PANDANGANNYA dilontar ke luar dari dalam kereta
Mercedez Benz yang dipandu lelaki berkopiah bulat itu. Lelaki berusia dalam
lingkungan 40an itu cuba
mengajaknya berbual, tapi dia hanya membalas hendak tak hendak. Bukan dia tidak
mahu berbual dengan pemandu keluarganya Pak Amid, tapi dia terlalu penat. Letih
kerana baru sahaja berjalan jauh.
“Encik Idham hendak minum di
mana-mana?” Tanya Pak Amid seraya
merenungnya dari cermin hadapan.
Dia tersenyum, lantas menggeleng.
“Kita pulang sahaja Pak Amid. Saya penat sangat. Lagipun saya dah tak sabar nak
jumpa mama.”
Orang tua itu mengangguk, tanda
mengerti. Perjalanan diteruskan dan pergerakan kereta itu lebih laju dari tadi.
Barangkali Pak Amid mengerti betapa lelaki di belakang tempat duduk itu sangat
merindui ibunya.
Sepanjang perjalanan, Idham merenung
jauh. Apa yang direnungkan, tidak ada sesiapa yang dapat menduga. Wajahnya
seperti membendung sesuatu yang berat. Dia pulang ke tanahair ada tujuannya.
Semuanya bermula dari sekeping gambar yang dikirimkan ibunya. Jika tidak, dia
masih ingin berada di US
dan bekeja di Wall Street.
Broker sepertinya perlukan tempat yang realistik dan idealistik untuk membina
empayar sendiri.
“Balik ya Am, mama rindu.” Itu
ungkapan ibunya beberapa bulan yang
lalu.
“Sudah lama Am tak balik, sampai
bila nak bekerja di negara orang?”
Dia sekadar mendiamkan diri. Lima tahun lamanya dia di US. Cuba menempa nama dan pengalaman di
bangunan paling sibuk di dunia. Apakah dia sudah bersedia untuk melepaskan
segala-galanya?
“Am masih ingat dengan Cika?”
“Cika?” Wajahnya berkerut. Sengaja
melakukannya meskipun dia kenal benar siapa yang dimaksudkan ibunya.
“Syafika,
anak kawan mama Auntie Bahyah. Dulu mama pernah bawa Am ke rumahnya.” Ujar ibunya.
Dia
terdiam di dalam telefon. Ingatanya menerjah ke suatu wajah. Serentak laungan
teman-temannya mengejek dan menghina muncul mendadak. Loser! Loser! Loser!
“Kenapa
dengan dia?”
“Mama
ada bincang dengan Auntie Bahyah. Am masih single,
Cika juga belum berteman. Apa kata Am balik ke mari dan jumpa Cika. Kenal-kenal
dengan dia, manalah tau kalian ada jodoh.” Ujar ibunya berterus-terang.
Dia
terkedu mendengarnya. What? Serius ke
ni?
“Cika
cantik tau Am, manis sungguh orangnya.” Canang ibunya.
Dia
menelan liur. Cantik ke? Entah mengapa wajah Cika yang serabai terbayang-bayang
di mata. Dekat sepuluh tahun dia tak jumpa Cika. Kali terakhir dia bertemu anak
gadis itu ialah di rumah Cika, sebelum dia melanjutkan pelajaran ke luar
negara. Tapi permusuhan mereka ketika itu tidak pernah reda meskipun ibunya dan
ibu Cika teman satu universiti.
Asalnya
dia mahu berhenti. Berhenti menyakiti hati Cika, berhenti untuk jadi lelaki
jahat di mata anak gadis itu. Tapi peristiwa dia ditampar Cika tempohari tidak
dapat dilupakannya. Itulah hadiah perpisahan dari gadis itu untuknya. Peritnya
membawa parut di hati.
“Mama
dah kirimkan gambar terbaru Cika ke apartmen Am. Nanti Am tengok dan hubungi mama semula ya. Mama memang berkenan
sungguh dengan Cika tu. She’s very lovely,
sesuai dengan Am.” Ujar ibunya.
Gambar
itu sampai kurang dari satu minggu ke pangkuannya. Di beranda apartmennya dia
melihat gambar terbaru gadis itu. Cika The Loser ternyata bukan lagi seperti
dahulu. Kata-kata ibunya langsung tidak salah sama sekali. Cika kelihatan
cantik. Budak yang selalu menjadi mangsa usikannya kini bertukar menjadi
seorang yang anggun, menarik dan menawan. Sweet!
Itu bisikan hatinya tatkala pertama kali bertentang mata dengan gadis itu di
dalam gambar yang dikirimkan ibunya. Dan aneh sekali! Hanya dengan sekeping
gambar, hatinya bergetar. Naluri lelakinya membisikkan sesuatu. Cika! Cika!
Cika! Nama itu terus dibisikkan seperti dia sedang mabuk kepayang.
Kerana
itu dia pulang jua akhirnya dengan niat mahu melihat Cika. Tapi dia sendiri
tidak tahu apakah dia boleh menelan kembali kata-katanya pada Cika suatu ketika
dahulu.
*
* * *
Pang!
Tamparan itu masih menyengat kulit pipinya. Seiring dia merasa nafasnya berderu
lebih kencang. Sakitnya hanya tuhan yang
tahu. Lebih sakit apabila peristiwa itu ditonton oleh teman-teman
sekolahnya. Menjadikan Cika hero di mata sebahagian tetamu dan menyaksikan
dirinya menjadi kucing kurap pada sebahagian yang lain.
“This is 'what' you really are Idham Hariz. Ingat
ini baik-baik. Saya takkan maafkan awak sampai bila-bila pun. I hate you so much.” Itu yang diucapkan
gadis itu. Serentak dia melihat ada titisan air jernih di pelupuk mata Cika,
membuatkan mulutnya yang ringan mahu memarahi gadis itu kemudiannya mengambil
keputusan untuk diam sahaja. Sesuatu yang tak pernah dilakukannya selama ini.
Tiba-tiba
sesuatu menyimbah tubuh dan wajah Cika. Masing-masing yang berada di situ
terpanar. Dia sendiri terkejut. Seorang gadis rakan sekolahnya mampir ke
hadapan seraya memegang gelas yang kosong.
“Berani
kau datang ke sini dan malukan Idham? Kau ingat kau tu siapa? Loser!” Ejek gadis teman sekolahnya itu.
Sebaik perkataan ‘loser’ itu
diucapkan, ia seolah-olah seperti satu sumpahan yang menjangkitkannya kepada
semua orang. Dan perkataan loser itu
terus bergema memenuhi ruang itu.
Dia
memandang ke arah Cika. Wajah Cika pucat lesi dikelilingi oleh teman-temannya. Ada yang menolak gadis
itu, ada yang menunjal-nunjal tubuh gadis itu. Sejak kejadian surat itu, Cika sudah sinonim sebagai maskot
buli di sekolah. Dan dialah pencetus revolusi itu. Dialah putera di sekolah di
mana semua orang mahu berkawan dengannya. Semua orang akan mematuhi apa sahaja
yang dikatakannya bagaikan sekumpulan tentera yang mematuhi arahan jeneral.
Anehnya
dahulu dia gembira melihat Cika menjadi mangsa kawan-kawannya. Tapi hari ini
entah kenapa dia merasa tidak gembira. Dia tidak lagi berseronok dengan semua
ini. Tidak lagi terhibur dengan semua permainan ini.
Melihat
seorang lagi kawan menarik rambut Cika sehingga gadis itu mengaduh kesakitan,
dia seakan-akan tersedar. Situasi itu harus diatasi sebelum ia menjadi semakin
di luar kawalan. Cepat-cepat dia menarik tubuh salah seorang temannya dan
meleraikan pergaduhan yang baru hendak bemula. Tangan Cika ditarik lalu dibawa
pergi dari kelompok orang ramai yang memenuhi majlis perpisahan di rumahnya.
Ketika itu ibunya pula seperti sudah sepakat meninggalkan Cika di majlis itu
dan kedua-duanya pergi menaiki kereta entah ke mana.
Cika
meronta-ronta dari pegangannya. Dia melepaskan Cika di muka pintu. Memandang
sebentar wajah gadis itu dengan perasaan bercampur aduk.
“Baik
kau balik sahaja. Mereka semua alergik tengok kau kat sini. Kalau ibu kau
tanya, jangan memandai nak beritahu apa yang sudah berlaku kat sini. Kalau mama
aku tanya, aku akan kata kau balik awal kerana sakit kepala.” Ujarnya.
Cika
mendongak wajah memandangnya. Pandangan mata gadis itu lesu memandangnya tanpa
emosi. Tanpa perkataan. Dan perlahan-lahan gadis itu pergi meninggalkannya.
Dia
mahu masuk ke dalam rumahnya kembali, tapi entah kenapa dia kembali melontarkan
pandangan ke arah gadis itu. Melihat Cika pergi dengan langkah lemah, hatinya
jadi tidak senang. Malam-malam hari begini, bagaimana kalau ada orang jahat
yang mahu mengapa-apakan gadis itu? Apa yang mahu dijawabnya pada ibu Cika
nanti?
Dia
segera nekad lalu berlari masuk ke dalam rumah. Kunci kereta milik ibunya dicari-cari.
Biasanya ibunya sering meletakkan kunci keretanya di dalam bekas kristal di
atas kabinet dapur. Jumpa akhirnya! Tidak perlu menunggu lebih lama dia segera
keluar. Kelibat Cika sudah menghilang. Tanpa berfikir panjang, dia bergegas ke
arah kereta ibunya yang terletak di garaj kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu
dia memandu keluar dari perkarangan rumahnya.
Nun jauh di sana, dia terpandang Cika sedang duduk
bersendirian di perhentian teksi. Wajah Cika benar-benar muram. Dia mahu
mendapatkan Cika, tapi entah kenapa ada sesuatu yang menghalang. Mungkin egonya
terlalu tinggi untuk mengalah dengan gadis itu. Mahu tak mahu dia duduk diam di
dalam kereta ibunya tidak jauh dari perhentian teksi sambil mengawasi Cika.
Ketika sebuah teksi berhenti di hadapan gadis itu, barulah kebimbangannya
mereda.
Selepas teksi yang membawa Cika
beredar, dia masih belum berganjak. Ada
sesuatu bermain di fikiran tidak mahu hilang. Kenapa? Kenapa hatinya semakin
lembut dengan gadis itu dari hari ke sehari? Kenapa dia masih mengasihani Cika
sedangkan dia sudah nekad mahu mengenakan gadis yang memalukannya di sekolah
dengan surat
cinta yang tersebar satu sekolah?
“Encik Idham, kita dah sampai.”
Kata-kata Pak Amid mematikan lamunan panjangnya. Dia terkiai-kiai membetulkan
posisi duduknya. Kereta yang dipandu Pak Amid sudah pun memasuki perkarangan
rumah.
Dari dalam rumah, dua wanita meluru
keluar. Dia keluar dari perut kereta lalu melemparkan senyuman pada ibunya yang
sudah pun menerpa dan memeluknya.
“Alhamdulillah, sampai juga anak
mama ni.” Ujar ibunya.
“Mama sihat?”
Puan Jamilah tersenyum lalu
mengangguk. “Mama akan sihat kalau anak mama ni duduk dengan mama kat rumah
ni.” Ujar Puan Jamilah seraya melepaskan rangkulannya. Wajah Idham ditatap
risau. Anak itu kelihatan lebih kurus berbanding kali terakhir Idham pulang
berhari raya tahun lepas.
Idham hanya tersenyum. Kata-kata
ibunya tidak berbalas. Matanya tertarik memerhatikan seorang wanita lain yang
tercegat di belakang ibunya. Dahinya berkerut seribu. Wajah yang sedang
tersenyum manis ke arahnya itu seperti redup di fikiran. Dia tertanya-tanya
siapakah gerangan wanita itu.
“Ini Auntie Bahyah, kawan mama. Am
tak ingat?”
“Auntie Bahyah?” Dia mengulang
menyebutnya. Walhal fikirannya sedang berusaha keras untuk cuba mengingati wajah wanita itu.
“Ya Auntie Bahyah, ibu Syafika.”
Akui ibunya.
Idham tergaman. Syafika? Cikakah?
Baru sebentar dia terkenangkan gadis itu sepanjang perjalanannya dari airport. Kelakarnya kini si ibu gadis
itu pula yang alih-alih muncul di hadapannya. Dunia ini memang sempit, tapi
hatinya sudah tidak sempit seperti dahulu. Keinginanya untuk bertemu Cika
begitu meluap-luap.