Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 32

UBEK terkejut besar apabila dia mengatakan mahu pergi bercuti dengan menaiki sebuah kapal persiaran. Pantas Ubek bertanya pelbagai soalan sehingga naik rimas dia dibuatnya. Bila hendak pergi? Berapa lama? Siapa yang bagi? Ada tiket freetak?

“Tuan Aaziz Ibrahim yang hadiahkan tiket cruise tu. Tanda ucapan terima kasih kerana kes lelaki yang nak bunuh diri tempohari.” Ujar Cika.

“Habis umi dah tahu?”

Cika menggeleng. “Belum la bang. Cika tak berani nak beritahu umi, takut umi tak kasi.” Keluh Cika.

“Cakap ajelah perkara sebenar pada umi, Insya ALLAH umi akan izinkan.” Cadang Ubek seraya ketawa kecil.

Cika terkelip-kelip memerhatikan abangnya. Itu yang paling susah mahu dilakukan. Cakap benar? Dengan uminya? Hish nak tempah maut cubalah! Cika menggelengkan kepala. Nasihat Ubek memang sempoi kali ini, tapi paling tak boleh dipakai. Aduh! Apa yang patut aku lakukan?

* * * *

PUAN BAHYAH dan Encik Nordin terkelip-kelip memerhatikan Darren yang berbalut tangan dan kaki. Sesekali gerun mendengar cerita Darren tentang apa yang sudah berlaku.

“Teruk sungguh pemandu tu. Setelah dilanggarnya kamu, lepas tu ditinggalkan aje macam tu dalam longkang.” Getus Puan Bahyah meradang. Dia memang naik angin bila mendengar tentang kes langgar lari.

“Dah report polis ke Darren?” Tanya Encik Nordin pula.

“Err sudah uncle. Saya dah report tadi sebelum nak datang ke sini.” Jawab Darren tergagap-gagap.

“Baguslah tu, biar polis tangkap pemandu tak berhemah tu. Kalau auntie la Darren, auntie jumpa je pemandu tu auntie patah-patahkan leher dia. Ada otak langsung tak pakai.” Rungut Puan Bahyah.

Darren hanya tersengih-sengih mendengarnya.

“Itulah umi, mujur tak ada apa-apa berlaku kat Darren ni. Kelmarin Darren telefon mak ayah dia, bukan main risau lagi diaorang tu.” Celah Cika.

“Mereka tak datang ke sini jenguk Darren?” Puan Bahyah bertanya.

“Err susahlah auntie. Jauh sangat. Lagipun mak saya tu ada penyakit trauma dengan kapal terbang ni. Dia mana boleh naik flight.” Ujar Darren sebaik terasa ada sesuatu menguis-guis kakinya. Dia menjeling ke arah Gina yang sudah menjeling tajam.

“Mak Darren tak boleh naik flight? Eh, hari tu masa Tahun Baru Cina, bukan ke mak Darren ada datang ke mari? Auntie pernah jumpa dia dulu kat Vistana.” Berkerut dahi Puan Bahyah cuba mengingatkan kali terakhir dia menemui ibu Darren.

Tiga wajah mula memucat di hadapan Puan Bahyah. Aiyak!

“Err..masa umi jumpa Auntie Rose tempohari, Auntie Rose datang dengan feri. Dia memang tak boleh naik kapal terbang ni. Gayat katanya.” Cika cepat-cepat cover line. Darren dan Gina hanya mengangguk-angguk seperti orang bodoh.

“Feri? Dari Sabah ke mari ada lagi ke ferinya?” Puan Bahyah menyoal lagi. Setahunya dulu memang ada perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah, tapi sekarang perkhidmatan feri sudah diberhentikan tidak lama dahulu.

Sekali lagi ketiga-tiganya sudah bepeluh sakan. Inilah susahnya kalau bercakap dengan seorang guru. Ada sahaja fakta yang mesti ditimbulkan semula. Ditimbang tara kesahihannya.

“Ada, awak tu aje yang tak tahu.” Sampuk Encik Nordin tersengih.

Cika memandang ayahnya. Lelaki itu sempat mengenyitkan mata ke arahnya membuatkan hati Cika lapang. Tak sangka ayahnya sudi membantu.

“Sebab tu Cika nak minta izin umi. Cika dengan Gina ingat nak ke sana hantar Darren. Sekurang-kurangnya tak adalah masalah dia nak naik turun flight tu.” Ujar Cika takut-takut. Tak habis-habis dia membaca doa pelembut hati buat dihembus ke arah ibunya yang keras dan degil itu.

“Berapa lama?” Tak disangka-sangka wanita itu bertanya.

“Err… dalam dua minggu.” Jawab Cika.

“Hai, hantar Darren sahaja sampai dua minggu?” Dahi Puan Bahyah berkerut seribu. Hairan mendengar kata-kata anak gadisnya. Ni nak meneman ke nak melilau?

“Sebenarnya macam ni auntie, ada klien lama kami minta kami tinjau projek perumahan dia kat Sabah. Dia nak kami jadi negotiator antara beliau dengan klien-klien di sini. Itu yang kami nak ke sana dan jumpa dia.” Sampuk Gina pula cuba membantu.

“Upah klien tu lumayan tau umi, babah. Cika ingat berat hati aje nak terima tawaran tu. Tapi kalau jadi, masuk jugaklah duit dekat suku juta kat dalam akaun syarikat.” Auta Cika selamba badak. Suku juta? Macam tak lojik tapi belasah ajelah!

“Suku juta?” Puan Bahyah terkejut. Banyaknya!

“Eh! Kalau macam tu, baik Cika terima aje. Bukan senang nak dapat peluang macam tu.” Encik Nordin turut sama teruja.

Puan Bahyah menarik nafas panjang. Diikutkan dia memang berat mahu melepaskan Cika pergi jauh dari rumah. Lagipun Cika satu-satunya anak gadisnya. Tapi mendengar jumlah duit yang cukup banyak, siapa sahaja boleh tergoda. Dia apatah lagi!

“Tak apalah, awak boleh pergi. Tapi janji dengan umi yang awak mesti telefon umi tiap-tiap hari. Umi cuma nak pastikan awak selamat.”

Cika terkejut. Dia segera merangkul tubuh ibunya lalu mengucup pipi wanita itu berulangkali. Alhamdulillah! Syukurlah, lembut juga hati wanita itu akhirnya.

“Terima kasih umi, Cika janji kalau kerja ni jalan, Cika belikan rantai emas untuk umi. Tentu umi suka.” Dia sengaja memasang jarum.

Encik Nordin hanya tersengih melihat wajah gembira Cika yang asyik memeluk Puan Bahyah. Bukan senang dia mahu melihat pemandangan sebegitu. Bukan senang kedua-dua beranak itu saling memeluk antara satu sama lain. Alhamdulillah!

* * * *

KETIGA-TIGANYA tergelak besar sambil menghirup fresh orange gelas besar. Darren yang tadinya berbalut kepala, tangan dan kaki kelihatan elok-elok sahaja tanpa kain balutan yang sudah berbuka. Tak fasal-fasal hari ini dia dipergunakan kedua-dua gadis itu. Apa boleh buat, kedua-duanya ketuanya di pejabat. Dia pula hanya mentimun nipis yang makan gaji.

“Nasib baik umi kau kasi kita pergi.” Gina terlebih gembira. Seronok memikirkan mereka akan menaiki kapal persiaran itu. Bercuti di lautan dalam, bunyinya sungguh romantik.

Cika tersenyum-senyum. Tak sangka plan bijaknya menjadi sehingga ibunya terpedaya kali ini. Mati-mati hidup ibunya menyangka dia betul-betul ke sana kerana Darren yang cedera serta soal kerja.

“Aku dah siap tempah flight kita ke Sabah.” Ujar Gina yang sedang menekan-nekan ipadnya. Dia berpaling ke arah Cika.

“Cun.” Cika ketawa besar.

“Memang cun.” Gina memandang lurus ke hadapan. Cika menoleh ke arah Gina. Wajahnya berubah.

“Tak..tak cun langsung.” Bisik Cika.

Darren memerhatikan kedua-dua gadis itu. Sekejap cun sekejap tak cun. Gila ke dua orang bos aku ni?

Gina memerhatikan ke arah lelaki di belakang Cika. Sejak tadi dia perasan lelaki itu asyik memerhatikan ke arah mereka. Orangnya masih muda dan boleh tahan kacak.

Cika pula sedang memerhatikan seorang lelaki yang baharu sahaja memasuki pintu restoran itu. Sebentar kemudian pandangan lelaki itu dilontar ke arahnya. Renungan mereka bertaut, dan Cika benar-benar tidak gembira melihat lelaki itu.

Melihat Idham Hariz seakan mahu menuju ke arahnya, Cika cepat-cepat berdiri. Gina dan Darren serentak menoleh ke arah gadis itu.

Sorry, aku nak ke toilet sekejap.” Pinta Cika. Belum sempat Gina menyahut, Cika sudah bergegas. Gina mengeluh panjang. Dia kembali memerhatikan lelaki yang duduk di meja paling hujung di restoran itu. Mata lelaki itu dilihat sedang mengintai langkah Cika ke arah restroom. Gina tersenyum sendiri. Hmm… lelaki itu pastinya berminat dengan Cika.

* * * *

CIKA memandang wajahnya di hadapan cermin. Sedang merenung wajahnya yang tiba-tiba bertukar pucat. Dadanya berbahang seperti mahu menumpahkan lahar. Bermacam cara dia cuba mengelakkan diri dari Idham Hariz, tapi di mana-mana sahaja dia akan terserempak dengan lelaki itu.

Usai mengemaskan diri dan membetulkan solekan, dia segera keluar dari pintu tandas. Namun kelibat yang terpacul di hadapannya membuatkan wajahnya kembali pucat. Idham Hariz sedang berdiri di situ. Tercegat memerhatikan ke arahnya dengan riak wajah serius.

Idham perlahan-lahan mendekati gadis itu. Dia sendiri tidak sangka akan bertembung dengan Cika di situ ketika sedang makan bersama teman-teman pejabatnya. Sudah banyak kali mereka terserempak, tapi pada setiap kali Cika cuba melarikan diri darinya. Kali ini dia takkan membiarkan Cika lari lagi. Matanya asyik merenung gadis yang nampak kekok berhadapan dengannya. Cika kelihatan manis dan ayu dengan blouse berwarna hitam polkadot putih yang dipakai dengan seluar palazzo berwarna putih.

Cika memberanikan diri memandang lelaki itu. Idham melemparkan senyuman, namun entah kenapa dia tidak menggemari senyuman itu. Dia merasa seperti dipalit dengan kisah silamnya. Senyuman Idham tak mungkin dapat menyembuhkan parut yang ada di hatinya.

“Cika, saya Idham. Idham Hariz. Ingat lagi?”

Gadis itu hanya membisu. Idham menarik nafas panjang. Apakah gadis itu memang tidak ingat siapa dia atau Cika hanya berpura-pura? Idham mulai buntu dibuatnya.

“Kita satu sekolah dulu. Mama saya dan ibu awak, mereka kawan baik. Awak tak ingat lagi?” Idham tetap tidak putus asa. Dia mahu melanjutkan kata-katanya, namun tiba-tiba sahaja tubuhnya ditolak dari belakang. Serentak Gina muncul di situ, seraya menarik tangan Cika. Renungan Gina tajam menjamah wajah Idham.

“Saya dah cakap jangan ganggu Cika lagi. Awak tak faham-faham ke Idham?” Getus Gina dengan wajah mencuka.

“Gina, saya cuma nak cakap sekejap sahaja dengan Cika. Saya..”

“Cika tak nak cakap dengan awak. Please leave her alone.” Pintas Gina dengan wajah merah padam. Mujur dia sendiri teringin mahu menjengah ke bilik air, kalau tidak pasti dia tidak perasan akan kehadiran Idham Hariz di situ.

Idham mengeluh panjang. Kedua-duanya jelas benar-benar membencinya.

“Cika, saya tahu awak masih ingat pada saya. Saya nak jumpa awak sebab saya nak minta maaf. Saya tahu selama ini saya banyak berbuat salah pada awak. Can you forgive me?” Rayu Idham tanpa mempedulikan Gina. Saat ini sepasang matanya tidak berganjak langsung dari wajah di hadapannya.

Cika memandang lelaki itu agak lama. Memerhatikan Idham yang kelihatan semakin matang usianya.

“Awak ingat senang ke saya nak maafkan awak macam tu aje? Are you out of your mind?” Sindir Cika dengan hati panas. Tutur katanya lebih keras berbanding Gina sendiri, menggamit dua pasang mata terkedu memandang ke arahnya.

Tidak jauh dari situ, Nadim memerhatikan Cika dan teman-temannya dengan wajah tertanya-tanya. Siapa lelaki yang bercakap-cakap dengan Cika itu? Lain macam sahaja situasi di hadapannya itu.

Wajah lelaki kacak bersut lengkap itu dipandang teliti. Orangnya tinggi lampai dan berpenampilan menarik. Siapa sebenarnya lelaki itu? Teman lelaki Cikakah? Entah kenapa tekaan itu hanya membuatkan dia terdiam agak lama. Malas mahu menyakitkan kepala dengan mengambil tahu, perlahan-lahan dia beredar, kembali ke mejanya.

“Kenapa tak dihabiskan makan tu?” Soal lelaki di hadapannya. Dia mendongak wajah. Raut wajah itu tersenyum tenang ke arahnya.

“Dah kenyang.” Ujarnya seraya turut melemparkan senyuman.

“Dah kenyang? Apa kamu dah kenyang sebab makan dengan orang tua macam uncle ni?” Haji Osman mengusik.

Nadim ketawa kecil. Orang tua itu tidak pernah berubah, asyik suka melawak sahaja.

“Macamana Nadim? Uncle dah jelaskan pada kamu segala-galanya. Sekarang kamu pilih sendiri bagaimana mahu mencorakkan masa depan kamu. Apa sahaja keputusan kamu, uncle akan menyokong, tapi biarlah keputusan itu boleh menyenangkan hati banyak pihak.” Ujar Haji Osman.

Nadim terdiam. Kata-kata lelaki itu didengar sahaja tanpa dicerna. Dia sendiri belum habis belajar. Malah selama ini dia bebas menjalani hidupnya tanpa terikat dengan hal-hal yang lebih besar. Memang dia tahu benar kandungan wasiat datuknya itu, tapi dia langsung tidak ambil peduli. Kononnya datuknya memiliki aset yang cukup banyak, tapi dia sendiri tidak ambil pusing dengan semua itu lantaran hubungannya dengan arwah datuknya yang sentiasa sibuk itu bukanlah rapat sangat.

Selesai berbincang dengannya, Haji Osman beredar lebih awal. Dia juga mengambil keputusan beredar sahaja dari situ. Dia sempat menoleh ke arah tempat duduk Cika dan temannya. Mereka sedang berbincang sesuatu yang kelihatan serius. Lelaki yang dilihatnya bercakap-cakap dengan Cika tidak kelihatan pula di situ. Sudah beredar barangkali!

Di kaki lima di luar restoran itu, dia terserempak seorang nenek tua sedang menggosok-gosok kakinya seperti keletihan. Pandangannya dihala ke arah wanita tua itu. Wajah wanita itu berkerut-kerut sedikit.

“Nenek, kenapa berdiri kat sini?” Tegur Nadim.

“Nenek nak tunggu bas kat simpang depan tu. Tapi ada dua India tengah bergaduh. Bising! Itu sebabnya nenek duduk-duduk kat sini sekejap.” Ujar nenek tua itu.

“Nenek nak ke mana? Boleh saya hantarkan?” Pelawa Nadim.

“Kamu ada kereta?” Tanya nenek itu.

Nadim terkiai-kiai hendak menjawab.

“Err..itu kereta kawan saya nek. Harap nenek tak kisah naik kereta tu. Sekadar nak hantar nenek ke mana-mana, Insya ALLAH sampai.” Ujar Nadim memberi jaminan.

Tapi melihat wanita tua itu menonong pergi ke arah kereta yang terletak di bawah pohon kemunting di hadapan restoran, dia menarik nafas panjang. Siapa agaknya nenek ni? Nak ke mana sebenarnya? Dari gaya wanita itu berpakaian, nampak seperti baru datang dari kampung! Bisik hati kecil Nadim seraya merenung baju kebaya labuh nenek itu yang dipadankan dengan batik kampung.

“Kalau kamu tak kisah, tolong hantar nenek ke Concorde?” Pinta si nenek.

Nadim tercengang. Concorde?

“Maksud nenek Hotel Concorde?” Nadim bertanya, sekadar mahu memastikan. Aku tak salah dengarkah?

“Yalah, itu yang nenek sebut.” Nenek tua itu mengangguk.

“Err…nenek nak ke sana buat apa?” Nadim memberanikan diri bertanya sambil membukakan pintu kereta untuk wanita itu.

“Nenek tinggal kat situ.” Jawapan itu selamba.

Nadim telan liur. Mak oi, vogue nenek ni. Siap tinggal kat hotel lima bintang!

“Kamu tunggu apa lagi? Cepatlah, nanti nenek lewat. Nenek nak jumpa bekas klien kat situ.” Bicara nenek itu lagi.

Nadim sekadar tersenyum simpul. Lucu rasa hati mendengar kata-kata wanita tua itu. Dahlah duduk kat Hotel Concorde, sekarang ada klien pulak! Ni mesti nenek ni jual jamu, tak pun berniaga kain batik dekat Concorde! Sekali lagi Nadim merumus kesimpulan sendiri.

Ketika dia mahu menghidupkan enjin kereta, bersedia untuk beredar dari kawasan itu, tiba-tiba terlintas sesuatu di hatinya. Planner berkulit hitam yang berada di sebelah tempat duduknya dibelek-belek.

“Kenapa tak jalan lagi?” Tanya nenek tua itu dari tempat duduk belakang. Nadim menoleh sedikit lalu tersenyum. Dia segera mengeluarkan sebatang pen dari dalam saku sambil menulis sesuatu pada buku hitam tersebut.

“Nenek tunggu sekejap ya, saya nak hantarkan barang ni untuk kawan kat restoran tu. Nenek jangan ke mana-mana ya, sekejap sahaja.” Ujar Nadim lalu segera bergegas keluar dari perut kereta dan kembali ke dalam restoran. Namun ketika dia mahu melangkah masuk, tiba-tiba sahaja kelibat Cika muncul di hadapannya. Kebetulan gadis itu mahu keluar dan dia pula mahu masuk.

Cika tercengang-cengang melihatnya. Dia pula hanya mampu menarik nafas lega. Bertembung juga dia dengan gadis itu. Baguslah! Tak payah susah-susah dia masuk ke dalam lagi. Tanpa membuang masa, dia segera menyerahkan planner itu ke tangan yang empunya.

Cika merenung planner kepunyaannya. Hampir tidak percaya melihat Nadim tiba-tiba muncul di situ dan memulangkan apa yang menjadi haknya kembali. Ketika dia mengalihkan pandangan, dilihatnya lelaki itu sudah beredar ke arah sebuah kereta Volkswagen berwarna kuning terang.

“Nanti sekejap.” Panggil Cika dengan niat hati mahu mengucapkan terima kasih. Namun lelaki itu kelihatan bergegas masuk ke dalam perut Volkswagen itu.

Cika hanya mampu mengeluh panjang. Ketika dia melemparkan pandangan ke arah kereta yang semakin jauh bergerak itu, tiba-tiba matanya terpandang kelibat seseorang di tempat duduk belakang Volkswagen itu. Wajah Cika berkerut. Siapa tu?

Bagaikan tahu-tahu sahaja, wajah di tempat duduk belakang Volkswagen itu berpaling menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan Cika tercengang. Nenek?

Wanita tua itu memandang ke arah Cika. Melambai tangan dengan gerakan slow motion sambil tersengih. Cika terkedu melihatnya. Senyuman itu menyeramkan. Spooky gila! Mulut nenek itu dipenuhi dengan darah hitam pekat.

Cika serta-merta teringatkan peristiwa di sebuah kawasan taman perumahan minggu yang sudah. Dia masih ingat dengan jelas bagaimana nenek yang ditemuinya itu hilang dalam sekelip mata membuatkan dia seriau setiap kali memikirkan wanita tua itu. Kalau dulu dia ragu-ragu samaada wanita itu manusia atau hantu. Tapi sekarang, darah pekat di mulut nenek itu..bagaikan memberitahunya sesuatu. Yup definitely nenek itu hantu! Dan hantu itu dah tangkap Nadim Ammar. Alamak!

Tanpa berfikir panjang, Cika segera berlari mengejar kereta Volkswagen itu sambil menjerit-jerit melaung nama Nadim Ammar. Dia mahu memberi amaran pada lelaki itu sebelum Nadim diapa-apakan.

Gina yang baru sahaja mengekori Cika keluar, tercengang-cengang melihat Cika yang seperti orang gila mengejar kereta kuning yang semakin jauh beredar.

“Cik Gina, kenapa dengan Cik Cika tu?” Entah sejak bila Darren sudah berdiri di sebelah Gina, turut sama melopong melihat aksi Cika yang tidak masuk akal.


Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh