KETIKA dia memberhentikan
keretanya di hadapan Hotel Concorde, wanita tua itu segera turun dari perut
kereta. Nadim mengikut keluar sambil tercengang-cengang. Dia sebenarnya kurang
percaya bahawa wanita tua yang berselendang kelabu dan memakai kebaya labuh
bersama kain batik itu menginap di hotel itu. Tapi apakan daya, keinginan nenek
tua itu diturutkan sahaja.
Ketika dia memandang ke arah nenek itu, dia segera
terpandang kesan kotor di mulut wanita itu. Apa tu?
“Nek, ada kotoran kat mulut nenek tu.” Tegur Nadim.
Nenek tua itu terus meraba-raba mulutnya. “Oh ini coklat.
Nenek makan coklat dalam kereta kamu tadi. Tak tahan sangat. Nenek ni memang
hantu coklat, lagi-lagi kalau coklat handmade
ni.” Senyum si nenek. Giginya jelas kehitaman ketika dia tersenyum begitu.
Nadim hendak ketawa tapi sedaya upaya ditahan. Lucu!
“Oh ya, tadi budak perempuan yang kat restoran kamu tu
teman wanita ke?”
Nadim tersentak. Aduh! Perasan pulak nenek itu dengan
Cika tadi.
“Dia ke yang kamu nak jumpa tadi?” Soal nenek itu lagi,
Nadim
sekadar mengangguk.
“Teman wanita?”
“Eh tak adalah nek. Saya cuma nak pulangkan barang dia,
itu saja.” Pantas Nadim membetulkan tanggapan di fikiran wanita tua itu.
“Pelik!” Terpacul perkataan itu dari mulut nenek itu.
Wajah itu turut berkerut, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Nadim tercengang
melihat reaksi nenek itu. Apa yang peliknya?
“Kenapa nek?”
“Kamu dengan dia serasi. Macam pinang dibelah dua.” Ujar
si nenek selamba.
Nadim ketawa kecil. Ada-ada sahaja nenek itu. Termasuk Jak, sudah dua orang yang salah
sangka hubungannya dengan Cika.
Wanita tua itu segera mengangkat kepala memandang ke arah
Nadim. Tangannya tiba-tiba menyentuh wajah Nadim lalu diteleng ke kanan dan ke
kiri. Matanya tak habis-habis merenung wajah lelaki muda itu.
“Berapa umur kamu?” Soal nenek itu.
“Err..24 nek.” Jawab Nadim tergagap-gagap. Naik segan
dirinya diperlakukan seperti objek muzium yang sedang ditilik-tilik dengan
teliti. Wajahnya sudah mulai merah padam sebaik menyedari beberapa pasang mata
sudah menuju ke arah mereka. Jangan mereka kata dia anak ikan nenek itu
sudahlah.
Nenek tua itu melepaskan wajahnya sambil mengeluh
panjang. Nadim semakin tertanya-tanya apa yang tidak kena dengannya. Lain macam
sahaja reaksi nenek itu. Mukanya comot ke? Melekat kuah kicap spageti tadi ke?
“Hmmm...aku memang tak salah teka. ” Ujar wanita tua itu.
Nadim tergaman. Wajah nenek tua itu serius memandang ke
arahnya. Dia pula kebingungan menatap orang tua itu dengan wajah blur. Kabur
sekabur-kaburnya!
“Apa nenek cakap ni? Saya tak faham.”
“Gadis yang kamu cintai itu, dia sudah tidak ada. Jangan
mengharap pada orang yang sudah tidak ada di dunia ini. Carilah cinta yang
paling dekat dengan kamu. Insya ALLAH kamu akan bahagia.” Nasihat nenek itu.
Nadim mengerutkan dahinya. Aneh! Bagaimana nenek itu
boleh tahu tentang Naomi? Siapa dia sebenarnya?
“Nenek siapa sebenarnya? Bagaimana nenek tahu semua ini?”
Nadim memberanikan diri bertanya.
“Aku tahu ke tidak, itu tidak penting. Yang penting gadis
yang kamu jumpa tadi. Dia lebih penting.”
“Siapa yang nenek maksudkan?” Kerut di wajah Nadim
semakin melebar. Gosh! Susahnya nak faham. Cakap dengan batu atau kayu lagi
senang.
“Aku cakap fasal budak perempuan yang kamu jumpa di
restoran tadi.”
“Kenapa dengan dia nek?” Nadim bingung. Apahalnya dengan Cika pulak?
Wanita tua itu tersengih seraya menepuk-nepuk bahunya.
Nadim menggaru kepala tidak gatal. Semakin bingung dibuatnya.
“Nenek!” Tiba-tiba singgah satu laungan yang agak kuat
dari suatu arah. Serentak kedua-duanya berpaling. Seorang lelaki tinggi lampai
bertubuh kurus tapi segak, memakai kemeja dan slackhitam melangkah ke arah mereka.
“Nenek ke mana sehari suntuk ni?”
“Aku bosan sebab tu aku jalan-jalan.”
“Nenek, kan
saya dah pesan kalau nak pergi jalan-jalan tu beritahu saya. Kalau nenek
hilang, mati saya kena leter dengan perempuan tu nanti.”
“Kamu berdua tu asyik sibuk memanjang. Apa salahnya aku
jalan-jalan seorang diri? Lagipun kamu kena ingat, aku dah biasa dengan Kuala Lumpur ni. Tiap-tiap
minggu aku ada urusan kat sini.” Selar nenek tua itu.
Lelaki yang baru muncul itu ketawa kecil. Seketika
kemudian kehadiran Nadim mencuri tumpuannya. Dahinya berkerut sedikit
memerhatikan lelaki muda di samping wanita tua itu.
“Nek, ini siapa?”
“Saya Nadim.” Nadim terlebih dahulu memperkenalkan diri
sambil menghulurkan salam. Lelaki itu segera menyambut salamnya.
“Aku Kojie.” Ujar lelaki itu.
“Maaf, saya yang hantar nenek Encik Kojie ni balik tadi.”
Kojie menjeling ke sampingnya. Wanita tua itu
tersenyum-senyum memandangnya.
“Tak apa-apa. Aku rasa kau tentu bertemu dengan nenek
secara tak sengaja kan?
Dia memang pandai pilih tempat, masa dan orang.” Ujar Kojie seraya ketawa
kecil.
Nadim terdiam. Ganjil mendengar tutur kata lelaki itu
kali ini. Tapi dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Lebih baik dia segera beredar,
lagipun kereta Volkswagen milik Jak harus dipulangkan segera. Tugasnya
menghantar nenek tua itu sudah selesai. Dan dia benar-benar tidak menyangka,
wanita tua itu memang menginap di Concorde.
* *
* *
CIKA mengemaskan
pakaian-pakaiannya ke dalam sebuah bagasi besar. Dia memang suka berkemas
awal-awal agar tidak kelam kabut di kemudian hari. Pakaian yang dibawa cukup-cukup
untuk dua minggu di atas kapal.
Ketika dia sedang ralit memasukkan barang-barangnya ke
dalam bagasi, telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Dia mengeluh. Tak
payah angkat pun dia tahu siapa yang memanggilnya. Sejak mereka bertemu di
restoran tadi, Idham tak sudah-sudah menghubunginya. Dia sebenarnya malas hendak
melayan Idham Hariz. Biar dirinya dikatakan sombong dari dia berhadapan dengan
Ingat dengan meminta maaf, senang-senang sahaja aku akan melupakan segalanya?
“Please Cika, we need
to talk.”Suara Idham Hariz yang memujuk di restoran tadi masih
tergiang-giang di penjuru telinga.
“Then talk.” Dia memandang lelaki itu dengan
riak wajah bersahaja.
“Saya nak minta maaf pada Cika.” tutur Idham.
“For what?
Untuk masa silam kita dua belas tahun dulu? Well
don’t. Rasanya Gina dah beritahu awak kan yang saya tak mahu jumpa awak lagi.” Dia
berterus-terang.
“Awak masih marahkan saya kan Cika?” Keluh Idham. Wajah lelaki itu
muram.
Dia tersenyum sinis. Sudah
gaharu cendana pula. Sudah tahu bertanya pula! Wajah Gina dijeling dari tepi.
Gadis itu sekadar menjongketkan bahu. Gina juga sepertinya, menyimpan perasaan
benci terhadap Idham Hariz. Dan perasan ini tak mungkin terpadam dengan mudah.
Sekalipun Idham mengatakan sudah menyesal dengan segala perbuatannya yang
dahulu, tapi mampukah dia melupakan sahaja semuanya seperti tidak ada apa-apa
pernah berlaku? Impossible!
Cika menarik nafas panjang. Malas mahu terus memikirkan
lelaki itu. Dia bingkas bangun dari birai katil, mahu mencapai tuala di
pelantar palang di sudut bilik. Ketika itu dia ternampak plannernya di atas meja solek. Langkah Cika terhenti di
situ. Buku berbentuk diari itu diambil lalu diselak. Imej lakaran wajah lelaki
di dalam buku itu diperhatikan agak lama.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia banyak kali terserempak
dengan lelaki itu. Seolah-olah dalam dunia ini kaki mereka saling merantai. Ke
mana jua dia pergi dia akan melihat Nadim Ammar. Ke mana Nadim Ammar ada, dia
juga ada di situ. Bukankah itu aneh?
Entah apa mimpi Nadim memulangkan plannernya kembali!
Ketika dia mengalihkan kelopak matanya sedikit, matanya
tiba-tiba terpandang tulisan yang ditulis dengan pen hitam di sudut kertas.
Tulisan itu kecil sahaja membuatkan dia mengerutkan dahinya sedikit. Cuba
sedaya upayanya untuk membaca tulisan sekecil itu.
Saya
tahu saya handsome, tapi jangan pandang lama-lama gambar saya. Bahaya! Saya takut
awak jatuh cinta!
Cika terkedu. Tulisan itu
memang lahabau. Cis! Apa dia ingat dia handsome
sangat ke? Cika merungut-rungut dalam hati. Ikutkan hati hendak sahaja dia
koyak-koyakkan lakaran wajah lelaki itu. Tapi setelah difikir-fikir, berat pula
hatinya. Maklumlah, gambar itu tidak berdosa apa-apa. Rugi sahaja jika dia
melakukannya. Buang karan dan nampak sangat dia bimbang dengan apa yang
difikirkan lelaki itu. Hello aku bukan sex
maniac atau stalkerokey?