Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 21

“DAHLAH tu Puan Bahyah oi, dah dekat dua jam awak asyik berulang alik depan muka saya ni. Tak reti-reti penat ke?” Tegur Encik Nordin seraya memerhatikan gerak-geri isterinya. Muka mencuka wanita itu dihadapnya sejak tadi lagi sehinggakan takut dia mahu menegur. Tak payah tanya pun dia tahu apa sebabnya. Di rumah ini yang paling banyak dimarahi isterinya itu tentunya Cika, anak gadis kesayangannya.

Puan Bahyah tidak mempedulikan kata-kata suaminya. Sebaliknya matanya tak habis-habis merenung jarum jam di dinding ruang tamu. Dah dekat pukul 10 malam ni. Ke mana Cika pergi? Ubek pun tidak menelefon-nelefon ke rumah.

“Lepas Cika balik ni, cubalah slow talk dengan anak dara awak tu. Jangan asyik tahu nak marah aje. Kita ni bukan muda lagi. Jantung awak tu kena dijaga. Jantung saya pun sama.” Ujar Encik Nordin seraya ketawa kecil.

Puan Bahyah menjeling suaminya dengan ekor mata. Geram hatinya mendengar kata-kata suaminya yang jelas menyindir.

“Jenis macam Cika ni bukan boleh bawa slow talk. Ada aje kerenah dia yang buat saya geram. Awak pun sama.” Getus Puan Bahyah.

“Eh kenapa saya pulak?” Encik Nordin terpinga-pinga.

“Si Cika ni berani melawan sebab awak tu yang beri muka sangat kat anak dara awak tu. Itu sebab Cika jadi macam tu.” Tuduh Puan Bahyah.

“Ni yang tak sedap dengar ni. Awak tu yang keras sangat dengan dia. Suka paksa dia buat benda-benda yang dia tak suka. Itu sebab dia memberontak.” Balas Encik Nordin pula. Bunga-bunga pertengkaran mula bercambah, tapi nada suaranya tetap terkawal. Dia memang orang yang sangat tenang bila berhadapan dengan masalah. Sikap positif Encik Nordin memang sering menundukkan sikap keras kepala isterinya.

“Awak apa tahu? Saya ni kalau tak paksa si Cika tu, entah sampai umur 30 pun dia takkan kahwin-kahwin.” Leter Puan Bahyah.

“Puan Bahyah, ajal maut dan jodoh ni kerja ALLAH. Kenapa kita yang manusia ni memandai-mandai nak campur tangan soal yang hanya Dia yang tahu? Kita patut bersyukur sebab Cika tu membesar sempurna, berpendidikan dan yang paling penting hormatkan kita.” Nasihat Encik Nordin cuba berlembut.

Puan Bahyah hanya membisu seribu bahasa. Kata-kata suaminya ditelan antara mahu dengan tidak. Suaminya kalau sudah bercakap dengan nada serius, memang susah dia mahu menang lagi. Ada sahaja benda yang digunakan untuk mematahkan cakap-cakapnya.

“Cika tu anak kita. Kalau dia tak kahwin-kahwin sekalipun, dia tetap anak kita. Anak kesayangan saya dan awak. Bagi saya asalkan Cika sihat dan gembira, itu sudah cukup bagi saya.” Sambung Encik Nordin lagi.

Puan Bahyah tunduk. Termasuk juga kata-kata suaminya itu dalam fikiran. Dia mengigit bibir. Cuba memikirkan nasihat suaminya itu dari sudut positif. Jika difikir-fikirkan dia memang kerap memarahi Cika sejak akhir-akhir ini. Tapi Cika tidak pernah sekalipun berkasar atau meninggikan suara dengannya. Paling-paling pun Cika akan menghilangkan diri. YA ALLAH! Aku ini terlalu memaksa diakah? Tapi sebagai ibu, aku mahukan yang terbaik untuk Cika. Mahu anak itu menemui jodoh yang sepadan dan hidup bahagia.

Bunyi kenderaan di luar laman rumah mengejutkan kedua-duanya. Encik Nordin menjenguk ke luar.

“Ubek dah balik.” Ujarnya.

Puan Bahyah hanya mengeluh. Ingatkan Cika! Sekali lagi dia mengerling ke arah jam dinding. Masa semakin berlalu, tapi Cika masih tidak pulang-pulang lagi. Ke mana gadis itu pergi sebenarnya? Menjawab panggilan pun tidak! Keluh Puan Bahyah risau.

“Astaghfirullahalazim, apa kena dengan adik kamu ni Ubek?” Suara Encik Nordin yang meninggi mengejutkan Puan Bahyah. Dia berpaling. Muncul Ubek di muka pintu sambil memapah Cika yang kusut masai. Puan Bahyah tergaman. Serta-merta dia meluru ke arah kedua-dua anaknya.

“Ubek? Cika? Kenapa ni?” Soal Puan Bahyah gusar.

Ubek tidak menjawab. Dia segera memapah Cika ke arah sofa berdekatan. Puan Bahyah dan Encik Nordin sekadar menuruti kedua-duanya dengan wajah gusar.

“Ubek, kenapa dengan si Cika ni? Apa yang dah berlaku?” Soal Puan Bahyah lagi. Dia segera memegang bahu anak gadisnya, membetulkan rambut Cika yang kusut masai serta pipi yang sedikit kebiruan seperti bekas-bekas lebam.

Ubek memandang kedua-dua ibubapanya silih berganti. Bibirnya melepaskan keluhan kesal.

“Cika kena samun tadi umi, babah.”

“Hah?” Wajah Puan Bahyah pucat lesi. Cepat-cepat dia merangkul bahu anak gadisnya. Apa yang Ubek katakan benar-benar menggerunkan dirinya. Sudah banyak kes-kes melibatkan samun yang didengarnya dari berita-berita di televisyen. Dan adakalanya sehingga meragut nyawa. Bagaimana kalau kejadian yang berlaku hari ini membuatkan dia kehilangan Cika? Ya ALLAH, dia tidak sanggup memikirkannya.

“Cika kena samun dengan dua orang mat rempit tadi. Mujurlah dia tak apa-apa. Ubek tengah siap-siap nak balik bila Cika callUbek tadi.” Jelas Ubek panjang lebar.

“Dah report polis?”

Ubek menggeleng. Sempat pula melirik ke arah adiknya yang hanya berdiam diri.

“Belum babah. Ubek dah nak call polis tadi, tapi Cika melarang. Dia kata dia tak nampak muka dua orang penyangak tu. Nombor plat motor pun dia tak nampak. Jadi kalau kita report polis pun percuma sahaja.” Ujar Ubek.

Encik Nordin mengangguk. Menyedari kata-kata Ubek ada benarnya.

“Habis si Cika ni dah ke klinik ke belum?” Tanya Puan Bahyah, risau melihat lebam-lebam di bawah mata serta di pipi Cika di sebelah kiri. Encik Nordin turut menjenguk memerhatikan wajah anaknya yang sedikit pucat. Rambut pun sudah mengerbang gaya afro.

“Tak payahlah umi, babah. Cika tak apa-apa, cuma lebam sikit aje. Masa Cika nak rampas beg tangan Cika, salah seorang penyangak tu terus tempeleng Cika.”

“MASYA ALLAH! Kurang ajar punya penyamun tarbus. Berani dia usik muka anak umi ni.” Getus Puan Bahyah berang.

“Cika sakit tahu umi. Habis satu badan Cika ni sakit-sakit.” Cika mengadu domba.

“Alah kasihan anak umi ni. Jom umi bawa Cika berehat kat bilik. Nanti umi masakkan bubur dengan sup untuk Cika.” Pujuk Puan Bahyah. Dia segera memapah anak gadisnya naik ke atas sambil terkelip-kelip diperhatikan Ubek dan Encik Nordin.

“Dah sejuk nampaknya umi kamu tu Ubek.” Selar Encik Nordin.

Ubek hanya mengangguk sambil tersenyum gelihati. Lucu kerana umpannya mengena. Hati uminya dengan segera sejuk gara-gara Cika disamun hari ini. Lakonan dia dan Cika memang highclass. Aaron Aziz pun boleh makan pasir! Ketika dia mengalihkan pandangan, renungan Encik Nordin sudah singgah di wajah. Ubek sudah gugup. Alamak! Semacam aje babah renung aku ni kenapa?


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh