Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 31

DIA menarik nafas lega. Setelah bertungkus-lumus, kerja-kerjanya berjaya juga diselesaikannya. Esok dia ada urusan di Lembaga Penilai dan Pentaksir Agen Hartanah (LPPEH). Sebagai sebuah firma hartanah berlesen yang juga bertindak sebagai negotiator antara pihak pemaju dengan pembeli, dia sering menemui Puan Sarina, pegawai di Lembaga Penilai dan Pentaksir, meminta khidmat nasihat dan beberapa perkara yang bersangkut paut dengan soal pemilikan sesuatu aset.

Cika memandang ke arah jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 9 malam. Cepat-cepat dia bangun lalu berkemas apa-apa yang patut. Selalunya dia sendiri tidak berani berada di pejabatnya pada waktu-waktu malam begini. Mujurlah sebentar tadi dia ada bertembung dengan beberapa orang stafnya yang masih bekerja. Itu yang membuatkan dia berani untuk menyambung kerjanya sehingga ke malam.

Dia keluar membawa cawan kotor dari dalam bilik untuk diletakkan di dalam sinki di pantri. Sambil itu dia cuba mengerling kelibat Darren dan dua tiga orang stafnya yang masih belum pulang apabila dia bersolat Isyak tadi. Tapi melihat lampu di ruangan hadapan sudah ditutup, Cika tiba-tiba jadi seriau pula. Ke mana perginya mereka semua? Aik takkan dah balik kut! Sampai hati budak-budak ni tinggalkan aku seorang diri kat sini. Buang kerja nanti baru tahu! Rungut Cika lalu cepat-cepat kembali ke biliknya untuk mengambil tas tangannya.

Ketika dia keluar ke ruangan hadapan, matanya tiba-tiba sahaja terdengar satu bunyi. Cika tergaman. Bunyi apa tu? Hatinya tiba-tiba risau untuk keluar dari situ. Lagipun di Kuala Lumpur ini banyak berlaku kes pecah masuk pejabat. Kebanyakan pencuri sudah bijak, tahu di mana letaknya peti besi pejabat dan cara memecahkannya. Jangan-jangan ada penjahat yang sedang merancang hendak menceroboh pejabatnya.

Perlahan-lahan dia menyelinap ke arah penjuru sudut. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari dalam tas tangan. Dia mahu menelefon pejabat sekuriti bangunan itu di tingkat bawah. Entah apa mereka buat sehinggakan tidak sedar ada orang mahu menceroboh masuk ke dalam bangunan pejabatnya.

Selesai melakukannya dia jadi lega sedikit. Kurang-kurang sekuriti masih ada di bawah dan akan datang bila-bila masa sahaja. Cika segera ambil keputusan mahu keluar sahaja. Ketika itulah matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Tidak jauh dari situ, dia terpandang satu kelibat tubuh memakai cap berwarna hitam sedang menyembur sesuatu di dinding pejabat Aaziz & Co.

Melihat lelaki itu sedang melakukan vandalisme, hati Cika tiba-tiba panas. Poyo punya budak! Suka hati tok nenek kau sahaja bawa anasir vandalisme tu kat sini. Kalau dah berseni sangat jiwa tu beli aje kertas lukisan dan cat air, baru berapa sen sangatlah benda alah tu. Aku pun boleh tolong belikan! Rungut Cika geram. Tapi sesekali tengok lukisan mural di hadapannya boleh tahan cantik juga! Cika sempat memuji dalam hati. Mengagumi hasil vandalisme yang nampak berseni itu.

Lembaga itu tiba-tiba menoleh. Cika tergaman. Dia nampak sepasang mata yang bersinar-sinar dalam gelap itu sedang memandang ke arahnya. Hatinya tiba-tiba berdebar-debar, sekaligus mengiktiraf kebodohannya yang tak sabar-sabar menunggu sekuriti sampai.

“Awak siapa? Apa awak buat ni?” Cika memberanikan diri bertanya.

Lembaga itu bangkit, lalu perlahan-lahan mara ke arah Cika yang kelihatan cemas. Cika berganjak setapak demi setapak ke belakang, tapi setiap langkahnya diikuti lembaga itu yang semakin menghampiri.

“Ka…kalau awak dekat, sa..saya jerit.” Ugut Cika sambil mengangkat pasu bunga milik Darren yang sempat dibawanya bersama. Dia sempat melihat senyuman lelaki itu sinis di sebalik capyang dipakainya. Amaran Cika langsung tidak diendahkan lelaki itu. Sebaliknya sebentar sahaja lelaki itu sudah merapati Cika yang jelas tergaman dan takut setengah mati.

Cika yang menyangka lelaki itu mahu berbuat sesuatu yang tidak baik terhadapnya segera menepis lelaki itu. Tangan Cika yang terbang meliar tertolak caplelaki itu secara tidak sengaja. Sebaik Cika memandang wajah yang kini jelas kelihatan, dia terkejut besar.

“Awak?”

Lelaki itu ketawa kecil. “Macam tu pun dah takut?” Sindir lelaki itu selamba.

“Awak buat apa kat sini? Kenapa awak conteng dinding pejabat tu?” Soal Cika, geram sebaik menyedari lelaki itu adalah Nadim Ammar. Bodoh punya lelaki! Buat aku takut aje!

“Hasil seni tangan saya. Awak suka?” Nadim tersengih.

Cika menelan liur. Hasil seni? Gila ke apa mamat ni? Dia memandang ke arah bangunan pejabat firma guaman itu yang kini sudah diconteng-conteng dengan grafiti gambar pemandangan tepi laut. Siap ada seekor ikan dan labi-labi sedang berenang.

“Buat vandalisme ni kerja part time awak ke?” Sindir Cika geram.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak mendengarnya.

“Lebih kurang macam tu. Kalau awak nak tempah untuk dinding pejabat awak supaya lebih ceria, saya tengah freeni. Malam ni jugak saya boleh siapkan.”

Cika mengetap bibir. Dia tahu lelaki itu hanya bercanda dengannya. Sengaja mahu memperbodoh-bodohkan dirinya.

Nadim merenung Cika dari atas ke bawah. Gadis itu kelihatan penat. Dia sendiri tidak tahu Cika berada di situ. Lambat benar gadis itu balik? Banyak kerja barangkali!

“Awak tak takut ke balik lambat macam ni? Tak takut jumpa hantu?” Usik Nadim.

“Saya lagi takut jumpa orang jahat macam awak dari jumpa hantu.” Cebik Cika. Nadim tersenyum-senyum. Yalah tu!

Belum sempat Nadim mahu membalas, terdengar bunyi tapak kaki berlari dari satu arah. Bunyi itu semakin lama semakin kuat, sebelum menghilang secara tiba-tiba. Cika terkejut. Nadim ikut menoleh, tapi tidak melihat sesiapa muncul di situ.

Tiba-tiba muncul bunyi jeritan suara perempuan yang agak kuat. Kali ini Cika terus melompat dan memeluk lengan Nadim sekuat hati. Lelaki itu menoleh. Terkesima melihat anak gadis itu tiba-tiba rapat ke arahnya. Sudahlah itu, lengannya juga sudah dipeluk erat gadis itu.

“Bunyi apa tu?” Bisik Cika gerun. Hantukah? Jeritan itu jeritan perempuan. Mana ada orang perempuan lain di situ kecuali dia.

Nadim segera mengambil barang-barangnya yang mana sempat. Sesudah itu dia menarik tangan Cika lalu mereka segera beredar dari situ melalui pintu kecemasan. Cika tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa menurut. Gila ke nak tunggu lagi di situ sorang-sorang?

Beberapa ketika selepas Cika dan Nadim beredar, muncul dua orang lelaki berpakaian sekuriti. Kedua-duanya tergaman melihat dinding pejabat guaman Aaziz & Co itu sudah diselaputi dengan warna-warna spray yang kelihatan terang.

“Agaknya orang tu dah lari.” Ulas salah seorang dari pengawal keselamatan itu.

“Ini kaulah punya fasal. Siapa suruh kau pasang ringtonesuara hantu tu kat dalam telefon kau? Jangan kata penceroboh tu, aku pun boleh cabut lari dengar suara perempuan mengilai tu.” Rungut temannya pula. Pengawal keselamatan yang berambut pendek kontot itu hanya mampu tersengih.

“Agak-agak siapa punya kerja ni?” Soalnya sengaja mahu membuatkan temannya beralih arah dari terus mempersalahkan bunyi nada telefonnya yang menganggu sesi mahu menangkap si pesalah yang melakukan vandalisme.

“Budak nakal agaknya. Eh mana Cik Syafika?”

Kedua-duanya tercengang. Mata mereka meliar mencari Cika yang menelefon pejabat sekuriti tadi. Tapi kelibat gadis itu tidak terlihat di mana-mana!

* * * *

“MANA kereta awak?” Tanya Nadim ingin tahu. Pegangannya masih melekat di lengan Cika tidak dilepas-lepas sejak tadi.

Cika menunjukkan ke suatu arah. Menghala ke arah kereta Honda City berwarna putih kepunyaannya yang lone ranger tidak berteman di tempat letak kereta di tingkat bawah Level 1 di bangunan itu.

“Kunci?” Pinta lelaki itu.

Cika mendengus. Dia segera mencapai kunci kereta dari dalam beg tangan lalu diserah kepada lelaki itu. Kalau diikutkan dalam situasi biasa dia akan tinggalkan sahaja lelaki itu di situ. Tapi saat ini dia tidak mahu berkira, asalkan mereka semua jauh dari bangunan pejabatnya. Tak fasal-fasal malam ini dia mengalami insiden seperti ini. Seram! Sejak bila ada hantu di area pejabatnya?

Ketika Nadim memandu kereta itu agak jauh meninggalkan tempat itu, Cika tiba-tiba berpaling ke arah Nadim. Renungannya menjamah tajam wajah lelaki itu yang comot dengan kesan-kesan warna spray. Mungkin tercalit ketika lelaki itu mahu test skill di dinding pejabat Tuan Aaziz tadi. Namun warna-warna itu langsung tidak menjejaskan rupa lelaki itu. Wajah itu tetap jua sedap dipandang.

Nadim tiba-tiba menoleh. Memandang ke arah Cika yang masih menatapnya. Pandangan mereka bertembung. Cika mengeluh panjang lalu melarikan anak matanya. Nadim sekadar tersenyum simpul. Gotcha!

“Kata tak takut hantu. Tapi bila dengar bunyi perempuan mengilai, siapa dulu yang melompat dan peluk saya?” Perli Nadim seraya ketawa kecil.

Cika mengetap bibir. Dia sudah agak. Lelaki itu akan mencari apa sahaja bahan yang boleh menyindirnya. Agaknya kalau mulut tu diam, boleh kena ulser agaknya, rungut Cika.

“Awak berhentikan kereta kat depan tu. Lepas tu awak turun kat situ.” Arah Cika.

Nadim tercengang. “Kejamnya.”

“Hai awak kan ada Toyota Prius awak tu. Pergilah naik kereta awak sendiri. Buat apa nak tumpang kereta saya?” Jawab Cika acuh tak acuh.

Nadim terdiam. Itulah masalahnya. Dia sekarang sudah tidak ada kereta selepas Toyota Prius kesayangannya dirampas ayahnya.

“Saya kata berhenti.” Tekan Cika. Namun melihat lelaki itu selamba sahaja memandu keretanya tanpa ada niat mahu mengikut arahannya, Cika naik bengang. Dia ni memang nak kena! Tanpa diduga Cika segera memulas stereng keretanya ke tepi membuatkan Nadim terkejut besar lantas terus menekan brek mengejut. Kedua-duanya hampir terhumban ke hadapan.

“Awak kenapa? Dah gila ke? Kalau kita accident tadi macamana?” Marah Nadim. Kus semangatnya melihat gadis itu selamba sahaja memusing stereng yang sedang dipegangnya.

“Awak jangan nak salahkan saya pulak. Saya dah suruh awak berhenti tapi awak degil. Awak ingat awak dah selamat ke? Esok saya nak beritahu pejabat Tuan Aaziz tu tentang awak. Tentang awak yang buat grafiti percuma kat officediaorang.” Ugut Cika.

“Saya buat grafiti percuma apa kena mengena dengan awak?” soal Nadim selamba tanpa ada riak wajah bersalah. Cika hampir tidak percaya mendengarnya. What? Dia menconteng dinding pejabat orang sesuka hati dan itu bukannya apa-apa?

Nadim menjeling wajah merah padam gadis di sampingnya. Dia tahu gadis itu sedang marah. Dia pula tidak sangka, kerja-kerja contengannya ke aras dinding pejabat ayahnya sendiri menimbulkan masalah lain. Dia pun tidak tahu kenapa pergaduhannya dengan ayahnya malam ini membuatkan dia melakukan perkara yang bukan-bukan. Childish of course! Ayahnya mesti naik angin kalau nampak grafiti tu! Memang keanak-anakan tapi hatinya puas! Mujur dia menconteng pejabat ayahnya dengan lukisan sahaja. Cuba kalau dia menconteng pejabat lelaki itu dengan perkata-perkataan ‘cabul’…mahu lelaki itu terus report polis. Tak apa, kurang-kurang aku ada tempat nak bermalam untuk malam ini. Lokap pun best apa! Nadim tertawa kecil.

“Hah ni yang gelak-gelak apasal?” Cika menjeling tajam.

“Kalau saya tak boleh gelak, ambil pisau then just kill me. Nak kata normal, gila rupanya.” Sahut Nadim selamba.

“Sekurang-kurangnya saya tak lepaskan masalah saya kat dinding pejabat orang. Dahlah tak ada sivik, menyusahkan orang pulak tu.” Cika sesedap rasa membalun hati lelaki itu. Ambik kau!

Nadim terdiam mendengar bicara Cika. Kata-kata Cika tidak lagi diambil pusing, sebaliknya di terus memandu. Lima belas minit kemudian, Nadim memberhentikan kereta itu di hadapan Jumbo Jeep. Cika terpinga-pinga. Nadim menoleh ke arahnya.

Nadim sudah keluar dari perut kereta. Cika turut keluar, mahu mengambil alih ruangan di tempat pemandu. Ketika dia mahu masuk ke dalam kereta, Nadim tiba-tiba memegang lengannya. Cika tergaman. Serentak ada darah panas meruap ke wajahnya. Dia terkesima.

“Terima kasih ya sebab bagi tumpang. Jangan cerita pada sesiapa apa yang saya buat tu. Kalau tak..”

“Kalau tak apa?” Jerkah Cika berang.

Nadim tersengih. “Kalau tak saya akan bagitahu orang-orang kat pejabat awak yang awak dan saya berdua-duaan kat pejabat tu malam ini.” Ujar Nadim sinis.

Mata Cika terbeliak. Kata-kata Nadim membuatkan darah panasnya semakin mendidih. Kalau dia melayan lelaki itu boleh naik gila dia dibuatnya. Dengan wajah merah padam, Cika segera memasuki perut kereta lalu terus memandu keluar dari situ.

Nadim ketawa kecil. Lucu melayan kerenah gadis itu yang cepat naik marah tidak tentu fasal. Dalam keadaannya yang sedang rungsing, sedikit sebanyak dengan mempermainkan Cika, dia rasa lebih lega. Entah kenapa!

“Itu bukan Cika ke?” Meletus satu suara di gegendang telinganya. Nadim berpaling lalu ternampak Jak di sampingnya sedang memerhatikan ke arah Honda City putih yang sudah beredar. Entah sejak bila lelaki itu muncul di situ, dia langsung tidak menyedarinya. Skil Jak yang gemar menyelinap seperti hantu sudah semakin maju. Not bad at all!

“Ahah.” Nadim mengiyakan tanpa ada niat mahu menjelaskan secara terperinci.

“Dah rapat rupanya.” Jak tersengih penuh makna.

Nadim turut tersenyum. Memahami apa maksud lelaki itu.

“Jumpa tak sengaja tadi. Terus saya tumpang dia ke sini.” Ujar Nadim menjelaskannya.

“Aik? Mana perginya kereta kau?” Tanya Jak.

Nadim terdiam. Dia malas mahu bercerita panjang lebar dengan Jak tentang ayahnya. Biarlah lelaki itu tidak tahu apa-apa. Meskipun dia patah kaki tanpa kereta, tapi dia yakin dia masih mampu hidup.

“Abang, saya nak tumpang tidur seminggu dua kat sini. Boleh tak?” Tanya Nadim. Jadilah dari dia terpaksa tidur di tepi jalan.

Kata-katanya membuahkan kehairanan di hati Jak. Dia merenung lelaki itu dari atas ke bawah. “Lain macam bunyinya. Kena halau ke?” Soalan cepu emas itu kedengaran.

Dia hanya tersengih. Inilah padah kalau jadi anak yang tidak mendengar kata. Nak buat macamana? Terima sajalah!

“Kau balik tidur rumah abang sajalah. Abang pun tinggal seorang sahaja. Ada kau, tak lah sunyi sangat.” Ujar Jak. Nadim mengangguk. Nasib baik!

“Oh ya, kau dah fikirkan fasal tawaran abang tu?” Jak kembali mengingatkan Nadim tentang tawaran kerja yang disuarakannya beberapa hari yang lalu. Nadim kata akan memberi jawapan segera tapi setiap kali mereka bertemu, ada sahaja urusan Nadim yang membuatkan mereka tidak sempat berbual panjang.

Nadim melepaskan keluhan. Teringat tentang urusannya dengan Jak yang belum selesai. Aduh dia buntu! Patutkah dia terima sahaja tawaran itu? Mungkin ianya lebih baik dari dia mengikut kata-kata ayahnya. Kalau ini satu-satunya jalan untuk dia menghindarkan diri dari Emilia, dari ayahnya walau untuk seketika, mungkin itu sahaja jawapannya.

“Macamana?” Jak bertanya lagi ingin tahu.

Dia memandang Jak sesaat dua sebelum mengangguk.

“Alhamdulillah, nanti abang uruskan semuanya. Abang gembira kau terima tawaran ni. Ini peluang besar untuk kau kenal dengan orang-orang berpengaruh. Manalah tau kau boleh ubah nasib kau.” Ujar Jak.

Nadim terdiam mendengar bicara Jak. Dia tahu Jak bersungguh-sungguh mahu membantunya. Lelaki itu memang ikhlas hati mahu dia mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik.

“Oh ya, lusa kau free tak sebelah malam?” Tanya Jak lagi.

Nadim mengangguk. Dia memang tidak ada persembahan di Jumbo Jeep malam itu. Lagipun dia hanya bermain piano dua atau tiga kali seminggu sahaja di tempat itu.

“Kalau macam tu datang ke Golden of The Palace Horses. Ada job baru abang cari untuk kau kat situ. Ada majlis makan malam dan mereka perlukan seorang pemain piano.”

Nadim sekadar mengangguk tanpa banyak soal. Bermain di majlis-majlis sebegitu sudah jadi perkara biasa baginya jika dia tidak membuat persembahan di Jumbo Jeep.

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh