Bab
14
Tangannya
mendakap peha, rapat ke dada. Postur tubuhnya membulat atas tilam bagaikan
tenggiling. Sudah hampir dua jam dia berbaring tapi matanya belum jua
dipejamkan. Dia memikirkan Izam, memikirkan masa depannya. Adakah dia patut
melepaskan Izam dan mencari cinta yang lain? Mampukah dia jatuh cinta lagi
setelah berkali-kali dikhianati dan dilukai. Luka yang lama sendiri belum
sembuh. Sufi memandang skrin handphone, tak ada mesej dari Izam.
Ding
dong! Ding dong!
Bunyi
doorbell mengejutkan Sufi. Dia menyapu tapak tangan dibawah mata. Kononnya,
mahu mengesat air mata sedangkan air matanya sudahpun kering. Tak ada apa yang
perlu hendak dikesat. Dia mengengsot ke pinggir katil sebelum berlari ke
tingkap. Tak ada sesiapa yang sedang menanti di luar pagar. Tapi, dia tidak
berpuas hati. Barangkali dia tidak perasan. Barangkali Izam ada di sana untuk
memujuknya.
Tanpa
berlengah, Sufi berlari turun ke tingkat bawah. Dia mengintai dari lubang kecil
atas pintu. Tak ada sesiapa di luar. Adakah dia berangan? Atau barangkali ada
makhluk lain yang cuba mengusiknya. Bulu tengkuk Sufi rasa meremang semacam.
Dia menelan sisa air liur yang ada ke dalam anak tekak. Haus pula rasanya.
Sufi
baru hendak melangkah ke dapur apabila ada ketukan kecil di pintu. Dia
mengintai lagi tetapi tak ada sesiapa di luar.
“Fi!”
Panggilan
itu membuatkan mata sepetnya membulat sedikit. Tanpa berfikir panjang, dia
terus menarik daun pintu dengan laju.
“Hash?”
Hashir senyum.
“Hash buat apa kat
sini? Macam mana boleh sampai sini? Mana dapat baju tu? Hash curi ya?” soal
Sufi bertalu-talu terkejut melihat Hashir mengenakan pakaian attendant
hospital.
Bagaimana Hashir
boleh mendapatkan pakaian seragam seperti itu? Bukankah Hashir sepatutnya
ditahan di wad kerana suhu badannya yang tinggi.
“Entah,” jawab
Hashir sambil tersengih, bagaikan semuanya itu hanya gurauan. Sedangkan mata
tertutup, letih dengan perjalanan panjangnya tadi. Letih memikirkan cara untuk
menyusahkan hidup Sufi. Letih. Letih. Letih. Hashir membuka mata kembali
perlahan-lahan.
“Pergi balik,
boleh? Jangan datang sini lagi,” tengking Sufi, cuba menyinga meskipun nada
suaranya masih perlahan kerana takut akan mengejutkan jiran-jirannya yang
barangkali sudah terlena.
“Nak makan.
Lapar,” ucap Hashir.
“Nak makan,
pergilah kedai!” suruh Sufi.
“Tak ada duit,”
luah Hashir.
Kalau dia punya
wang, tidaklah dia terpaksa menumpang sebuah lori untuk sampai ke rumah Sufi.
Mujurlah pemandu lori itu sanggup mempercayai cerita autanya. Kalau tidak,
tidur di kaki limalah jawabnya.
Ah, Hashir memang
ada banyak idea bernas untuk kelentong orang! Menipu mamanya, Amira adalah
kepakarannya sejak kecil. Walaupun Amira peka, dia selalu tertipu, percayakan Hashir sebelum Adelia memecahkan
tembelang Hashir.
“Pergilah bank!”
suruh Sufi.
“Bank mana buka.
Dah pukul 12 malam. System dah shut down. Lagipun, mana ada wallet Hash dengan
Hash. Mama pegang. Semua kad kat dalam wallet,” jelas Hashir. Dia tahu Sufi
masih prejudis.
“Ish, menyusahkan
orang!” jerit Sufi. Dia mencangkung berdekatan Hashir, cuba membantu lelaki
gila itu bangun.
“Fi, nak cium sikit,”
usik Hashir nakal.
Pang! Satu
tamparan melekap di mukanya. Berbekas lima jari Sufi atas pipi Hashir yang
kemerahan. Hashir terus terhantuk ke dinding. Matanya hanya terbuka segaris.
Pipi kanannya masih melekat di dinding, tidak diangkat. Buat seketika, dia
tidak mampu melihat atau mendengar.
“Hash?” panggil
Sufi.
Hashir tidak
menjawab.
“Hash!” jerit
Sufi.
Hashir masih kaku
di situ.
Sufi menyeret
Hashir masuk ke dalam rumah dan membiarkan dia terbaring atas karpet di ruang
tamu. Pintu depan dibiarkan ternganga supaya orang yang lalu-lalang tampak
kelibat mereka. Takut pula nanti diserkup JAIS. Manalah hendak diletakkan
batang hidungnya nanti.
Langkah
kalang-kabutnya diatur ke ruangan dapur. Dia cepat-cepat membasah tuala buruk
yang diambil di sebelah sinki. Tuala tadi dibawa ke depan dan ditempek ke muka
Hashir. Terbatuk-batuk Hashir apabila lubang hidungnya diserkup dengan
bau-bauan tidak enak dari tuala buruk itu. Dia hampir lemas.
“Nasib baik hidup
lagi,” luah Sufi sambil menghela nafas lega.
“Hoi!” jerkah
Hashir. Dia menggagahkan diri untuk bangun duduk, bersandar dekat meja kayu di
ruang tamu.
“Mana ada orang
revive orang macam ni. Gunalah CPR ke. Bantuan dari mulut ke mulut ke. Ni
tempek kain buruk basah kat muka! Kau ni bodoh ke apa?!” jerkah Hashir, terlupa
yang dia ke situ tanpa izin Sufi. Dia sepatutnya bersyukur Sufi tidak
membiarkan dia terbaring di luar sendirian sampai ke esok pagi.
“Bantuan mulut ke
mulut? Bukannya kau tu lemas!” tempelak Sufi.
“Heeee... geramnya
aku! Jadi, gila aku dengan kau ni!” luah Hashir, tidak dapat menahan rasa
geram.
“Dah memang kau tu
gila,” balas Sufi semula.
Hashir menjegilkan
mata.
“Dah, pergi
balik!” suruh Sufi.
Hashir mengeluh.
“Kau tengoklah aku
ni. Kau ingat aku berdaya nak balik rumah dalam keadaan macam ni? Bagilah aku
makan dulu,” luah Hashir dalam nada suara yang lebih rendah, cuba meyakinkan
Sufi yang dia tidak berkudrat.
“Isy, datang sini,
larat! Balik tak larat pulak! Sekali aku tempeleng baru tau!” ugut Sufi, marah.
“Kan dah tempeleng
tadi. Dua kalilah tempeleng, bukan sekali,” luah Hashir mengingatkan Sufi.
“Kau yang cari
pasal,” balas Sufi, menegakkan keadilan untuk diri sendiri. Tak ada sesiapa di
situ untuk menegakkan keadilan bagi pihaknya.
“Tolonglah, Fi.
Kau ingat aku teringin nak cium pipi keding kau tu? Apa kau ingat kau lawa?
Tolonglah jangan buat aku muntah kat sini,” ejek Hashir.
Sufi merengus
geram.
“Hah, kalau dah
muka aku ni buruk sangat kat mata kau, pergilah balik! Nyah kau dari sini!
Nyah! Nyah!” marah Sufi.
“Memang nak balik.
Tapi, lepas makanlah. Sekarang aku nak jalan pun tak larat tau,” luah Hashir.
“Eeee!” luah Sufi,
geram. Kalaulah diikutkan hatinya, mahu dicekaknya rambut Hasyir. Mahu
dihantukkan kepala lelaki itu ke meja berkali-kali. Ah, alangkah indahnya kalau
dia dapat berbuat begitu sekarang. Tetapi, sayang. Dia masih dibengkung dengan
pemikiran rasional. Dia tak boleh tunduk pada telunjuk hawa nafsu.
“Cepatlah masak!”
suruh Hashir.
Sufi mengatur
langkah ke dapur semula. Dia mendoakan ada baki bubur dan sup yang dimasaknya
tadi tertinggal dalam periuk untuk dipanaskan. Tetapi, harapannya hanya tinggal
harapan. Akma sudah menghabiskan semua makanan yang ada. Dia terpaksa memasak
semuanya semula. Kerja potong-memotong dimulakan sekali lagi. Nasib baiklah ada
sup bunjut Adabi dalam kabinet dapur. Mudah sedikit kerjanya.
Selepas mereneh
sup dan sambil menunggu sehingga ia masak, Sufi membasuh beras untuk
menyediakan bubur nasi. Dia menggunakan periuk manual, takut kalau dia
menggunakan rice cooker, bubur nasinya akan menjadi keras seperti nasi.
Mengikut resepi mamanya, dia memasukkan lobak merah, ubi, bawang dan ikan bilis
ke dalam bubur nasinya untuk menambah perisa.
Lebih setengah jam
Sufi di dapur. Hashir sudahpun menjadikan ruang tamu rumahnya seperti rumah
sendiri. Dia sudah melabuhkan punggung atas sofa sambil menonton DVD yang
diambilnya dari dalam laci yang bertajuk Freedom Writers. Cerita yang boleh
dijadikan inspirasi hidup seperti selalu. Sufi gemar kisah-kisah seperti
Freedom Writers, Crash, Coach Carter, October Sky, I’am Sam dan Fat Albert.
Cerita yang kononnya banyak iktibar. Berbeza dengan Hashir yang lebih gemarkan
action movies. Tak mengapa kalau cerita itu tidak mempunyai pengajaran. Asalkan
ada scene tembak-menembak, terjun-terjun dan barang-barang meletup, Hashir akan
teruja untuk menontonnya.
“Dah boleh makan,”
suruh Sufi yang sedang menatang sebuah dulang ke meja makan makan.
“Aku nak makan kat
sini,” balas Hashir.
“Meja makan ada.
Nanti tumpah susah. Kau tu bukan larat sangat kan,” ujarnya sambil menyusun beberapa
majalah dekorasi yang berselerak atas meja.
“Kau suap,” luah
Hashir, mengada.
“Nak kena
pelempang lagi?” soal Sufi dalam nada mengugut. Dia meletakkan dulang yang
diimbanginya dengan satu tangan ke atas meja.
“Kalau kau tak nak
suap, aku tak makan. Kalau aku tak makan, aku tak kenyang. Kalau aku tak
kenyang, aku tak balik. Kau ada dua opsyen untuk halau aku. Satu, suap aku
makan. Dua, kau boleh panggil polis untuk tahan aku dan buat riuh satu kawasan
perumahan ni,” luah Hashir.
Sufi mengeluh.
“Aku tak tau macam
mana mama kau bela kau dari kecil,” sungut Sufi sambil menggelengkan kepala.
“Sebab tu syurga
bawah tapak kaki ibu,” balas Hashir tanpa berfikir panjang. Dia menyandarkan
tubuh ke belakang.
“Isy,” luah Sufi
sepatah, melepaskan geram.
Sabarlah wahai
hati. Kau tak mahu bergelar pembunuh. Jangan musnahkan masa depan kau kerana si
gila ini, luah hati Sufi. Dia mengangkat dulang berisi semangkuk bubur,
semangkuk sup dan segelas air ke ruang tamu. Dulang tadi dilabuhkan ke atas
meja kayu di depan Hashir.
“Aaaa...” luah
Hashir sambil mengangakan mulut.
Sufi duduk di sofa
yang terletak sembilan puluh darjah dari Hashir. Dia menyudu bubur nasi ke
dalam sudu.
“Nah,” ucapnya
sambil memasukkan bubur tadi ke dalam mulut Hashir.
“Ah!” luah Hashir
sambil mengibas-ngibas mulut, menahan hangat yang teramat. Bubur nasi yang
disediakan Sufi masih panas. Masih belum sesuai untuk dimakan. Rasa bagaikan
hendak melecur lidah.
“Panas!” marah
Hashir.
Sufi menunjukkan
riak wajah selamba meskipun sebenarnya hati Sufi dikocak rasa bersimpati.
“Sakit,” keluh
Hashir.
Sufi menghulurkan
gelas air masak yang sudah dituangnya.
“Okay?” soal Sufi.
Hashir tidak
menjawab.
Mengada, tempelak
hati Sufi. Sufi menyudu bubur nasi yang dimasaknya. Kali ini, dia mendekatkan
ia ke bibir dan menghembusnya perlahan-lahan, cuba menurunkan suhunya. Hashir
tersentak melihat perbuatannya. Setelah selesai dihembus, barulah dia
menghulurkan kepada Hashir.
“Hembus kuat-kuat
macam tu. Entah-entah dengan hingus dan air liur pun tertumpah atas makanan,” ejek
Hashir.
Sewaktu Sufi mahu
menarik sudu tadi semula, Hashir cepat-cepat mengangakan mulut dan makan
isinya. Sufi pula yang tersentak kali ini.
“Tadi, geli
sangat,” ejek Sufi semula.
Hashir hanya
membatukan diri, berpura-pura tidak mendengar. Matanya difokuskan ke kaca
televisyen, melihat riak wajah tabah Hillary Swank. Hanya mulutnya sahaja yang
dingangakan setiap kali Sufi mahu menyuapkan bubur dan sup.
“Dah habis,” luah
Sufi setelah setengah jam menyuapkan Hashir sup dan bubur nasi tanpa henti.
“Kejap, movie
belum habis,” luah Hashir.
Sufi melepaskan
sudu ke dalam mangkuk kosong. Lepas satu satu pula. Tadi, Hashir cakap dia akan
pulang selepas habis makan. Sekarang, dia mahu menonton filem Freedom Writers
yang tak pernah diminatinya selama ini sampai habis.
Macam-macam
kerenah lelaki itu. Mujurlah dia masih sakit. Kalau tidak pasti Sufi sudah
menolaknya keluar sekarang. Sufi bersandar ke belakang, penat. Kemudian, dia
duduk tegak semula, takut kalau-kalau terlelap di depan Hashir. Lelaki itu
bukannya boleh dipercayai sangat.
Berat pula rasa
matanya. Kalau tadi dia tak boleh tidur. Sekarang, dia tak sabar-sabar pula
hendak tidur. Bilalah Hashir hendak balik? Tak bolehkah kalau dia menekan saja
butang forward pada remote control.
“Kenapa kau lari
dari hospital?” soal Sufi sebelum menguap.
“Kenapa kau kena
sibuk? Suka hati akulah nak lari hospital ke apa. Kau kerja kat hospital?” soal
Hashir kembali.
“Fine. Malas aku
nak layan kau!” ngomel Sufi.
“Dasar pemalas,”
balas Hashir tanpa memandang Sufi.
“Kau ni kan...
Susah tau. Cakap tu tak kena. Cakap ni tak kena,” tempelak Sufi, geram.
Hashir tersengih.
Sufi menyandarkan
tubuhnya ke belakang kembali. Dia memejamkan mata sekejap. Kemudian, membuka
mata semula. Tak lama kemudian, dia menutup mata kembali. Ya Tuhan. Mengapa
berat sungguh matanya hendak terus berjaga. Tadi, hatinya resah. Risau dan
takut bercampur-baur sampai matanya senantiasa celik. Sekarang, entah mengapa
pula rasa mengantuknya datang. Adakah hati yang resah kini kembali tenang?
Tenangkah? Atau barangkali dia terlalu letih.
Pandangan Hashir
jatuh pada Sufi yang sudah terlelap. Sesekali dia menggerakkan jari-jemarinya
di atas peha sendiri, seolah-olah dia masih sedar. Tetapi, Hashir tahu dia
sudah lena. Sejak tadi, dia langsung tidak mengangkat kelopak mata. Adakah dia
bermimpikah sesuatu yang indah? Atau barangkali semua mimpi yang mengulit
tidurnya hanyalah mimpi ngeri sejak Hashir hadir semula ke dalam hidupnya?