Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
91,130
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 1

Bab 1

Hashir menongkat dahi. Sekejap dia duduk menegak. Sekejap dia menunduk. Kemudian, dia mengangkat muka semula. Ada rasa panas yang membahang dalam seluruh rongga badannya. Panas umpama minyak menggelegak meskipun aircond di ruang tamu memang sudah sedia terpasang pada suhu dingin.

Ah, sejak di awal perbualan dia dan mamanya, Hashir tak keruan. Bagaikan ikan puyu yang mahu melompat keluar dari air. Atau barangkali lebih persis kepada lalat yang sedang cuba mengelak dari dihempap surat khabar, terbang kalut ke sana sini tanpa arah tuju. Hashir tidak senang duduk. Kakinya diinjut-injut sambil menanti bebelan mama yang seterusnya. Ya, ia akan datang tak lama lagi. Bebelan yang Hashir sifatkan bagai ribut Katrina yang menggegarkan Bahamas dalam tahun 2005.

“Mama suruh benda yang mudah, Hash. Mama bukan suruh kau pergi daki Gunung Kinabalu atau renang satu Selat Melaka...”

“Tak mainlah Gunung Kinabalu, ma. Sekarang orang dah set target lagi tinggi. Everest ke... Everest tu pun orang dah tawan,” sampuk Hashir.

“Eh, diamlah kamu. Orang tua bercakap, jangan asyik menyampuk sebelum habis dengar. Mama tampar nanti!” ugut mamanya, Amira.

“Amboi, main kasar!” balas Hashir. Ya, dia gatal mulut untuk menjawab lagi. Kalau diam dan menurut kata, bukan Hashir namanya.

“Sekali aku bagi!” ugut Amira sambil mengangkat tangan.

Hashir ke depan sikit, menyuakan muka.

“Menjawab aje kerja. Tak reti hormatkan orang tua! Dah dari kecil mama ingatkan, kalau orang tua bercakap, dengar, jangan degil!”

Hashir bersandar semula.

Amira menunjukkan riak muka geram dengan reaksi anaknya. Ada saja yang mahu dijawab Hashir. Sepatah dia bersuara, berpatah-patah pula Hashir membalas. Sudahlah yang terlontar keluar dari mulutnya selalu tajam macam mata pedang. Kekadang gurauannya juga sakit menusuk ke hulu hati. Hashir tidak sensitif langsung apabila bercakap. Dia cakap main ikut sedap mulut sendiri.

“Tak tau pulak mama dah tua. Ingat masih muda bergetah sebab lawa sangat. Tu yang menyampuk tu,” balas Hashir, menjawab lagi.

Setidak-tidaknya, kali ini usikan Hashir datang bersama pujian. Biar sejuk sikit hati mamanya. Lagipun, menurut matanya, memang betul mamanya masih cantik. Mama masih lawa seperti gambar mama semasa muda yang pernah dilihatnya. Padanlah hati ayahnya tersimpul mati, tidak terjerat dengan bayangan hawa yang lain. Hanya mama seorang yang mampu buat papa gila bayang. Model Victoria Secret pun papa dah tak pandang lagi lepas kahwin dengan mama.

“Nak puji ke nak sindir tu?” soal mamanya.

Hashir memuncungkan bibir.

“Kutuk susah. Puji pun susah,” rungut Hashir. Dia memuncungkan bibirnya lagi.

“Eeee!” cetus mamanya dalam nada geram.

Hashir mengunci bibir.

“Mama tak ada suruh kamu buat benda susah, Hash! Mama suruh kau kahwin dengan Natalia.”

Hashir hanya memandang.

“Apa yang susah? Kahwin aje, Hash. Mudah, bukan?” luah mama, mengulangi arahan yang sama.

“Tak nak,” jawab Hashir dua patah.

“Hee...degilnya budak ni. Apa yang susah sangat pun aku tak tahu. Tak faham aku,” keluh mamanya lagi.

Arahan itu pada pendapat Amira cukup mudah untuk dilaksanakan. Hashir hanya perlu melafazkan akad nikah. Dia dan suaminya yang akan uruskan segala. Kenduri-kendara, para jemputan, pelamin, baju kahwin, kad dan semua yang lain akan dirancang sendiri. Hashir akan dinobat menjadi raja sehari yang sebenar-benarnya raja tanpa perlu berbuat apa-apa. Segala kemahuannya akan diturutkan kalau dia menurut kemahuan Amira yang satu ini. Bodohlah kalau Hashir tidak mahu.

Lelaki lain kalau disuap dengan peluang begitu pasti sudah melompat gembira. Mana tidaknya, sekarang semuanya serba mahal. Sampaikan hendak berkahwin pun terpaksa membuat pinjaman peribadi. Sampaikan ada yang sanggup meredah sampaikan sempadan negara jiran untuk mengurangkan kos kenduri dan duit hantaran, kahwin free dan kemudian daftar semula lepas pulang ke tanah air.

Amira menghulurkan opsyen terhebat, kahwin percuma buat Hashir. Free of charge. Tak payah keluarkan satu sen pun dari poketnya sendiri. Almaklumlah, poket Hashir memang selalu kering. Setakat habuk saja yang ada. Kalau ada pun duit, tak pernah melebihi jumlah lima puluh ringgit. Disuruh bekerja, malas. Mujurlah anak lelaki tunggalnya itu genius orangnya. Tak perlu bersusah-payah mengulangkaji sekalipun, dia selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Peluang yang diberikan Amira kali ini adalah peluang keemasan yang jarang sekali datang. Peluang yang julung-julung kalinya datang mengetuk. Apa yang dikusutkan anak muda itu sampaikan sanggup mendajalkan peluang yang diberikannya? Ambil sajalah! Banyak pula kerenahnya. Nasib baik sudah besar panjang. Kalau masih pendek, masih tercapai lagi tangan Amira menghadiahkan Hashir penampar.

“Tak naklah, ma. Nat dengan Hash tak sesuai langsung. Dia tu kaki kelab. Mama nak ke menantu macam tu?” balas Hashir.

“Semua orang boleh berubah. Apa yang kamu tak suka, bimbinglah supaya dia dapat berubah ke lebih elok. Mana ada manusia sempurna. Lelaki ni sifatnya sebagai imam, sebagai pembimbing. Kau tu cakap orang. Apa kau tu tak pernah ke kelab? Ingat tak masa papa kamu bagi penampar masa dapat tau kamu masuk kelab dulu?”

“Saya lain...saya lelaki. Lagipun, saya masuk sebab nak tau aje apa ada kat dalam tu. Bukan saya buat apa. Tak minum. Tak ambil drug. Papa tu aje yang risau melebih masa tu,” balas Hashir.

“Hei, kan kita disuruh jauhi maksiat. Tak ada bezanya lelaki dengan perempuan! Mama tak kira, kau kahwin aje dengan si Natalia tu. Semakin lama kau membujang, semakin banyak masalah kau timbulkan...”

“Mana ada saya timbulkan masalah,” jawab Hashir sepatah. “No way! Saya nak kahwin dengan minah tu!” tambahnya. Dia memandang ke dinding rumah, tak mahu menghadap mama. Merajuk kononnya.

“Habis, kamu nak dengan siapa lagi, Hash? Semuanya kamu tak suka. Semuanya tak kena di mata kamu. Kamu ni gay ke apa? Perempuan cantik, tak nak. Baik pun tak nak. Natalia tu sederhana, tak baik, tak jahat. Kamu bimbinglah macam mana kamu nak, bentukkan dia...”

Bentukkan? Apa mama ingat Natalia itu semacam plasticine yang boleh dibentukkan sesuka hati? Takkan mama tak tahu pepatah orang-orang tua, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Natalia bukan rebung tetapi sudah jadi buluh tua. Nak buat lemang pun sudah tidak sesuai agaknya. Kalau dibuat meriam buluh, barangkali akan menyebabkan kecelakaan sehingga memutuskan jari.

Ah, tidak! Hashir tak mahu mengahwini Natalia! Dia tak sanggup menurut kemahuan mama. Apa nak jadi, jadilah! Hashir tetap akan bertegas dengan keputusannya. Kalau mama nak sangat bermenantukan Natalia, lahirkan saja anak lelaki lagi satu.

“Tak mahulah saya kahwin dengan Nat. Baiklah saya membujang sampai ke tua,” balas Hashir.

Amira mengeluh.

“Apa yang kamu nak sebenarnya?”

“Saya tak nak, tak naklah. Saya tak suka semua pilihan mama tu. Lagi-lagi si Natalia tu,” balas Hashir sambil mengangkat punggung dari sofa. Dia menyusun langkah, menuju ke tangga untuk naik ke biliknya.

Makin lama Hashir di situ, makin berbelit rasa kepala otaknya. Mama bukannya boleh dibawa kompromi. Kalau dia berkehendakkan yang putih, yang putih jugalah yang dimintanya sehingga ke sudah. Abah sendiri kekadang tak mampu untuk menyekat telunjuk kuasa veto mama.

Berbeza dengan kakaknya, Adelia, Hashir selalu enggan beralah. Dia tak suka diarah-arah dan mengikut kemahuan orang bulat-bulat. Seperti mama, dia juga tak suka mendengar cakap orang. Sangkanya, dia saja yang betul.

Hashir selalu menuduh mama keras kepala. Mamanya juga merasakan dia kepala batu. Walhal kedua-duanya sama degil. Papanya yang selalu kepala pusing memikirkan kedua-duanya.

“Hash! Tunggu! Mama belum lagi habis cakap dengan kamu. Jangan pandai-pandai nak naik!” ugut Amira.

“Saya tak nak kahwin dengan Natalia. Kalau mama nak sangat saya kahwin, mama carilah orang lain. Orang yang saya suka,” balas Hashir.

“Siapa, Hash? Siapa yang kamu nak? Cuba beritahu mama! Dah tiga puluh anak dara mama bawa jumpa kamu. Satu pun kamu tak boleh nak pilih. Jantan jenis apa kamu ni?!” luah Amira dalam nada geram.

Hashir tersengih.

“Sebab saya bukan jantan, saya lelaki. Sebab tu saya tak pilih perempuan macam saya pilih baju,” ucapnya sinis sebelum berlari naik.

“Hashir!”

Amira menghentak kaki.

“Aku sunatkan jugak budak ni lagi sekali nanti!” ugutnya.

Jeritan mama dari bawah menikam gegendang telinganya. Tetapi dia memekakkan telinga. Tubuhnya diloloskan masuk ke dalam bilik. Daun pintu ditolaknya tetapi tidak dikunci. Dia melompat atas katil king sizenya dalam gaya melentang.

Lega rasanya dari mencium bau bantal busuknya. Bantal yang tidak pernah dibasuh sarungnya mahupun ditukar kekabunya dari zaman sekolah rendah. Bantal yang diselar mama sebagai bantal yang penuh bakteria dan virus. Kata mama, kalau diuji di makmal, barangkali bantal itu akan dikuarantin dan kemudian dihapuskan.

“Natalia? Please...Macam tak ada perempuan lain! Mama ni pakai tangkap muat aje. Dah sah-sah perempuan tu teruk. Nak jugak dibuat menantu,” ngomel Hashir sendirian di dalam biliknya.

Nyah! Nyah! Hashir tak mahu memikirkan permintaan mama. Dia mahu bebas di alam mimpi, terbang meski tidak bersayap. Biar kakinya tidak menjejak bumi. Biar sampai tangannya dapat mendakap bulan dan bintang. Hashir mahu berulit dalam dunia mimpinya yang tidak bersempadan. Itulah yang Hashir rasakan meskipun ia kedengaran cliche seperti iklan jalur lebar.

Hashir baru hendak melelapkan mata apabila nada suara Whatappsnya pula yang berbunyi. Hatinya menggelegak marah bagaikan minyak panas pada suhu melampaui 100 darjah celcius. Hashir bukan pencinta teknologi. Kalau bukan kerana handphone itu dihadiahkan kakaknya dan linenya pula dibayar papanya, barangkali Hashir akan menggunakan handphone 2D yang tidak mempunyai application seperti sekarang. Barangkali dunianya akan lebih aman.

Dalam terpaksa, dia mengangkat telefon. Nota ringkas yang baru diterimanya melalui data Celcom memaksa dia bangun duduk.

Mama: Hash, mama bagi Hash sebulan. Kalau Hash tak jumpa calon sendiri, Hash akan kahwin dengan Natalia. Ni final decision mama! No more excuses! Tak payah nak fikir lagi. Mama dah tolong fikirkan.

“Shit!” jerit Hashir, memuntahkan amarah yang tidak terhingga.

Mungkin dia akan dilabel sebagai anak kurang ajar kalau mama mendengar perkataan itu lucut dari bibirnya. Tetapi, bukannya mama tak tahu yang dia tidak suka dipaksa. Kronologi hidupnya sejak kecil lagi sudah membuktikan yang dia akan memberontak tiap kali dipaksa. Mama pula tidak pernah serik memaksa.

Mungkin, mama mengharapkan hatinya jadi kerak nasi, boleh dilembutkan apabila direndam air. Mama lupa kualiti kerak takkan sama dengan nasi walaupun dilembutkan. Kualitinya sudah lain. Nak makan pun dah tak selera lagi.

“Bodohlah whatapps ni!” marah Hashir.

Kata orang, teknologi memudahkan hidup manusia pada abad ini. Surat berganti dengan email. Buku berganti dengan e-book. Tetapi bagi Hashir sendiri, teknologi menyusahkan. Dia tak boleh lari ke mana-mana. Mama akan ketemu jua cara untuk sampai kepadanya.

Mama ada akaun facebook, akaun twitter. Sampaikan Instagram pun mama ada. Whatapps dan Line hanya kacang putih bagi individu seperti mama. Sudahlah data plan handphonenya berjumlah enam gigs sebulan, tak pernah habis digunakan. Wireless pula ada di segenap penjuru tempat yang ditujui mama untuk shopping dan melepak bersama teman-teman gosipnya.

Otak Hashir berputar bagaikan gasing. Dia bergelut lagi, mencari resolusi senang untuk masalah yang membelenggu otaknya. Hashir tak suka berfikir. Sejak dulu lagi, dia benci untuk berfikir. Masalah yang besar akan dirungkai jadi ringkas dan diselesaikan satu demi satu. Contohnya kerja sekolah yang terlalu banyak. Dia akan pura-pura sakit dan ambil medical certificate dari doktor. Kerja sekolahnya akan diselesaikan sikit demi sikit dalam tempoh cuti sakitnya.

Malas itu ada dalam diri tiap insan. Jadi, kita perlu bijak mengawalnya. Bagi Hashir, kemalasan tidak perlu dihukum. Contohnya, pelajar yang malas datang kelas atau pekerja yang malas datang kerja masih layak diberi gred atau menerima bonus yang sama banyak seperti individu yang rajin.

Alasannya, orang yang malas akan mencari resolusi baru dan senang untuk menyelesaikan kerja mereka. Kalaupun tidak, biarkan TUHAN saja yang membalas perbuatan mereka, mereka tak perlu dihukum oleh manusia lain.

Secara tidak langsung, ideologi Hashir itu ada terikut-ikut sikit ciri-ciri communism yang menyokong persamaan dari segi harta benda mahupun barangan kegunaan harian. Tetapi, cuma sedikit. Communism bukan kepercayaan populis bagi Hashir. Dia tidak suka cara pemerintahan di North Korea. Almaklumlah dia tidak suka diperintah oleh suatu kuasa yang mengawal segala tindak-tanduknya. Dia juga bukan penyokong Hitler kerana dia tidak percaya pada peperangan.

Teori tentang malas itu terzahir dalam pemikiran pelik Hashir yang tidak dikongsi oleh bekas teman wanitanya dulu. Bagi dia, Hashir mempunyai ideologi songsang yang tak boleh digunakan. Hashir juga bukan jenis lelaki yang akan mendengar nasihat orang. Dia selalu diselar si gila yang bukan unik, tetapi pelik.

Dalam keadaan celaru, Hashir masih berlagak cool berbekal egonya yang berlapis-lapis tebalnya. Baginya, dia sahaja yang betul. Sifat yang diwarisi dari mamanya. Dia menganggap Amira kepala batu sedangkan dia sebenarnya berkepala batu yang disalut tar jalan yang keras.

Hashir mencapai handphone. Satu set nombor didailnya.

“Bro, mana?” luahnya ringkas.

“Rumah, bro. Apa hal?” balas Azhan.

“Mama aku dah bagi kata dua ni. Aku cari calon lain atau aku kena kahwin dengan si Natalia. Can you believe that?”

Suara tawa Azhan kedengaran.

“Wohoo! Cunlah tu!” jerit Azhan.

Hashir terdiam sambil menunjukkan air muka menyampah yang hanya ditatap cermin dalam bilik yang melekap di dinding. Azhan tidak ada di depannya untuk melihat reaksi mukanya itu.

“Kau tu kena padamkan terus nama Sufi! Apa kau pandang sangat dengan perempuan macam tu? Bukan hebat mana pun,” luah Azhan. Ada aura cemburu yang terlontar bersama bicaranya.

“Bisinglah, bro! Semua salah kau! Aku tahu Adelia dan kau yang sarankan kat mama supaya kita kahwin serentak!” balas Hashir, geram kerana masalahnya dianggap remeh.

Apa kahwin itu mudah?

Kahwin soal masa depannya. Soal muka siapa yang akan ditatapnya setiap hari? Dia belum bersedia untuk bergelar suami orang apatah lagi untuk menjadi pembimbing. Hidup Hashir sendiri masih terumbang-ambing. Dia baru menamatkan pengajiannya Masternya dan masih merancang untuk meneruskan ke peringkat PHD pula. Soal kahwin belum pernah terlintas.

Kahwin satu hal. Selepas kahwin, dia akan ada isteri. Tak lama kemudian, mengikut hukum alam, dia akan mendapat anak pula. Kemudian, dia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya untuk menjaga anak. Kalau anaknya membesar menjadi anak yang sedar diri dan taat, pasti hidupnya jadi mudah. Tetapi, kalau dia beroleh anak derhaka dan sekepala dengannya, hidupnya akan sengsara.

Oh, tidak! Hashir junior? Ia satu mimpi ngeri.

“Kau kena tolong aku buat sesuatu supaya mama ubah fikiran! Semua ni jadi disebabkan kau,” gesa Hashir.

“Sorry, bro. Aku tak boleh tolong. Aku dah kenalkan semua kawan-kawan perempuan single aku kat kau. Satu pun kau tak berkenan. Cun-cun pulak tu. Aku rasa kepala lu dah sengetlah, bro,” usik Azhan.

“Kepala lu la senget. Apahal? Awek lu kasi semua harap muka lawa, perangai haram...” tempelak Hashir semula.

“Habis, perangai kau lawa sangat?” balas Azhan.

“Okay, fine, bro. Kalau kau tak nak tolong aku, biar aku settlekan masalah ni sendiri,” balas Hashir.

“Eh, bro...”

Dia mematikan talian tanpa mendengar Azhan menghabiskan bicaranya. Hati Hashir semakin berapi.

Tidak! Boleh gila jadinya. Apa yang dikejarkan sangat tentang perkahwinan. Usianya baru mencecah dua puluh enam tahun, usia yang baginya terlalu muda bagi seorang lelaki. Mama tak boleh membanding usia perkahwinan orang dulu dengan sekarang. Zaman sekarang, berkahwin pada usia melangkaui angka 30-an adalah sesuatu yang normal. Istilah Mr. Buter atau nama panjangnya Encik Bujang Terlajak sudah dianggap kuno. Mana ada lagi orang pakai istilah begitu sekarang.

Bunyi keriut menyebabkan Hashir mengangkat kepala.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.