ROSSIE dari firma guaman Aaziz & Co
bergegas datang dan memberikannya segelas mug berisi coklat panas. Cika
mengambilnya tanpa banyak soal lalu menghirup coklat tersebut perlahan-lahan.
Gerak-gerinya menjadi santapan mata semua pekerja-pekerja di firma tersebut.
Dia menyedarinya namun dia pura-pura
tidak perasan.
Dari
hujung mata, dia melihat Gina dan Datuk Fakhri sedang berbual-bual dengan
pemilik firma tersebut Tuan Aaziz Ibrahim. Sesekali mata ketiga-tiganya
berpaling ke arahnya. Dia makin gugup diperhatikan begitu. Macam aku pula yang
buat salah. Takkan mereka berkomplot nak serahkan aku pada pihak polis pulak.
Sudahlah Pakcik Mat tadi siang-siang sudah diangkut ke balai polis kerana
tuduhan menganggu ketenteraman awam. Dia pula terpaksa berkurung di pejabat
guaman itu sejak satu jam yang lalu, kerana di luar pejabat itu kononnya
sekumpulan wartawan sedang menantinya untuk diwawancara. Maklumlah dalam
sekelip mata dia sudah jadi wirawati yang berjasa kepada nusa dan bangsa.
Tiba-tiba
ingatannya singgah pada lelaki yang menarik tangannya sebentar tadi. Sudah
kerap kali lelaki itu muncul di hadapannya. Seolah-olah kemunculan lelaki itu
suatu petanda. Aneh dirasakan tetapi entah kenapa dia senang sekali. Hatinya
melonjak-lonjak rasa seronok apabila diselamatkan lelaki yang menjadi mainan
tidurnya sejak dua malam yang lalu. Sehingga terigau-igau dia dibuatnya.
Mana lelaki itu agaknya? Dia masih
belum sempat mahu mengucapkan terima kasih, tiba-tiba sahaja lelaki itu
menghilang seperti hantu. Dia memandang ke arah Rossie yang berada tidak jauh
darinya. Niat hatinya mahu bertanya tentang lelaki itu. Tentu si Rossie ni tahu
siapa lelaki itu. Apakah dia bekerja di firma guaman ini?
Namun
belum sempat dia mahu membuka mulut, matanya terpandang kelibat Gina, Datuk
Fakhri dan Tuan Aaziz sedang melangkah ke arahnya.
“Cik
Syafika, saya nak ucapkan terima kasih atas keberanian Cik Syafika selamatkan
Encik Mat hari ni. Saya tak sangka, zaman sekarang ni masih ada perempuan yang
berani seperti Cik Syafika.” Puji Tuan Aaziz.
Dia
hanya tersenyum sambil menjeling ke arah Gina.
“I
pun tak sangka Cika, yang you sanggup panjat tingkap dan susur beranda tu dari
pejabat you tu ke mari semata-mata sebab nak selamatkan lelaki tu. I’m so proud of you Cika.” Pintas Datuk
Fakhri pula tanpa mengetahui hal sebenarnya. Sangkanya Cika sengaja memanjat
tingkap itu untuk menyelamatkan lelaki tua itu.
Senyuman
Gina semakin melebar, lucu mendengar tafsiran Datuk Fakhri yang tidak mengena.
Manakala kerutan di dahi Cika pula semakin berlapis. Kata-kata Datuk Fakhri
membuatkan dia hampir tersedak, padahal tak makan apa-apa pun, minum air coklat
aje.
“Itulah
Datuk, Cika ni memang tak boleh nampak orang yang dalam kesusahan dia mesti nak
tolong sama. Dah jadi penyakit dia sejak azali.” Sampuk Gina sambil mengerling
wajah sahabatnya yang sudah merah padam.
Cika
mengerling ke arah Gina. Oh diam-diam kau kenakan aku ya! Nantilah kau Gina!
Hendak tak hendak Cika pura-pura tersenyum. Apa boleh dibuat kalau tindakannya
hari ini disalahertikan. Terima ajelah!
“Err
Tuan Aaziz, siapa lelaki yang selamatkan saya tadi?” Cika menyoal didorong
perasaan ingin tahu.
“Lelaki?”
Wajah Tuan Aaziz berkerut. Gina dan Datuk Fakhri turut menunjukkan wajah blur
yang serupa.
“Lelaki
tadi. Lelaki yang tarik saya ke dalam.” Ujar Cika.
Tuan
Aaziz terdiam. Lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah Rossie.
“Rossie,
you nampak ke siapa yang selamatkan Cik Syafika?” Soal Tuan Aaziz pada
setiausahanya.
Rossie
menggeleng. “Maaf tuan, kelam kabut sangat tadi. Saya tak perasan.” Jawab
Rossie sejujurnya.
Cika
terdiam mendengar jawapan wanita cina itu. Aneh sungguh, kenapa Nadim Ammar
boleh berada di sini? Kalau dia pekerja di sini, sudah pasti orang di firma itu
mengenalinya.
* * * *
“Cika?
Kau okey ke tak ni?” Tanya Gina sewaktu mereka keluar minum di kafeteria di
hadapan bangunan pejabat petang itu.
Dia
menoleh ke arah Gina agak lama. Apa punya soalan daa?
“Hari
ni aku nyaris-nyaris jatuh bangunan pejabat tu, kau ingat aku okey ke?” Soal
Cika kembali. Gina mengaru kepala tidak gatal. Dia yang bertanya, Cika pula
mengulang pertanyaannya. Ada
logik ke?
“Kau
trauma lagi fasal tadi?”
“Tak...trauma
aku kejap aje.” Sahut Cika selamba sambil menghirup fresh orange yang hanya tinggal separuh.
“Habis
yang muncung macam mak nenek ni kenapa? Hari ni kau kan dah jadi heroin, muka siap masuk
televisyen lagi tadi. Apalagi yang kau menungkan ni?” Tanya Gina lalu
tersengih.
Cika
mengeluh panjang. Fasal mukanya masuk televisyen, itu satu hal. Dia sendiri
tidak menyangka kes di firma guaman Tuan Aaziz Ibrahim itu awal-awal sudah
dihidu oleh wartawan. Malah dibesar-besarkan sehingga tak fasal-fasal namanya
jadi popular sekejap. Melihat wartawan dan jurugambar itu sudah menanti di luar
pejabatnya, mahu tak mahu dia terpaksa melayan mana-mana yang patut. Hendak
dihalau, macam tak kena pula dengan imej heroin yang ditampilkannya hari ini
secara tidak sengaja.
Tapi
ketika ini entah kenapa hatinya asyik teringat pada wajah itu. Lelaki yang
membantunya hari ini benar-benar membuatkan dia tidak senang duduk. Sepertimana
dia terkejut melihat lelaki itu, dia juga tahu lelaki itu merasakan hal yang
sama. Baru kelmarin mereka terserempak dan berbalah soal yang tak masuk akal,
hari ini mereka bertemu lagi dalam suasana yang kecoh dan huru-hara. Lagi huru-hara
dia diselamatkan lelaki yang sengal itu.
“Gina…”
panggil Cika.
Gina
yang sedang ralit menghirup minumannya segera mendongak ke arahnya.
“Tadi
kau memang tak perasan ke lelaki yang selamatkan aku tadi?” Tanya Cika lagi. Dia
tak sudah-sudah bertanya, sekadar mahu memastikan. Dalam malu-malu kucing, dia
sudah tidak mampu menahan diri. Sekalipun Gina akan mengetawakannya, dia akan
terima sahaja dengan hati terbuka. Asalkan dia tahu siapa sebenarnya lelaki itu
dan bagaimana lelaki itu boleh muncul di situ.
“Lelaki
yang tarik tangan kau tu?” Soal Gina.
Cika
mengangguk pantas. “ Kau ada nampak dia tak masa kat pejabat Tuan Aaziz tu?”
“Bukan
dia salah seorang staffkat situ ke?”
Soal Gina pula.
Cika
mengeluh panjang. “Aku pun ingat macam tu tadi. Tapi puas aku intai dia, memang
dia tak ada kat situ lepas tu.”
“Sorrylah Cika, aku pun tak nampak muka
mamat tu. Cuma nampak belakang dia aje. Itupun masa aku nampak kau nak jatuh
tadi, fikiran aku asyik melayang kat kau aje. Kalau Tom Cruise atau Brad Pitt
ada sekalipun, sah-sah aku tak perasan.” Jawab Gina sambil tersengih.
Cika
menjeling panjang. Pulak dah!
“Aku
sebenarnya nak ucapkan terima kasih kat dia sebab tolong aku tadi. Tadi aku nak
tanya orang-orang kat pejabat Tuan Aaziz tu fasal lelaki tu, tapi aku segan pulak. Nanti apa pulak kata diaorang kan.” Almaklum, orang
berbudi dia mesti berbahasa. Meskipun lelaki itu sering membuatkan dia sakit
hati sejak dua menjak ini, tapi dia harus juga meluangkan masa untuk
mengucapkan terima kasih.
“Habis,
kau nak suruh aku tanya?” Gina mengenyitkan mata.
Mata
Cika mula bersinar-sinar. Dengan muka tak malu dia mengangguk. “Ahah kau tolong
aku ya. Tolong tanyakan fasal lelaki tu. Aku nak tahu siapa dia.”
Gina
tergelak besar. “Pelik! Ini kali pertama aku nampak kau berminat dengan spesies
yang namanya lelaki. Kau dah ubah selera kau ya!” Usik Gina.
Cika
tercengang. Gurauan Gina disambut dengan jelingan panjang. “Jangan nak
mengada-ngada buat spekulasi tak tentu hala. Aku nak cari dia sebab nak
berterima kasih aje, bukan ada niat apa-apa pun.”
“Kalau
ada pun, tak ada siapa pun yang nak marah.” Sahut Gina selamba.
Cika
terdiam. Kata-kata Gina membuatkan dia jadi keliru. Dengan wajah muram, dia
merenung gelas fresh orange di
hadapannya yang semakin kosong. Wajah lelaki itu tiba-tiba tertancap pada gelas
fresh orange itu. Seolah-olah
tersenyum padanya. Tanpa disedari Cika turut jua tersenyum. Imej pada gelas
fresh orangenya berjaya membuatkan dia naik angau. Sesuatu yang tidak pernah
berlaku selama ini. Yang nyata lelaki seiras Josh Duhamel itu benar-benar
memberi kesan kepada seluruh hati dan jiwanya saat ini.