Bila The Loser
bertemu The Pianist
Apakah Tugu
Cinta Bakal Dibina?
Atau Bencana
Yang Akan Tiba?
GINA memutuskan panggilan.
Raut wajahnya hampa. Dia gagal menghubungi Cika yang hilang entah ke mana. Aduh
Cika! Mana kau pergi ni? Risau aku!
“Dapat?” Soalan itu terpacul dari bibir Idham Hariz. Gina
menoleh dengan wajah merah padam.
“Ini awak punya fasal. Kalau bukan awak, semua ini takkan
jadi.” Gina menyalahkan lelaki itu seratus peratus.
Idham terdiam. Dia menjeling Hasrul yang berdiri tidak
jauh dari situ. Wajah Hasrul lesu memandangnya. Dari airmuka temannya itu,
Hasrul seolah-olah turut menyalahkan dirinya. Lagipun dia yang menyuruh Hasrul
menyebarkan pada gadis-gadis itu tentang kehadiran Cika di situ. Dia sebenarnya
bukan berniat buruk. Itu semua dilakukannya agar dia boleh bertindak sebagai
hero. Memarahi mereka yang mengejek Cika agar gadis itu lembut hati
terhadapnya. Tapi belum sempat dia bertindak, Gina pula yang menganggu
rancangannya.
Idham benar-benar kesal kerana bertindak terburu-buru
tanpa berfikir panjang. Tak fasal-fasal Cika melarikan diri dari majlis itu.
Aduh! Kau bodoh benar kali ini Idham! Keluh Idham kesal!
“Lain kali pleaseIdham,
jangan cuba
dekat dengan Cika lagi. Setiap kali awak ada, ada aje benda yang tak baik
berlaku pada Cika.” Getus Gina agak kasar.
“Saya tak bermaksud buruk Gina.” Idham cuba menjelaskannya.
“Buruk atau tidak, hanya awak yang tahu apa niat awak
terhadap Cika.” Sinis nada suara Gina mengatakannya. Dengan riak wajah marah,
Gina turut beredar dari situ. Dia harus mencari Cika walau dengan apa cara
sekalipun!
“Puas hati kau sekarang?” Suara Hasrul pula kedengaran.Idham
menoleh.
“Kau tahu itu bukan niat aku Rul.” Keluh Idham.
“Aku tak faham dengan kau ni. Kalau betul kau suka dengan
Cika tu, terus terang sahaja. Tak payah nak sakitkan kepala dengan rancang
benda bodoh ni. Nak jadi hero konon!” Hasrul turut bengang entah kenapa. Dia
turut beredar dari majlis yang belum sempat habis itu. Balik lagi baik!
Idham terkedu ditinggalkan begitu sahaja. Malam ini dia
menyimpan harapan besar untuk bercakap dengan Cika tapi semuanya musnah begitu
sahaja. Apa patut aku buat?
* *
* *
SEPERTI dijanjikan, Nadim
menghantar Cika pulang sehingga ke pintu pagar hadapan. Seperti biasa kereta
Volkswagen Jak yang menjadi mangsanya.
“Ini rumah awak?” Nadim menjengah ke arah sebuah rumah
dua tingkat di hadapannya. Cika mengangguk lalu keluar dari perut kereta. Nadim
turut mengikut keluar sambil matanya masih menerawang ke arah rumah di
hadapannya. Ada
dua buah kereta di dalam petak garaj rumah itu.
“Mereka ada di rumah?” tanya Nadim ingin tahu.
“Mereka? Siapa?”
“Mak ayah awak.”
Mata Cika mencerun tajam. Lain macam sahaja bunyinya
pertanyaan lelaki itu. Kenapa tiba-tiba sahaja Nadim bertanyakan ayah ibunya?
“Kenapa dengan mereka?”
Nadim ketawa kecil. “Saja saya nak tahu. Lagipun anaknya kan pernah melukis
gambar saya, mestilah saya nak kenal dengan mereka. Manalah tahu suatu hari
nanti saya boleh panggil mereka ayah dan mak juga.” Gurau Nadim sengaja mahu
mengusik Cika.
Wajah Cika merah padam. Pipinya sudah samar-samar menahan
malu. Aduh! Bunyinya seperti serius sedangkan dia tahu Nadim Ammar hanya
bergurau. Ketawa lelaki itu entah kenapa manis kedengaran di telinga. Wajah
Nadim Ammar juga meresap ke jiwa menghadirkan getaran yang dia sendiri tidak
tahu dari mana puncanya. Dari mana hadirnya suis yang menjentik debaran di
dadanya?
“Hei, what is wrong
with that face?” Lambaian tangan lelaki itu membuatkan Cika tersedar dari
lamunan panjang. Dia tersipu-sipu. Malu beb! Kena tangkap masa tengah melamun
panjang. Ini bukan stail Syafika Nordin! Semuanya salah Nadim Ammar! Kerana
lelaki itu dia jadi gila angau seperti ini. Malah dalam masa yang sama mampu
membuatkan dia seperti gadis sunti yang mabuk cinta. Cinta? Wait! Cintakah aku pada lelaki itu?
Melihat Cika merenungnya lain macam, Nadim terkedu.
Matanya bulat meratah wajah gadis itu. Pandangan mereka bertembung. Jauh dan
semakin jauh. Sejenak dia seperti lupa diri. Alis yang terbentuk cantik,
pemilik sepasang wajah comel di hadapannya membuatkan jantung Nadim tiba-tiba
berdenyut lebih kencang dari biasa. Dia tidak perasan semua ini selama ini.
Tapi Cika memang menawan. Mungkin tidak secantik Emilia atau Naomi, tapi tetap
sahaja ada tarikan pada wajah yang keanak-anakan itu. Lagi-lagi gaya gadis itu berpakaian
lebih feminin dari biasa. How sweet!
Tiba-tiba melintas wajah Naomi di benak Nadim. Dia
menarik nafas panjang lalu segera mengalihkan anak matanya dari terus merenung
wajah Cika. Dada yang berdebar-debar tidak keruan sebentar tadi terus dipujuk
agar tidak terus berfikir yang bukan-bukan. Not
this time. Dia belum bersedia untuk mahu melupakan Naomi dan mencari
pengganti gadis itu. Shame on you Nadim
Ammar! Getus Nadim kesal.
“Err..I guess I
have to go.” Nadim bersuara.
Cika mengangguk dengan segera. Ya! Dia juga memikirkan
hal yang sama. Lebih baik lelaki itu pergi sebelum wajahnya yang merah padam
terpapar jelas di penglihatan lelaki itu. Aduh!
Tidak jauh dari situ sebuah kenderaan berhenti di bahu
jalan tanpa disedari sesiapa. Di dalam perut kereta, wajah Idham berubah mendung
melihat Cika bersama lelaki pianist
yang berada di majlis reunion sekolah
mereka sebentar tadi. Dia yang berhasrat mahu mencari Cika dan meminta maaf,
seperti ditimpa sebiji batu besar sebaik melihat Cika bersama-sama pemuda itu.
Apa sebenarnya hubungan Cika dengan lelaki itu? Idham mengetap bibir. Perasaan
kecewa kini mengalir di lubuk hatinya seperti air.