SEJAK dua jam yang lalu, seorang lelaki
gigih menanti seseorang di sebuah meja yang agak tersorok. Sesekali lelaki itu
menyapu keringat di dahinya yang terus mengalir walaupun restoran itu dipasang
dengan aircond. Bukan kerana airconddi situ sudah rosak atau
pemiliknya lupa nak servis, tapi kerana lelaki itu sendiri berada dalam
kegelisahan.
Dia
duduk serba tidak kena. Sekejap membetulkan posisi duduknya. Sesekali tangannya
membetulkan tali leher kupu-kupu yang melilit di tengkuknya. Gelas air kosong
di hadapannya sudah lapan kali diteguk dan lapan kali juga dituang tambah oleh
pelayan restoran yang tetap setia menjalankan tugas.
“Encik
nak pesan apa-apa ke?” Seorang pelayan berhenti di pinggir mejanya. Bersedia
dengan kepingan kertas menu dengan aneka resepi yang pastinya tidak lagi lalu
di anak tekaknya.
“Hmm..actually saya sedang menanti
seseorang.” Tergagap-gagap dia cuba
menjelaskan.
Pelayan
itu mengangguk lalu beredar. Tapi kerutan di wajah pelayan itu sempat disapa
sepasang matanya. Dia tahu, pasti pelayan itu hairan kerana dia sudah berada
cukup lama di restoran itu. Bersendirian tanpa seseorang yang dinantinya. Betullah
kata orang. Penantian itu suatu penyeksaan. Lagi-lagi dia menanti seseorang
yang dia langsung tidak kenal. Hanya wajah dan lirikan mata itu sahaja yang dikenalinya.
Itupun sekadar di dalam sekeping gambar yang ditunjukkan oleh ibu saudaranya.
“Dia
bukan calang-calang perempuan. Orangnya berpelajaran, cantik, baik budi, ramah
tamah dan pendek kata bersopan santun. Bukan calon isteri macam ni ke yang mak
kamu mahu Zain?” Tanya Mak Long Piah.
Dia
merenung gambar gadis itu berulangkali. Tengah mengkaji ciri-ciri keistimewaan
yang dikatakan oleh ibu saudaranya. Rambut gadis itu diikat tocang sambil
tersenyum manis. Gigi gadis itu putih melepak setara dengan kulitnya yang bagai
pauh dilayang. Licin sahaja tanpa parut jerawat dan jeragat. Pendek kata gadis
di dalam gambar itu memang cantik. Beautiful Maria!
“Kalau
kamu setuju, nanti Mak Long aturkan pertemuan kamu dengan dia. Bertuah kamu
Zain kalau dapat kahwin dengan dia ni? Mak Long dengar mak ayah dia pun dah
bising-bising nak cari calon menantu. Kebetulan Mak Long kenal dengan mak saudara budak ni. Mak dia cikgu
sekolah menengah. Ayah dia pulak konduktor orkestra dengan RTM. Tu yang Mak
Long cepat-cepat kenenkan dia untuk kamu.” Cerita Mak Long Piah
bersungguh-sungguh.
“Berapa
umur dia ni Mak Long?” Dia bertanya, ingin tahu.
“Umur
dia dah nak masuk 28 tahun.”
“Hmm..taklah
muda sangat.” Entah kenapa dia berkata begitu. Rasa macam hilang teruja bila
dengar umur yang dah nak masuk 30an itu.
Mak
Long Piah terkebil-kebil memandangnya. “Hai kamu pun dah masuk 30 tahun,
sesuailah tu. Lagipun kamu sendiri yang kata hari tu nakkan perempuan yang
cantik, ada kerjaya tetap, pandai memasak.”
Dia
hanya tersengih. Memang itulah kriteria gadis idamannya. Bukan dia sengaja
meletakkan kriteria seperti itu, tapi dia pun seperti lelaki lain juga.
Perlukan isteri yang cantik untuk ditayang di hadapan teman-temannya. Dia juga
perlukan isteri yang bekerjaya dan mempunyai gaji sendiri supaya kalau dia
semput dan kehabisan duit di hujung bulan, sah-sah duit isterinya boleh
dikebas. Dan dia juga paling mahukan isteri yang pandai memasak kerana perutnya
sangat sensitif dengan makan-makanan di luar. Boleh kena cirit birit dia dibuatnya
kalau salah melantak.
“Dia
kerja apa Mak Long?” Soalnya lagi, belum habis mewawancara ibu saudaranya yang
menjadi telangkai tak berbayar.
Orang
tua itu sudah tersengih-sengih.
“Kalau
kamu nak tahu, si Syafika ni ada syarikat dia sendiri. Tak ingat pulak mak long
syarikat apa. Kamu dah jumpa lubuk emas Zain oi..bertuah kalau kamu kahwin
dengan dia.” Mak Long Piah pula yang terover gembira.
Dia? Hehe..gembira jugak mendengar
info Mak Long Piah yang lebih lengkap dari info
Secret Intelligence. Silap-silap haribulan, orang tua tu boleh kerja dengan
International Interpol.
“Assalamulaikum.”
Suara lembut mendayu-dayu itu muncul di belakangnya, sekaligus memadamkan
lamunannya yang terawang-awang. Suara Mak Long Piah hilang begitu sahaja.
Dia
lekas-lekas berpaling. Melihat seorang gadis berbaju kurung dan berambut ikal
mayang sedang berdiri di hadapannya, mulutnya ternganga tanpa sedar. Mak oii
cantiknya awek ni! Kalau cantik macam ni, jangan katakan umur 28 tahun, kalau
umur 39 tahun pun dia sanggup masuk meminang. Cun!
“Zain?”
Tanya gadis itu dengan suara dan wajah yang mempesona.
Dia
mengangguk tanpa suara. Speechless
beb! Kalau berhadapan dengan bidadari secantik ini, suara sudah tidak penting.
Yang penting hatinya sudah dipanah si Cupid (budak lelaki bogel dengan busur
dan panah).
“Boleh
saya duduk?” Suara itu singgah lagi.
Kali ini Zain tergaman. Alamak! Lupa
pulak nak suruh duduk. Ini mesti dia ingat aku tak gentlemen! Hati Zain berbisik kesal. Dengan pantas dia bangun lalu
cepat-cepat menarik kerusi untuk gadis itu melepaskan penat. Erkk..penat ke?
“Maaf,
sila duduk.” Dia berlagak sopan.
Selepas
membantu menyorongkan kerusi gadis itu, Zain kembali ke tempat duduknya. Wajah
ayu yang bersolek tipis itu ditatap separuh terpukau. Terpesona dengan kecantikan
yang lebih terserlah di luar berbanding sekeping potret yang dibawa Mak Long
Piahnya.
“Dah
lama tunggu?”
“Eh
tak..kejap aje.” Mangkuk kau Zain! Dua jam lebih dah kau tunggu dia!
“Senang
ke nak cari Jumbo Jeep ni tadi?” Soal gadis itu lagi.
“Err
melilau jugalah saya cari tadi. Tapi mujur tanya orang sana sini, jumpa juga akhirnya. Itupun saya
dah ada kat sini sejak pukul 6 tadi lagi.” Zain tersengih.
“Ini
memang restoran kegemaran saya. Selalu kalau saya nak jumpa orang, kat sinilah
tempatnya. Tempat duduk ni pun favourite
saya.” Ujar gadis itu sambil tersenyum lagi. Hati Zain terus cair bak aiskrim cornetto yang duduk dalam peti ais yang
tak ada eletrik.
“Err..kita
pesan dulu la ya..Cik..” Alamak, lupa pulak nama awek ni!
“Syafika.
Tapi panggil saya Cika aje cukuplah.” Ujar si gadis.
Cika?
Hui..nama pun ala-ala manja-manja kucing gitu. Zain sudah tersengih lebar
sehingga ke telinga. Dia segera mengangkat tangan ke arah pelayan restoran yang
terkejut beruk apabila memandangnya. Almaklum setelah dua jam lebih, baru dia
hendak memesan makanan.
“Ya
encik, nak pesan apa?” Tanya pelayan restoran itu seraya menyerahkan dua keping
menu yang sejak tadi setia dikepitnya. Sesekali mata si pelayan menjeling ke
arah gadis itu. Zain perasan akan tingkah laku pelayan itu. Ni mesti si pelayan
itu pun kagum dengan kecantikan gadis di hadapannya. Zain tidak pula merasa
marah atau cemburu, sebaliknya dia rasa bangga pula makan bertemankan seorang
gadis cantik.
Zain
memandang ke arah Cika yang sedang membelek-belek menu di tangannya.
“Cik
Cika nak makan apa?”
“Hmm..apa
yang sedap kat sini?” Soal Cika pada pelayan restoran itu.
“Err..semuanya
sedap cik.”
“Mana
awak tahu semuanya sedap? Awak dah pernah rasa semua ke?”
Pelayan
itu mati kutu mahu menjawab. Zain juga terdiam. Tapi dia cepat-cepat ketawa
untuk menyorokkan rasa kekok yang melandanya saat ini. Objektif betul perempuan
ni! Bagus! Aku memang suka perempuan yang berterus-terang begini, bisik Zain.
“Apa
yang paling mahal?” Soalan Cika belum habis.
“Err..western dish yang paling mahal setakat ini.”
Jawab pelayan itu antara yakin dengan tidak.
“Beef steak ni? Mahal apa bendanya pun,
harga baru RM15.90 je?” Selar Cika selamba. Matanya masih tertumpu pada kad
menu di tangannya.
Zain
terkedu. Tak cukup mahal ke tu? Agaknya sebab dia anak orang kaya, jadi makanan
pun mesti memilih. Bagus! Tak apa, dia pun memilih makanan juga. Sistem
penghadamannnya yang kurang baik, membuatkan dia terpaksa berhati-hati memilih
makanan yang sesuai dengan perutnya.
“Okeylah,
bawakan saya beef steek satu, chicken chop, nasi goreng USA, salad
buah semangkuk, mushroom soup dengan chicken stew. Air pula saya nak jus
tembikai campur dengan laici. Bawakan juga satu mangkuk ais kacang dengan
campuran kismis.” Pesan Cika sambil tersenyum memandang ke arah Zain yang sudah
ternganga mulutnya. Terkejut mendengar gadis itu memesan makanan. Siapa yang hendak
melantak sebanyak itu?
“Awak
tak kisah kan
Zain, saya oder banyak macam ni? Saya belum makan tengahari lagi hari ni, sebab
tu lapar sangat.” Ujar gadis itu berterus-terang.
“Eh
takpe..takpe..pesan aje apa yang Cik Cika suka. Saya tak kisah.” Zain
cepat-cepat menyampuk. Gila kau tak kisah Zain? Itu bukan lagi tahap nak makan
tengahari, tapi dah masuk tahap kedarah tu.
Sebaik
makanan yang dipesan sampai, Cika terus menyuap makanan ke mulutnya. Lepas
satu-satu disantapnya sehingga kembung kedua-dua belah pipinya kerana asyik
mengunyah. Zain yang memerhatikan gadis
itu hanya mampu menarik nafas panjang. Dia merenung pinggan nasi goreng ayam di
hadapannya yang tak setara dibandingkan dengan makanan-makanan yang dipesan gadis
itu sehingga memenuhi meja.
Melihat
dari gaya gadis
itu makan, dia sudah jadi keliru. Aikk tadi bukan main lemah lembut dan sopan
santun. Takkan sekejap aje dah bertukar jadi macam ni? Muka cantik, tapi makan
bersepah. Yang paling dia tak tahan, gelagat Cika yang makan bising. Habis
semua sudu dan garpu yang dipegangnya berlaga, menyebabkan meja mereka menjadi
tumpuan mata-mata pengunjung lain. Naik sebal mukanya menahan malu. Rasa macam
nak lari aje!
“Lapar
betul ya Cik Cika hari ni.” Zain bersuara antara dengar dengan tidak.
“Saya
memang kuat makan. Kalau saya penat, lagi banyak yang saya makan.” Ujar Cika
tersengih.
“Penat?
Cik Cika penat kenapa? Sibuk kat pejabat ke?”
Cika
ketawa kecil. “Biasalah orang macam saya ni mana boleh duduk diam. Saya banyak
kenalan, mesti la kena keluar entertain
orang. Semalam saya balik dari Palais Crystal aje dah pukul tiga pagi. Mana tak
penat.” Keluh Cika sambil mulutnya tak berhenti-henti mengunyah.
Zain
menggaru kepala. Palais Crystal?
Apa benda tu?
“Palais
Crystal tu apa
Cik Cika?” Tanya Zain bingung.
“Oh
itu kelab malam ekslusif. Tempat lepak saya tiap-tiap malam. Lain kali kita
boleh pergi sana
kalau awak nak.” Ujar Cika selamba.
Zain
sudah tersedak mendengarnya. Kelab malam?
“Err..Cik
Cika pun pergi kelab malam?”
Cika
berhenti makan lalu meletakkan garpu dan sudu di tangannya. Matanya memandang
tajam ke arah Zain yang sudah seperti ikan buntal.
“Kenapa?
Tak boleh?” Nada suara gadis itu tiba-tiba berubah.
Zain
menggeleng.
“Mereka
tak beritahu awak yang saya suka clubbing?”
Zain
menggeleng lagi. Liur ditelan terasa pahit. Aduh apa spesies perempuan yang
dicari Mak Long Piahnya kali ini? Keluh Zain pusing kepala.
Cika
tiba-tiba menghempas sudu dan garpunya ke tepi. Zain tergaman. Wajah yang
cantik itu mula bertukar berang.
“Saya
paling tak suka orang tipu saya, Zain. Kalau awak nak kahwin dengan saya, awak
kena ikut apa yang saya suka buat. Lain kali kalau awak nak date dengan saya, jangan pilih restoran
murah macam ni lagi. Paling-paling kurang pun bawalah saya pergi candle light dinner dekat restoran yang high class sikit. Buat malu saya aje nak
masuk restoran ni. Nanti apa kata kawan-kawan saya kalau mereka nampak saya
masuk Jumbo Jeep ni?” Leter Cika. Dia langsung tidak memberi peluang Zain
bersuara.
Sekali
lagi Zain telan liur. Gugup bercampur bingung. Hari yang sepatutnya menjadi
penentu kepada kebahagiaan hidupnya kini menjadi sebuah kisah nightmare. That girl is a nightmare! Gambar yang Mak Long Piah tunjukkan
padanya memang langsung tak boleh dipercayai. Apa punya calon perempuan yang
ibu saudaranya pilih ni? Cantik memang cantik, tapi perangai mak oii…like hell.
“Err
Cik Cika makanlah dulu. Saya..saya nak ke tandas sekejap.” Zain tergagap-gagap
memberitahu.
Cika
memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Zain mulai gugup, bimbang
cakap-cakapnya tidak dipercayai gadis yang nampak brutal itu.
“Jangan
lupa bayar dulu makanan yang saya oder ni.” Ujar Cika selamba.
Zain
menelan liur. Cis! Mati-mati aku ingatkan dia nak tanya macam-macam.
Rupa-rupanya nak pastikan makanan berbayar sahaja. Dengan masam manis, Zain
mengangguk sambil sudah bersiap sedia dengan dompetnya. Get ready nak membayar harga makanan yang dipesan gadis itu kerana
bukan tandas destinasi sebenarnya. Zain sudah berhajat untuk meninggalkan gadis
kerek blind datenya yang tidak
menjadi kali ini. What a day!
Sepeninggalan
lelaki itu, Cika menarik nafas panjang. Lega sungguh rasanya! Tak sangka taktiknya
menjadi. Lucu pula rasanya dia apabila mengenangkan wajah lelaki itu yang
masam-masam payau memandangnya. Lepas ini dia amat pasti, lelaki itu tidak akan
kembali lagi ke meja mereka. Lantak kaulah! Bukan aku paksa kau datang ke mari
pun!
Tapi tak sangka betul, boleh pakai
juga kepala otak Ubek, abang kesayangannya. Tidak sia-sia dia berguru dengan
lelaki itu, meminta buah fikiran Ubek bagaimana mahu mengelakkan diri dari tiga
belas lelaki-lelaki yang mahu diperkenalkan oeh ibunya, termasuklah calon ke tiga
belas. Dahlah nama macam Jeffri Zain, Anuar Zain, Maher Zain, Nora
Zain..erks..banyaknya Zain! Cika tersengih-sengih.
Dia segera menguis ke arah seorang
pelayan lelaki di situ.
“Err dik, boleh tak kalau adik tapau
semua makanan-makanan ni?” Pinta Cika. Si pelayan tercengang-cengang sebentar
sebelum mengangkut semua pinggan-pinggan mangkuk yang penuh berisi dengan
makanan.
“Macam biasa ya cik?” Tanya pelayan
lelaki itu.
Cika hanya mengangguk. Tersengih. Ya
macam biasa. Inilah untungnya pergi blind
date di restoran yang sama sahaja. Pelayan lelaki itu pun seakan sudah
faham rutin hariannya setiap kali malam Isnin dan Sabtu.
“Kejap lagi saya ambil.” Ujar Cika. Rugi
kalau tak tapau makanan yang dah berbayar ini. Dia segera mencapai beg
tangannya, ingin beredar ke bilik air sebentar.
Dari jauh gerak-geri Cika
diperhatikan beberapa orang pelayan dari arah kaunter. Pelayan yang mengambil
makanan yang ingin ditapau juga sudah sampai ke arah kaunter.
“Tapau macam biasa?” Tanya salah
seorang dari lelaki-lelaki pelayan itu.
Si pelayan yang satu lagi hanya
mengangguk lalu tersengih.
“Terer sungguh perempuan tu. Dia
datang ke mari hampir dua minggu sekali untuk blind
date, dan sentiasa tapau makanan yang banyak untuk bawa balik.”
“Masuk kali ni dah berapa kali ya?”
“Rasanya itu yang ke sepuluh.”
“Taklah, ini yang ke tiga belas.”
“Macamana kau tahu?”
“Aku ada kira.” Ujar salah seorang
pelayan yang tinggi lampai sambil tergelak besar, disahut gelak ketawa
rakan-rakannya yang lain. Yang pasti setiap kali Cika datang, mereka sentiasa alert. Ini kerana gadis itu sering
sahaja datang setiap malam Isnin atau Rabu ke Jumbo Jeep, gadis itu sering
duduk di tempat duduk yang sama. Malah selalu pula menempah makanan-makanan
yang sama sahaja untuk ditapau balik.
“Apa
bising-bising sangat ni?” Muncul satu suara dari suatu arah.
Serentak tiga pelayan yang berada di
kaunter itu menoleh. Seorang lelaki dalam usia 30an sedang melangkah ke arah
mereka dengan wajah berkerut.
“Tak adalah abang Jak, kami tengah
cerita fasal girlyang selalu datang blind datetu.” Ujar salah seorang dari
pelayan.
“Kenapa dengan dia? Dia datang ke
malam ni?” Soal Jak seraya mengeling di sekitar restoran itu. Sudah lama dia
teringin mahu kenal dengan gadis yang setiap minggu menyebabkan keuntungan
restorannya bertambah. Manakan tidak setiap minggu, gadis itu akan memesan
banyak makanan untuk dibawa balik. Menurut salah seorang dari pelayan itu juga,
gadis itu juga kadangkala akan menempah makanan tengahari di situ dalam
kuantiti yang banyak untuk sebuah syarikat.
“Tadi dia ada abang Jak. Kami tengah
tapau makanan dia.”
“Tak apalah, nanti kalau dia ada,
panggilkan abang. Abang nak kenal.” Ujar Jak lalu mahu melangkah ke arah
pejabatnya yang terletak di belakang dapur.
“Oh ya abang lupa. Nadim ada datang
hari ni?” Langkah Jak terhenti seketika.
“Ada abang, dia kat dalam. Tadi ada seorang
perempuan cari dia. Mereka tengah bercakap-cakap kat dalam agaknya.” Ujar
lelaki itu.
Jak terdiam. Perempuan? Siapa pula
yang mencari Nadim pada waktu-waktu begini? Marseila kah?