SEKALI lagi adegan
pencariannya berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai. Dia mendongak wajah
lalu memandang langit yang mulai gelap. Sesekali dia memerhatikan ke arah bangunan
Jumbo Jeep di hadapannya. Restoran kegemarannya, khas untuk bertemujanji
seperti yang dimahukan ibunya. Restoran itu dipilih kerana makanannya yang
sedap-sedap.
Dahulu ayahnya
sering membawanya makan-makan di situ. Itu sampai sudah dia asyik melekat di
Jumbo Jeep. Comelnya ada patung seekor gajah menjadi hiasan dan maskot di restoran
itu. Jumbo juga merujuk kepada istilah binatang berbelalai panjang itu. Tapi
jangan ditanya dari mana pemiliknya mendapat nama yang comel itu. Tak kuasa!
Sudah dua jam
lebih dia merayau-rayau di situ tapi masih gagal menemukan plannernya. Cika mula merasa hampa dan putus asa. Dia cuba
mengingati apa yang berlaku pada hari dia ke situ bersama ibunya untuk bertemu Puan
Jamilah dan Idham Hariz. Ketika itu dia duduk bersandar pada badan sebuah
kereta Toyota Prius berwarna putih. Plat nombor dia tak ingat, hanya dia teringat
ada melihat initial NA berwarna perak pada bahagian bonet kereta tersebut. Jangan-jangan
pemandu kereta itu ada terjumpa planner
itu. Tapi siapa pemilik Toyota Prius itu? Pengunjung restoran Jumbo Jeepkah
atau salah seorang dari staf di situ?
Cika tiba-tiba terfikir untuk bertanya perihal kereta
Toyota Prius berwarna putih itu dengan pekerja-pekerja di Jumbo Jeep. Manalah
tahu si pemilik kereta itu pelanggan tetap Jumbo Jeep. Untung-untung bukunya
dapat ditemui semula. Tanpa membuang masa dia segera berlari masuk ke dalam
restoran yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan restoran. Di situ
dia segera meluru ke arah kaunter.
“Err..maaf, boleh tumpang tanya tak? Ada tak sesiapa yang terjumpa buku saya yang
tercicir kat mana-mana di sekitar restoran ni?” Tanya Cika pada dua orang
pelayan yang berada di kaunter. Pelayan di kaunter itu tercengang melihat Cika
yang sudah basah kuyup. Sejurus kemudian dia menoleh ke arah temannya yang
hanya menggelengkan kepala.
“Rasanya tak ada pulak. Kenapa? Cik tercicir sesuatu?”
Soal salah seorang pelayan lelaki yang bertubuh tegap dan tinggi lampai. Yang
seolah lagi berambut punk berwarna putih.
Cika mengangguk. “Kelmarin saya ada datang ke mari. Lepas
tu saya mungkin tercicir sesuatu berdekatan sebuah kereta pelanggan di sini.
Keretanya Toyota Prius warna putih kalau tak salah.” Ujar Cika memberitahu.
“Err susah juga tu. Ramai pelanggan kami kat sini yang
pakai Toyota Prius.” Ujar lelaki itu seraya tersengih ke arah temannya.
“Ada
perkataan NA pada kereta tu, di bahagian bonet kalau tak salah.” Pintas Cika
berharap. Minta-mintalah pelayan-pelayan di situ tahu sesuatu.
Seperti yang diharapkan, lelaki-lelaki itu saling
bertatapan sebentar. Sejurus kemudian, salah seorangnya tersenyum memandangnya.
“Rasanya kami boleh tolong. Itu kereta pemain piano kami.
Setiap dua malam sekali dia akan buat persembahan di sini dari jam lapan hingga
sebelas. Mungkin dia yang cik maksudkan. Kalau cik tunggu sekejap, mungkin cik
akan jumpa dia kat sini.” Ujar pelayan yang berambut punk di hadapan.
Cika menarik nafas panjang. Alhamdullilah! Mujurlah boleh
jumpa dengan pemilik kereta itu. Tapi kata-kata pelayan lelaki itu mendadak muncul
di fikiran, membuatkan dia terkedu. Sejak bila ada pemain piano di sini?
Mahu tak mahu dia duduk sekali lagi di restoran yang
sama. Di sinilah tempat dia sering bertemujanji dengan lelaki-lelaki yang
sering dicarikan ibunya. Boleh kata tempat ini ada sentimental value. Tapi anehnya dia tidak pernah ingat ada
persembahan piano di tempat ini. Ini kerana sebelum jam 8 malam dia harus
pulang ke rumah, menurut perintah larangan ibunya yang berkuatkuasa dua puluh
empat jam atau dia akan dipanah racun berbisa yang keluar dari mulut Puan
Bahyah yang bengkeng laksana singa lapar. Hanya sesekali dia makan di situ
bersama ayahnya. Tapi tidak pernah pula dia dapat menghayati persembahan piano
di situ meskipun perasan ada sebuah piano putih di tengah-tengah ruangan restoran
itu.
Best jugak
kalau dia ajak Gina datang ke sini tadi. Tak adalah dia menunggu seorang diri
sahaja sedangkan semua pelanggan yang datang malam ini semuanya berteman. Mana
syok datang seorang. Habis semua orang yang lalu mengerling ke arahnya bagaikan
otak semua orang sedang menilai apabila dia Syafika Nordin, si broker hartanah
yang baru berjinak-jinak memiliki empayar sendiri rupa-rupanya hanya sendirian.
Tidak ada sesiapa yang boleh digelar teman lelaki. Kau nak begitu ke Cika?
Suara hatinya memprovok.
Pantas dia menggeleng! Tak mahu!
Ah pedulikan mata yang memandang. Aku datang sini bukan
ada sesi candle light dinner pun. Aku
datang sini sebab nak cari si pemilik Toyota Prius yang mungkin terambil buku
hitam aku yang tercicir itu. Cika segera membetulkan niat hati. Sekaligus
menyedapkan hati sendiri yang mula gelisah.
Segelas fresh
orange tiba-tiba diletakkan di hadapannya.
Cika mendongak wajah lalu memandang si pelayan lelaki
tadi yang kini berada di hadapannya.
“Buat basahkan tekak.” Ujar pelayan lelaki bertubuh
tinggi lampai itu.
Cika segera mengeluarkan dompet duitnya. “Err berapa?
Nanti saya bayar.”
“Eh tak payah cik. Minuman ini percuma sahaja. Oh ya, ini
tuala kering kalau-kalau Cik nak lap muka.” Lelaki itu menghulurkan sehelai tuala
kepadanya.
Cika tersenyum sekaligus menyedari keadaan dirinya yang
basah kuyup.
“Terima kasih.” Ucapnya lalu mencapai tuala muka tersebut
dan dilapkan pada wajah dan badannya sebentar tadi. Patutlah semua orang pandang semacam
aje. Rupa-rupanya tak ada orang
nak fikir samaada dia ada teman lelaki atau tidak, selain masing-masing pelik
melihatnya basah kuyup begitu. Dia sahaja yang perasan sendiri! PoorCika!
“Oh ya, boleh saya tanya sesuatu?” Soal pelayan lelaki
itu.
Cika tercengang. Nak tanya apa pulak? Macam serius aje
bunyinya?
“Kalau tak salah, cik pelanggan tetap di restoran kami
bukan? Saya dan kawan-kawan saya di belakang sana
bertaruh kalau cik lah gadis yang selalu blind
date di meja hujung sana
bukan?” Lelaki itu menunjukkan ke suatu arah.
Cika tergaman. Serentak matanya beredar ke arah kaunter
dan terpandang tiga empat orang pelayan yang tersengih-sengih memandang ke
arahnya. Malah ada yang melambaikan tangan ke arahnya. Ada juga yang mengangkat dua anak jari dan
menunjukkan peace no war. Ayoyo…mereka semua perasan ke?
Malunya!
“Awak semua perasan ke selama ini?” Cika memberanikan
diri bertanya dengan wajah merah padam.
Pelayan lelaki yang tinggi lampai itu ketawa kecil.
“Maaf, selama ini memang kami selalu perhatikan cik. Oh ya nama saya Ebit. Nama
cik?”
“Syafika. Panggil saya Cika sahaja.”
“Selamat berkenalan ya Cik Cika. Kami semua selalu
tertunggu-tunggu blind date Cik Cika
yang seterusnya. Yang ke-14 kan
kalau tak salah?” Tanya Ebit tersenyum.
Cika ketawa malu. Aduh! Kenapalah mereka semua ni boleh
perasan semua benda ni? Siap tahu lagi fasal blind date ke-13 ke, ke-14 ke. Malu sungguh! Taubat aku kena tukar port lain ni!
“Ebit!” laung satu suara.
Ebit segera berpaling. Cika turut menoleh lalu
memerhatikan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkemeja licin sedang
menggamit Ebit dari penjuru kaunter. Dia juga perasan, lelaki-lelaki muda di
kaunter tadi sudah menghilang entah ke mana.
“Alamak, itu bos saya. Saya pergi dulu Cik Cika. Kalau
nak apa-apa bagitahu saja.” Ujar Ebit lalu segera beredar dari situ. Cika terus
memerhatikan Ebit dan majikannya berbual-bual. Dia masih ingat lelaki yang
berbual-bual dengan Ebit itu. Jak! Itulah nama lelaki itu. Bukankah mereka
pernah bertemu semasa dia ditangkap ‘berkhalwat’ dengan Nadim Ammar tempohari?
Sesekali mata kedua-duanya beralih ke arahnya. Dia mula cemas. Lain macam
sahaja! Apa yang mereka berdua bualkan tu? Fasal aku ke?
Melihat lelaki itu menuju ke arahnya, Cika lekas-lekas
mengalihkan pandangannya sambil berdoa lelaki itu tidak singgah ke mejanya.
Namun doanya tidak diperkenankan apabila lelaki tinggi lampai, berambut pendek
kemas itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya.
“Cika bukan?” Lelaki itu menjengahnya sambil tersenyum.
Hendak tak hendak Cika terpaksa berpaling. Bibirnya
melemparkan senyuman meski hati terasa segan dengan lelaki itu.
“Saya Jak, ingat lagi?”
Cika mengangguk. Of
course aku ingat!
“Dah lama abang tak nampak
Cika datang ke mari?” Tegur Jak seraya duduk di samping anak gadis itu.
“Eh ada. Kelmarin tengahari saya ada datang ke sini.”
Cepat-cepat Cika menyahut. Jak tersenyum lebar memandangnya.
“Blind date
lagi?”
Cika terdiam. Sah! Aku kena tukar port blind date aku. Nampaknya semua orang di Jumbo Jeep perasan apa yang aku
lakukan selama ini, termasuklah majikan Jumbo Jeep sendiri. Bera! Wajahnya
sudah merah padam seperti udang dibakar.
“Abang
pun tahu juga hal ni?” Wajah Cika berubah muram. Jak mula menyedari gadis itu
tidak senang memperkatakan tentang urusan
janji temunya.
“Come on, bukan
teruk sangat pun kalau blind date di
sini. Kalau Cika nak tahu, bukan Cika seorang yang suka bertemu janji kat sini.
Ramai pasangan yang datang.” Pujuk Jak.
“Tapi saya seorang sahaja yang selalu bertukar-tukar
pasangan kan?”
Cika tersenyum hambar.
“Belum jumpa yang berkenan di hati?”
Cika menggeleng. Jujur mengakui pada lelaki itu.
“Kenapa?”
Hendak tak hendak dia bercerita panjang lebar dengan Jak
tentang ibunya yang asyik mencarikannya calon-calon yang berpotensi untuk
dijadikan suami. Sesekali Jak ketawa kecil mendengar rungutan Cika terhadap ibunya.
“Insya ALLAH, abang yakin suatu hari nanti Cika mesti
jumpa dengan lelaki yang ditakdirkan jadi soulmate
Cika. Lagipun Cika ni kan lawa orangnya, mesti ramai yang sangkut.” Jak memuji. Bukan
mengambil hati, tapi ikhlas di hatinya.
“Kalau tak jumpa juga?” Cika menoleh ke arah lelaki itu.
“Kalau tak jumpa jugak, Cika pilih ajelah mana-mana staf
abang yang berlima tu. Tengok tu, semuanya dah jadi peminat Cika.” Ujar Jak
seraya menunjukkan ke suatu arah.
Cika mengekori arah pandangan Jak dan terlihat
pelayan-pelayan di kaunter sedang berkumpul sesama sendiri dan tersenyum-senyum
memandang ke arahnya. Serentak tawa Cika terburai. Hilang sebentar
kebimbangannya kerana kehilangan diari hitamnya, sebaliknya dia merasa terhibur
dengan jenaka
Jak. Tak sangka lelaki itu pandai menghiburkan hatinya, padahal mereka baru
kenal.
“Abang
kelakar.” Puji Cika seraya menaikkan ibu jarinya.
“Cika pun kelakar! Patutnya abang tukar Jumbo kat depan
tu dan ganti dengan Cika jadi maskot Jumbo Jeeo. Mesti lagi laris perniagaan
abang.” Usik Jak.
Cika ketawa lagi. Tukar aku dengan Jumbo tu jadi maskot?
Haha takut bukan semakin bertambah pelanggan yang datang, sebaliknya makin
berkurang. Semuanya terkejut melihatnya nanti!
“Oh ya, Ebit ada beritahu abang tadi yang Cika nak cari
Nadim?” Soal lelaki itu.
“Nadim?” Cika keliru. Nadim Ammarkah? Bila masa pulak aku
nak jumpa mamat poyo tu?
“Eh mana ada. Buat apa Cika nak cari mamat perasan tu?”
“Tapi Ebit kata tadi, Cika sedang mencari pemilik kereta
Toyota Prius putih tu kan.
Kereta tu milik Nadim.” Ujar lelaki itu. Dalam hati hendak tergelak pula mendengar Cika memanggil
Nadim ‘mamat perasan’.
Cika terkedu mendengarnya.
Kereta Nadim?
“Boleh abang tahu apa halnya Cika nak jumpa dia? Nadim ni
agak low profile. Dia takkan jumpa
sesiapa kalau dia sedang buat persembahan di sini. Dah ramai gadis-gadis yang
nak jumpa dia, tapi satu pun dia tak layan.” Canang Jak.
Cika terdiam. Amboi, macam artis pulak mamat ni. Kalau
dengar dari gaya
Jak bercerita, Cika hampir-hampir sahaja hendak terjeluak. Macamlah aku ni
peminat dia. Padahal aku cuma mahu mendapatkan buku hitam itu sahaja. Tapi dia
benar-benar tidak menyangka lelaki itu salah seorang pekerja di Jumbo Jeep.
Sangkanya selama ini Nadim Ammar pelanggan restoran itu sama seperti dirinya.
Kata Jak, lelaki itu pemain piano. Pandaikah dia bermain piano?
Kerana tidak mahu disalah sangka, Cika terpaksa bercerita
panjang lebar kenapa dia mahu menemui lelaki bernama Nadim itu. Seperti yang
diduga, Jak terlongo mendengar penjelasan Cika. Malah lelaki itu ketawa kecil
dan segera meminta maaf kerana tersalah menduga.
“Ini kali pertama abang dengar perempuan cari Nadim
kerana sebab lain. Sejak Nadim bermain piano di sini, selalu sangat dia jadi
tumpuan anak-anak gadis yang datang makan kat sini. Kadangkala tak menang
tangan kami dibuatnya Maaf ya Cika, jangan salah faham. Abang terpaksa bertanya
begini untuk beri keselesaan pada Nadim. Well
macam abang kata tadi, dia tu low profile
orangnya.” Jelas Jak tersenyum.
“Speaking of the
devil, dia dah sampai. Tapi Cika kena tunggu sampai dia habis persembahan
dulu.” Ujar Jak berbisik, seraya berlalu pergi dari situ.
Cika berpaling, namun pandangan matanya tidak sempat
melihat apa-apa lantaran lampu di pentas utama serta di ruangan restoran itu
tiba-tiba sudah dimalapkan. Dia terpisat-pisat di dalam gelap. Terkejut usah
dikatakanlah. Dia sempat mendengar bunyi garpu, sudu dan pinggan berlaga.
Jangan-jangan bukan dia sahaja yang terkejut beruk dengan lampu yang dipadamkan
secara tiba-tiba itu.
Tiba-tiba muncul di gegendang telinganya alunan piano
yang sedang memainkan lagu Unbreak My Heart dendangan Toni Braxton. Cika
berpaling ke arah pentas dan sebuah lampu sudah terpasang di situ, menyorot ke
arah seorang lelaki muda berpakaian kot serba hitam yang sedang memainkan piano
di pentas utama.
Tangan lelaki itu lincah menari-nari di atas piano
membuatkan Cika ikut tertarik. Merdunya. So
sweet! Bisik hati kecilnya. Apabila lagu itu sampai ke bahagian kedua,
sebuah lampu kecil entah dari mana datangnya menyorot pula ke wajah pemain
piano itu, menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan Cika terpegun. Dia
beristighfar panjang. Ya ALLAH! Betullah memang dia! lelaki itu memang Nadim
Ammar dan mamat poyo itu sedang memainkan piano di atas pentas utama
bagaikan seorang profesional.
Selesai memainkan lagu Unbreak My Heart, sesi kedua
bersambung dengan lagu I Will Always Love You yang menjadi kegemaran Cika.
Lelaki itu memang mengagumkan semua mata yang memandangnya, tidak terkecuali Cika
sendiri yang sempat menyumpah diri sendiri. Kalaulah dia tahu lelaki itu
bermain piano di situ setiap dua malam sekali, sudah pasti dia akan sentiasa
berada di tempat itu.
Selama ini dia
memang tertarik dengan muzik apatah lagi sedari kecil dia sudah sering mengikut
ayahnya yang berkerja dengan orkestra RTM. Menadah telinga mendengar memang dia
suka, tapi untuk mengikut jejak ayahnya yang pandai bermain muzik, memang out of league. Tak pandai langsung!
Jangan kata nak main gitar atau piano, nak main kompang dengan tiup rekorder
pun dia tak lulus!
Di rumahnya ada
pelbagai alatan muzik seperti biola, seruling dan sebuah piano lama milik
ayahnya. Tapi dia dan Ubek tidak pernah menyentuhnya kerana tidak berminat.
Dengar sahaja boleh, selebihnya dia dan Ubek langsung tidak mewarisi bakat
ayahnya di dalam muzik.
Kalau di sekolah
dahulu, dia sering menjadi mangsa guru muziknya yang sering memegang kayu
pemukul dram. Jika tersalah sedikit memainkan not, pasti kayu itu cepat sahaja
singgah di kepalanya. Kata orang, yang kerap ditindas guru pasti yang paling
cepat pandai. Malangnya di sekolah rendah atau di sekolah menengah, prestasinya
dalam pelajaran muzik sama sahaja meskipun dia anak Encik Nordin, konduktor
orkestra di stesyen televisyen negara itu.
“Itulah lelaki yang Cik Cika nak jumpa.” Bisik Ebit, pelayan
lelaki tadi yang entah sejak bila datang dan meletakkan kepingan kek Rose
Velvet pula di hadapannya.
“Bos belanja.” Bisik Ebit lagi.
Namun Cika tidak menjawab. Matanya masih terpaku pada
wajah itu. Dan bagaikan bermimpi, lelaki itu tiba-tiba berpaling ke arahnya.
Dia gugup. Renungan itu sampai ke wajahnya, meski dia tidak pasti apakah lelaki
itu benar-benar sedang memandangnya atau dia sahaja yang syok sendiri.
Tapi melihat lelaki itu sedang tersenyum memandang tepat
ke arah meja yang
didudukinya, Cika terpempan.
Sure! He’s staring at me. Perasan gundah-gundahnya
kembali. Dia segera tunduk merenung bawah meja. Cuba mengelak dari dipandang lelaki
itu sebegitu rupa.
Sebaik alunan
piano yang dimainkan lelaki itu selesai dan berhenti rehat seketika, Cika
berhasrat mahu angkat kaki dan pergi dari situ. Tapi tiba-tiba sahaja lelaki
itu mengangkat tangan ke arahnya bagaikan menyuruh dia menunggu.
Ceh! Ingat lagi rupanya lelaki itu padanya. Ingatkan tak
ingat aku dah! Cika mencebik tanpa disedari. Tapi cebikan itu hanya dibibir,
yang pasti tidak ada kebencian berladung di hatinya saat itu. Langsung tidak!