CIKA
tidak ada pilihan lain selain mengikut sahaja aturan ibunya. Hendak melarikan diri, dia dikawal rapi seperti banduan dengan warden penjara. Kalaulah ada peluang, hendak sahaja dia larikan diri seperti dalam drama Prison Break. Tapi buang masa sahaja melarikan diri jika Michael Scofield tidak lari bersama. Hendak buat agenda terancang bersama Ubek tentulah sia-sia sahaja jika Ubek sudah dikasi
warning sama ibunya agar tidak mendekatinya.
Sejak pagi tadi dia disuruh bersiap cantik-cantik. Pakai lipstick biar tebal dari biasa. Baju mestilah sopan santun dan kemas. Jangan selekeh seperti hendak ke pasar. Kasut biarlah bertumit sedikit, bukan selipar jepun yang selalu dipakainya kalau hendak memancing bersama Ubek. Itu pesan Puan Bahyah yang tak habis-habis diulang dengar di telinganya sehingga dia naik muak.
Wajahnya usah dikata lagi serupa beruk kena karan elektrik. Tercengang-cengang dia mendengar bicara ibunya yang kelihatan serius mahu membawanya bertemu Idham Hariz.
“Hai yang buat muka macam cicak tertelan kapur tu kenapa? Kan umi dah cakap tempohari. Sekarang ni umi yang akan heret awak jumpa dengan anak Auntie Jamilah awak tu. Awak suka atau tak, awak kena ikut cakap umi.” Tegas Puan Bahyah.
“Alah umi, takkan umi nak ikut sekali. Malulah Cika.” Dia merengek-rengek dengan lagak manja. Harapannya menggunung tinggi agar ibunya tidak pergi bersama kali ini. Tentu lebih mudah untuk dia melepaskan diri jika wanita itu tidak ada. Namun airmuka ibunya kali ini seperti memberi alamat ‘kirim salam banyak-banyak’.
“Jangan nak banyak songeh. Cepat pergi bersiap, kejap lagi kita nak ke sana.” Sergah wanita itu tanpa mempedulikannya. Dia mengeluh panjang seraya mengerling ke arah ayahnya Encik Nordin yang kebetulan melintas di ruang tamu. Terkelip-kelip mata orang tua itu memandangnya. Ubek sejak dihalau ibunya tadi terus menghilang entah ke mana. Tentu pergi menggilap jorannya agaknya.
Hendak tak hendak dia terpaksa memilih salah satu pakaian yang ada di dalam almarinya. Wajahnya sekadar dimekap tipis. Lipstick dioles sedikit ke bibir. Dia bersiap seadanya. Malah lebih seadanya jika dibandingkan dengan mekapnya ketika menemui calon menantu pilihan ibunya yang ke 13 iaitu Zain. Entah kenapa dia malas sungguh mahu melihat anak Auntie Jamilah kawan lama ibunya itu. Memang dia kenal dengan Idham. Mana tidak kenal kalau sebut tentang Idham Hariz yang terkenal di sekolahnya dahulu. Idham Hariz si pembuli yang handsome tapi tak ada hati dan perasaan. Bencinya!
Tahun 2000, dia berada di dalam Tingkatan 4 ketika itu. Hidupnya normal. Normal dalam ertikata lain dia hanya tahu ke sekolah, balik ke rumah, berborak dengan Ubek yang baru lepas sekolah, esoknya ke sekolah lagi dan begitulah rutin hidupnya sepanjang tahun. Dua bulan kemudian, muncul Idham Hariz yang tinggi lampai, segak dan memiliki karisma yang digilai pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya. Tidak terkecuali dia sendiri.
Temannya Gina sendiri hampir meleleh air liur setiap kali Idham memasuki kantin sekolah dengan gaya peragawannya. Sentiasa segak dan harum. Lelaki itu juga boleh tahan lagaknya. Sentiasa berkepit dengan gadis-gadis di sekolah yang berdahi licin.
Tapi Idham tidak pernah mahu memandangnya. Dia sendiri lebih maklum bagaimana dengan rupanya sewaktu berusia 16 tahun. Dengan braces dan rambut tocang kontot, dia seperti budak perempuan berwajah hodoh dan nerd yang sentiasa ditonjolkan dalam drama-drama alam persekolahan. Malah airmukanya juga seperti cuka yang terlebih masam sehingga Idham suka memanggilnya ‘botol cuka’. Simbolik kepada namanya Syafika ataupun Cika. Malah usikan lelaki itu dari hari ke sehari semakin melampau apabila dia dimalukan di Malam Bakat sekolah.
Setiapkali dia teringatkan Malam Bakat sempena perpisahan pelajar senior yang akan menduduki SPM, hatinya akan sakit. Tubuhnya akan menggigil menahan perasaan sakit hati yang terpendam sejak sekian lama. Dan orang yang bertanggungjawab membuatkan dia sakit hati adalah Idham.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia dijadikan sasaran lelaki itu. Semuanya kerana surat cinta Gina yang ditujukan kepada Idham. Gina pun satu! Kalau nak tulis surat pun, sekurang-kurangnya tulislah nama sendiri di surat itu. Barulah orang lain tidak salah sangka dan menyangka dia tuan empunya surat tersebut. Sejak kes surat cinta itulah, satu sekolah memandang serong padanya. Malah setiap hari ada sahaja ejekan dan makian dari peminat-peminat Idham yang menggelarnya perempuan tidak sedar diri.
Idham pula seperti bengang dengannya dan tidak putus-putus memalukannya. Selalunya dia buat muka tidak kisah. Tapi di Malam Bakat itu perbuatan Idham benar-benar melampaui batas. Ramai orang tahu dia suka menyanyi meskipun suaranya seperti katak puru. Dengan nada suara sumbang itu, dia tetap jua menyanyi apatah lagi hanya dia satu-satunya calon pelajar tingkatan 4 yang sudi menampilkan diri membuat persembahan.
Tapi tanpa disedari, Idham dan teman-temannya mencuri baju yang akan dipakai di dalam persembahannya lalu membuat sedikit alterationpada pakaian tersebut. Tanpa menyedari dirinya dikenakan, dia terus menyarung pakaian tersebut tanpa mengesyaki apa-apa. Namun sebaik dia berada di pentas sekolah, semua pelajar-pelajar di sekolahnya mengetawakannya. Dia tercengang, tidak pasti kenapa dirinya diketawakan sebegitu rupa. Sehinggalah dia melihat sendiri bagaimana rupa gaun hitam yang dijahit ibunya dengan labuci kini tertulis dengan perkatan LOSER di hadapan baju. Dan ironinya perkataan itu sendiri dijahit dengan menggunakan labuci-labuci yang sama di pakaiannya.
Kejadian itu membuatkan dia jatuh sakit dan tidak datang ke sekolah hampir dua minggu. Dan selama dua minggu itu juga dia membuat pelbagai kerenah agar dia ditukarkan ke sekolah lain. Pilihan sekolahnya ialah sekolah tempat ibunya mengajar. Terpaksa! Bukan dia hendak sangat bersekolah di sekolah yang sama ibunya berada. Tapi itu lebih baik dari dia berhadapan dengan pelajar-pelajar di sekolahnya terutama Idham sendiri.
Puas Gina memujuk agar dia melupakan kejadian malam itu. Tapi Gina cakap memang senang! Bukan gadis itu yang berada di tempatnya. Bukan Gina yang perlu menanggung parah hati yang berkecai apabila dimalukan sebegitu rupa. Malangnya hasrat hatinya tidak kesampaian. Ibunya langsung tidak mahu melayan permintaannya untuk menukar sekolah.
Sejak malam itu dia semakin alergik mendengar nama Idham Hariz. Malah mahu mengingati wajah lelaki itu juga dia tidak mahu. Tapi ALLAH lebih berkuasa, maka didatangkan seorang wanita di rumahnya pada suatu hari. Puan Jamilah rupa-rupanya kenalan lama ibunya sejak di universiti. Dan lebih ironi Idham adalah anak tunggal wanita itu. Itupun dia tahu apabila ibunya menjemput Puan Jamilah dan suaminya Encik Othman ke rumah untuk makan malam. Ketika itulah wajahnya pucat lesi sebaik terpandang kelibat anak muda itu keluar dari kereta. Hampir pitam dia jadinya, mujurlah Ubek ada di belakang untuk menyambutnya. Sempat juga dia menyumpah Ubek yang memandai-mandai menyambutnya.Kalau dia jatuh pengsan lagi senang. Tidak perlu lagi dia berhadapan dengan lelaki yang dibencinya itu.
Anehnya Idham pura-pura tidak mengenalinya ketika itu. Membuatkan dia bertambah bengang dan geram dengan lelaki itu. Idham berlagak seperti tidak rasa bersalah langsung. Kerana itu dia memutuskan untuk melupakan segalanya termasuklah wajah Idham dari ingatannya. Mujurlah selepas habis SPM, Idham menyambung pelajaran ke luar negara. Maklumlah anak ahli perniagaan terkenal katakan.
“Hai padanlah umi tunggu lama, rupanya awak sedap-sedap termenung pulak kat sini.” Suara ibunya mencelah masuk ke gegendang telinganya. Dia terpegun. Mendongak wajah memandang si ibu yang sudah mencerlung tajam. Baru dia perasan dia masih berada di biliknya, sedang terkenangkan peristiwa pahit yang berkait dengan orang yang akan ditemuinya nanti.
“Ni baju apa awak pakai ni Cika? Macam berkabung sahaja umi tengok. Mekap tu biarlah cantik sikit, ini comot aje macam hantu opera.” Ibunya menggeleng kepala melihat penampilannya hari itu.
“Umi, Cika tak berapa sihat la.” Dia memandang ibunya dengan wajah berkerut. Cuba memohon simpati dari ibu sendiri.
“Dah jangan nak bersandiwara dengan umi. Umi yang lahirkan awak. Umi tahu benar ragam awak tu. Sudah, pergi tukar baju yang ceria sedikit. Nanti lari pula si Idham tu kalau tengok awak begini.” Suruh Puan Bahyah.
Dengan wajah mencuka, Cika terpaksa mematuhi kata-kata ibunya. Sudah azali begitu. Kata ibunya mesti dipatuhi atau kepala harus dipancung! Sambil dia menukar pakaian yang lebih senonoh menurut pandangan ibunya, mulutnya tak habis-habis mengomel. Geram kerana dipaksa bertemu dengan Puan Jamilah dan Idham yang mahu dielakkannya.