Bab
10
Adelia
memandang Sufi. Sufi memandang Adelia. Panahan mata mereka menusuk, bagaikan
halilintar dari dua hala yang berbeza bertemu di tengah-tengah. Mereka saling
memandang tetapi tidak bersuara, menimbulkan suasana pelik yang dingin.
Kedua-duanya seolah-olah sedang berbicara tanpa suara.
Zas! Bagaikan ada letupan
kuat apabila Hashir muncul di halaman depan rumah dan melambaikan tapak tangan
lebarnya di depan mereka berdua. Sufi dan Adelia seakan-akan baru terjaga dari
alam mimpi. Sufi terus menguis-nguis hujung rumput dengan kaki manakala Adelia
mencangak mukanya ke atas langit, kononnya sedang melihat gumpalan-gumpalan
awan di langit cerah.
“Apasal
Kak Lia dan Sufi ni pelik sangat? Dari tadi duduk kat sini, tak bertegur-sapa,
tak bercakap. Asyik pandang each other macam nak terkam,” sindir Hashir sambil
mengalih-alihkan daging salai atas BBQ set.
“Hash
tanya akak?” soal Adelia.
“Tak,
tanya beruk,” sindir Hashir lagi, lebih pedas bahasanya. Dia mengerling Adelia
yang menarik muka masam.
“Ni,
macam mana ex-girlfriend boleh jadi girlfriend balik? Dulu, bukan main benci
lagi. Tak mahu dengar namalah. Tak suka kalau orang sebut-sebutlah. Sekarang
ni, couple balik. Drama apa pula ni, Hash?” soal Adelia selepas menyindir.
Kakaknya
tampak manis, lembut dalam kebaya pendek berwarna putih dan kain batik
berjahit. Pakaian yang tidak cocok dipakai di rumah. Menurutnya tadi, dia baru
pulang dari majlis akad nikah kawannya yang berlangsung seawal jam sembilan
pagi. Sebab itulah, dia mengenakan kebaya yang penuh kerawang.
Peliknya, mengapa
sampai sekarang dia belum menyalin pakaiannya. Adakah dia selesa mengenakan
kebaya penuh kerawang dalam rumah? Selesakah? Kain batik jawa itu tampak
sendat, menyukarkan Adelia untuk berjalan laju. Kalau Sufi, pasti dia akan
menyalin pakaian itu sebaik tiba di rumah.
“Drama
apa? Apa akak nak? Cerekarama? Cerekapilihan? Semua ada. Cakap aje akak nak
mana satu,” gurau Hashir.
“Tak
kelakar,” ejek Adelia.
“Ada
Hashir cakap kelakar? Ada? Ada?” soal Hashir kembali.
Hashir menoleh
sekejap, memandang Sufi yang kelihatan gelisah. Barangkali Sufi tidak selesa
dengan gelagat kakaknya yang suka serkap jarang. Bukan mudah membohongi Adelia.
Kakaknya itu suka menjaga tepi kain orang. Kalau diberikan jawapan A, dia akan
bertanya penjelasan sampai ke Z.
Kalau
Adelia dapat tahu tentang rancangan Hashir, sudah tentu ia akan sampai ke
telinga mama. Kemudian, mama akan berang. Sudah pasti dia akan memaksa Hashir
menikahi Natalia tanpa memberikan kata dua. Adelia mungkin seronok dengan
keputusan itu. Dia sudah banyak kali menyuarakan saranan yang mereka naik
pelamin serentak.
Entah apa yang
hendak diriuhkan sangat tentang dua beradik yang kahwin sekali. Bukankah sudah
banyak orang buat begitu untuk menjimatkan kos. Hashir merasakan ia idea yang
sudah lapuk.
“I
love you, Fi,” luah Hashir, meluahkan sebaris ayat yang tak pernah terpancul di
bibirnya sewaktu mereka berpacaran dulu.
Matanya
dan Sufi saling bertemu.
“Okay,”
jawab Sufi. Hashir sudah gila! Apa Hashir fikir dia akan mengeluarkan ayat
romantis untuk menyedapkan hati Adelia dengan sewenang-wenangnya. Lain kali,
kalau dia mahu Sufi mengeluarkan ayat balasan yang memualkan, dia perlu menulis
skripnya dulu.
“Okay?”
soal Hashir, pelik melihat reaksi Sufi. Bukankah Sufi sepatutnya meluahkan
sepotong ayat manis jua, menjadikan suasana itu semakin melodramatik
sehinggakan Adelia termuntah.
Tetapi, tidak!
Gadis itu hanya menyebut okay. Perkataan yang membunuh terus rasa romantik yang
cuba diperap Hashir.
Hashir
menjeling sambil menjuihkan bibir ke arah Adelia yang sedang duduk bersandar,
mengharapkan Sufi akan meluahkan sesuatu.
“I
love her too much to let her go,” luah Hashir, mengharapkan Adelia akan
mempercayai kata-katanya.
“Saya
sayangkan Hash juga,” balas Sufi tanpa perasaan. Dia bagaikan patung di
supermarket yang mempunyai punat di perut dengan arahan ‘press me’. Suara
rakaman kemudian akan diputarkan berulang-kali meskipun reaksi patung itu
statik.
“Obviously,
berlakon,” tuduh Adelia. Dia bangun dari kerusi, melangkah mendekati Sufi.
Wajah lembut Sufi ditatapnya, menuntut penjelasan. Apabila Sufi hanya berdiam
diri, dia mengambil keputusan untuk bersuara dulu.
“Berapa dia bayar
kau?” soal Adelia dalam nada selamba.
Sufi tersentak.
“Apa masalah kamu
semua dengan duit? Ingat aku kebulur dengan duit kau?” tempelak Sufi dalam nada
kasar.
Putus sudah rasa
sabarnya. Sejak dari dua hari lepas dia membengkung rasa sakit itu, sewaktu
teman Azhan yang mabuk menanyakan berapa nilai dirinya dari dalam kereta. Dia
merasakan dirinya hina, murah. Buat seketika, dia rasa geram dengan teman
Azhan, geram dengan Adelia. Geram dengan semua orang di sekelilingnya yang
membuatkan dia terasa murah, yang melabel dirinya dengan nilai ringgit.
Sufi mahu
melangkah jauh tapi Hashir cekap menangkap lengannya.
“Tunggu,” pinta
Hashir.
“Kak Lia ni dah
kenapa? Saya ada girlfriend salah. Tak ada girlfriend salah. Kak Lia nak apa
sebenarnya? Dulu, tuduh saya stalk Sufi. Dah terang-terang Sufi dan saya masih
bersama sekarang, apa lagi tak puas hati?” marah Hashir sambil menolak Sufi
agar duduk di kerusinya semula.
Hashir tidak
mengizinkan gadis itu meninggalkan kediamannya. Sekejap lagi mama dan papanya
akan pulang dari supermarket. Dia mahu mereka nampak Sufi di sana. Sama ada Adelia
suka atau tidak, tak penting. Yang penting sekarang, mama perlu percaya yang
dia dan Sufi saling menyintai.
“Okay... Akak
minta maaf, Sufi,” luah Adelia.
Sufi mengangguk
sekali, cuba mendinginkan semula hatinya yang hangat. Dia tahu yang dia tidak
sepatutnya berkasar dengan Adelia. Gadis itu kakak Hashir. Sudah tentu dia
dapat menghidu kalau adiknya berbohong. Dia membesar dengan Hashir dari kecil.
Sufi yakin yang Adelia lebih memahami Hashir dari dirinya.
“Kau
nak ke kat mamat gila ni, Sufi? Kau serius ke boleh terima dia? Sengsara hidup
kau dengan dia nanti,” ugut Adelia yang baru sekejap tadi memohon maaf.
Pandangan
Sufi jatuh pada Hashir. Kalau diikutkan rasa hati, memang dia tak mahu hidup
dengan Hashir. Lagipun, dia memang takkan berkahwin dengan Hashir, sebaliknya
Izam. Cuma, masalahnya sekarang, apa yang perlu disuarakan pada Adelia untuk
membuatkan wanita itu mempercayainya?
Ah, come on, Sufi!
You can do this! Cuba fikir apa kebaikan Hashir.
“Memang
dia gila, perengus dan degil...” luah Sufi, mengiyakan kata-kata Adelia. Tidak
dinafikan yang Hashir memang buruk sifatnya. Mampukah dia mencari sesuatu yang
putih di dalam segumpal hitam?
Mata
Hashir membulat, marah. Kurang ajar punya perempuan, ada hati kau kutuk aku
secara terang-terangan ya? Cetus hati Hashir.
“...tapi,
dia selalu ada apabila saya perlukan dia. Dia sanggup terima saya walau apa jua
keadaan saya. Apabila Hashir cakap dia sayang, dia betul-betul sayang. Dia akan
lindungi orang yang dia sayang dengan nyawa,” sambung Sufi, persis ayat dalam
drama televisyen yang pernah ditontonnya sebelum ini.
Meskipun, dia
masih belum layak menjadi pelakon berbayar, dia gembira dengan pencapaian
kecilnya menyuarakan dialog itu tanpa memegang skrip. Hebatnya! Barangkali
kalau dia tidak mempunyai darah gemuruh tiap kali berdepan dengan kamera, dia
akan mempertimbangkan profesyen impian Akma itu. Tetapi, Sufi masih sedar diri.
Sufi memaksa bibir
ketarnya menguntum senyuman buat Adelia. Kemudian, dia memandang pula Hashir
yang sedang tersengih bangga. Menyampah pula dia melihat muka Hashir.
Harap-harap Hashir tidak menganggap ayatnya tadi datang dari hati yang ikhlas. Ia
lakonan semata-mata.
Loya pula
memikirkan ayat tadi. Hashir betul-betul sayang? Hashir? Sayang? Oh, tidak!
Jangan tertipu.
Muka yang kacak
dan berlagak bagus itu hanya sayangkan dirinya sendiri. Dia tidak pernah peduli
kalau ada hati yang terluka kerananya. Mulutnya lancang menutur kata. Rasa sukanya
boleh terjun dari seorang selebriti ke selebriti cantik yang lain seperti
Neelofa dan Nera. Ah, mereka berdua calon kegilaannya! Sampaikan Sufi acapkali
merasakan dirinya diperlekehkan.
Tambah menipu
kalau ada yang menganggap Hashir boleh menerima diri Sufi seadanya. Sejak dulu,
Hashir suka mengejek, menyelar dirinya pendek. Tak cukup dengan itu, dia akan
memanggil Sufi dengan gelaran gila dan buruk sesuka hatinya di khalayak ramai.
Dia selalu mengingatkan Sufi tentang kekurangan dan kelemahannya, membuatkan
Sufi berasa segan untuk berdampingan dengannya. Tiap kali keluar dengannya,
Sufi akan merasakan dia adalah perempuan yang paling hodoh dalam dunia. Hashir
akan mengkritik tentang segala-galanya yang Sufi lakukan.
“Really?” soal
Adelia sambil menjongket sebelah kening, memandang tepat ke muka resah Sufi.
Sufi tersengih,
menampakkan sederet gigi putih yang tidak disentuh nicotine. Kepalanya
dianggukkan beberapa kali bagaikan anak kecil yang dipelawa makan aiskrim. Ah,
pelik! Tetapi, Alhamdulillah, cukup untuk membuatkan Adelia membisu dan kembali
ke kerusinya. Barangkali Adelia percaya. Barangkali tidak. Tetapi, sekurang-kurangnya
dia tak lagi menyoal.
“Kak Lia, nak
barbeque sauce dengan sos thousand island,” pinta Hashir sambil mengalihkan
kedudukan ayam atas grill.
“Iyalah,” balas
Adelia sambil melangkah masuk ke dalam rumah, menuju ke dapur untuk mendapatkan
sos barbeque untuk ayam dan thousand island untuk salad yang akan menjadi hidangan
makan tengah hari mereka.
“Uuu...” luah
Hashir dalam versi beberapa harkat. Dia sengaja memanjangkannya untuk memancing
perhatian Sufi.
“What?!” balas
Sufi, garang.
“Tu deskripsi Sufi
yang paling sweet pasal Hash.”
“So?” soal Sufi.
Hashir senyum
lebar. Dia bersandar dekat meja, memandang muka Sufi yang masih tampak resah.
“Do you love that
much, Fi?” soal Hashir.
Sufi tercengang.
“Kalau tak melalut,
boleh?” balasnya dalam nada kasar.
“Do you?” soal
Hashir, mengulang.
“Of course not!”
balas Sufi sambil membelakangi Hashir. Dia melangkah bangun, mengangkat jug air
dan menuangkan air limau ke dalam gelasnya yang masih kosong. Hashir
mengikutnya bagai bayang-bayang. Apabila dia melangkah ke swimming pool bersama
gelas air orennya, Hashir menapak sama. Apabila dia berundur, Hashir berundur
juga. Dia jadi bengang.
“Hash nak apa?!”
Hashir senyum.
“Nak Fi,”
jawabnya.
Sufi menggenggam
penumbuk.
“Nampak ni?”
“Tak takut! Tak
takut!” ejek Hashir sambil menunjukkan mimik muka yang lucu di hadapan Sufi.
“Mengada!” marah
Sufi.
“Fi ni kalau
marah, macam kartun tazmanian devil dalam televisyen tu. Buruk!” balas Hashir.
Sufi mencebik.
“Biarlah!
Tazmanian ke? Apa ke? Yang Hash nak sibuk kenapa?” marah Sufi dalam nada kasar.
Hashir ketawa.
Sliding door depan
terbuka semula. Adelia muncul kembali dengan botol-botol sos yang diambilnya
dari kabinet dapur. Matanya membulat apabila terpandang asap dari grill
barbeque mereka.
“Hey, hanguslah
ayam tu!” jeritnya.
Hashir terus
bergegas ke arah grill semula. Dia cuba mengangkat ayam yang sedang dibakar.
Secara tidak sengaja dia terpegang besi yang melapik di bawah grill. Hashir
terus terjerit.
“Aduh!”
Hashir berlari ke
swimming pool. Tangannya yang kemerahan direndam ke dalam air pool berklorin.
Sufi mengangkat
grill ayam, memindahkan ketulan-ketulan ayam yang sudah terlebih masak ke atas
pinggan correll yang sudah tersusun atas meja.
“Gila tau mamat
ni! Bercinta sampai tak ingat dunia! Padanlah dengan muka, tangan kena bakar!”
bebel Adelia yang kedengaran lebih kepada marah dari mengambil berat dan risau.
Tetapi, hanya
mulutnya yang menuturkan marah. Jauh di sudut hatinya, Hashir tahu kakaknya
risau. Adelia menarik pergelangan tangan Hashir, memeriksa keadaan tapak tangan
adiknya yang melecur. Kepalanya digelengkan, kecewa.
“Tunggu kejap,”
pinta Adelia.
Adelia menghilang
lagi. Tak sampai lima minit, dia muncul semula dengan segelas air suam dan
beberapa tea bag. Tea bag tadi dimasukkan ke dalam gelas air suam.
“Black tea ada
tannic acid, bagus untuk lecur,” luah Adelia.
Sufi memandang
Adelia dan Hashir dari jauh. Adelia menekan uncang teh yang sudah dibasahkan
tadi ke kawasan lecur Hashir. Tiba-tiba sahaja Sufi teringatkan abangnya.
Hatinya dicengkam rindu pada abangnya, Shauki.
Sihatkah Shauki?
Adakah Shauki juga merinduinya seperti dia merindui Shauki? Dia tidak mempunyai
adik-beradik lain selain Shauki. Tetapi, abangnya itu bukanlah jenis yang suka
menelefon bertanya khabar atau mengutus berita melalui email apatah lagi surat.
Apabila bersua muka sekalipun, Shauki tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya
pada Sufi secara terang-terangan.
Bunyi deruman
enjin kereta kedengaran di depan pagar utama. Auto gate terbuka dan sebuah kereta
volkswagen lama lolos ke dalam. Ia kereta tua yang sudah diubahsuai sehingga
tampak klasik. Pemandunya tak lain tak bukan adalah Datuk Hadzi yang terkenal
dengan sifat sederhana dan perwatakan yang mesra dan mudah didekati.
Di ruangan sebelah
pemandu adalah Datin Amira, wanita yang selalu diselar Hashir sebagai kepala
batu. Tetapi, dia selalu melayani orang-orang di sekitarnya selain anak-anaknya
sendiri dengan mesra. Di kalangan anak-anaknya, dia dilabel sebagai ibu yang
garang dan suka memerintah bagaikan raja.
“Mama dah balik,”
luah Hashir sambil melepaskan uncang teh yang ditekap Adelia ke tapak
tangannya.
Hashir bangun
berdiri dari mencangkung di sebelah swimming pool. Langkahnya disusun ke arah
meja barbeque semula.
“Eh, Sufi!” luah
Amira dalam nada gembira, pura-pura terkejut. Walhal dia yang beriya-iya
menyuruh Hashir menjemput Sufi semalam. Malahan dia sudah mengingatkan Hashir
lebih sepuluh kali pagi tadi.
Sufi tunduk,
menyalami tangannya dengan penuh hormat. Selesai saja Sufi menyalami tangannya,
Amira menghadiahkan satu pelukan kepadanya. Dia gembira sungguh dapat menemui
Sufi semula selepas kejadian malam itu. Sebenarnya, Amira takut Sufi akan jauh
hati dengan keluarga mereka. Almaklumlah, Sufi sudah tahu yang Hashir memulakan
persahabatan mereka dengan menggunakan tipu daya.
Sangka Amira, Sufi
itulah bakal menantunya, bakal isteri yang sudah dipilih Hashir. Itulah wajah
yang akan menemaninya keluar membeli-belah dan memasak di dapur kelak. Rumah
mereka akan bertambah meriah selepas Hashir dan Adelia bernikah dengan pasangan
masing-masing nanti. Sayang sekali, dia tertipu dengan sandiwara palsu mereka.
Yang dizahirkan itu bukanlah kenyataan sebenar.
“Kami dah bakar
ayam,” luah Hashir sambil menjuihkan bibir ke meja.
Hadzi tergelak.
“Ni bukan ayam
bakar. Ni ayam rentung,” sindirnya.
“Hah, jangan
pandang Lia! Ni semua salah si Hashir. Dia tu tadi patut jaga ayam. Tapi, dia
biar sampai hangus,” ngomel Adelia.
“Ah, bukan
sengaja!” marah Hashir sambil menyorokan tangannya ke belakang, tak mahu mama
menyedari kecuaiannya tadi.
“Hashir terbakar
tangan?” soal Amira sewaktu terlihat air teh pekat atas meja, tinggalan uncang
yang sudah dicampakkan Hashir.
Adelia menjongket
bahu.
“Hash?” panggil
Amira.
“Mana mama tau?”
soal Hashir.
Amira
menggelengkan kepala.
“Kau ni, Hash.
Kalau masak, tak lecur, tak terpotong jari atau lebam, memang tak sah. Kau ni
memang tak boleh masuk dapur langsung,” bebel Amira.
“Betul tu! Betul!”
sokong Adelia sambil memeluk pinggang ibunya dari belakang, manja.
“Diamlah, Kak Lia!”
jerit Hashir.
Mereka
mengetawakan Hashir beramai-ramai, membuatkan dia bertambah bengang. Sufi turut
ketawa sama.
Suasana meriah itu
membuatkan Sufi rasa tenang. Dia tidak berasa asing di rumah yang kaya dengan
gelak tawa itu. Seolah-olah dia sudah menjadi sebahagian dari keluarga Hashir.
Hashir menyusup di
belakang Adelia, berdiri tegak di sebelah Sufi yang seronok mengetawakan
dirinya.
“Gelak! Gelak!”
marah Hashir.
Sufi memekakkan
telinga.
“Suka sangat aku
kena kutuk kan?” soal Hashir dalam nada perlahan tetapi masih dapat ditangkap
telinga Sufi yang hampir dengannya.
“Memanglah,” balas
Sufi.
Mata Hashir
membulat.