Bab
12
Pandangan
Sufi jatuh ke bawah. Untuk beberapa saat, pandangannya hanya terpaku di situ,
di hujung sejadah. Alangkah indahnya rasa itu, diimamkan oleh seorang lelaki
yang disayanginya. Dia dapat melihat masa depannya bersama Izam. Lelaki itu
akan menjadi imamnya, pembimbingnya menuju impian ke Raudhah. Sufi merasakan
dia telah membuat keputusan yang cukup tepat.
“Sufi,”
panggil Rahmah.
Sufi
bersalaman dengan Rahmah yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya dan Rahmah
pula menghadiahkan dahinya dengan satu kucupan.
“Cantik
bakal menantu mama ni,” puji Rahmah. Tapak tangannya dilabuhkan di bucu dagu
Sufi. Manis sungguh gadis itu. Sederhana sifatnya.
Izam
yang sedang duduk di saf depan, mengimamkan solat mereka tadi, menoleh ke
belakang. Pandangan itu cukup indah, melihat dua wanita yang dikasihinya dalam
telekung yang putih bersih, bersalaman dan tersenyum mesra. Dia merasakan
seperti dia adalah orang yang paling bertuah di dalam dunia ini. Izam mahu Sufi
berada di situ untuk selama-lamanya, hidup bersama dia dan mamanya.
“Mama,
Izam nak minta izin mama,” luah Izam.
Rahmah
memandang Izam. Dari air muka anaknya, dia sudah dapat membaca. Ada cerita
gembira yang bakal terlucut dari bibir kering itu.
“Izinkan
Izam nikahi Sufi, ma,” pohon Izam.
Sufi
menguntum senyuman, malu yang teramat. Mengapa Izam perlu bertanya Rahmah
ketika dia masih berada di situ?
Rahmah
menggenggam tangan Sufi.
“Sufi
sudi, nak?” soal Rahmah.
Nada
dering handphone bersuara, memutus suasana meriah itu. Sufi mengengsot ke arah
beg tangannya yang sedang ternganga, tidak dizipkan. Nama yang tertera pada
skrin telefon membuatkan dia diserang rasa bersalah. Hatinya berdetik untuk
menjawab panggilan telefon itu.
“Assalammualaikum,”
ucap Sufi dalam nada lemah.
“Waalaikummussalam.
Fi, mama ni. Tolonglah Fi, datang kejap. Hash dah teruk dah ni, Fi. Dia tak nak
pergi hospital,” luah Amira, kedengaran terdesak.
Sufi
tersentak. Pantang benar dia mendengar wanita bergelar ibu menitiskan air mata
untuk anaknya. Sufi sendiri bertukar sebak meskipun dia masih marahkan Hashir. Dia
perlu ke sana.
“Sufi datang
sekarang,” luah Sufi sebelum menamatkan talian. Dia memandang Rahmah yang
nampak mengharap.
“Mak cik, saya...
saya kena pergi sekarang. Ada kecemasan,” luah Sufi.
“Tapi...”
“Fi minta maaf,”
ucap Sufi sambil menyalami tangan Rahmah. Dia hanya memandang Izam sekali
sebelum melangkah bangun dengan beg tangannya.
“Fi!” panggil Izam
sambil melarikan langkah, mengejar Sufi. “Fi nak ke mana? Fi belum jawab soalan
mama kan,” ungkitnya.
“Kawan Fi sakit,”
jelas Sufi.
“Habis, Zam tak
sakit?” duga Izam.
Sufi mengeluh.
Bukan niatnya untuk melebihkan Hashir. Kalau tidak, sejak awal lagi dia sudah
berada di rumah Hashir, bukan di sana. Dia sayangkan Izam. Dia melebihkan Izam
dan Rahmah dari Hashir dan Amira. Tetapi, dalam situasi itu, dia perlu
bertimbang-rasa. Ia lahir dari rasa kemanusiaan. Izam sudah semakin pulih,
demamnya sudah kebah. Hashir pula semakin teruk keadaannya.
“Kenapa Fi nak
lebihkan kawan Fi macam ni? Mama tanya Fi tau tak? Kurang ajar Fi tinggalkan
mama macam tu, tak jawab soalan mama. Perempuan macam ni ke mama nak jadikan
menantu?!” ungkit Izam yang marah secara tiba-tiba. Dia terkilan kerana Sufi
tidak menjawab soalan mamanya.
Bagi Izam, mama
adalah segala-galanya dalam hidupnya. Mama yang membesarkan dia seorang diri,
menatang dia bagaikan minyak yang penuh dari kecil sejak abahnya meninggalkan
mereka.
“Kenapa Zam buat
Fi macam ni? Zam cakap macam Fi dah bunuh orang,” luah Sufi, sebak.
“Keluarga Zam
nanti, keluarga Fi. Kalau Fi tak boleh tolak kawan-kawan Fi ke tepi, macam mana
Fi nak hidup dalam keluarga Zam. Keluarga lagi penting dari kawan-kawan, Fi,”
luah Izam.
Buat seketika,
Sufi merasakan Izam tidak mengerti perasaannya. Baru tadi, dia merasakan Izam
mampu membimbing dan menjaganya. Baru tadi dia merasakan yang dia telah membuat
keputusan yang tepat. Tetapi sekarang dia menjadi keliru. Adakah salah untuk
dia mengharapkan Izam untuk mengerti perasaannya, bertolak ansur seketika.
Mereka belum bergelar suami isteri. Izam tidak berhak membataskan
pergerakannya, keputusannya.
“Kalau Fi pergi,
Zam rasa kita tak payah kahwinlah,” luah Izam, merajuk.
Air mata Sufi
tertumpah. Benar, dia mengaku yang dia berdosa kerana menipu Amira. Tetapi, dia
terpaksa menipu kerana dia tahu Hashir sanggup melakukan apa saja untuk
memusnahkan hubungan dia dengan Izam kalau kehendaknya tidak dipenuhi.
Sekarang, dia pergi atas dasar kemanusiaan, bukan kerana sayangnya pada Hashir.
Sayangnya sudah tertumpah buat Izam. Mengapa Izam menyukarkan keadaan yang
sudah cukup sukar baginya? Mengapa dia perlu memilih dalam keadaan segenting
sekarang? Bagaikan ditelan mati bapak, diluah mati emak.
“Okay, kalau itu
keputusan Zam. Sufi terima,” jawab Sufi sambil menahan sebak. Dia melangkah
masuk ke dalam kereta lalu menekan lock kereta secara automatik apabila dia
menekan pedal brek. Izam tak lagi mampu menghalangnya.
Keretanya diundur
masuk ke jalan utama semula.
“Apa ni, Zam?”
soal Rahmah.
“Entah. Izam tak
sedap hati,” balas Izam.
“Zam, betul ke si
Sufi gadis yang baik-baik. Kalau dia tu memang gadis yang elok dari keturunan
yang elok, esok pun mama boleh nikahkan kau dengan dia. Kau pilih calon isteri
jangan setakat pilih macam pilih kasut, Zam. Yang malu nanti keluarga kita.
Mana mama nak letak muka nanti,” ungkit Rahmah.
“Dia baik, ma.
Cuma kekadang Zam rasa dia tak sure apa dia nak,” luah Izam setelah beberapa
saat menyepi.
“Kamu tu? Sure ke
tidak?” soal Rahmah.
Izam diam membisu.