Bab
8
Tatkala
dia melangkah turun dari teksi, dia dikejutkan dengan seorang lelaki yang
sedang menanti di depan rumahnya. Sufi berlari anak, mendapatkan lelaki yang
bajunya sudah kuyup, menanti di depan pagar depan rumah Sufi. Motorsikalnya
sedang terpakir di sebelah pagar. Sufi tidak tahu sudah berapa lama dia menanti
di situ. Tetapi, rasa terharu menyeluk hatinya.
“Sufi,”
panggil Izam yang sedang menggeletar sejuk.
Hati
Sufi jadi tenang. Tenang setenang-tenangnya sebaik saja wajah itu muncul di
kaca matanya. Dia merasakan dirinya selamat apabila berada di samping Izam.
Hatinya percaya yang segala bahaya dalam hidupnya sudah menyisih pergi. Mungkinkah
ini jodoh yang TUHAN janjikan untuknya.
“Sufi
pergi mana?” soal Izam.
Sufi
tidak mampu menjawab. Menipu bermakna dia mengkhianati kepercayaan Izam.
Kejujuran pula akan menimbulkan seribu satu salah faham. Kuping-kuping ragu
terpamer pada air muka Izam.
Sufi memilih untuk
menyepi. Tidak menjawab biarpun sepatah. Menjawab persoalan Izam akan memaksa
dia menyelongkar sejarah lamanya dengan Hashir yang mahu dilupakan. Sakit yang
diperam dalam dada biar berlubuk di situ. Dia tidak sudi menuturkan ia keluar
dari anak tekak. Sakitnya takkan berkurang dengan membuka cerita. Langkahnya
diloloskan ke laman depan.
Payung
yang sedang berdiri di sebelah rak kasut dicapainya. Dia membukanya meskipun
hujan sudah tidak segalak tadi. Batang payung dihulurkan kepada Izam yang
sedang menggeletar sejuk. Kasihan terpalit dalam hati, bercampur-baur dengan
rasa terharu yang teramat.
“Tunggu,”
pinta Sufi.
Sepuluh
minit lamanya Izam menanti sebelum bayang Sufi muncul semula. Daun pintu depan
dikuak. Sufi melangkah keluar bersama secawan milo panas dan sehelai tuala
putih. Dia menghadiahkan Izam dengan cawan milo panas itu dulu sebelum
meletakkan tualanya di atas bahu lelaki itu.
“Sufi
pergi mana?” Soalan itu meniti lagi di bibir Izam.
“Zam
percayakan Fi tak?” soal Sufi.
Izam
menganggukkan kepala.
“Walaupun
Zam percayakan Fi, tak bermaksud Zam percayakan orang di sekeliling Fi. Zam tak
nak apa-apa jadi pada Fi. Fi tau Zam sayangkan Fi, kan?” soal Izam sambil
memandang tepat ke mata Sufi.
“Fi
minta maaf,” pohon Sufi.
Entah mengapa, air
matanya luruh lagi. Dia bukan mencari simpati Izam. Tetapi, rasa sebak itu
datang sendiri. Air matanya yang mahu jatuh tidak dapat ditahan-tahan. Dia tak
mahu memberikan dukanya kepada Izam. Seboleh-bolehnya hanya bahagianya saja
mahu dikongsikan dengan lelaki itu. Tetapi, Sufi tahu dia tak mampu. Hidupnya
penuh dengan kitaran duka.
Hanya
jasadnya ada situ. Rohnya seakan-akan terbang jauh, merentasi masa silamnya
yang ingin ditinggalkan usai. Arca kenangan yang sudah dipecahkan bersatu,
terus hidup dalam kotak memorinya. Ia berputar kembali, bagaikan filem hitam
putih yang ditonton pada skrin tua yang kekuningan.
“Kau
anak pelacur! Tak tau keturunan! Jangan kau datang sini lagi. Sisa makanan
dalam rumah aku pun aku takkan bagi pada kau! Baik aku bagi anjing! Jijik!”
jerkahan seorang wanita bersanggul tinggi mengejutkan Sufi.
Sufi
hanya setinggi pinggangnya berundur ke belakang. Di tubuh kerdilnya tersarung
t-shirt putih yang getah lehernya sudah longgar. Sebelah kanan leher t-shirtnya
sudah terjatuh atas tulang bahunya yang kurus. Jari-jemari pendeknya
menggenggam kain seluar pendek jalur yang dikenakannya. Matanya berair.
“Aku
haramkan kau berkawan dengan anak aku! Kau dengar tak? Aku haramkan kau dari
berpijak dalam rumah aku!” jerkah wanita itu.
Sufi
berteriak semahu-mahunya.
“Fi!”
panggil ibu.
Sufi
berlari keluar. Dia hilang dalam renungan ibunya. Renungan penuh kasih sayang.
Dia masih terlalu muda untuk mengerti mengapa dia dimarahi. Dia tidak tahu apa
sebabnya dia dihina, ibunya diherdik dengan pelbagai tomahan.
Namun,
kini dia ada jawapan itu. Dia tahu jawapan kenapa mereka mengherdiknya. Tetapi,
mereka barangkali tidak tahu jawapan kepada soalan mengapa ibu melakukannya.
Dia tahu. Dia faham. Dalam masa yang sama, dia tidak merelakannya.
Sejarah
tak mampu diubah. Itu yang pasti. Manusia boleh belajar memaafkan dan
melupakan. Tetapi, apa yang sudah berlaku tetap sudah berlaku. Manusia biasa
sepertinya tak mempunyai keupayaan untuk memutarkan kembali masa. Untuk
mengubah apatah lagi.
“Sufi,”
panggil Izam, mengejutkan Sufi.
Sufi
tersentak.
“Kenapa,
sayang?” soal Izam dalam nada lembut.
“Fi...
Fi tak biasa beritahu orang. Cuma seorang lelaki yang pernah tahu. Nama dia
Hadi. Dia pernah ajak Sufi kahwin dulu. Sebab Sufi bersedia jadi isteri dia,
Sufi beritahu dia...” luah Sufi dalam suara terketar.
Sufi
menarik nafas panjang. Dia memandang ke mata Izam. Mahukah lelaki itu
menerimanya? Sufi rasa berdosa pada ibu untuk membuka pekung di dada sendiri.
Namun, dia tahu dia perlu berterus-terang agar status dirinya tidak dipertikaikan
apabila dia bergelar seorang isteri nanti.
“Fi?”
panggil Izam, mengharapkan sekeping kejujuran dari gadis yang sudah mulai
disayanginya itu.
“Zam,
selepas ayah Sufi meninggal dunia, kami hidup susah. Kami tak ada duit. Nak
makan pun tak ada. Ibu Fi...”
Air
mata Sufi tertumpah.
“Ibu
Fi... Dia...”
“Kenapa,
Fi?” soal Izam.
Sufi
menggelengkan kepala.
“Tak
ada apa-apa,” bohong Sufi.
Tidak.
Dia tak dapat melakukannya. Memberitahu Hadi dulu sudah cukup membuatkan dia
berasa berdosa pada ibunya. Dia tidak tergamak untuk menceritakan kisah itu
kepada sesiapa lagi. Ibu sudah berubah. Ibunya sudah bertaubat. Dosa yang ibu
lakukan dulu adalah semata-mata untuk dia dan abangnya. Biarlah dosa itu
dinisabkan Yang Maha Esa. Siapalah mereka untuk menghukum, mengadili sesama
manusia?
“Tadi,
Fi nak cakap sesuatu pasal ibu Fi, kan?” soal Izam.
Sufi
menggelengkan kepala, menidakkan segala-galanya. Dia mahu memelihara nama baik
ibu. Cukuplah, dia memberitahu hakikat itu kepada Hadi dulu. Sungguhpun, Hadi
dapat menerimanya, akhirnya mereka tidak bersatu jua dek kerana bekas teman
wanita Hadi yang datang menyerangnya dan Hadi secara tiba-tiba. Sehingga kini,
Sufi dirantai rasa bersalah. Dia mengharapkan Hadi menyimpan rahsia itu.
“Dengar,
Fi. Zam janji, walau apapun keadaan Fi, Zam akan terima Fi seadanya. Zam takkan
sekali-kali melukakan Fi macam bekas teman-teman lelaki Fi sebelum ni. Zam tahu
Fi ada sejarah silam Fi. Zam pun ada sejarah Zam. Kita sama-sama lupakan dan
mulakan hidup baru ya,” pujuk Izam.
Sufi
mengangguk. Setelah bertahun lamanya, dia mahu belajar untuk percaya semula.
Dia mahu memulakan semula langkah barunya, mengenali dan menyintai seorang
lelaki buat seumur hidupnya. Sufi mengharapkan Izam menjadi lelaki yang
terakhir dalam hidupnya. Dia sudah tak sanggup menempuhi rasa sakit itu lagi.
“Janji?”
soal Sufi.
Izam
menganggukkan kepala.
“Zam
janji. Zam akan sayang Sufi, jaga Sufi sampai ke akhir hayat Zam. Percayalah,
Sufi. Ni janji Zam pada Sufi,” ikrar Izam.
Sufi
menguntum senyuman. Ya. Dia percayakan Izam.
“Sufi
tau tak? Zam selalu membayangkan diri Zam hidup dalam keluarga yang bahagia,
dengan isteri dan anak-anak tersayang di sebuah rumah yang cantik...” luah Izam
sambil meletakkan cawan milonya di sebelah.
“Zam?”
“Sufi,
Zam dah beli rumah. InsyaAllah, rumah tu akan siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Lepas kahwin nanti, bolehlah kita duduk rumah sendiri,” ucap Izam dengan penuh
bersemangat.
Sufi
tersenyum lagi.
“Alhamdulillah,”
ucapnya.
“Kita
kahwin ya, Fi?” soal Izam.
Sufi
menganggukkan kepalanya, lemah.