UBEK terkejut besar apabila dia
mengatakan mahu pergi bercuti dengan menaiki sebuah kapal persiaran. Pantas
Ubek bertanya pelbagai soalan sehingga naik rimas dia dibuatnya. Bila hendak
pergi? Berapa lama? Siapa yang bagi? Ada
tiket freetak?
“Tuan Aaziz Ibrahim yang
hadiahkan tiket cruise tu. Tanda
ucapan terima kasih kerana kes lelaki yang nak bunuh diri tempohari.” Ujar
Cika.
“Habis umi dah tahu?”
Cika menggeleng. “Belum la
bang. Cika tak berani nak beritahu umi, takut umi tak kasi.” Keluh Cika.
“Cakap ajelah perkara sebenar pada umi, Insya
ALLAH umi akan izinkan.” Cadang Ubek seraya ketawa kecil.
Cika terkelip-kelip
memerhatikan abangnya. Itu yang paling susah mahu dilakukan. Cakap benar?
Dengan uminya? Hish nak tempah maut cubalah! Cika menggelengkan kepala. Nasihat
Ubek memang sempoi kali ini, tapi paling tak boleh dipakai. Aduh! Apa yang
patut aku lakukan?
* *
* *
PUAN BAHYAH dan Encik Nordin
terkelip-kelip memerhatikan Darren yang berbalut tangan dan kaki. Sesekali
gerun mendengar cerita Darren tentang apa yang sudah berlaku.
“Teruk sungguh pemandu tu. Setelah dilanggarnya kamu,
lepas tu ditinggalkan aje macam tu dalam longkang.” Getus Puan Bahyah meradang.
Dia memang naik angin bila mendengar tentang kes langgar lari.
“Dah report polis ke Darren?” Tanya Encik Nordin pula.
“Err sudah uncle. Saya dah report tadi sebelum nak datang ke sini.”
Jawab Darren tergagap-gagap.
“Baguslah tu, biar polis
tangkap pemandu tak berhemah tu. Kalau auntie la Darren, auntie jumpa je
pemandu tu auntie patah-patahkan leher dia. Ada otak langsung tak pakai.” Rungut Puan
Bahyah.
Darren hanya tersengih-sengih
mendengarnya.
“Itulah umi, mujur tak ada
apa-apa berlaku kat Darren ni. Kelmarin Darren telefon mak ayah dia, bukan main
risau lagi diaorang tu.” Celah Cika.
“Mereka tak datang ke sini
jenguk Darren?” Puan Bahyah bertanya.
“Err susahlah auntie. Jauh
sangat. Lagipun mak saya tu ada penyakit trauma dengan kapal terbang ni. Dia
mana boleh naik flight.” Ujar Darren
sebaik terasa ada sesuatu menguis-guis kakinya. Dia menjeling ke arah Gina yang
sudah menjeling tajam.
“Mak Darren tak boleh naik flight? Eh, hari tu masa Tahun Baru
Cina, bukan ke mak Darren ada datang ke mari? Auntie pernah jumpa dia dulu kat
Vistana.” Berkerut dahi Puan Bahyah cuba mengingatkan kali terakhir dia
menemui ibu Darren.
Tiga wajah mula memucat di
hadapan Puan Bahyah. Aiyak!
“Err..masa umi jumpa Auntie
Rose tempohari, Auntie Rose datang dengan feri. Dia memang tak boleh naik kapal
terbang ni. Gayat katanya.” Cika cepat-cepat cover line. Darren dan Gina hanya mengangguk-angguk seperti orang
bodoh.
“Feri? Dari Sabah ke mari
ada lagi ke ferinya?” Puan Bahyah menyoal lagi. Setahunya dulu memang ada
perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah, tapi
sekarang perkhidmatan feri sudah diberhentikan tidak lama dahulu.
Sekali lagi ketiga-tiganya
sudah bepeluh sakan. Inilah susahnya kalau bercakap dengan seorang guru. Ada sahaja fakta yang
mesti ditimbulkan semula. Ditimbang tara kesahihannya.
“Ada, awak tu aje yang tak tahu.” Sampuk Encik
Nordin tersengih.
Cika memandang ayahnya.
Lelaki itu sempat mengenyitkan mata ke arahnya membuatkan hati Cika lapang. Tak
sangka ayahnya sudi membantu.
“Sebab tu Cika nak minta izin umi. Cika dengan
Gina ingat nak ke sana
hantar Darren. Sekurang-kurangnya tak adalah masalah dia nak naik turun flight tu.” Ujar Cika takut-takut. Tak
habis-habis dia membaca doa pelembut hati buat dihembus ke arah ibunya yang
keras dan degil itu.
“Berapa lama?” Tak
disangka-sangka wanita itu bertanya.
“Err… dalam dua minggu.”
Jawab Cika.
“Hai, hantar Darren sahaja
sampai dua minggu?” Dahi Puan Bahyah berkerut seribu. Hairan mendengar
kata-kata anak gadisnya. Ni nak meneman ke nak melilau?
“Sebenarnya macam ni auntie,
ada klien lama kami minta kami tinjau projek perumahan dia kat Sabah. Dia nak kami jadi negotiator antara beliau dengan klien-klien di sini. Itu yang kami
nak ke sana dan
jumpa dia.” Sampuk Gina pula cuba membantu.
“Upah klien tu lumayan tau
umi, babah. Cika ingat berat hati aje nak terima tawaran tu. Tapi kalau jadi,
masuk jugaklah duit dekat suku juta kat dalam akaun syarikat.” Auta Cika
selamba badak. Suku juta? Macam tak lojik tapi belasah ajelah!
“Suku juta?” Puan Bahyah
terkejut. Banyaknya!
“Eh! Kalau macam tu, baik
Cika terima aje. Bukan senang nak dapat peluang macam tu.” Encik Nordin turut
sama teruja.
Puan Bahyah menarik nafas
panjang. Diikutkan dia memang berat mahu melepaskan Cika pergi jauh dari rumah.
Lagipun Cika satu-satunya anak gadisnya. Tapi mendengar jumlah duit yang cukup
banyak, siapa sahaja boleh tergoda. Dia apatah lagi!
“Tak apalah, awak boleh
pergi. Tapi janji dengan umi yang awak mesti telefon umi tiap-tiap hari. Umi
cuma nak pastikan awak selamat.”
Cika terkejut. Dia segera
merangkul tubuh ibunya lalu mengucup pipi wanita itu berulangkali.
Alhamdulillah! Syukurlah, lembut juga hati wanita itu akhirnya.
“Terima kasih umi, Cika
janji kalau kerja ni jalan, Cika belikan rantai emas untuk umi. Tentu umi
suka.” Dia sengaja memasang jarum.
Encik Nordin hanya tersengih
melihat wajah gembira Cika yang asyik memeluk Puan Bahyah. Bukan senang dia
mahu melihat pemandangan sebegitu. Bukan senang kedua-dua beranak itu saling
memeluk antara satu sama lain. Alhamdulillah!
* *
* *
KETIGA-TIGANYA tergelak
besar sambil menghirup fresh orange
gelas besar. Darren yang tadinya berbalut kepala, tangan dan kaki kelihatan
elok-elok sahaja tanpa kain balutan yang sudah berbuka. Tak fasal-fasal hari
ini dia dipergunakan kedua-dua gadis itu. Apa boleh buat, kedua-duanya ketuanya
di pejabat. Dia pula hanya mentimun nipis yang makan gaji.
“Nasib baik umi kau kasi
kita pergi.” Gina terlebih gembira. Seronok memikirkan mereka akan menaiki
kapal persiaran itu. Bercuti di lautan dalam, bunyinya sungguh romantik.
Cika tersenyum-senyum. Tak sangka plan bijaknya menjadi sehingga
ibunya terpedaya kali ini. Mati-mati hidup ibunya menyangka dia betul-betul ke sana kerana Darren yang
cedera serta soal kerja.
“Aku dah siap tempah flight
kita ke Sabah.” Ujar Gina yang sedang
menekan-nekan ipadnya. Dia berpaling ke arah Cika.
“Cun.” Cika ketawa besar.
“Memang cun.” Gina memandang lurus ke hadapan. Cika
menoleh ke arah Gina. Wajahnya berubah.
“Tak..tak cun langsung.” Bisik Cika.
Darren memerhatikan kedua-dua gadis itu. Sekejap cun
sekejap tak cun. Gila ke dua orang bos aku ni?
Gina memerhatikan ke arah lelaki di belakang Cika. Sejak
tadi dia perasan lelaki itu asyik memerhatikan ke arah mereka. Orangnya masih
muda dan boleh tahan kacak.
Cika pula sedang memerhatikan seorang lelaki yang baharu
sahaja memasuki pintu restoran itu. Sebentar kemudian pandangan lelaki itu
dilontar ke arahnya. Renungan mereka bertaut, dan Cika benar-benar tidak
gembira melihat lelaki itu.
Melihat Idham Hariz seakan
mahu menuju ke arahnya, Cika cepat-cepat berdiri. Gina dan Darren serentak
menoleh ke arah gadis itu.
“Sorry, aku nak ke toilet
sekejap.” Pinta Cika. Belum sempat Gina menyahut, Cika sudah bergegas. Gina
mengeluh panjang. Dia kembali memerhatikan lelaki yang duduk di meja paling
hujung di restoran itu. Mata lelaki itu dilihat sedang mengintai langkah Cika
ke arah restroom. Gina tersenyum
sendiri. Hmm… lelaki itu pastinya berminat dengan Cika.
* *
* *
CIKA memandang wajahnya di
hadapan cermin. Sedang merenung wajahnya yang tiba-tiba bertukar pucat. Dadanya
berbahang seperti mahu menumpahkan lahar. Bermacam cara dia cuba mengelakkan
diri dari Idham Hariz, tapi di mana-mana sahaja dia akan terserempak dengan
lelaki itu.
Usai mengemaskan diri dan
membetulkan solekan, dia segera keluar dari pintu tandas. Namun kelibat yang
terpacul di hadapannya membuatkan wajahnya kembali pucat. Idham Hariz sedang berdiri
di situ. Tercegat memerhatikan ke arahnya dengan riak wajah serius.
Idham perlahan-lahan mendekati
gadis itu. Dia sendiri tidak sangka akan bertembung dengan Cika di situ ketika
sedang makan bersama teman-teman pejabatnya. Sudah banyak kali mereka
terserempak, tapi pada setiap kali Cika cuba melarikan diri darinya. Kali ini
dia takkan membiarkan Cika lari lagi. Matanya asyik merenung gadis yang nampak
kekok berhadapan dengannya. Cika kelihatan manis dan ayu dengan blouse berwarna hitam polkadot putih
yang dipakai dengan seluar palazzo berwarna putih.
Cika memberanikan diri memandang
lelaki itu. Idham melemparkan senyuman, namun entah kenapa dia tidak menggemari
senyuman itu. Dia merasa seperti dipalit dengan kisah silamnya. Senyuman Idham
tak mungkin dapat menyembuhkan parut yang ada di hatinya.
“Cika, saya Idham. Idham
Hariz. Ingat lagi?”
Gadis itu hanya membisu.
Idham menarik nafas panjang. Apakah gadis itu memang tidak ingat siapa dia atau
Cika hanya berpura-pura? Idham mulai buntu dibuatnya.
“Kita satu sekolah dulu.
Mama saya dan ibu awak, mereka kawan baik. Awak tak ingat lagi?” Idham tetap
tidak putus asa. Dia mahu melanjutkan kata-katanya, namun tiba-tiba sahaja
tubuhnya ditolak dari belakang. Serentak Gina muncul di situ, seraya menarik
tangan Cika. Renungan Gina tajam menjamah wajah Idham.
“Saya dah cakap jangan
ganggu Cika lagi. Awak tak faham-faham ke Idham?” Getus Gina dengan wajah
mencuka.
“Gina, saya cuma nak cakap sekejap
sahaja dengan Cika. Saya..”
“Cika tak nak cakap dengan
awak. Please leave her alone.” Pintas
Gina dengan wajah merah padam. Mujur dia sendiri teringin mahu menjengah ke
bilik air, kalau tidak pasti dia tidak perasan akan kehadiran Idham Hariz di
situ.
Idham mengeluh panjang.
Kedua-duanya jelas benar-benar membencinya.
“Cika, saya tahu awak masih
ingat pada saya. Saya nak jumpa awak sebab saya nak minta maaf. Saya tahu
selama ini saya banyak berbuat salah pada awak. Can you forgive me?” Rayu Idham tanpa mempedulikan Gina. Saat ini
sepasang matanya tidak berganjak langsung dari wajah di hadapannya.
Cika memandang lelaki itu
agak lama. Memerhatikan Idham yang kelihatan semakin matang usianya.
“Awak ingat senang ke saya
nak maafkan awak macam tu aje? Are you
out of your mind?” Sindir Cika dengan hati panas. Tutur katanya lebih keras
berbanding Gina sendiri, menggamit dua pasang mata terkedu memandang ke
arahnya.
Tidak jauh dari situ, Nadim
memerhatikan Cika dan teman-temannya dengan wajah tertanya-tanya. Siapa lelaki
yang bercakap-cakap dengan Cika itu? Lain macam sahaja situasi di hadapannya
itu.
Wajah lelaki kacak bersut
lengkap itu dipandang teliti. Orangnya tinggi lampai dan berpenampilan menarik.
Siapa sebenarnya lelaki itu? Teman lelaki Cikakah? Entah kenapa tekaan itu
hanya membuatkan dia terdiam agak lama. Malas mahu menyakitkan kepala dengan
mengambil tahu, perlahan-lahan dia beredar, kembali ke mejanya.
“Kenapa tak dihabiskan makan tu?” Soal lelaki
di hadapannya. Dia mendongak wajah. Raut wajah itu tersenyum tenang ke arahnya.
“Dah kenyang.” Ujarnya
seraya turut melemparkan senyuman.
“Dah kenyang? Apa kamu dah
kenyang sebab makan dengan orang tua macam uncle ni?” Haji Osman mengusik.
Nadim ketawa kecil. Orang
tua itu tidak pernah berubah, asyik suka melawak sahaja.
“Macamana Nadim? Uncle dah
jelaskan pada kamu segala-galanya. Sekarang kamu pilih sendiri bagaimana mahu
mencorakkan masa depan kamu. Apa sahaja keputusan kamu, uncle akan menyokong,
tapi biarlah keputusan itu boleh menyenangkan hati banyak pihak.” Ujar Haji
Osman.
Nadim terdiam. Kata-kata
lelaki itu didengar sahaja tanpa dicerna. Dia sendiri belum habis belajar.
Malah selama ini dia bebas menjalani hidupnya tanpa terikat dengan hal-hal yang
lebih besar. Memang dia tahu benar kandungan wasiat datuknya itu, tapi dia
langsung tidak ambil peduli. Kononnya datuknya memiliki aset yang cukup banyak,
tapi dia sendiri tidak ambil pusing dengan semua itu lantaran hubungannya
dengan arwah datuknya yang sentiasa sibuk itu bukanlah rapat sangat.
Selesai berbincang
dengannya, Haji Osman beredar lebih awal. Dia juga mengambil keputusan beredar
sahaja dari situ. Dia sempat menoleh ke arah tempat duduk Cika dan temannya.
Mereka sedang berbincang sesuatu yang kelihatan serius. Lelaki yang dilihatnya
bercakap-cakap dengan Cika tidak kelihatan pula di situ. Sudah beredar
barangkali!
Di kaki lima di luar restoran itu, dia terserempak seorang
nenek tua sedang menggosok-gosok kakinya seperti keletihan. Pandangannya dihala
ke arah wanita tua itu. Wajah wanita itu berkerut-kerut sedikit.
“Nenek, kenapa berdiri kat
sini?” Tegur Nadim.
“Nenek nak tunggu bas kat
simpang depan tu. Tapi ada dua India
tengah bergaduh. Bising! Itu sebabnya nenek duduk-duduk kat sini sekejap.” Ujar
nenek tua itu.
“Nenek nak ke mana? Boleh
saya hantarkan?” Pelawa Nadim.
“Kamu ada kereta?” Tanya
nenek itu.
Nadim terkiai-kiai hendak
menjawab.
“Err..itu kereta kawan saya
nek. Harap nenek tak kisah naik kereta tu. Sekadar nak hantar nenek ke
mana-mana, Insya ALLAH sampai.” Ujar Nadim memberi jaminan.
Tapi melihat wanita tua itu
menonong pergi ke arah kereta yang terletak di bawah pohon kemunting di hadapan
restoran, dia menarik nafas panjang. Siapa agaknya nenek ni? Nak ke mana sebenarnya? Dari gaya wanita itu
berpakaian, nampak seperti baru datang dari kampung! Bisik hati kecil Nadim
seraya merenung baju kebaya labuh nenek itu yang dipadankan dengan batik
kampung.
“Kalau kamu tak kisah, tolong hantar nenek ke
Concorde?” Pinta si nenek.
Nadim tercengang. Concorde?
“Maksud nenek Hotel Concorde?”
Nadim bertanya, sekadar mahu memastikan. Aku tak salah dengarkah?
“Yalah, itu yang nenek
sebut.” Nenek tua itu mengangguk.
“Err…nenek nak ke sana buat apa?” Nadim
memberanikan diri bertanya sambil membukakan pintu kereta untuk wanita itu.
“Nenek tinggal kat situ.”
Jawapan itu selamba.
Nadim telan liur. Mak oi, vogue
nenek ni. Siap tinggal kat hotel lima bintang!
“Kamu tunggu apa lagi?
Cepatlah, nanti nenek lewat. Nenek nak jumpa bekas klien kat situ.” Bicara nenek
itu lagi.
Nadim sekadar tersenyum
simpul. Lucu rasa hati mendengar kata-kata wanita tua itu. Dahlah duduk kat
Hotel Concorde, sekarang ada klien pulak! Ni mesti nenek ni jual jamu, tak pun
berniaga kain batik dekat Concorde! Sekali lagi Nadim merumus kesimpulan
sendiri.
Ketika dia mahu menghidupkan
enjin kereta, bersedia untuk beredar dari kawasan itu, tiba-tiba terlintas
sesuatu di hatinya. Planner berkulit hitam yang berada di sebelah tempat
duduknya dibelek-belek.
“Kenapa tak jalan lagi?”
Tanya nenek tua itu dari tempat duduk belakang. Nadim menoleh sedikit lalu
tersenyum. Dia segera mengeluarkan sebatang pen dari dalam saku sambil menulis
sesuatu pada buku hitam tersebut.
“Nenek tunggu sekejap ya,
saya nak hantarkan barang ni untuk kawan kat restoran tu. Nenek jangan ke
mana-mana ya, sekejap sahaja.” Ujar Nadim lalu segera bergegas keluar dari
perut kereta dan kembali ke dalam restoran. Namun ketika dia mahu melangkah
masuk, tiba-tiba sahaja kelibat Cika muncul di hadapannya. Kebetulan gadis itu
mahu keluar dan dia pula mahu masuk.
Cika tercengang-cengang
melihatnya. Dia pula hanya mampu menarik nafas lega. Bertembung juga dia dengan
gadis itu. Baguslah! Tak payah susah-susah dia masuk ke dalam lagi. Tanpa
membuang masa, dia segera menyerahkan planner itu ke tangan yang empunya.
Cika merenung planner
kepunyaannya. Hampir tidak percaya melihat Nadim tiba-tiba muncul di situ dan
memulangkan apa yang menjadi haknya kembali. Ketika dia mengalihkan pandangan,
dilihatnya lelaki itu sudah beredar ke arah sebuah kereta Volkswagen berwarna
kuning terang.
“Nanti sekejap.” Panggil
Cika dengan niat hati mahu mengucapkan terima kasih. Namun lelaki itu kelihatan
bergegas masuk ke dalam perut Volkswagen itu.
Cika hanya mampu mengeluh
panjang. Ketika dia melemparkan pandangan ke arah kereta yang semakin jauh
bergerak itu, tiba-tiba matanya terpandang kelibat seseorang di tempat duduk belakang
Volkswagen itu. Wajah Cika berkerut. Siapa tu?
Bagaikan tahu-tahu sahaja,
wajah di tempat duduk belakang Volkswagen itu berpaling menyerlahkan seraut
wajah yang membuatkan Cika tercengang. Nenek?
Wanita tua itu memandang ke
arah Cika. Melambai tangan dengan gerakan slow
motion sambil tersengih. Cika terkedu melihatnya. Senyuman itu menyeramkan.
Spooky gila! Mulut nenek itu dipenuhi dengan darah hitam pekat.
Cika serta-merta teringatkan
peristiwa di sebuah kawasan taman perumahan minggu yang sudah. Dia masih ingat
dengan jelas bagaimana nenek yang ditemuinya itu hilang dalam sekelip mata
membuatkan dia seriau setiap kali memikirkan wanita tua itu. Kalau dulu dia
ragu-ragu samaada wanita itu manusia atau hantu. Tapi sekarang, darah pekat di
mulut nenek itu..bagaikan memberitahunya sesuatu. Yup definitely nenek itu hantu! Dan hantu itu dah tangkap Nadim
Ammar. Alamak!
Tanpa berfikir panjang, Cika
segera berlari mengejar kereta Volkswagen itu sambil menjerit-jerit melaung
nama Nadim Ammar. Dia mahu memberi amaran pada lelaki itu sebelum Nadim
diapa-apakan.
Gina yang baru sahaja
mengekori Cika keluar, tercengang-cengang melihat Cika yang seperti orang gila
mengejar kereta kuning yang semakin jauh beredar.
“Cik Gina, kenapa dengan Cik
Cika tu?” Entah sejak bila Darren sudah berdiri di sebelah Gina, turut sama
melopong melihat aksi Cika yang tidak masuk akal.