Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 18

TERKELIP-KELIP mata Cika apabila mendengar bisikan budak lelaki itu. Hendak percaya ke tidak ni? Budak lelaki berkulit hitam legam dan berminyak-minyak itu semakin rapat ke arahnya. Tiba-tiba sahaja budak lelaki itu muncul, entah dari mana dan menjadi penyampai pesanan tak bergaji.

“Betul ke dik?” Tanya Cika masih ragu-ragu.

“Betul kak, mak kakak yang pakai baju kebaya warna hitam tu kan?” Ujar budak lelaki itu sambil tersengih lebar.

Cika mengangguk dengan cepat. Mendengar budak lelaki itu tahu warna baju kebaya ibunya dia mulai yakin sedikit. Tak sangka betul! Prihatin juga ibunya kali ini. Inilah yang Cika nanti-nantikan sebenarnya. Tak kuasa betul dia mahu masuk menunggu Idham di dalam. Balik rumah tengok kartun lagi bagus!

“Mak kakak suruh kakak balik je. Dia kata lelaki yang dia nak perkenalkan pada kakak tu tak jadi datang hari ini. Dia pula ada hal nak pergi jumpa kawan dia.” Ujar budak lelaki itu dengan petah.

Cika terpisat-pisat sebentar. Antara gembira dan lega, semuanya terpapar jelas di wajah.

“Tapi ada satu hal lagi kak.” Budak lelaki itu menyambung bicara.

Cika menoleh. Dahinya berkerut. Ada lagi?

“Upah saya kakak kena bayar.”

“Upah?”

“Upah kasi tahu kakak la. Tak mahal, RM5 je.” Ujar budak lelaki itu selamba.

Cika terkedu. Samdol budak ni! Hantar pesanan pun kena berupah. Ini mesti umi kedekut nak bagi budak ni duit! Tapi sejurus kemudian dia tersengih. Tak kisahlah, upah pun upahlah. Mujur kau bawa berita baik budak hitam. Kurang-kurang lega sedikit gelodak resah yang dirasainya sepanjang penantian.

“Sebab awak bawa berita baik, tak apa, kakak up sikit upah tu jadi sepuluh ringgit. Nah!” Cika segera menghulurkan not RM10 itu ke tangan budak lelaki itu. Melihat wang di tangannya, wajah itu sudah bertukar ceria. Sempat pula budak itu mengucapkan terima kasih sebelum beredar pergi.

Sebaik kanak-kanak lelaki itu beredar, dia mahu balik sahaja. Tapi entah kenapa, macam ada yang tak kena pula dirasakannya saat itu. Ah double check! Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon ibunya. Beberapa kali mendengar, wanita itu langsung tidak mengangkat panggilannya. Cika masih tidak berpuas hati. Dia segera melangkah ke arah pintu restoran lalu mengintai ke dalam. Namun kelibat ibunya ternyata tidak ada di tempat duduk Betul agaknya! Barangkali memang benar Puan Jamilah dan anaknya Idham tidak jadi datang dan ibunya pula sudah balik.

Bibirnya tiba-tiba tersenyum lebar. Seronoknya! Lepas ni dia merancang mahu meraikan hari kebebasannya dari masalah berkait dengan Idham. Yes! Independence Day. Orang meraikan kebebasan dari jajahan musuh. Dia pula meraikan kebebasan dirinya dari belenggu yang diikat ibunya. Anyway,siapa peduli? Asal dia senang hati cukuplah. Dengan bernyanyi-nyanyi kecil, dia segera berjalan ke arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ.

Nadim pula sudah sampai ke arah keretanya. Dia menoleh lalu memandang ke arah Cika yang sudah pun memasuki perut keretanya sendiri. Senyuman nakalnya bertaut di bibir. Kelakarnya dia nampak bagaimana Cika menghulurkan wang kertas pada budak yang diupahnya sebentar tadi. Cerdik betul budak tu! Sempat lagi ‘pau’ duit pada gadis itu. Dia memang kagum gila! Tapi tak kisahlah, hari ini dia gembira kerana berjaya mendajalkan gadis itu.

Ketika dia mahu memasuki perut kereta, matanya tiba-tiba terpandag sesuatu. Matanya tertarik memerhatikan sebuah buku hitam berkulit tebal yang terdampar berdekatan keretanya. Dia terus mengutip buku tersebut. Siapa punya ni? Gadis tadikah?

Didorong perasaan ingin tahu, dia segera menyelak helaian pertama buku berkulit tebal itu. Dan matanya dengan lekas tertancap pada tulisan besar di halaman pertama. Cika?

* * * *

PUAN BAHYAH asyik terhendap-hendap ke dalam bilik air wanita di restoran itu. Puas menanti di luar, akhirnya dia memaksa diri masuk ke dalam. Tapi kelibat Cika entah ke mana. Bibirnya diketap kegeraman. Budak ni memang nak kena ni! Kata tadi nak ke tandas sekejap sahaja tapi ini dah dekat setengah jam berlalu.

Dia meraba-raba beg tangannya, cuba mencari telefon bimbitnya. Alamak! Tak ada pulak! Rungut Puan Bahyah sambil cuba mengingatkan di mana dia meletakkan telefon bimbitnya. Aduh parah kalau begini. Hendak tak hendak dia terpaksa kembali ke mejanya. Namun kehadiran dua kelibat tubuh di mejanya membuatkan nafas Puan Bahyah jadi kencang. Hendak tak hendak dia terpaksa melangkah ke arah kedua-duanya.

“Min, dah lama sampai?” Tegur Puan Bahyah pada teman lama satu universitinya dahulu. Mereka bersalaman dan berpelukan seketika, meskipun bukan lama mana mereka tidak bertemu. Padahal baru dua hari lepas mereka terserempak di pusat beli belah sebelum berbicara tentang anak masing-masing. Dan baru semalam juga mereka saling berceloteh di dalam telefon, merancang pertemuan hari ini.

“Baru aje sampai Yah. Sorry aku lambat. Ni ha anak bujang aku ni bersiap mengalahkan perempuan. Punyalah lama baru dapat bergerak ke mari.”
Ujar Puan Jamilah yang cukup ceria orangnya dan bertubuh ramping meskipun sudah mencecah usia 50an.

Puan Bahyah memandang lelaki muda di samping temannya. Idham Hariz sedang tersenyum memandangnya. Melihat anak muda itu Puan Bahyah menarik nafas panjang. Aduhai makin smart anak teruna temannya itu. Dia sendiri tidak faham kenapa Cika liat sungguh mahu diajak bertemu dengan Idham. Tengoklah Idham Hariz ini. Kacak dan kemas pakaiannya. Orangnya juga terpelajar dan berbudi bahasa. Jenis yang mana si Cika ni hendak agaknya? Keluh Puan Bahyah seraya mengigit bibir.

“Eh mana Syafika?” Tanya Puan Jamilah sambil menjengah-jengah sekitar tempat itu mahu mencari anak gadis Puan Bahyah. Sejak tadi dia mengintai tetapi tida bersua pandang dengan anak gadis temannya itu.

Puan Bahyah menelan liur. Gugup dan risau seiring. Telatah anak gadisnya memang tidak makan saman. Apa yang mahu dikatakannya pada temannya itu? Alasan apa yang patut diberikan untuk menjustifikasikan kehilangan Cika?

“Err sebenarnya Cika ada datang tadi. Tapi aku suruh dia balik. Budak itu entah apa yang dimakannya tiba-tiba sahaja sakit perut. Cirit-birit agaknya.” Ujar Puan Bahyah.

“Cirit-birit? Eh bahaya tu kalau dibiarkan begitu sahaja. Kena hantar ke klinik tu.” Wajah Puan Jamilah bersalut kebimbangan. Dia mengerling seketika ke arah Idham. Anehnya wajah anak muda itu seakan lega mendengar kata-kata Puan Bahyah.

“Err dah..aku dah suruh dia ke klinik lepas tu balik berehat. Aku minta maaf banyak-banyak Min, tak sangka pulak hal macam ni nak jadi. Agaknya dia nerveoussangat dapat jumpa Idham.” Ujar Puan Bahyah, main hentam kromo sahaja apa yang tersagat di kepalanya saat itu.

“Tak apalah, nak buat macamana. Idham pun tak sabar-sabar nak jumpa Syafika bila aku tunjukkan gambar Syafika yang terbaru tu pada dia.” Ujar Puan Jamilah sambil mengerling anak bujangnya.

Puan Bahyah menelan liur seraya memandang ke arah Idham.

“Maaf ya Idham, auntie tak sangka pulak nak jadi macam ni.” Ujar Puan Bahyah kesal. Wajahnya tampak tenang, namun hati di dalam seperti ingin meletup-letup. Yang pasti lepas ni dia sudah bersedia untuk balik dan meletupkan kepala Cika pula. Buat masalah sungguh anak daranya yang seorang itu.

“Tak apalah auntie. Saya pun dah lama tak jumpa Cika. Bila mummy tunjukkan gambar Cika, saya terkejut juga. Cika dah banyak berubah.” Ujar Idham. Memang dia jujur bila mengatakannya. Wajah Cika memang berubah seratus peratus. Tidak ada lagi wajah nerd dan rambut kerinting pendek itu seperti ketika mereka di bangku sekolah dahulu. Sebaliknya wajah yang terpapar di potret itu kelihatan ayu dan manis sekali.

“Dah besar memanglah berubah. Idham pun auntietengok sejak balik dari luar negara ni semakin tampan dan segak.” Puan Bahyah memuji. Hakikat yang tidak payah disangkal lagi. Anak muda itu memang kacak orangnya.

“Tak apalah Yah, alang-alang kita dah ada kat sini. Marilah kita makan dahulu sambil bersembang.” Cadang Puan Jamilah. Mahu tak mahu Puan Bahyah mengangguk. Setuju dengan cadangan wanita itu.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh