KETIKA dia turun dari perut
keretanya, muncul sebuah kereta Naza Rio berwarna kuning terang lalu diparkir
betul-betul bersebelahan dengan keretanya. Nadim menoleh. Emilia keluar dari
perut kereta sambil memandangnya dengan wajah empat belas.
Nadim hanya
mampu menelan liur. Entah apa mahunya Emilia kali ini. Dia benar-benar rimas
dengan gelagat gadis itu yang kuat memaksa. Tidak cukupkah kata-katanya selama
ini bahawa antara dia dan Emilia, hubungan mereka tidak akan pernah berjaya
seperti yang diharapkan oleh ayah-ayah mereka. Memang tak faham bahasa
langsung! Keluh Nadim. Hendak tak hendak dia terpaksa keluar dari perut
keretanya. Sudah sampai ke kawasan apartmennya, takkan nak berpatah balik ke
Jumbo Jeep pula semata-mata kerana gadis itu.
“Ikut I kejap. I ada benda nak cakap dengan you.” Pinta
Emilia.
“I penat Emy. I baru balik ni.” Dia beralasan.
“Sekejap sahaja. Bukan you yang drive, I yang drive.” Gesa Emilia lagi, meninggikan
suara seperti biasa.
Nadim mengeluh panjang. Malas mahu bertengkar panjang,
dia setuju menaiki kereta gadis itu. Emilia memandu jauh dari kawasan
apartmennya lalu menuju ke suatu arah.
“You nak cakap apa sebenarnya ni?”
Emilia menoleh ke arahnya. Wajah gadis itu tetap seperti
tadi. Terus-terusan mempamerkan airmuka yang dingin.
“Ayah you nak tetapkan tarikh perkahwinan kita. Dia nak
kita kahwin sebelum kita ke New York.
You tahu itu?”
Nadim tersentak. What?
“Kakak you pun tahu. Dia tak beritahu you apa-apa?”
Nadim menggeleng. Dia baru bertemu dengan Marseila. Tapi
dia tidak pernah tahu bahawa tarikh perkahwinannya sudah dipilih. Suka
hati mereka aje! Keluh Nadim bengang
sedikit.
Ketawa Emilia bergema. “I sangka keluarga Tuan Aaziz
Ibrahim tak pernah berahsia apa-apa. Hal sebesar ini pun you masih tak tahu?”
Sindir Emilia.
Nadim terdiam.
“Malam semalam ayah you datang ke rumah. Dia dan daddy I sudah bincangkan majlis kita. Dua
minggu sebelum tarikh kita ke New
York, itulah tarikh majlis perkahwinan kita.” Ujar
Emilia sinis.
“Damn it!”
Wajah Nadim merah padam. Ayahnya benar-benar sudah melampau. Tergamak lelaki
itu merancangkan semua ini tanpa pengetahuannya sendiri.
“You tak boleh elakkan diri lagi Nadim. Mereka dah
tetapkan tarikh.” Emilia memperingatkannya.
“Baru tetapkan tarikh, belum kahwin lagi. You ingat ayah
you dengan ayah I boleh seret I ke majlis kahwin I sendiri?” Nadim membalas
kasar.
Emilia segera
menekan pedal brek. Keretanya berhenti di tepi jalan. Dia menoleh memandang ke
arah Nadim yang kelihatan berang.
“Kenapa you langsung tak nak faham hati I Nadim? I
sayangkan you. Kita kenal bukan sehari dua. Keluarga kita sudah lama berkawan
dan I sudah lama sukakan you sejak sebelum you kenal dengan Naomi lagi.”
“Sebab kita dah lama kenal, kerana itu mustahil untuk I anggap
you lebih dari sekadar seorang adik. You
mean nothing to me Emy. I thought you would understand this.” Ujar Nadim.
“You memang pentingkan diri sendiri Nadim. Sikit pun you
tak mahu buka hati you pada I. You kejam!” Tuduh Emilia bersama sakit hati yang
sukar dilerai.
Nadim hanya diam. Cakaplah apa sahaja, dia sudah tidak
peduli. Emilia sepatutnya paling sedar bahawa dia tidak mampu memberi cintanya.
Tapi kedegilan dan sikap gadis itu benar-benar merimaskan dirinya. Sama seperti
ayahnya yang tidak habis-habis cuba
mengatur hidupnya.
“Emy, I percaya you tentu mahu bahagia dalam percintaan,
bahagia dalam perkahwinan dan bahagia sehingga ke tua. Tapi sanggupkah you
hidup dengan lelaki yang tidak pernah mencintai you? Sanggupkah you?” Soal Nadim
ingin tahu. Kali ini dia cuba
berlembut dengan gadis itu. Cuba
membuatkan Emilia mengerti.
“I sanggup. Sebab I percaya suatu hari nanti hati you
akan terbuka untuk I. I akan nantikan saat itu tiba Nadim.” Ujar Emilia.
Nadim mengeluh panjang. Kenapalah Emilia tidak mahu
faham-faham? Puas sudah dia cuba
menerangkan pada Emilia tentang perasaan hatinya. Berkali-kali dia mengulang
ayat yang sama untuk membuatkan gadis itu faham. Tapi ternyata dia seolah-olah
bercakap dengan tiang yang hanya akan mendengar tetapi tidak mahu memahami.
Payah!
“Emy, sebenarnya I dah ada pengganti Naomi.” Nadim nekad
mahu menggunakan kaedah lain pula.
Seperti yang diduga, wajah Emilia berubah sebaik
mendengar kata-katanya. Wajah yang masam semakin mencuka. Airmuka yang dingin
semakin keruh. Bersedialah kau Nadim untuk menerima lahar berapi dari gadis
itu! Bisik hati kecil Nadim seraya menarik nafas panjang.
“You bohong.” Tuduh Emilia.
“I cakap benar Emy. I baru kenal dia.”
“Siapa dia?” Wajah Emilia semakin mencuka.
Nadim mengigit bibir. Siapa yang harus dijadikan mangsa
pembohongannya kali ini? Dia meramas-ramas buku hitam yang masih di tangannya.
Sepantas kilat muncul idea semberono di kepalanya.
“Kenapa you diam Nadim? You dah habis idea nak tipu I?”
Sindir Emilia.
“Cika.” Bisik Nadim tiba-tiba.
Emilia tercengang. Cika? Siapa pulak ni?
Mata lelaki itu tiba-tiba menyorot ke arahnya. Pandangan
yang kelihatan tenang tetapi seperti membendung emosi.
“Nama dia Cika. And
I love her so much.” Akui Nadim seraya tersenyum. Dia sendiri tidak tahu
kenapa bibirnya begitu ringan mencipta pembohongan demi pembohongan. Fikirnya
jika Emilia tetap berkeras tidak mahu melepaskannya, maka dia akan melakukan
apa sahaja asalkan dirinya tidak disuruh menjalin hubungan dengan gadis anak
kenalan ayahnya itu.
“Siapa Cika? You sengaja nak bohong dengan I kan?”
“You kan
pernah jumpa dia. Dia gadis yang kita jumpa kat restroom di Jumbo Jeep tempohari. You lupa ke? I berkenalan dengan
dia sejak itu.” Ujar Nadim selamba,
“Bohong! You tak mungkin akan jatuh cinta dengan
perempuan yang you baru kenal.” Bentak Emilia.
“Terpulang you nak kata apa pun. Tapi I cuma nak ingatkan
you, cinta tak ada kena mengena dengan lama berkenalan atau pun tidak. Cinta
hanya kerana ini.” Ujar Nadim lalu memegang permukaan dadanya. Merasakan
hatinya yang sedang bergetar di dalam.
Hati Emilia
benar-benar mendidih mendengar pengakuan itu. Sakitnya hati hanya tuhan yang
tahu. Dia segera memulas stereng keretanya, lalu masuk ke jalan besar. Hajat
hati mahu memandu ke restoran dan berbincang tentang hubungannya dengan Nadim,
kini terencat dengan pengakuan lelaki itu.
* *
* *
NADIM menghempas tubuhnya ke
dada sofa di ruang tamu. Segelas mug dibawa ke mulut lalu diteguk. Coklat panas
pada malam-malam hari begini sudah menjadi kegemarannya. Sebaik mug berisi
coklat panas itu selesai dihirup beberapa kali, dia meletakkan mug itu ke tepi
sebelum mencapai sebuah buku tebal berkulit hitam di atas meja kopi.
Dari petang tadi lagi dia cuba bersabar dari membelek buku
hitam itu. Beberapa kali dia membuka dan
menutup buku tersebut. Setiap kali hendak membukanya, nalurinya melarang. Tak
menghormati privasi orang langsung! Itu kata hati kecilnya. Tapi selepas dia
teringatkan sesuatu tentang gadis bernama Cika itu, entah kenapa dia berminat
mahu mengetahui lebih lanjut tentang gadis itu. Manalah tahu kalau Emilia
benar-benar mahu menyiasat tentang gadis itu, sekurang-kurangnya dia tahu serba
sedikit tentang gadis itu.
Dia masih ingat bagaimana gadis itu asyik merenungnya
sewaktu di bilik air wanita tempohari. Dia memang tidak bermaksud mahu
mencerobohi bilik bersemayam kaum-kaum wanita itu. Tapi demi kerana mahu
memujuk Emilia, dia terpaksa menebalkan mukanya. Pura-pura tidak kisah
menjerit-jerit menyuruh Emilia keluar dari bilik kecil itu sedangkan mukanya
sudah bera. Tak pernah-pernah dia yang sopan santun dan terdidik dengan akhlak
terpuji akan meluru ke arah bilik air perempuan seperti ini. Dan ironinya dia
terserempak dengan seorang gadis aneh yang mempunyai mulut agak celupar.
Kelakarnya
ketika itu juga dia disalahtafsirkan sebagai perogol yang mahu merogol gadis
itu. Kasihan makcik yang membuat laporan polis itu, tak fasal-fasal kena
serangan asma. Terkejut sangat agaknya!
Nadim ketawa
kecil. Lucu setiap kali teringatkan kejadian itu. Mujur dia tak didakwa, jika tidak mahu masuk lokap dia dalam
beberapa hari. Gadis itu pun satu! Tercengang-cengang sahaja melihatnya. Liat
sungguh mahu bangun dari lantai bilik air itu. Dia benar-benar tak menyangka,
Cika adalah gadis yang sama yang ditemuinya di Ulu Yam ketika mengikut Jak
pergi memancing tempohari. Kes salah masuk khemah, mujur tidak kena tangkap
basah!
Kali ketiga dia
menemui Cika ialah di pejabat ayahnya. Siapa sangka dia akan menyelamatkan
gadis itu dari terjatuh. Siapa juga sangka Cika bekerja di sebelah pejabat
ayahnya. Dan masuk kali ini sudah empat kali dia dipertemukan dengan gadis itu.
Bilangan empat ialah bilangan yang boleh didefinisikan sebagai kerap. Kerap itu
tandanya berjodoh!
Cika! Sekali lagi Nadim menyebut perkataan besar yang
tertulis di laman pertama buku berkulit tebal itu. Apabila dia menyelak helaian
kedua, sekeping gambar jatuh ke ribanya. Nadim mengutip lalu memandang seraut
wajah yang sedang tersenyum riang di dada potret sambil memegang seekor ikan
besar dan joran pancing. Di sisi gadis itu terdapat seorang lelaki tinggi
lampai sedang menaikkan ibu jari di samping gadis itu.
Nadim ketawa
kecil. Wah! Kaki pancing rupanya! Boleh tahan! Desis hati kecil Nadim. Dia
mengecam lelaki di sebelah Cika itu. Ini pasti abangnya yang kerek itu yang
tersilap memancing kasut but sewaktu di The Woods.
Dia segera membelek-belek halaman seterusnya dan
ternampak pula kad perniagaan Cika yang terselit di dalam buku hitam itu. Nadim
membaca sepintas lalu. Syafika Nordin. G-PropertiesSdn Bhd. Executive Director (ED). Syarikat jual beli aset dan
hartanah merangkap broker hartanah profesional. Nadim membaca isi kad tersebut
satu persatu.
Hebat! Not bad at all. Berapa agaknya umur
perempuan ni? Nadim asyik mengumpul pertanyaan demi pertanyaan. Tiba-tiba
sahaja dia tidak ada kerja lain selain menyelongkar khazanah hidup seorang
gadis yang tidak pernah dikenalinya selama ini.
Apabila dia beralih ke halaman seterusnya, matanya
terbuntang luas. Degupan jantungnya berlari kencang. Entah kenapa imej yang
dilakar di helaian itu membuatkan dia terkedu. Siapa tak terkejut melihat wajah
sendiri dilukis dan dilakar di dalam diari milik seorang gadis yang baru
beberapa kali ditemuinya. Selama ini dia mengintip aku ke? Nadim bertambah
bingung.
Lakaran gadis itu cantik sekali. Setiap larikan pada
lukisan itu menyamai apa yang ada di wajahnya. Sehinggakan dia merasa seperti
memandang wajah sendiri di paparan cermin. So
much alike!
Nadim mengerutkan dahinya. Masih
tertanya-tanya dan terfikir-fikir. Kenapa gadis itu melukis wajahnya? Untuk
apa? Aku yang stalkdiari dia, tapi
dia dulu yang stalk aku rupanya!
Keluh Nadim bersama kerut di dahi.