Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
91,127
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

Bab 7

Hujan turun renyai, membasahi bumi Ampang. Jalan MRR2 sudah tidak hingar dengan bunyi enjin kenderaan. Malam kian sunyi. Dia mencangkung tepi jalan sekejap, memikirkan nasib dirinya. Marah dan angkuh memakan diri. Dia terlupa yang dia tidak mempunyai ongkos untuk pulang. Sewaktu dia meninggalkan rumah, dia tidak membawa bersama pursenya.

Dungukah dia? Memang. Kerana dungu, dia mengikutkan kemahuan Hashir. Walhal si gila itu yang menyuarakan benci padanya dulu. Si gila itu yang menyumpah seranah dirinya, mengatakan dia takkan berjaya berjumpa bahagianya. Dia yang bodoh kerana masih mahu mempercayai Hashir.

Hashir takkan duduk senyap selagi dirinya tidak diseksa. Selagi dendam lamanya tidak berbalas. Dia sebulat-bulatnya menyalahkan Sufi atas keretakan hubungan mereka. Hashir tak pernah menilai kekurangan dirinya. Hanya dia yang betul. Semua tindak-tanduk Sufi salah di matanya.

“Penatnya,” keluh Sufi setelah lebih tiga kilometer melangkah dengan heels dua inchinya.

Sufi menoleh, memandang kereta yang bergerak kurang dari lima kilometer sejam di belakangnya. Dia tidak sedar kehadiran kereta itu tadi. Cermin tingkap kereta di sebelah penumpang diturunkan. Seorang penumpang mabuk menjenguk keluar, tergelak memandang Sufi yang sedang berjalan sendirian.

“Hai!” sapanya.

Sufi menjeling marah.

“Berapa sejam?” soalnya lagi.

Air mata Sufi luruh. Benar, kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang, menghiris dan menyakiti seketul daging pejal bernama hati. Sufi menoleh, memandang wajah yang sedang memerhatikannya di bawah samar lampu jalan. Adakah dia kelihatan seperti gadis liar? Murah sungguhkah harganya di mata seorang anak adam?

Kereta tadi dibrekkan secara mengejut apabila penumpang di ruangan belakang menjerit berhenti.

“Sufi!” jerit Azhan.

Sufi memandang ke wajah yang pernah ditemuinya dulu itu. Wajah yang muncul beberapa kali di depannya. Wajah yang merayu agar dia menggugurkan tuduhannya terhadap Hashir dulu. Bibir itu yang menuturkan kata, menuntut rasa percaya Sufi yang dirinya akan dilindungi dari Hashir.

Kalaulah dia tidak percaya pada kata-kata Azhan yang Hashir tidak berniat buruk terhadapnya pasti dia sudah membuatkan Hashir merengkok dalam penjara. Barangkali, dengan cara itu, dia takkan dicederakan Hashir. Hatinya takkan terluka kerana Hashir. Dia tak perlu menangis dua minggu, tak perlu memanjat bukit-bukit yang ditawannya kerana sedih dan tak perlu juga menyongkar belantara yang penuh pacat.

“Azhan,” luah Sufi.

Azhan senyum tipis.

“You still remember me after all these years,” luah Azhan.

Sufi mengangguk.

“Hei, kenapa nangis ni?” soal Azhan yang baru menyedari gadis di depannya sekarang sedang menangis.

Sufi mengesat air matanya.

“Bahaya jalan seorang diri malam-malam ni. What are you doing here?” soal Azhan lagi.

Muka Azhan kelihatan kemerahan. Mabuk seperti rakannya barangkali. Tetapi, dia masih mampu melangkah dan berdiri di depan Sufi. Pemikirannya barangkali masih belum terjejas teruk di bawah pengaruh arak. Namun, Sufi masih dirasuk bimbang. Arak boleh membunuh kewarasan diri sebaik-baik manusia sekalipun.

“Sufi nak balik. Tapi, lupa bawa duit untuk naik cab,” jawab Sufi perlahan. Dia mengesat air matanya yang tertumpah.

“Jomlah, Azhan hantarkan,” pelawa Azhan.

“Tak apa,” tolak Sufi.

Daun pintu di ruangan pemandu dikuak. Seorang lelaki bertubuh tegap melangkah turun dari kereta.

“Azhan, kan aku dah cakap tadi. No prostitute! Mama aku bunuh aku kalau aku buat dajal dalam kereta ni!” jeritnya kasar.

Sufi berundur setapak ke belakang, terkejut dengan tuduhan keras itu. Sakit dadanya mencempung rasa sebak.

“Hei, bodoh! Diamlah! Dia bukan pelacur!” tengking Azhan, marah apabila kawannya menuduh. Sejak dulu, dia menjadi pelindung Sufi dalam bisu. Dia cuba menjauhkan Sufi dari Hashir kerna tahu kawannya itu akan melukai Sufi. Dia memerhati wajah lembut itu dari jauh. Azhan kasihan melihat Sufi.

“Ignore dia. Dia memang kepala pusing sikit. Jangan peduli. Mari Azhan hantar,” ajak Azhan.

Sufi menggelengkan kepalanya. Dia meneruskan langkah, meninggalkan Azhan yang masih melangkah bagai orang mamai. Azhan mengekori jejaknya.

“Fi!” panggil Azhan.

“Azhan pergilah balik dengan kawan-kawan Azhan. Jangan kacau, Fi. Tolong,” pohon Sufi.

“Fi, tunggu,” pinta Azhan. Dia terduduk atas jalan raya. Terasa lemah lututnya untuk berdiri, mengejar Sufi.

Sufi berpatah balik, cuba membantu Azhan yang sudah terduduk atas tar. Seboleh-bolehnya dia mahu lari jauh dari situ. Tetapi, dia tidak sampai hati meninggalkan Azhan. Memang selayaknya lelaki itu ditinggalkan. Memang selayaknya lelaki itu dibiarkan. Tetapi, hati Sufi terlalu lembut.

Mata Azhan bertemu mata Sufi. Anak mata jernih Sufi menyejukan hatinya. Mungkin ini pandangan yang membuatkan Hashir jatuh cinta. Dulu, Azhan tak pernah mengerti bagaimana Hashir boleh tertawan dengannya. Sangka Azhan, Sufi adalah gadis idaman lelaki sepertinya, bukan Hashir.

Tetapi, Sufi juga adalah cinta pandang pertama Hashir. Azhan tidak tahu bagaimana Sufi melakukannya. Gadis itu bukan Nera pujaan Hashir. Tetapi, sejak pertama kali Hashir memandang senyumannya, Hashir seakan-akan terpukau.

Pandangan mata Sufi lembut tetapi hati keras. Azhan tahu dia takkan mengikut lelaki asing sepertinya. Tetapi, dia tak sampai hati membiarkan Sufi sendirian di situ. Tangannya meraba ke dalam kocek belakang jeans. Wallet kulit tua Levi’s dikeluarkan. Dia mengambil not lima puluh ringgit dan menyerahkannya kepada Sufi.

“Ambil cab,” suruh Azhan.

Sufi menggeleng lagi.

“Ambil, Fi,” suruh Azhan.

“Tak payah. Sufi boleh jalan. Dalam dua kilometer lagi sampailah rumah,” balas Sufi lemah. Dia membantu Azhan bangun semula.

Air mata Sufi tertumpah. Lagi dan lagi. Azhan memandang dengan sejuta tanda tanya. Apa yang menyebabkan Sufi menangis? Dia hanya sekadar mahu membantu Sufi. Niatnya tidak terpesong. Azhan tidak mengharapkan balasan seperti rakan-rakannya yang sedang menanti di dalam kereta.

“Ambillah, Fi. Bahaya Fi kat sini seorang. Dah malam ni, Fi,” luah Azhan, risau dengan nasib diri Sufi.

“Tak apa,” tolak Sufi.

“I will never forgive myself kalau apa-apa jadi pada perempuan yang I boleh tolong. Just ambil,” pinta Azhan.

Sufi terdiam.

“Go,” luah Azhan sambil menempatkan not lima puluh ringgit tadi ke dalam genggaman Sufi.

“Tak payah tolong Azhan. Sufi jaga diri,” ucap Azhan, menolak apabila Sufi mahu memimpinnya.

Sufi melangkah beberapa tapak ke depan sambil digelangi rasa bersalah. Selepas melangkah hampir dua meter ke depan, dia melambaikan tangan pada sebuah teksi yang sedang melalui jalan itu.

Teksi tadi berhenti. Sufi menarik daun pintu belakang. Dia sempat memandang Azhan yang sedang melangkah senget-senget, cuba masuk ke dalam kereta semula. Memang sah-sah lelaki itu mabuk.

Dalam hati, dia tertanya-tanya. Adakah meneguk arak itu sememangnya cool seperti dakwaan muda-mudi sekarang? Apa lebihnya minuman syaitan itu? Ia membinasa organ dalaman dan membunuh kewarasan manusia. Di mana hak manusia untuk melabel minum arak, memakai pakaian rabak, menggunakan dadah dan bergaul bebas itu cool? Apa definisi cool yang sebenarnya?

Sufi malu. Dia terkilan. Terlalu banyak anak bangsanya merengkok dalam lokap, pusat serenti dan pusat pemulihan akhlak. Masalah keluarga dijadikan alasan kehancuran akhlak. Walhal setiap manusia diberikan otak untuk menilai baik dan buruk. Sifat baik seseorang manusia tak dapat diwarisi dari ayah dan ibunya. Sifat dipelajarinya sendiri sewaktu membesar sambil otaknya diajak menilai baik dan buruk, indah dan cela.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.