Bab
6
“Mama
kan dah cakap balik cepat. Kita ada tamu. Datin Maznah, Datuk Hazim dan Natalia.
Kamu ni kalau mama pesan mesti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” marah
Amira dalam nada suara yang terkawal, takut kalau-kalau didengari tetamu mereka
yang sedang duduk di meja makan.
“Hash
bukan sengaja lambat. Sufi ni, bersiap pun berjam-jam, takut nak jumpa mama,”
luah Hashir sambil menolak daun pintu depan yang dikuak hanya sedikit tadi,
menunjukkan yang dia tidak berseorangan.
“Siapa
ni, Hash?” soal Amira.
“Mama,
kenalkan... ni girlfriend Hash, Sufi. Sufi, yang vogue ala diva ni, mama Hash,
Datin Amira,” luah Hashir.
Jelas
dari riak yang terlukis di wajahnya, Sufi terkejut. Dia tak pernah tahu ibu
Hashir berstatus datin. Sewaktu mereka berpacaran dulu, Hashir selalu merungut
yang poketnya kering. Katanya, kereta mewah yang selalu dipandu ke sana sini
adalah kereta kawan serumahnya yang selalu outstation.
“Salamlah,” suruh
Hashir sambil pura-pura berdehem apabila Sufi hanya berdiri tegak bagaikan baru
disampuk momok.
Sufi menghulurkan
tangan, bersalaman dengan Datin Amira. Jantungnya terasa bagaikan hendak
melompat keluar dari juntaian urat-urat darah. Wanita dalam usia 50-an itu
memasamkan muka.
“Apa
khabar, mak cik?” sapa Sufi.
Amira
hanya mengangguk kepala sekali sebagai jawapan bisu. Dia menghampiri anaknya.
“Hash,
kenapa buat macam ni kat mama?” soal Amira.
“Buat
apa, mama?” soal Hashir, pura-pura tidak mengerti apa yang diperkatakan Datin
Amira.
Bagi Hashir, dia
tidak berdosa. Mama yang mahukan menantu. Dia sudah membawa bakal menantu mama
ke rumah. Bukankah itu yang mama mahukan selama ini? Mengapa sekarang mama
kelihatan marah? Kalau benar mama hanya mahu dia berkahwin, mama sepatutnya
memberi kebebasan kepada dia untuk memilih calonnya. Yang akan berkahwin nanti
dia, bukannya mama.
“Masuk
bilik bacaan papa,” suruh Amira.
“But,
ma... Hash laparlah. Jomlah, kita makan dulu!” luah Hashir dalam nada mengada.
Dia sengaja mahu Natalia bertembung dengan Sufi. Untung-untung Natalia sendiri
yang akan tarik diri.
“Now,
Hash!” gesa mamanya.
Hashir
dan Sufi melangkah naik ke tingkat atas rumah, mengikut jejak Amira sampai ke
sebuah bilik yang dipenuhi dengan rak buku. Pelbagai jenis buku motivasi,
programming, keagamaan, travelog dan ensiklopedia tersusun kemas di atas
rak-rak di sekitar bilik. Ada seorang lelaki bercermin mata yang sedang duduk
selesa di dalam, menghadap komputer ribanya berjenama Lenovo.
“Kenapa
ni?” soal Hadzi.
“Anak
awak bawa balik girlfriend,” jelas Amira.
Hadzi
memandang Sufi dari atas ke bawah. Gadis itu tampak takut-takut, bagaikan si
kancil yang sedang dijeling Pak Belang.
“Apa
masalahnya?” soal Hashir.
Hadzi
memandang Amira semula.
“Iyalah, Amira...
Apa masalahnya kalau Hash bawa balik girlfriend nak kenalkan pada kita?” soal
Hadzi, mengulangi soalan anak lelakinya.
“Isy, awak ni!”
keluh Amira.
Amira menjeling ke
arah suaminya, geram. Bapak borek, anak rintik. Dia pening kepala untuk
memahami perangai lelaki-lelaki dalam rumahnya. Mereka selalu ambil mudah semua
perkara.
“Masalahnya,
kalau dia dah ada girlfriend, kenapa tak beritahu saya awal-awal? Kenapa bawa
balik semasa kita dah jemput keluarga Natalia. Malulah Natalia kalau macam ni,”
keluh Amira.
Hashir
melangkah ke belakang ayahnya. Bahu ayahnya diurut-urut, mengharapkan ayahnya
menyuarakan sokongan. Mungkin Hadzi tidak memegang veto dalam rumah itu. Namun,
setidak-tidaknya dia boleh menyuarakan pendapat. Almaklumlah, ayahnya memiliki
IQ yang tinggi. Pasti dia mampu melontarkan butir bicara bernas untuk menangkis
kemarahan Amira. Kalau mama membantah juga, barulah Hashir pula yang akan
tunjukkan keras kepalanya.
“Come
on, pa,” luah Hashir dalam nada perlahan.
Hadzi
tersenyum.
“Ada
kita janji nak kahwinkan Hash dengan Natalia? Tak ada, kan? Sebelum ni kita
hanya cakap pada Hash, kalau dia tak ada pilihan, kita sarankan supaya dia
terima Natalia sebagai calon isteri. Apa yang nak dimalukan? Bukannya kita dah
pergi rumah mereka meminang Natalia,” ujar Hadzi.
“Takkanlah
mereka tak salah faham kalau kita asyik tanyakan Natalia. Awak ni pun satu, tak
fikir tau malu yang kita dapat nanti. Tak baik buat kawan kita terasa hati,
bang,” keluh Amira.
“Tak ada apa yang
nak dimalukan, Amira. Kita hanya tanya-tanya. Bukannya dah confirm,” balas
Hadzi.
Hashir tersengih.
“Betul tu,” sokong
Hashir.
“Kau diam, Hash!”
tengking Amira sehingga menyebabkan air muka Hashir berubah.
Hadzi tertawa.
“Manjakanlah anak
awak tu! Manjakan!” marah Amira.
Hadzi pula yang
terdiam kali ini.
“Pening kepala
saya dengan orang lelaki rumah ni!” rungut Amira sambil mengusap dada. Mujurlah
dia tak ada penyakit lemah jantung.
“Eh,
awak yang berkehendakkan menantu! Nak salahkan orang lain pulak,” balas Hadzi.
Amira
melepaskan nafas keras, marah.
“Natalia
tu dah mengharap. Kalau Hashir ada pilihan, kenapa tak beritahu saya awal-awal?
Tak payah kita bersusah payah sebelum ni!”
Daun
pintu bilik bacaan dikuak.
“Mama,
Datin Maznah cari,” luah Adelia. Dia tercengang sekejap, melihat gadis yang
berskirt labuh yang sedang berdiri di sebelah Hashir.
“Siapa
ni?” soal Adelia.
“Girlfriend
Hash,” jawab Hadzi.
Adelia
melopong. Dia cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan. Fikirannya tajam. Dia
masih ingat wajah yang dilihatnya di paga facebook tempoh hari. Gadis itu Sufi,
bekas teman wanita Hashir.
Mengapa Hashir
membawa bekas teman wanitanya ke rumah mereka? Bukankah dia yang meninggalkan
Hashir sampaikan adiknya itu mengamuk, marahkan semua perempuan sehingga berbulan-bulan
lamanya? Sejak bila mereka menyambung semula perhubungan mereka?
“Dia
ni..?”
“Shut
up, Kak Lia. Jangan masuk campur urusan Hash!” luah Hashir dalam nada garang,
melarang dari kakaknya bersuara.
Ayat Adelia
dibiarkan tergantung, tidak dihabiskan kerana amaran Hashir. Diamnya bukan
kerana takut tetapi malas untuk berdebat panjang. Nanti tak fasal-fasal tetamu
mereka terdengar.
“Okay,”
balas Adelia.
“Both
of you wait here. Papa, jom turun bawah, minum kopi dengan keluarga Natalia,”
luah Amira.
Dia
menarik suaminya keluar dari bilik bacaan. Daun pintu tidak ditarik, membiarkan
ia ternganga.
“Semuanya
okay. Mama Hash suka Fi,” luah Hashir.
“Okay?
Suka Fi?” luah Sufi, terkejut dengan kenyataan selamba yang dibuat Hashir tanpa
berfikir panjang.
Bukankah Amira
marah dengan kehadirannya tadi. Adakah Hashir merasakan dia buta, tak dapat
melihat kenyataan yang sudah ada depan matanya? Atau mungkin Hashir yang rabun.
Hashir hanya mahu mempercayai apa yang
diingininya meskipun ia sekadar harapan palsu semata-mata.
Sufi
sedar siapa dirinya kalau nak dibandingkan dengan Hashir. Lelaki itu miliki
segala yang diidam-idamkan seorang wanita kalau ditolak dengan sifat buruknya.
Apalah yang dikejarkan dengan Sufi? Sufi hanya gadis biasa, plain jane yang tak
punya kelebihan apa-apa untuk dibanggakan.
“Trust
me, Fi... Kalau mama tak suka Fi, dia dah halau kita keluar tadi. Dia suruh
kita tunggu, maknanya dia suka Fi.”
“Hash
dah gila!” tuduh Sufi.
“Boleh
tak berhenti cakap Hash dah gila,” marah Hashir.
“Oh,
dulu... hari-hari Hash cakap Sufi gila tak apa pula. Kalau orang kata Hash,
marah,” tempelak Sufi kembali.
“Hah,
berdendam!” sindir Hashir.
Sufi
menarik muka masam.
“Buatlah
muka masam tu. Buat! Macam asid,” ejek Hashir.
“Kalau
tak cakap, tak boleh? Menyakitkan hati aje! Lagi senang kalau Hash tutup aje
mulut,” marah Sufi.
Tangan
Sufi meraba ke sebelahnya, mencari handbagnya. Oh, tidak! Dia tertinggal
handbagnya di rumah. Dia berlenggang kosong ke sana. Handphone dan pursenya
tertinggal di atas katil. Dia menampar dahi sendiri.
Bodohnya kau,
Sufi! Cetus hatinya. Barangkali Izam sedang cuba menghubunginya sekarang. Dia
tidak sempat memberitahu lelaki itu yang dia tidak dapat untuk pergi menonton dengan dia dan ibunya. Ia pasti meninggalkan
impresi buruk di mata ibu Izam. Sufi sudah berjanji tetapi tidak pula
menepatinya.
“Kau kenapa macam
cacing kena bakar ni?” soal Hashir.
“Lupa
handphone,” keluh Sufi.
“Nak
pinjam handphone?” soal Hashir.
Sufi
memuncungkan bibir, mengalihkan pandangan ke arah yang lain. Dia tak mahu
memandang Hashir.
“Tak
payah!”
“Takut
Hash dapat nombor telefon ex-boyfriend Fi?” soal Hashir.
Mata
Sufi membulat, terkejut dengan soalan Hashir. Dasar muka tak malu! Berani benar
dia memanggil Izam ex-boyfriend Sufi. Mereka belum sampai ke status kekasih,
sudah digelar bekas kekasih. Sedarkah Hashir yang dia yang sebenarnya bekas
kekasih Sufi, bukan Izam. Izam masa depan Sufi sedangkan Hashir hanyalah
sejarah.
“Boyfriend!
Bukan ex!” marah Sufi.
“Tak
lama lagi, exlah,” sindir Hashir.
Sufi
menjeling.
“Jangan
mengarut, boleh?” balas Sufi.
“Bukan
kau perempuan yang macam tu? Perempuan murahan. Sekejap nak, sekejap tak nak.
Semua orang kau main-mainkan. Masa dengan aku pun, lima kali kau mintak putus
kan? Sebab tu kau ada banyak ex. Sebab cinta kau tu murah sangat. Dasar
perempuan gila. Perangai macam hampeh,” tuduh Hashir.
“Kalau
aku hampeh, yang kau cintakan aku dulu kenapa? Yang kau kejar aku kenapa?” soal
Sufi kembali, bengang.
Hashir
membalas jelingan Sufi.
“Sebab
aku bodoh!” luahnya dalam nada marah. Hanya orang bodoh yang akan menyukai
Sufi.
“Hah,
sedar pun!” tempelak Sufi.
Hashir
terdiam.
Mereka
duduk bertentang, membelakangi antara satu sama lain. Di hati mereka disumbat
benci. Hashir melangut ke siling. Sufi menundukkan muka ke lantai.
Masing-masing mati bicara. Mereka tertanya sendiri, mengapa mereka masih
berpijak di lantai yang sama, berteduh di bawah siling yang sama?
Adakah arahan
Amira yang menyekat mereka ataupun sebenarnya mereka sendiri masih keliru untuk
mencerna situasi yang pelik itu? Mereka tak tahu apa reaksi Amira selepas dia
kembali ke sana nanti.
“Fi
nak kena balik sekarang juga,” luah Sufi, bagaikan baru tersedar dari mimpi
panjang.
Sufi tak mahu
berada di sana. Dia tak boleh berada di sana. Hatinya sudah disauhkan pada
Izam. Dia mengharapkan hubungan mereka kekal sehingga ke jinjang pelaminan yang
indah. Sufi tak mahu kecundang lagi. Dia takkan membiarkan Hashir melunyaikan
mimpi-mimpi indah yang baru hendak dibinanya.
“Tunggu!”
tegah Hashir.
“Apa
lagi?”
“Kau
kena tolong aku. Kau kena tunggu sampai kita boleh yakinkan mama yang kau teman
wanita aku. Aku tak mahu kahwin dengan Natalia. Dia sama spesies dengan kau.
Mati aku nanti,” cetus Hashir.
Sufi
menahan geram.
“Kalau
dia sama spesies dengan aku, kau nak risau apa? Nanti dia tinggallah kau. Kau
benci sangat kat aku kan, bagilah aku balik,” balas Sufi.
“Memang
aku benci. Tapi, tak boleh! Kau tak boleh balik sekarang! Kau kena tolong aku
sampai semua ni selesai.”
Sufi
duduk semula. Dia mengengsot ke sebelah meja, bersandar pada kaki meja kayu
jati Hadzi. Ada air jernih yang merembes keluar dari kolam matanya. Dia sebak
menahan tuduhan Hashir.
Adakah hanya dia
yang bersalah? Kalau benar Hashir tidak sanggup melepaskannya dulu, mengapa
Hashir tak pernah cuba meyakinkan dia? Mengapa Hashir membiarkan dia berlalu
pergi?
Suara
tersedu-sedan Sufi membuatkan Hashir tak senang duduk. Dia mencapai kotak tisu
dari atas meja. Dia mengambil sehelai darinya dan mengengsot, menghadap Sufi
yang sedang mencebik sedih. Tisu tadi mahu digunakan untuk mengesat air mata
Sufi yang sudah mahu luruh bersama eye-liner coklatnya.
“Jangan
sentuh Fi!” marah Sufi.
Hashir
menarik balik tangannya. Matanya membulat, terkejut melihat rupa marah Sufi.
Gadis itu kelihatan bengang.
“Janganlah!”
marah Sufi sewaktu Hashir menempekkan jua tisu tadi ke pipinya. Air mata Sufi
dikesat sampai habis sambil Sufi mengelak-ngelak.
Kasihan
pula rasanya apabila melihat Sufi menangis. Macam manalah dia hendak membalas
dendam kalau melihat Sufi menangis sedikit sudah melumpuhkan semangatnya.
Dendam ke mana. Benci ke mana. Walhal dia juga yang beriya-iya mengakui yang
sudah tidak cintakan gadis itu lagi.
Ah, ini kerja gila! Dia tidak boleh tunduk
pada Sufi! Dia tidak boleh mengalah. Sufi berdosa kerana mencalarkan
perasaannya, memusnahkan cinta mereka. Perbuatan jahat Sufi perlu dibalas
dengan jahat juga. Biar Sufi tahu langit itu tinggi ataupun rendah. Kalaupun
rendah, pasti tidak serendah Sufi, cetus hati hangat Hashir.
“Fi,
tak payah nangis, boleh? Nampak macam katak kembung muka tu. Menyampah aku,”
ejek Hashir.
Makin
galak Sufi menangis sewaktu mendengar ejekan Hashir. Dia menangis
semahu-mahunya bagaikan anak kecil. Hashir mulai menggelabah. Dia memandang ke
pintu, takut kalau mama dan papanya muncul dan menuduh dia cuba mengapa-apakan
Sufi. Kalau Adelia nampak, buruk juga natijahnya. Pasti kakaknya yang bermulut
laser itu akan mencanang satu dunia kisah peribadinya dan Sufi.
“Syyhh...”
“Jangan
sentuh aku!” marah Sufi sewaktu Hashir cuba menyentuh tangannya, mahu memujuk
dia berhenti menangis.
Secara
drastik, Hashir memasukkan tisu yang dipegangnya ke dalam mulut Sufi. Cari
pasal, salah. Pujuk pun salah. Apa sajalah yang Sufi mahukan? Nak kata tolol,
berpelajaran tinggi. Tetapi, apabila menangis, tak ubah seperti budak hingusan
yang belum layak masuk ke sekolah tadika. Apalah yang digilai sangat pada gadis
itu?
Sufi
meluahkan tisu itu kembali sambil terbatuk-batuk. Hashir memang kejam, tuduh
Sufi di dalam hati. Sudahlah lelaki itu menyakitkan hatinya, sekarang cuba
menyumbat tisu ke anak tekaknya pula.
“Kau
nak bunuh aku ke?” soal Sufi.
“Tak
ada orang mati sebab tercekik tisu,” balas Hashir, yakin sungguhpun dia sendiri
tidak pasti dengan fakta itu. Banyak kejadian pelik di dalam dunia yang
kekadang susah untuk dicerna fikiran waras.
Sufi
menjeling.
“Kenapa
kau minta break-up dengan aku sampai lima kali? Teruk sangatkah aku ni?” soal
Hashir, ingin tahu.
Soalan itu tak
pernah diajukan kepada Sufi sebelum ini. Dia ego untuk mencari jawapannya.
Kerna itu, dia tidak pernah bertanya. Tetapi, entah mengapa hari ini, dia rela
menundukkan egonya sedikit. Semangat ingin tahunya mengatasi egonya yang
berlapis-lapis. Hashir memilih untuk bertanya.
Sufi
berhenti menangis sekejap. Nafasnya rasa tersekat-sekat dek kerana hidung yang
sudah bersumbat hingus.
“Memanglah
Hash teruk. Kalau Hash tak teruk, takkanlah Fi nak mintak break-up... Fi benci
Hash! Benci sangat-sangat!” cetus Sufi sambil menahan sebak. Dia kecewa kerana
ditemukan dengan lelaki bernama Hashir itu. Kerana enam puluh dua hari itu, dia
hidup tertekan sehingga sekarang.
“Hash?
Sufi?” panggil Adelia, terkejut melihat gelagat mereka berdua.
Amira
dan Hadzi menyusul di belakang. Barangkali tetamu mereka sudahpun pulang ke
rumah.
“Kenapa
nangis?” soal Amira.
Hashir
menelan air liur. Kalau tersilap langkah, pecah tembelangnya. Si Adelia bukannya
boleh diharap. Nanti tak pasal-pasal dia terlepas cakap kalau Hashir mengajak
dia berkomplot sama. Hashir perlu melakonkan drama itu sendiri, tanpa bantuan
Adelia mahupun kawan baiknya, Azhan. Dia perlu memastikan rancangan yang
direncanakan dalam otak dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Lebih sedikit
jumlah orang yang tahu, lebih rendah risiko perkara sebenar sampai ke
pengetahuan mamanya. Amira seorang yang teliti dalam serba-serbi. Kalau dia
dapat menghidu idea jahat Hashir, entah-entah disuruhnya Hashir kahwin dengan
Natalia esok. Tidak! Hashir tak mahu!
“Sebab
mama tak restu hubungan kami. Sebab itulah Sufi nangis. Hashir penat-penat
pujuk dia datang sini, mama kurung dia dalam bilik, tak bagi dia keluar. Mama
kejam,” rungut Hashir.
Sufi
terkedu. Sungguh dramatis ayat Hashir. Sufi tidak sangka dia mempunyai bakat
hebat dalam bidang lakonan. Barangkali dia boleh terjun ke bidang lakonan kalau
dia malas untuk bekerja di pejabat. Kalau? Bukan kalau. Hashir sememangnya
pemalas. Tetapi, sebenarnya berlakon sendiri memerlukan kerja keras.
“Ala,
kesiannya,” luah Amira sambil melangkah ke arah Sufi. Dia menghulurkan tangan,
membantu Sufi bangun dari bersimpuh atas lantai.
“Sufi,
mama ni bukan marahkan Sufi. Cuma mama tadi terkilan sebab Hash tak beritahu
mama dulu. Hash malukan mama sebab mama dah jemput Natalia ke sini sebab nak
rapat dengan keluarga dia. Kalau Hash berterus-terang dari awal yang dia dah
ada girlfriend, tak adalah timbul masalah ni,” jelas Amira.
“Mama
ni macam-macamlah,” keluh Hashir.
Amira
menarik anak rambut Sufi yang jatuh ke depan muka. Manis wajah itu. Wajah yang
melembutkan pandangan mata. Mungkin kerna itu anaknya terjerat hati menyintai
gadis bernama Sufi itu.
“Dah
berapa lama kenal Hash?” soal Amira dalam nada lembut.
“Tiga...
tiga tahun,” jawab Sufi dalam suara yang terketar. Dia takut untuk memandang
tepat ke mata Amira. Takut dia tidak sampai hati untuk berbohong. Mamanya
mengajar dia selalu bercakap benar sejak kecil. Walaupun kebenaran kekadang
tidak sedap untuk didengar, ia lebih baik dari menipu. Kata orang, honesty is
the best policy biarpun sepahit mana terpaksa menelan sakit.
“Uish...
dah lama tu. Pandai Hash sorokkan dari mama ya,” luah Amira sambil mengerling
ke arah Hashir.
“Bukan
dia ni...” luah Adelia tetapi dihentikan jelingan geram Hashir. Ayatnya
tergantung lagi.
Adelia memandang
Hadzi dengan seribu satu soalan yang bersarang dalam fikiran. Mungkinkah
papanya tahu yang Hashir sedang berdusta? Adiknya memang banyak ragam dari
kecil, suka menyusahkan semua orang. Tetapi mereka sekeluarga tetap menyandarkan
harapan tinggi terhadapnya.
Hadzi hanya
membalas dengan menjongket bahu. Dia tidak tahu apa-apa tentang hubungan Hashir
dan Sufi. Hashir seorang perahsia. Takkanlah dia hendak menceritakan soal
cintan-cintun dengan orang tuanya.
“Sufi sayangkan
Hash?” soal Amira meskipun dia tahu ia soalan bodoh apabila ditanyakan kepada
dua anak muda yang sedang dibuai asmara. Dia sendiri pernah berapa berada dalam
posisi itu suatu ketika dulu.
Sufi memandang
Hashir yang sedang memberikan isyarat mata agar dia menjawab. Dalam keadaan
serba salah, dia menganggukkan kepala.
“Macam mana kenal
Hash?” soal Amira.
“Tiga tahun lepas,
Sufi makan kat satu kedai makan ni. Masa tu, Hash datang tegur Sufi. Sufi
takut. Sufi tak cakap dengan dia dan lepas makan terus lari pergi kat kereta.
Tapi, Hash tunggu depan kereta, dia cakap dia nak berkenalan...” jelas Sufi.
“Lepas tu kamu
berdua berkenalan?” soal Hadzi.
Sufi menggelengkan
kepala.
“Lepas tu saya report
polis,” jawab Sufi dengan jujur.
Adelia ketawa
besar tetapi cepat-cepat menahan tawa apabila menyedari Hashir sedang
menjeling. Oh, dia tidak menyangka yang Hashir segila itu. Cerita Sufi lebih
realistik dari cerita Azhan. Almaklumlah, Sufi saksi utama.
“Lepas tu?” soal
Amira, terkejut.
“Lepas tu, Hash
kena tahan dengan polis sekejap. Azhan jamin Hash dari lokap. Kemudian, dia
datang cari saya, pujuk saya gugurkan tuduhan pada Hash,” cerita Sufi dengan
panjang lebar.
“Lepas tu, kamu
berdua berkenalan?” soal Hadzi lagi.
“Tak, lepas tu... Hash
tunggu depan pejabat saya. Sampai saya takut nak balik rumah. Mula-mula tu saya
ingat dia serial killer. Tapi, dia tak ada buat apa pun pada saya. Dia cuma,
selalu ajak saya berbual, teman saya jalan ke kereta.”
Amira menelan air
liur.
“Lepas tu, kamu
berdua mula berkawan?” soal Amira.
Sufi menggelengkan
kepala.
“Lepas tu, saya
marah dia. Saya suruh dia jangan tunggu saya depan office lagi,” jawab Sufi.
“Habis, bilanya
kamu berdua mula berkawan?” soal Hadzi.
“Dua tiga hari
lepas tu, kereta saya rosak. Lepas tu Hash tolong. Lepas tu baru kami berkawan,”
tambah Sufi.
“Betul tu, mama. Sayalah
yang rosakkan kereta si Sufi sebenarnya,” umum Hashir tanpa berselindung.
Hashir tersengih,
bangga mengumumkan kenyataan itu. Ya, dia telah berjaya memperdayakan Sufi
dengan mudah. Sufi menyangkakan yang bateri keretanya sudah lumpuh padahal
Hashir yang menanggalkan wayar yang menghubung bateri keretanya. Hashirlah
dalang segala-galanya.
“What?!” luah
Sufi. Membulat mata sepetnya.
Hashir memandang
dengan wajah selamba. Baginya, tak ada sebab untuk Sufi berang. Perkara itu
sudah lama berlalu. Lagipun, Sufi yang salah kerana mempercayainya bulat-bulat.
Sufi sepatutnya mendapatkan penjelasan dari seorang mekanik bertauliah, bukan
seorang kaki lumba yang sanggup berbuat apa saja untuk mencapai matlamatnya.
Dia sendiri tahu Hashir sedang berusaha keras untuk memikatnya.
“You did what..? Hash
yang rosakkan?!” tengking Sufi.
Hadzi dan Amira
sama-sama melopong dan berpandangan antara satu sama lain. Adelia pula
menyambung tawa, terasa kelakar mendengar insiden itu. Ia bukan sesuatu yang
mustahil. Adelia sudah lama tahu yang adiknya hanya separa waras. Dia sanggup
melakukan apa saja asalkan berjaya memenuhi hajatnya.
Pang! Satu
tamparan hinggap ke pipi Hashir. Merah pipinya dengan kesan cap tangan yang
tidak dapat ditempah khas di mana-mana kedai cop. Ia cop mohor besar Sufi. Cop
mohor yang tak pernah dihadiahkan kepada mana-mana lelaki sebelum ini. Hashir
adalah lelaki yang pertama.
“What is that?!”
jerit Hashir sambil mengusap pipi.
“Idiot!” tengking
Sufi.
Tanpa
menanti bicara Hashir, Sufi terus bersalaman dengan Amira dan Adelia. Hashir
seolah-olah tidak ada di sana. Wajah yang tadi berang dimaniskan sekejap ketika
sedang bersalam dengan keluarga Hashir.
“Saya
minta diri dulu, uncle, aunty, kak,” luah Sufi, kontra dengan gadis yang baru
menengking Hashir sebentar tadi. Dia terus berlari keluar.
Amira
dan Adelia sama-sama tergamam. Bagaimana gadis yang menjerit, menengking Hashir
bagaikan orang terkena histeria boleh berbicara dalam nada sopan secara
tiba-tiba? Sufi berubah wajah dalam sekelip mata. Dia bagaikan seorang pesakit
psikologi yang mempunyai masalah dua
perwatakan.
“Mama,
dia calon yang paling sesuai untuk Hash. No wonder Hash sayang sangat dengan
dia. Adik aku gila, bakal adik ipar pun gila jugak,”cetus Adelia sambil
menepuk-nepuk bahu Hashir.
“Shut
up, Kak Lia!” tengking Hashir yang masih mengusap-usap pipinya yang berdenyut
sakit.
“Dah
malam ni. Hash tak nak hantar dia balik?” soal Hadzi sambil menjuihkan bibir ke
pintu.
Sebetulnya, Hadzi
masih celaru dengan insiden tadi. Masih belum mampu mencerna kisah melodramatis
yang dipertontonkan di depannya.
Sekejap menangis.
Sekejap menengking. Sekejap sopan. Apa nak jadi anak muda zaman sekarang?
Banyak sangat ragamnya. Agaknya sudah terlebih makan ajinamoto sampaikan
mengganggu sel-sel otak. Kasihan.
Zamannya dulu
senang. Kalau sudah suka, berkawan sekejap dan kemudian hantar rombongan
meminang. Tak payah tunggu sehingga tiga tahun. Kahwin bukan saja menyatukan
dua insan dan dua keluarga tetapi jua menjauhkan mereka dari menjadi fitnah
mulut-mulut celopar.
“Tak nak,” jawab
Hashir ringkas.
“Hash, dia kan
girlfriend kau. Kau tak risaukah dia balik seorang malam-malam buta ni?” soal
Amira pula.
“Pandai-pandailah
dia cari jalan balik sendiri. Sesuka hati aje nak tampar-tampar orang. Ingat
anak patung ke apa? Sakit pulak tu. Tangan kecik, tapi berbisa,” luah Hashir
yang masih bengang.
“Eh, dia marah
sebab kau yang cari pasal dulu! Yang kau rosakkan kereta dia kenapa?” soal
Amira.
“Kalau saya tak
rosakkan kereta dia, ingat dia nak ke berkenalan dengan saya?” soal Hashir.
Amira
menggelengkan lemah. Dia tak dapat menerima kelakuan anak lelaki tunggalnya
itu.
“Sufi tu lain
macam sikit. Dia tak pandang pun kad kredit saya, kereta Merz yang mama dan
abah belikan. Kalau saya tak buat macam yang saya buat, sampai bila pun saya
tak dapat kawan dengan dia,” tambah Hashir.
“Pergilah pujuk
dia, Hash,” suruh Amira.
Hash menarik muka
masam.
“Tak naklah! Tak
kuasa saya nak layan perempuan meroyan. Biarlah dia sejuk sikit. Esok-esok baru
saya pergi. Saya nak masuk tidur,” cetus Hashir sambil melangkah ke biliknya.
Daun pintu dihempasnya kuat.
“Hash!” panggil
Amira keras.
“Tak payahlah pedulikan
si Hash tu, ma. Bukannya dia nak dengar pun nasihat orang,” celah Adelia.
“Tengoklah anak
awak tu, bang!” rungut Amira.
Hadzi tersengih.
“Iyalah, kalau dia
buat baik, anak awak. Time dia buat perangai, anak saya,” balas Hadzi acuh tak
acuh.
Amira memuncungkan
bibir.
“Ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi,” luah Hadzi sambil memikirkan sikap keras kepala
isterinya sejak muda.
“Apa awak cakap?”
soal Amira sambil memulas daging pejal di lengan suaminya.
Hadzi tersengih.