makin lanjut. Takkan awak tak
nak bersuami, tak nak kasi umi dengan babah menantu? Jangan memilih sangat,
ambil aje pilihan yang umi dah kasi green
light tu.” Suara ibunya Puan Bahyah muncul tergiang-giang di kepala
menggantikan suara Ubek.
Dia hanya menarik nafas panjang.
Umur dia baru 28 tahun. Muda lagi la!
Yang orang lain sibuk-sibuk ni apasal? Aku tak kisah pun! Hati kecilnya
menggerutu. Dia mendengus keras. Geram kerana sering dipaksa-paksa menerima
calon pilihan ibunya yang entah apa-apa.
Usai berpuas hati dengan penampilan
dirinya, Cika segera mengemaskan beg tangannya ke bahu. Ketika dia mahu melangkah
keluar, tak diduga muncul suatu kelibat tubuh memasuki pintu tandas. Dia yang
melihat kelibat itu terkejut besar. Lelaki! Apa seorang lelaki buat di bilik
air wanita?
Lelaki itu tidak mempedulikannya
sebaliknya sibuk mencari-cari sesuatu.
Di hadapan tandas terakhir, langkah lelaki itu berhenti. Matanya
merenung lama ke arah pintu bilik air yang tertutup rapat di hadapannya.
Cika ingin bersuara memarahi lelaki
itu. Tapi belum sempat dia mahu membuka mulutnya, lelaki itu terlebih dahulu
berteriak sambil memanggil-manggil nama seseorang. Hajat Cika terbantut, tapi
dia masih belum beredar dari situ. Entah kenapa gelagat lelaki itu menarik
perhatian. Dari nama yang disebut lelaki itu, dia tahu nama itu pastinya
pemilik seorang gadis yang sedang bersembunyi di dalam tandas itu.
Lelaki itu terus-terusan berteriak.
Cika tersengih sinis. Bergaduh dengan teman wanita la tu. Orang macam ni yang
tak pandai menjaga hati teman wanita, patut kena tampar sahaja! Gerutu Cika
sambil mencebikkan bibirnya.
Pang! Bunyi itu cukup mengejutkan
Cika. Dia tergaman sebaik melihat seorang gadis cantik manis, keluar dari pintu
bilik air terakhir dan menampar wajah lelaki itu.
“I
hate you.” Bentak si gadis yang cantik manis itu. Di kelopak matanya
tersisip jelas butir-butir jernih yang hampir mahu luruh. Si lelaki hanya berdiam
diri apabila diherdik begitu.
Cika cuba memerhatikan wajah lelaki itu,
tapi dia gagal melihat wajah itu lebih jelas. Kenapa dengan mereka ni? Buat
drama biarlah di tempat yang senonoh sikit. Ini di tandas wanita pulak!
“I dah beritahu you awal-awal bukan?
I don’t love you.” Ujar lelaki itu.
Mata Cika terbeliak. Buntang
mendengar pengakuan berterus-terang itu. Mak oi ayat. Sadis gila punya ayat!
“But
you won’t listen anything from me.” Sambung lelaki itu tenang.
“Family
you nak kita kahwin. Before we go to New York..”
“I
don’t want to go to New York.
And I don’t want to marry you.”
Ungkap lelaki itu.
“I tak peduli. You cakaplah apa
sahaja tapi I dah decide nak ikut
cakap family kita.” Tegas si gadis.
“Kahwin tanpa cinta..itu yang you
nak?”
“I dah kata yang I tak peduli. Kalau
you masih kenangkan Naomi di hati you, dia hanya sejarah lalu you.”
“Gosh
you are too much Emy.” Keluh lelaki itu.
Cika ketawa kecil. Adegan yang tak
masuk akal. Sampai bila diaorang ni nak buat adegan kuch-kuch hota hai dalam tandas ni? Ah! Blah lagi baik. Buang masa
sahaja mengendap perbualan yang merepek ni. Dengus Cika lalu beredar ke arah
pintu.
Namun ada sesuatu yang tak diduga
berlaku. Entah sejak bila, lantai di bilik air itu licin dan terkumpul air yang
belum kering. Cika pula secara kebetulan memijak permukaan yang masih basah dan
licin, Hasilnya..dia gagal mengimbangi tubuh lalu tersembam ke arah lantai yang
licin. Bedebuk!
“Aduh!” Cika terjerit sambil jatuh
terduduk.
Bunyi
suara Cika membuatkan kedua-duanya berpaling. Gadis itu mendengus kasar lalu
keluar dari situ. Si lelaki itu pula mahu menurut jejak langkah temannya, namun
tidak sampai hati melihat Cika yang masih terduduk di situ.
“Nak
kena tolong ke?” Soal lelaki itu selamba. Tangannya sudah dihulurkan ke arah
Cika yang terpisat-pisat.
Cika
mengetap bibir. geram pula mendengar pertanyaan yang tak masuk akal itu. Dah
kau nampak orang jatuh dengan gaya
kuak lentang macam ni, takkan tak nak tolong? Bahlul sungguh lelaki ni.
“Tak
payahlah. Saya boleh bangun sendiri.” Jawab Cika dengan suara meninggi. Dia
mendongak wajah lalu memandang lelaki itu. Namun wajah yang terpapar cukup
jelas itu membuatkan dia terpegun seperti patung. Alamak! Dia!
Dia
masih ingat lelaki itu. Itulah lelaki yang ditemuinya di Ulu Yam ketika
mengikut Ubek memancing tempohari. Kes silap khemah! Cepat-cepat dia memalingkan
wajah, bimbang lelaki itu mengecamnya. Malu beb! Dahlah hari tu silap khemah
sehingga termasuk ke khemah lelaki itu, hari ini pula dia boleh pulak
terserempak dengan hamba Allah ini. Mana gua nak sorok muka ni?
“Hai
kata nak bangun sendiri? Tak bergerak-gerak pun. Ke nak minta saya tolong
dukung?”
Alamak?
Nak dukung? Nak mampus ke?
Belum
sempat Cika berfikir panjang, tiba-tiba muncul suatu jeritan nyaring. Kedua-dua
mereka serentak menoleh ke arah muka pintu. Seorang makcik berusia dalam
lingkungan 50an sedang menjerit ala-ala soprano ke arah mereka.
Cika
tercengang. Apahal pulak makcik ni buat konsert kat sini? Dia berpaling ke arah
lelaki itu. Tapi alangkah terkejutnya dia melihat lelaki itu sedang merenung
wajahnya dari atas ke bawah. Alamak! Cika sudah menyedari sesuatu, bahawa
lelaki Ulu Yam itu sudah kenal dan sudah mengecam dirinya. Aduh!
*
* * *
Sarjan Sudin asyik berjalan
terhuyung-hayang. Menghadap kedua-dua pesalah di hadapannya yang sedang duduk
di meja di pejabat Jak, tuan punya Jumbo Jeep. Yang lelaki selamba sahaja duduk
diam di situ dalam keadaan tenang, walhal yang si perempuan asyik-asyik menekan
kekunci telefon bimbitnya.
Dia mengerling ke arah Jak yang
sedang memicit dahinya, barangkali pusing dengan kekecohan yang tiba-tiba melanda
Jumbo Jeep dua jam tadi.
“Tuan, apa lagi tuan fikir tu? Kan mereka dah jelaskan
apa yang dah berlaku tadi tu hanya salah faham.” Ujar Jak bersuara, dan
memecahkan kesunyian yang agak lama. Ini gara-gara Sarjan Sudin yang bermisai
lebat itu sedang cuba
mengkaji kes yang berlaku.
Sarjan Sudin tidak menjawab. Dia
duduk di hadapan kedua-dua lelaki dan perempuan di hadapannya. Mata
kedua-duanya sudah menuju ke arahnya.
“Betul ni? Nothing happen?” Sarjan Sudin bertanya lagi. Kali ini menggunakan
bahasa Inggeris untuk menunjukkan betapa dia amat mengambil berat soal ini.
Cika mengerling ke arah lelaki di
sampingnya. Lelaki itu turut memandang wajahnya. Masing-masing bukan berfikir
apa yang patut dicakapkan, tapi masing-masing hanya mahu lepas tangan.
Mengharapkan pihak yang satu lagi boleh menjawabnya.
Cika mengetap bibir. Huh nak suruh
aku la tu!
“Betul tuan. Sebenarnya makcik tu
yang salah faham. Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Saya memang terjatuh tadi,
dan mamat ni offer nak tolong, itu
sahaja.” Jelas Cika. Geram juga dia dengan makcik pengunjung Jumbo Jeep itu
yang boleh beranggapan dia hampir-hampir menjadi mangsa rogol. Yalah, jika
difikirkan kembali, memang bukan salah makcik itu pun. Sesiapa sahaja yang
melihat situasinya sebentar tadi pasti akan beranggapan dia mangsa dan lelaki
itu pula perogol bersiri. Tapi kalau nak rogol pun takkan kat tandas pulak!
Apalah makcik tu, siap buat report polis pulak! Rungut Cika bengang.
“Yang
awak pulak? Apa yang awak buat kat dalam tandas wanita?” Soal Sarjan Sudin sambil
menoleh ke arah Nadim.
Nadim
tidak terus menjawab. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana harus menjelaskannya.
Kedatangan Emilia ke Jumbo Jeep menghuru-harakan keadaan.
“Err
sebenarnya tuan. Tandas lelaki rosak, kebetulan anak saudara saya ni nak gunakan
tandas. Saya yang suruh dia ke tandas wanita. Tak sangka pulak cik ni ada.”
Sampuk Jak tiba-tiba, cuba
menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak soalan muncul dari mulut sarjan
bermisai lebat itu.
Sarjan
Sudin mengeluh panjang. Hai macam-macam hal!
“Dah
kalau itu sebenarnya yang berlaku, saya akan lupakan perkara ini dan maklumkan
kembali pada Puan Senah apa yang sebenarnya berlaku. Kasihan Puan Senah, tak
fasal-fasal masuk hospital kerana asma. Terkejut punya fasal!” Keluh Sarjan
Sudin.
“Tolong
sampaikan maaf kami pada Puan Senah ya tuan.” Balas Jak seraya menghantar
Sarjan Sudin ke luar. Sepeninggalan Jak dan Sarjan Sudin, Cika tiba-tiba
bingkas bangun lalu menoleh ke arah Nadim yang selamba sahaja tidak
berganjak-ganjak dari situ.
“Ini
semua awak punya fasal. Kalau awak tak masuk bilik air perempuan, takkan jadi
macam ni. Makcik tu pun takkan masuk hospital!” Herdik Cika geram.
“Look who’s talking right now. Macamlah
awak tak pernah tersalah masuk.”
Sindiran
lelaki itu membuatkan wajah Cika merona merah. Dia tahu lelaki bernama Nadim
Ammar itu memang mengenalinya. Mengecam wajahnya!
“Saya
dah suruh awak bangun cepat, tapi awak macam orang tua yang sakit lutut. Kalau
bangun cepat, makcik tu takkan salah faham tengok keadaan awak macam tu.” Sambung
Nadim menyatakan rasionalnya.
“And one more thing.” Lelaki itu
merapatinya sedikit demi sedikit. Tanpa disedari, dia terpaksa berundur beberapa
kali ke belakang. Alamak! Apa lelaki ini nak darinya? Namun pergerakannya terhenti tatkala di belakangnya hanya ada
dinding yang menjadi penghalang. Lelaki itu merenung tepat ke wajahnya
membuatkan wajah Cika mulai merah padam. Berdebar dan saling tidak keruan.
Tiba-tiba sahaja wajah Josh Duhamel aktor Transformer yang digilainya itu
terbayang di ruang mata. Alamak! Ada
iras la pulak!
“La kali Cik Syafika, jangan cuba
curi dengar perbualan orang lain. Tak elok.” Ujar lelaki itu seraya tersenyum
sinis. Nada suaranya jelas menyindir.
Wajah Cika berubah. Merah padam
seperti udang dibakar. Amboi, lancangnya kata-kata. Dia ingat dia siapa?
“Tak ingin saya nak dengar perbualan
awak. Awak tu yang tak pandai pilih tempat dan masa. Kat bilik air perempuan
pun nak bermadah-madah pujangga segala. Jenis lelaki macam awak ni saya faham
sangat. Jenis yang patut semua perempuan kat dunia ni elak. The worst disaster ever.” Ujar Cika
sesedap rasa.
Si
lelaki ketawa kecil mendengar jawapan Cika. Wajah manis itu dipandang
berkali-kali. “Apa awak tahu fasal perempuan? Tengok awak ni pun dah tahu awak
jenis perempuan yang tak ada teman lelaki.”
Mata
Cika terbeliak. What the hell? Cis
ini dah melampau. Dia memandang lelaki itu dengan wajah menyinga. Manakala si
lelaki turut merenung tajam ke arahnya seperti perang besar mahu berlaku.
Jak
yang baharu sahaja kembali menghantar Sarjan Sudin, tergaman melihat gerak gaya kedua-dua anak muda
di hadapannya yang seperti sedang bersiap sedia mahu bergusti. Aduh! Apa lagi ni?