IRAMA piano yang dimainkan begitu
menusuk ke hati sehingga dia terhenti di tepi pintu, memerhatikan ke arah
kelibat seorang wanita yang sedang memainkan irama lagu yang ternyata sayu dan
hiba bagi telinga sesiapa sahaja yang mendengar. Selalunya dia mendengar ibunya
memainkan irama yang menggembirakan, tapi kali ini berbeza sekali. Didorong
rasa ingin tahu dia sekadar mengintai di sebalik sudut, merenung penuh syahdu pada
wajah yang kelihatan muram dan sedih.
Hendak diterpa ke arah wanita itu, pasti ibunya akan
tersenyum seperti biasa. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, dia sering merasa
senyuman ibunya seperti dipaksa-paksa. Gembira wanita itu seperti sengaja
dibuat-buat. Hakikatnya dia tahu ibunya tidak gembira. Wajah itu berladung
duka.
Sedang dia asyik termenung, tiba-tiba ibunya menoleh. Sepasang
mata ibunya yang indah kini tertumpu ke arahnya. Mahu tak mahu dia turut
melemparkan senyuman lalu keluar dari tempat persembunyian.
“Gotcha.”
Ibunya ketawa.
Dia masih tersenyum. Iya, wanita itu pintar mencari
kelibatnya. Sejak dulu jika dia bermain sembunyi-sembunyi dengan ibunya, wanita
itu sentiasa tahu di mana mahu mencarinya. Tapi itu dahulu sewaktu dia berusia
6 atau 7 tahun. Sekarang dia sudah berusia 16 tahun. Badannya yang tinggi cukup
sukar mahu disembunyikan dari penglihatan si ibu.
“Still number one.”
Komennya.
“Mama nampak Ammar dari tadi.”
“Mama asyik mainkan lagu sedih tu aje. Lepas tu nangis
sorang-sorang. Horrible!” komennya.
Ibunya tiba-tiba terdiam. Agak lama renungan ibunya
singgah di wajahnya sehingga dia jadi serba salah. MASYA ALLAH! Mama
tersinggungkah?
“Sorry, Ammar
tak sengaja.” ujarnya dengan rasa bersalah.
Ibunya menggeleng. “It
was just a song. Sesekali main lagu sedih, tak salah kan?” tanya ibunya.
Dia mengangguk. Bukan setuju, hanya mahu mengambil hati.
Sejujurnya dia tahu lagu sedih yang dimainkan ibunya bukan hanya sekadar lagu
seperti yang dicanang wanita itu. Ia lebih dari itu. Lagu itu melambangkan apa
yang sedang dirasai ibunya saat ini.
“Mama masih marahkan ayah?” tanyanya lagi.
Wanita itu terkedu. “Ammar dengar ke?”
Dia ketawa kecil. Masakan dia tidak mendengar suara
ayahnya yang menengking ibunya dua malam yang lalu. Dia sendiri tidak tahu
kenapa pasangan bahagia seperti ayah dan ibunya boleh bergaduh sampai begitu
sekali. Hendak memasang telinga, tentulah tidak sopan jika dia berbuat
sedemikian rupa. Silap-silap haribulan boleh digertak ayahnya yang agak garang.
“Mustahil tak dengar. Ammar bukan pekak.” Jawabnya
selamba.
Wanita itu terdiam mendengar
bicaranya. Sejurus kelopak mata ibunya mencari wajahnya lagi.
“Mama mahu tanya sesuatu pada Ammar.”
“Tanya apa mama?” Dia bingung. Wajah mamanya cukup serius
kali ini.
“Apa Ammar suka kalau suatu hari nanti Ammar akan ada
seorang abang?” Pertanyaan wanita itu membuatkan dia terpegun. Bulat biji
matanya memandang si ibu yang menatapnya tidak berkelip. Abang? Apa maksud
ibunya?
“Ammar tak faham.” Dahinya berkerut memandang si ibu.
Terkelip-kelip mata wanita itu memandangnya. Dia nampak
kesuraman di wajah itu semakin jelas. Ada
apa sebenarnya dengan pertanyaan itu? Mama dan ayah tidak pernah miliki anak
lelaki lain selain dirinya. Dia tidak pernah punyai seorang abang, kecuali
Marseila kakaknya yang sedikit tomboy.
* *
* *
KAIN yang menutup wajah
ibunya disingkap sedikit demi sedikit. Terserlah wajah tenang ibunya yang kini
tertidur lena. Di dahi ibunya terdapat plaster putih yang digunakan untuk
menutup luka besar di dahinya akibat kemalangan yang telah meragut nyawa wanita
itu. Dia terduduk lemah seraya menatap sekujur tubuh di hadapannya yang sedang
diuruskan beberapa orang saudara terdekatnya. Hatinya masih enggan percaya.
Mama yang selalu mendakap tubuhnya dan mengajarnya bermain piano sudah tidak
ada lagi di dunia ini.
Marseila memegang bahunya.
Merenung wajahnya yang basah oleh tangisan. Wajah Marseila lebih tenang
berbanding dirinya.
“Sabar dik, izinkan mama
pergi dengan tenang.” bisik Marseila.
Ketika mereka saling memujuk
hati yang kesedihan, muncul seorang anak muda di situ, berusia dalam awal 20an.
Wajah anak muda itu kelihatan sedih seraya merenung mayat ibunya yang
ditempatkan di tengah-tengah ruang. Agak lama pandangan anak muda itu tertumpu
ke arah mayat ibunya. Sesekali kelihatan air jernih bergenang di kelopak
sepasang mata bundar itu.
Mata Marseila terpaku pada
wajah lelaki muda itu. Dia juga tidak berkecuali, Perasaan hairan menjengah
diri saat melihat tangisan lelaki muda itu benar-benar untuk arwah ibu mereka.
Siapa dia?
“Siapa tu dik?” Marseila membisikkkan
pertanyaan tanpa disedari. Wajah lelaki muda itu agak kacak. Tubuhnya tinggi lampai
bergaya atlit dengan rambut pendek yang kemas.
Dia menggeleng. Tidak pernah
sekalipun dia melihat wajah lelaki muda itu sebelum ini.
“Sekali pandang macam
kenal.” Sambung Marseila sedikit kaget. Iras wajah lelaki muda itu jika
direnung betul-betul, seperti pernah dilihatnya selama ini. Tapi di mana ya?
Tak semena-mena lelaki muda
itu tiba-tiba menoleh ke arah mereka berdua. Rentak kakinya mula diatur ke arah
mereka. Marseila kaget. Dia pula hanya menanti lelaki itu menghampiri mereka.
“Takziah dari saya. Sabar ya
dik.” pujuk lelaki itu seraya tersenyum hambar. Di kelopak matanya masih
terkesan sisa-sisa air mata yang sudah diseka sejak awal. Selepas menepuk
bahunya dua tiga kali, lelaki muda itu beransur pergi. Dia mahu menghalang
tetapi tidak berupaya. Apatah lagi apabila dia mula menyedari kelibat ayahnya
muncul tidak jauh dari situ, sedang merenung tajam ke arah lelaki muda yang
sudah beredar dari situ.
* *
* *
“DIA ada kat sini tadi. What should I do?” Suara itu muncul
separuh berbisik, menyapa gegendang telinganya. Dia yang melintasi pejabat
ayahnya mahu ke dapur mencari air untuk menghilangkan haus, kini terhenti di
hadapan muka pintu bilik kerja ayahnya. Suara ayahnya terdengar gementar.
“You tak faham. I tak boleh terima dia, not in this way. Evenarwah juga tahu apa sebabnya. It can’t be done, Datuk.” Keluh lelaki itu.
Dia semakin tertarik mahu mencuri dengar perbualan
ayahnya di talian. Dengan siapa sebenarnya lelaki itu berbual? Dan siapa
sebenarnya yang sedang diperkatakan lelaki itu?
“Dia bukan anak I. I hanya ada seorang anak lelaki, and he’s not the one.” Sambung lelaki
itu lagi.
Kali ini darahnya meruap ke wajah. Kata-kata ayahnya
membuatkan dia terkedu. Nafasnya bergetaran seribu. Apa maksud kata-kata lelaki
itu?
Belum sempat dia mahu melunaskan rasa ingin tahunya,
bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia tersentak. Marseila merenungnya
dengan wajah dibayangi tanda-tanya. Dia meletakkan jari telunjuknya ke bibir,
meminta Marseila berdiam diri. Malangnya usaha itu tidak
berhasil lantaran, ayahnya tiba-tiba menguak daun pintu yang renggang itu. Kedua-dua mereka tergaman. Wajah mereka yang
pucat lesi itu semakin gerun melihat renungan si ayah yang tajam serta wajah
yang masam mencuka.