IDHAM asyik membelek-belek sampul kad yang
baru diterimanya siang tadi, sambil terfikir-fikir siapa yang menghantar kad
tersebut. Macam tau-tau sahaja yang dia sudah pulang ke tanahair.
“Surat apa tu?” Puan
Jamilah yang sedang menyiram pokok bunganya sempat menoleh ke arah Idham yang tercegat
di hadapan pintu pagar. Posmen sudah berlalu, tapi anak bujangnya itu masih
tercegat di di situ. Kenapa agaknya? “Entahlah
mama, Am belum buka.” Ujar Idham seraya menoleh ke arah ibunya. Puan Jamilah tidak
berkata apa-apa, hanya mengangguk lalu meneruskan kerja-kerjanya yang
terbengkalai tadi.
Idham
beredar ke arah kerusi rehat di tepi kolam renang. Di situ dia melempiaskan
duduknya seraya mula membuka sampul surat
yang diterimanya. Dari dalam sampul, dia menarik sekeping kad berwarna biru
muda yang terperosok di dalam. Kad apa pulak ni? Jemputan kahwinkah?
Namun sebaik membaca isi kandungan
kad tersebut, bibirnya tiba-tiba tersenyum. Rupa-rupanya dia dijemput
menghadiri reunion sekolah lama!
Seronok juga! Lagipun sudah lama dia tidak bertemu kawan-kawan rapatnya.
Setelah
menamatkan persekolahan, masing-masing berubah haluan. Ada yang menyambung pelajaran, ada yang sudah
bekerja dan tak kurang juga ada yang mengambil keputusan berkahwin awal.
Standard sudah dewasa konon-konon!
Idham
ketawa kecil. Dia mengerling jarum jam di pergelangan tangannya. Baru pukul 11
pagi. Masih awal sebenarnya. Hari ini dia ada interview di salah sebuah syarikat broker saham terbesar di ibukota
tepat jam 2 petang nanti. Sebenarnya hendak dikatakan interview pun tidak tepat, kerana dia dilamar DLeBroking tersebut
sejurus dia mengambil keputusan mahu pulang ke tanahair. Ternyata reputasinya di
Wall Street banyak
membantunya.
Sedang
dia leka termenung, Puan Jamilah tiba-tiba menghampirinya. Bibir wanita itu
menguntum senyuman manis.
“Am,
Auntie Bahyah baru aje call mama
tadi. Dia ajak kita keluar makan esok. Bolehlah Am jumpa Cika esok.” Ujar Puan
Jamilah dengan wajah ceria.
Idham
terdiam. Kata-kata mamanya membuatkan dia tergaman. Jumpa Cika esok?
“Hai
kenapa ni? Lain macam sahaja mama tengok muka Am ni. Am tak suka jumpa Cika?”
Soal Puan Jamilah dengan wajah hairan.
Dia
cepat-cepat menggelengkan kepalanya sebelum lebih banyak idea yang bukan-bukan
meniti di fikiran ibunya. Yang nyata wanita itu tidak pernah tahu bahawa
hubungannya dengan Cika bukan semudah seperti yang difikirkan oleh kedua-dua
ibu mereka. Dia dan Cika ibarat USA
dengan RUSIA yang manis di di luar tapi payau di dalam.
“Am
kena tengok schedule Am dulu mama.”
Ujarnya.
“Am
kan tak kerja
lagi. Baru nak pergi interview hari
ni kan.” Getus
Puan Jamilah.
“Tapi
interview ni untuk cukupkan syarat
aje mama. Officially Am memang dah dapat
job ni. Manalah tau esok dah mula
kerja.” Ujarnya sengaja mahu berdalih. Sedang hatinya masih ragu-ragu apakah Cika
mahu menerima kehadirannya? Jangan respon gadis itu terhadapnya ‘HISTERIA’
cukuplah!
“Tak
apalah, nanti Am beritahu mama semula. Tak eloklah kalau kita tak hadir
sedangkan Auntie Bahyah dah aturkan semuanya. Cika tu pun mesti dah tak
sabar-sabar nak jumpa Am.” Wajah Puan Jamilah jelas teruja. Hanya Idham sahaja
yang tidak tahu apa yang harus diperkatakannya. Hendak memberitahu ibunya
perkara sebenar, dia tidak sampai hati pula.
“Am
cuba
mama.” Ujarnya lemah.
Sepeninggalan
ibunya, dia masih termenung di kerusi rehat itu. Memikirkan Cika dan semua
kenakalan-kenakalannya dahulu. Betullah cakap orang, usia mematangkan fikiran.
Dalam usia 17 tahun dia masih anak muda yang bodoh. Yang melakukan banyak
perkara tanpa berfikir panjang. Tapi dalam usia menjangkau 29 tahun, dia kini
lelaki matang yang sedang cuba
melupakan perkara silamnya. Kejahatannya terhadap Cika entah kenapa tetap subur
di kotak fikiran. Dia sering sahaja merasa bersalah pada gadis itu. Kalaulah
masa dapat diundur semula, dia tidak akan melakukan semua itu pada Cika.
Dia
mungkin membenci kau Idham. Masih membenci kau seperti dulu! Suara hatinya
berbisik.
Sudah
dua belas tahun. Masihkah benci itu subur di hatinya?
Perempuan
tidak pernah melupakan rasa sakit di jiwa. Salah kau kerana kau menyiramnya
setiap masa sehingga ia subur.
“I hate you Idham Hariz. I’m gonna hate you forever.” Itu
cakap-cakap Cika yang sering kali diungkapkan gadis itu. Acapkali
diperdengarkan di telinganya sehinggakan dia naik muak. Ironinya perkataan itu
masih melekat di hatinya sehingga kini. Cika! Aku tahu aku salah. Aku tahu aku
insan yang sangat kejam terhadap seorang gadis naif seperti kau. Tapi aku hanya
manusia. Manusia sering berbuat kesilapan yang mungkin akan dikesali. Dan
manusia itu adalah aku. Will you forgive
me? Bisik Idham seraya menarik nafas panjang.
*
* * *
“TAHNIAH Encik Idham. Saya harap
Encik Idham dapat memberi khidmat terbaik untuk DLeBroking. Kami amat
mengalu-alukan stock broker
berpengalaman seperti Encik Idham.” Ujar Tuan Basir, CEO DLeBroking. Lelaki
botak berperut gendut itu tidak ubah seperti ketuanya Mr. Robinson di tempat
lama. Kalau dinilai di bahagian perut serta
kepala yang botak licin tu, memang serupa sekali!
“Terima
kasih saya ucapkan sebab tuan sudi terima saya berkhidmat di sini.” Ujar Idham
pula sekadar berbasa-basi.
“Jangan
cakap begitu. Pengalaman Encik Hariz dengan Wall Street yang kami perlukan
sebenarnya. Saya kenal Mr. Robinson itu, katanya Encik Idham antara genius dan
top broker yang pernah mereka miliki di WS. Di sini kami mempunyai banyak
klien-klien dengan jumlah akaun yang besar. Do
you think you can handle all the account?”
Pertanyaan
itu dijawab dengan anggukan, mengamit senyuman di bibir Tuan Basir. Ternyata
lelaki itu berpuas hati dengan keyakinan yang ditunjukkannya.
“Kalau
tak ada apa-apa lagi, sekejap lagi staff
saya akan bawa Encik Idham melawat di sekitar pejabat ini.” Ujar lelaki itu.
“Err..bila
saya boleh mula tuan?” Soal Idham, inginkan jawapan lebih tepat bila tugasnya
bermula. Dia sudah tidak sabar mahu bekerja.
“Kalau
minggu depan bagaimana?”
Idham
terdiam. Minggu depan?
“Eh
tak apa tuan. Kalau esok pun saya boleh mula kerja.” Idham menawarkan diri.
Lagipun dia berat hati mahu berjumpa dengan Cika seperti yang diaturkan ibunya
dengan Puan Bahyah. Dia masih belum bersedia, dan hanya perihal kerja sahaja yang
boleh menjadi alasan terbaik untuknya mengelakkan diri dari menghadiri
pertemuan yang mungkin bertukar bencana.
Tuan
Basir ketawa kecil. Barangkali kagum dengan sikap Idham yang menawarkan diri
masuk kerja secepat yang mungkin.
“Encik
Idham, saya sanjung semangat awak tu. Tapi awak kan baru pulang dari luar negara. Minggu
hadapan sajalah awak masuk kerja.” Usul Tuan Basir tenang.
Idham
terdiam. Dia sudah kehabisan idea mahu berkata-kata. Terasa bodoh pula dirinya
kerana soal Cika, dia sanggup masuk kerja lebih awal. Kalau dengan Mr.
Robinson, cuti tak diberi pun dia sanggup apply
jika mahu tourseluruh Europe dengan kawan-kawannya.
Sebaik
pulang dari DLeBrocking, sebuah syarikat broker saham yang agak besar di
ibukota, Idham berjalan-jalan di pusat beli belah. Bukan ada apa-apa pun yang
hendak dibeli. Sebaliknya dia hanya mahu mencuci mata untuk menghilangkan kebosanan
yang dirasainya.
Terfikir
juga dia untuk membeli sepasang sut baru untuk majlis reunionsekolah lamanya. Dia memang berhasrat untuk menunjukkan
wajahnya. Sudah lama teman-teman sekolahnya tidak dijengah khabar berita.
Inilah peluang terbaik untuk mereka berkumpul dan saling bertukar cerita. Si
polan mana yang sudah kahwin atau belum, si polan mana yang dulu kurus sekarang
dah buncit, si polan mana yang dahulu bercinta bagai nak rak sekarang putus di
tengah jalan. Itu semua meskipun nampak seperti cerita-cerita yang membuang
masa sahaja, tapi penting untuk merapatkan silatulrahim.
Bagaimana
dengan Cika agaknya? Apakah gadis itu akan pergi ke majlis reunion tersebut? Jika dilihat pada sesi persekolahan yang tertera
di dalam kad, Cika yang muda setahun darinya sepatutnya akan dijemput juga.
Tiba-tiba
sahaja dia bersemangat untuk membeli sepasang sut baru. Dengan sut baru itu dia
akan kelihatan segak bergaya di hadapan Cika. Jika Cika yang dahulu hodoh kini
sudah cantik seperti yang dilihatnya di dalam gambar, takkan dia yang sudah
sedia kacak kelihatan pula. Sudah semestinya dia akan bergaya sakan,
menunjukkan karisma yang sama seperti di sekolah dahulu.
Ketika
sedang leka membelek-belek pakaian di sebuah kedai, Idham langsung tidak
perasan dua orang gadis sudah melangkah masuk ke dalam kedai tersebut.
Kedua-duanya begitu asyik membelek-belek pakaian di dalam kedai tersebut.
“Saya
nak cuba
yang ini.” Ujar Idham pada seorang pelayan. Gadis itu segera menunjukkan arah ke
fitting room. Tanpa banyak soal dia
memasuki fitting room tersebut untuk
mencuba pakaian yang mahu dibelinya.
Ketika
dia berada di dalam bilik tersebut, telinganya dapat menangkap beberapa suara sedang
bercakap tidak jauh dari fitting room
yang dimasukinya. Seolah-olah, gadis-gadis itu sedang berbual di luar biliknya
sahaja. Idham tersenyum. Kuatnya suara, macam diaorang sorang aje ada mulut!
Bisik hati kecilnya.
Dia
tidak mempedulikan gadis-gadis itu lagi. Sebaliknya dia lebih berminat pada sut
berwarna hitam yang mahu dibelinya. Setelah digayakan, ia nampak sesuai dengan
tubuhnya. Mujur sajalah tubuhnya tetap sahaja tegap dan tampan walaupun dalam
usia 29 tahun. Tidak seperti beberapa orang temannya yang usia masih muda tapi
sudah botak di tengah dan berperut boroi. Jaga makan saja beb cukuplah!
Sesekali pergi ke gim untuk mendapatkan otot perut six packs. Itu yang diamalkannya sewaktu dia berada di luar negara.
Dan hasilnya dia kekal nampak segak dan bergaya.
“Kau
beli baju ni sebab nak ke reunion tu
ke?”
“Bukanlah,
aku saja-saja tengok.”
“Tapi
yang kau beli ni dress labuh. Kau
memang bercadang nak ke reunion tu kan? Aku ingat kau tak jadi
nak pergi.” Keluh si gadis.
Dahi
Idham berkerut. Reunion?
“I have my second thought. Kalau aku tak
pergi, nampak sangat aku ni chicken.
Lagipun kita bukan macam dulu lagi. Kenapa harus aku peruk diri aku kat tempat
yang sama aje semata-mata sebab dia?”
“Are you sure Cika?”
“Damn sure. Kau pun patut pilih gaun yang
paling vogue untuk tunjukkan kat
manusia-manusia yang tak ada hati dan perasaan kat sekolah kita tu yang kita
bukan macam dulu lagi. And I am not that
loser anymore.”
Wajah
Idham berubah. Cika? The Loser? YA ALLAH! Apakah gadis yang sedang
bercakap-cakap di luar fitting roomnya
ialah Cika?
“Aku
takut kau cakap aje. Sampai depan sekolah nanti, kau patah balik semula.” Suara
gadis yang seorang lagi kedengaran.
“Aku
dah ekad ni.”
“Kalau
Idham ada?”
Idham
menahan nafas. Namanya disebut. Ini bermakna Cika tidak pernah melupakannya. Melupakan
apa yang sudah dilakukannya selama ini. Dia terus menanti Cika membuka mulut,
menjawab pertanyaan gadis yang seorang lagi. Percaya atau pun tidak, dia sangat
ingin mendengar jawapan Cika.
“Aku
tak kisah kalau dia ada sekalipun.” Jawab gadis itu.
“Kau
tak kisah? Yalah tu, macamlah boleh percaya.” Ejek gadis yang seorang lagi.
“Jangan
sebut nama Idham boleh tak? Sekali aku benci kat seseorang, sampai bila-bila
pun aku benci. Dia lelaki paling aku benci kat dunia ni. Sekalipun dia seorang
aje lelaki dalam dunia ni, aku lebih rela mati dari pilih lelaki macam tu.”
Idham
terkedu. Terungkai segala jawapan yang ingin didengarinya. Aduh! Cika memang
tidak pernah berhenti membencinya. Habis bagaimana dengan rancangan kedua-dua
orang tua mereka? Bagaimana harus dia
memberi jawapan jika ibunya bertanya tentang temujanjinya dengan Cika esok?
Sudah jelas lagi nyata, gadis itu tidak mungkin mahu bertemunya.
“Kenapa
lambat sangat orang kat dalam tu?” Tiba-tiba Idham terdengar suara gadis itu
bertanya. Dia terkedu, baru menyedari bahawa dia masih berada di bilik fitting room, sedang mencuba bajunya.
Dan dia juga sedar, kedua-dua gadis itu bercakap di hadapan bilik itu kerana
ada tujuan lain. Mereka sedang menanti untuk mencuba pakaian. Alamak! Macamana
ni? Kalau dia keluar, sah-sah Cika mungkin akan melihatnya.
“Entahlah,
aku pun rasa macam tu. Dah lama kita tunggu kat sini. Ada orang ke tak sebenarnya ni?” Suara gadis
lain turut menyokong.
Belum
sempat Idham berfikir panjang, bilik kecil itu bergegar, menandakan ada orang
sedang cuba
memulas-mulas tombol pintu. Idham menarik nafas panjang. Berdebar-debar dia
dibuatnya. Cepat-cepat dia menarik sendal dari dalam agar rapat dan tidak
terbuka. Manalah tahu nak dijadikan cerita, tenaga gadis-gadis yang sedang marah
itu mampu membuka pintu bilik persalinan itu, tak fasal-fasal dia dibelasah
pula.
“Ada orang lah.” Ujar Cika.
“Ahah
ada orang, tapi apasal diam aje?”
Idham
pura-pura batuk, menunjukkan dia masih di dalam.
Kedua-dua
gadis itu terdiam sebentar.
Idham
tahu dia harus mencari ikhtiar lain. Sedang dia cuba berfikir apa yang patut
dilakukannya, telefon bimbitnya pula berdering. Dia terkejut besar. Alamak!
Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam saku lalu melihat
pada paparan skrin. Mama! Nak jawab ke tidak ni? Dia jadi ragu-ragu dibuatnya.
Kalau dijawab, dia takut Cika mengecamnya. Kalau tidak dijawab, bising pula
ibunya nanti.
Hendak
tak hendak, dia segera menjawab panggilan ibunya. Hidungnya dikepit dengan jari
sebelum dia bersuara.
“Hello!”
Suaranya sudah berubah garau. Tidak lagi macho
seperti biasa. Ah belasah ajelah! Janji Cika tidak tahu yang dia ada di
dalam fitting room itu.
“Am,
itu kamu ke? Kenapa dengan suara tu?”
“Maaf
puan, puan salah orang ni. Anak puan tengah sibuk sekarang.”
“Am,
apa yang Am merepek ni? Mama nak tahu Am kat mana sekarang? Interview macamana?”
“Anak
puan dah dapat kerja tu. Jangan bimbang, kejap lagi dia balik.”
“Apa
kena dengan kamu ni Am? Suara tu kenapa? Tertelan biji cempedak ke?” keluh
ibunya di talian.
Idham
hendak ketawa tapi dia cuba
bersabar. Tertelan biji cempedak pulak! Macamlah kat Kuala Lumpur ni banyak cempedak. Dia terus
melayan panggilan ibunya dengan suara garau yang dibuat-buat.
Sementara
itu di luar bilik, Cika dan Gina saling berpandangan. Sedari tadi mereka
memasang telinga.
“Aduh!
Dia berborak pulak dah.” Keluh Gina.
“Cari
bilik lainlah.” Cadang Cika.
“Jom
kita cuba yang sebelah sana.” Usul Gina sudah
mulai bosan menanti orang di dalam fitting
room. Hendak keluar ke tidak dia ni? Dah dekat setengah jam ni!
“Ingat
ini tandas ke nak melepak lama-lama.” Laung Gina sebelum beredar. Geram dengan
telatah si pelanggan kedai tersebut yang melepak sambil berbual dalam telefon
di dalam bilik persalinanan.
Cika terkedu dibuatnya. Cepat-cepat
dia menarik tangan Gina agar menjauhi bilik tersebut. Suara orang di dalam fitting room itu dahlah garau macam
harimau, buat-buatnya orangnya besar macam gajah, haru biru mereka kena belasah
macam siput sedut. Mulut Gina pun satu, tak ada insuran langsung. Sia-sia aje
Prudential buat promo sana
sini!
Bunyi
tapak kaki itu kedengaran semakin lama semakin jauh. Idham menarik nafas lega.
Aduh mujurlah! Jika kedua-duanya nekad menunggu di situ sampai keluar, harus
ibunya buat laporan polis tentang kehilangannya.