Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 38

Bila The Loser bertemu The Pianist

Apakah Tugu Cinta Bakal Dibina?

Atau Bencana Yang Akan Tiba?

 DARI dalam kereta, dia terpandang kelibat Cika sedang menunggu teksi di laluan teksi tidak jauh dari kawasan hotel. Dia menarik nafas lega. Mujurlah! Cika tak mungkin akan berada jauh dari kawasan itu. Memang niatnya mahu mengejar gadis itu agar tidak hilang dari mata.

Dia segera memandu ke arah Cika yang duduk bersendirian di situ. Tingkap dibuka lalu kepalanya menjenguk keluar.

“Jom saya hantarkan awak balik.” Teriak Nadim, cuba mengimbangi bunyi enjin kenderaan lain di situ.

Cika menoleh. Menunduk sedikit, cuba mengecam siapakah yang memandu kereta Volkswagen berwarna kuning terang itu. Sebaik matanya bersapa pandang dengan wajah Nadim Ammar, dia terkedu.

Please, masuk ke dalam kereta. Teksi tengah tunggu nak masuk laluan ni.” Pujuk Nadim.

Cika melontarkan pandangan ke suatu arah. Baru dia perasan kereta Volkswagen itu sedap-sedap sahaja berada di petak laluan teksi.

“Awak nak pergi, pergi ajelah. Jangan ganggu saya.” Cika menjawab. Malas mahu melayan Nadim. Dia tahu Nadim pasti sudah mendengar setiap patah perkataan teman-teman sekolahnya sebentar tadi. Sedikit sebanyak dia malu dengan Nadim Ammar. Kat mana dia nak letak airmukanya? Dalam tempayan? Dalam botol?

“Saya takkan pergi selagi awak tak naik kereta ni.” Ugut Nadim.

Cika tersenyum sinis. Macamlah aku yang bakal dimarahi para pemandu teksi di Kuala Lumpur ni. Go to hell!

“Cika….please.” Suara Nadim lembut memujuk.

Cika terkedu dibuatnya. Buat pertama kalinya dia mendengar lelaki itu memanggilnya dengan panggilan Cika. Aduh! Bunyinya lembut sekali membikin hati yang terasa rawang sejuk dalam sekelip mata.

Bunyi hon bertalu-talu yang muncul dari arah belakang membuatkan kedua-duanya tergaman. Nadim melontarkan pandangan ke arah cermin sisi. Dia nampak jelas ada sebuah teksi mahu masuk di laluan itu. Keluhannya meniti keluar.

“Nak naik ke tak nak ni?” Nadim sudah mulai bosan. Hendak tak hendak, Cika segera membuka pintu kereta lalu melangkah ke dalam. Grrr..geramnya! Kalau bukan sebab dia datang dengan menumpang kereta Gina, pasti menumpang kereta lelaki itu adalah pilihan terakhirnya.

Ketika Nadim menghalakan Volksawagen itu keluar dari perkarangan kawasan hotel, sebuah kereta datang dari arah bertentangan. Si pemandu menoleh ke arah Volkswagen tersebut. Melihat wajah Nadim Ammar tersenyum ke arah seorang gadis di sampingnya, wajah si pemandu segera berubah. Mendadak dia memberhentikan keretanya.

Emilia keluar dari kereta yang dipandunya. Matanya mengintai-intai kereta yang sudah berlalu pergi. Ada kegusaran melanda sekeping hatinya saat itu. Siapakah gadis bersama Nadim itu? Hati Emilia sarat dengan pelbagai pertanyaan. Bibirnya diketap rapat, cuba menahan perasaan marah dan kecewa yang seiring di kamar hati.

* * * *

SEGELAS mug diletakkan di hadapan Cika. Cika mendongak, memandang ke arah mug kopi yang masih berasap. Dia sempat melihat wajah Ebit yang tersengih-sengih memandang ke arahnya. Alan yang berambut spike berwarna putih itu sejak awal-awal sudah melambai ke arahnya. Yang lain-lain dia tidak kenal nama. Tapi kesemua mereka asyik memandangnya dengan wajah nakal dan ada yang terlebih nakal, bersiul ke arahnya.

“Tak sangka awak popular jugak kat sini.” Tegur Nadim, muncul entah dari mana. Sekeping kek blueberry dan pinggan berisi buah-buahan diletakkan di hadapan Cika. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan gadis itu.

“Kenapa kita kat sini?” Soal Cika dengan wajah mulai bosan.

“Saya nak makan, lapar. Awak sangka saya dah makan ke semasa kita kat hotel tadi?” Jawab Nadim seraya menyuap sedikit kek ke mulutnya.

“Manalah saya tahu awak makan ke belum? Lagipun yang awak ikut saya keluar tadi kenapa? Kenapa tak tunggu makan kat situ aje?” Cebik Cika.

Nadim tidak menjawab. Wajah Cika yang merah padam ditenung agak lama. Dia tahu Cika masih sedih dengan apa yang berlaku di dewan hotel tadi. Sengaja gadis itu berpura-pura tidak kisah, berpura-pura tidak ada apa yang berlaku.

Sebenarnya dia sendiri tidak tahu kenapa dia tinggalkan majlis itu begitu sahaja sedangkan tugasnya masih belum selesai. Upah pun belum diambil lagi. Alih-alih sebaik melihat peristiwa yang berlaku malam ini serta Cika yang meluru keluar, ada suara di telinganya membisikkan agar dia keluar mencari gadis itu.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Cika mengerutkan dahinya. Tidak sedap hati membiarkan wajahnya terus menjadi sasaran anak mata Nadim. Aku bukan alien tau!

“Awak nak beritahu saya apa-apa?”

Cika tergaman. Pertanyaan Nadim cukup lembut.

I’m here, if there is something you want to share.” Sambung Nadim lagi, prihatin lantaran dia sendiri tertanya-tanya apa maksud gadis-gadis yang mengelilingi Cika tadi. Bunyi isi pergaduhan itu seperti serius sahaja!

Cika menarik nafas panjang. “Yes, there is something.”

Nadim tersenyum. Here we go. Cika sudi bercerita, dan dia pula lebih dari sudi menjadi kaunselor tidak bergaji gadis itu.

Well..sebenarnya saya pun tak sempat nak makan tadi. Boleh tak kita ordernasi goreng kampung dengan jus tembikai? Tapi awak kena belanja sebab saya tak bawa duit.”

Nadim terkedu sebentar. Cis! Sia-sia sahaja aku prihatin, tapi takde hasil pun. Mati-mati dia ingatkan Cika sudi berkongsi masalah.

“Makan buah-buahan ni dulu.” Nadim menolak pinggan buah-buahan ke arah Cika. Pinggan kek blueberrynya turut ditolak sama.

Cika memerhatikan buahan-buahan itu seraya menggelengkan kepala.

Sorry, saya tak boleh makan betik. Alergik!”

Nadim mengeluh. Ada-ada sahaja! Manusia mana yang alergik dengan betik? Tak pernah dengar pun selama ini! Dia segera berteriak memanggil Ebit. Terkocoh-kocoh anak muda itu menghamnpirinya.

“Kenapa bro?”

“Ebit, kau buatkan nasi goreng kampung untuk minah ni. Untuk aku, bagi nasi goreng USA. Jus tembikai dua.” Nadim memesan makanan. Ebit segera beredar sebaik mengambil pesanan.

“Puas hati sekarang?” Tanya Nadim separuh memerli.

Cika hanya tersenyum. Dia tahu Nadim mahukan dirinya bercerita tentang kisah lalunya, tapi itu tak mungkin berlaku. Dia masih ada harga diri yang harus kekal disimpan untuk dirinya sendiri. Bukan untuk disebarkan dari telinga ke telinga.

“Dah lama awak jadi pemain piano?” Tanya Cika sengaja mahu memulakan perbualan. Selebihnya dia mahu mengelakkan Nadim berbual tentang dirinya.

“Dekat sini baru dua tahun. Lepas saya balik dari New York.”

“Buat apa kat New York?” Cika semakin berminat ingin tahu.

“Belajar. Tapi sekerat jalan sahaja. Saya balik ke mari dua tahun lepas.”

“Kenapa belajar sekerat jalan sahaja?” Soal Cika seperti hairan.

Nadim tidak menjawab. Wajah anak gadis itu dipandang acuh tak acuh. Sibuk sahaja hendak tahu! Diri sendiri pun nampak macam banyak masalah! Keluh hati kecil Nadim.

Sekejap sahaja Ebit datang kembali dengan dua pinggan nasi goreng. Cika menelan liur melihat nasi goreng yang masih berasap itu.

“Makanlah nasi goreng tu sebelum sejuk. Lepas tu saya hantar awak balik.” Suruh Nadim sambil dia sendiri teruja mahu mengisi temboloknya.

Cika tidak bertangguh segera menyuap makanan itu ke mulutnya. Begitu juga dengan Nadim. Kedua-dua mereka seperti sudah tidak makan berminggu-minggu lamanya.

“Sedap?” Nadim menyoal seraya memandang gadis di hadapannya.

Cika hanya mengangguk.

“Awak tak pelik ke, kita jumpa hari ni tapi kita tak gaduh?” Nadim tersengih.

Cika mendongak wajah memandang lelaki itu. Dahinya berkerut. “Awak lebih suka kita jumpa dan gaduh?”

Nadim ketawa kecil. “Tak, sebenarnya saya lebih suka kita begini. Dapat makan macam ni sama-sama dan berbual-bual.” Ujar Nadim.

Cika menarik nafas panjang. “Baguslah, sebab saya tak larat nak gaduh dengan awak lagi Nadim. Saya tak ada mood.”

“Awak nak beritahu saya apahalnya tadi? Kenapa mereka buat awak macam tu?” Pertanyaan Nadim muncul semula. Cika mengeluh. Dia tahu sesiapa sahaja yang bertembung dengan peristiwa hari ini pasti akan tertanya-tanya seperti Nadim Ammar ketika ini.

“Sebab awak berhadapan dengan Loser, Nadim. Saya melalui masa persekolahan yang tidak pernah indah. Dan mereka semua adalah penyebabnya.” Ujar Cika muram.

Dahi Nadim berkerut. Loser? Apa maksud gadis itu?

Tell me more.” Pinta Nadim serius. Semakin tertarik ingin tahu.

Hendak tak hendak Cika terpaksa bercerita panjang lebar. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan ringan mulut dia bercerita segala-galanya pada lelaki itu. Kalau dengan keluarganya sendiri dia tidak pernah memberitahu semua ini, tapi anehnya dengan Nadim Ammar, semuanya keluar dari mulutnya termasuklah nama Idham Hariz.

Nadim menarik nafas panjang mendengar cerita Cika. Wajah anak gadis itu ditatap simpati. Dia benar-benar tidak menyangka gadis yang terlihat gila-gila itu ada sejarah hitam di sekolah. Dalam hati dia turut mengutuk manusia bernama Idham Hariz itu. Apa punya lelaki daa?

“Sekarang awak dah tahu semuanya. Saya memang tak sempurna, tapi saya tak harus diperlakukan seperti ini. Saya tak patut dilayan seperti sampah begini.” Getus Cika sebak. Tidak tahu kenapa, tiba-tiba sahaja emosinya meledak.

“Bagi saya awak dah cukup sempurna Syafika Nordin.” Tukas Nadim seraya merenung wajah di hadapannya yang kelihatan sedih. Kelopak mata yang indah itu jelas bertakung air jernih.

Cika terdiam. Kata-kata itu membuatkan dia terpaku. Dia memberanikan diri menatap wajah Nadim yang merenung lama ke wajahnya. Ada rasa terharu yang menyentuh pangkal hatinya saat ini.


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh