Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
91,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8

Bab 8

Tatkala dia melangkah turun dari teksi, dia dikejutkan dengan seorang lelaki yang sedang menanti di depan rumahnya. Sufi berlari anak, mendapatkan lelaki yang bajunya sudah kuyup, menanti di depan pagar depan rumah Sufi. Motorsikalnya sedang terpakir di sebelah pagar. Sufi tidak tahu sudah berapa lama dia menanti di situ. Tetapi, rasa terharu menyeluk hatinya.

“Sufi,” panggil Izam yang sedang menggeletar sejuk.

Hati Sufi jadi tenang. Tenang setenang-tenangnya sebaik saja wajah itu muncul di kaca matanya. Dia merasakan dirinya selamat apabila berada di samping Izam. Hatinya percaya yang segala bahaya dalam hidupnya sudah menyisih pergi. Mungkinkah ini jodoh yang TUHAN janjikan untuknya.

“Sufi pergi mana?” soal Izam.

Sufi tidak mampu menjawab. Menipu bermakna dia mengkhianati kepercayaan Izam. Kejujuran pula akan menimbulkan seribu satu salah faham. Kuping-kuping ragu terpamer pada air muka Izam.

Sufi memilih untuk menyepi. Tidak menjawab biarpun sepatah. Menjawab persoalan Izam akan memaksa dia menyelongkar sejarah lamanya dengan Hashir yang mahu dilupakan. Sakit yang diperam dalam dada biar berlubuk di situ. Dia tidak sudi menuturkan ia keluar dari anak tekak. Sakitnya takkan berkurang dengan membuka cerita. Langkahnya diloloskan ke laman depan.

Payung yang sedang berdiri di sebelah rak kasut dicapainya. Dia membukanya meskipun hujan sudah tidak segalak tadi. Batang payung dihulurkan kepada Izam yang sedang menggeletar sejuk. Kasihan terpalit dalam hati, bercampur-baur dengan rasa terharu yang teramat.

“Tunggu,” pinta Sufi.

Sepuluh minit lamanya Izam menanti sebelum bayang Sufi muncul semula. Daun pintu depan dikuak. Sufi melangkah keluar bersama secawan milo panas dan sehelai tuala putih. Dia menghadiahkan Izam dengan cawan milo panas itu dulu sebelum meletakkan tualanya di atas bahu lelaki itu.

“Sufi pergi mana?” Soalan itu meniti lagi di bibir Izam.

“Zam percayakan Fi tak?” soal Sufi.

Izam menganggukkan kepala.

“Walaupun Zam percayakan Fi, tak bermaksud Zam percayakan orang di sekeliling Fi. Zam tak nak apa-apa jadi pada Fi. Fi tau Zam sayangkan Fi, kan?” soal Izam sambil memandang tepat ke mata Sufi.

“Fi minta maaf,” pohon Sufi.

Entah mengapa, air matanya luruh lagi. Dia bukan mencari simpati Izam. Tetapi, rasa sebak itu datang sendiri. Air matanya yang mahu jatuh tidak dapat ditahan-tahan. Dia tak mahu memberikan dukanya kepada Izam. Seboleh-bolehnya hanya bahagianya saja mahu dikongsikan dengan lelaki itu. Tetapi, Sufi tahu dia tak mampu. Hidupnya penuh dengan kitaran duka.

Hanya jasadnya ada situ. Rohnya seakan-akan terbang jauh, merentasi masa silamnya yang ingin ditinggalkan usai. Arca kenangan yang sudah dipecahkan bersatu, terus hidup dalam kotak memorinya. Ia berputar kembali, bagaikan filem hitam putih yang ditonton pada skrin tua yang kekuningan.

“Kau anak pelacur! Tak tau keturunan! Jangan kau datang sini lagi. Sisa makanan dalam rumah aku pun aku takkan bagi pada kau! Baik aku bagi anjing! Jijik!” jerkahan seorang wanita bersanggul tinggi mengejutkan Sufi.

Sufi hanya setinggi pinggangnya berundur ke belakang. Di tubuh kerdilnya tersarung t-shirt putih yang getah lehernya sudah longgar. Sebelah kanan leher t-shirtnya sudah terjatuh atas tulang bahunya yang kurus. Jari-jemari pendeknya menggenggam kain seluar pendek jalur yang dikenakannya. Matanya berair.

“Aku haramkan kau berkawan dengan anak aku! Kau dengar tak? Aku haramkan kau dari berpijak dalam rumah aku!” jerkah wanita itu.

Sufi berteriak semahu-mahunya.

“Fi!” panggil ibu.

Sufi berlari keluar. Dia hilang dalam renungan ibunya. Renungan penuh kasih sayang. Dia masih terlalu muda untuk mengerti mengapa dia dimarahi. Dia tidak tahu apa sebabnya dia dihina, ibunya diherdik dengan pelbagai tomahan.

Namun, kini dia ada jawapan itu. Dia tahu jawapan kenapa mereka mengherdiknya. Tetapi, mereka barangkali tidak tahu jawapan kepada soalan mengapa ibu melakukannya. Dia tahu. Dia faham. Dalam masa yang sama, dia tidak merelakannya.

Sejarah tak mampu diubah. Itu yang pasti. Manusia boleh belajar memaafkan dan melupakan. Tetapi, apa yang sudah berlaku tetap sudah berlaku. Manusia biasa sepertinya tak mempunyai keupayaan untuk memutarkan kembali masa. Untuk mengubah apatah lagi.

“Sufi,” panggil Izam, mengejutkan Sufi.

Sufi tersentak.

“Kenapa, sayang?” soal Izam dalam nada lembut.

“Fi... Fi tak biasa beritahu orang. Cuma seorang lelaki yang pernah tahu. Nama dia Hadi. Dia pernah ajak Sufi kahwin dulu. Sebab Sufi bersedia jadi isteri dia, Sufi beritahu dia...” luah Sufi dalam suara terketar.

Sufi menarik nafas panjang. Dia memandang ke mata Izam. Mahukah lelaki itu menerimanya? Sufi rasa berdosa pada ibu untuk membuka pekung di dada sendiri. Namun, dia tahu dia perlu berterus-terang agar status dirinya tidak dipertikaikan apabila dia bergelar seorang isteri nanti.

“Fi?” panggil Izam, mengharapkan sekeping kejujuran dari gadis yang sudah mulai disayanginya itu.

“Zam, selepas ayah Sufi meninggal dunia, kami hidup susah. Kami tak ada duit. Nak makan pun tak ada. Ibu Fi...”

Air mata Sufi tertumpah.

“Ibu Fi... Dia...”

“Kenapa, Fi?” soal Izam.

Sufi menggelengkan kepala.

“Tak ada apa-apa,” bohong Sufi.

Tidak. Dia tak dapat melakukannya. Memberitahu Hadi dulu sudah cukup membuatkan dia berasa berdosa pada ibunya. Dia tidak tergamak untuk menceritakan kisah itu kepada sesiapa lagi. Ibu sudah berubah. Ibunya sudah bertaubat. Dosa yang ibu lakukan dulu adalah semata-mata untuk dia dan abangnya. Biarlah dosa itu dinisabkan Yang Maha Esa. Siapalah mereka untuk menghukum, mengadili sesama manusia?

“Tadi, Fi nak cakap sesuatu pasal ibu Fi, kan?” soal Izam.

Sufi menggelengkan kepala, menidakkan segala-galanya. Dia mahu memelihara nama baik ibu. Cukuplah, dia memberitahu hakikat itu kepada Hadi dulu. Sungguhpun, Hadi dapat menerimanya, akhirnya mereka tidak bersatu jua dek kerana bekas teman wanita Hadi yang datang menyerangnya dan Hadi secara tiba-tiba. Sehingga kini, Sufi dirantai rasa bersalah. Dia mengharapkan Hadi menyimpan rahsia itu.

“Dengar, Fi. Zam janji, walau apapun keadaan Fi, Zam akan terima Fi seadanya. Zam takkan sekali-kali melukakan Fi macam bekas teman-teman lelaki Fi sebelum ni. Zam tahu Fi ada sejarah silam Fi. Zam pun ada sejarah Zam. Kita sama-sama lupakan dan mulakan hidup baru ya,” pujuk Izam.

Sufi mengangguk. Setelah bertahun lamanya, dia mahu belajar untuk percaya semula. Dia mahu memulakan semula langkah barunya, mengenali dan menyintai seorang lelaki buat seumur hidupnya. Sufi mengharapkan Izam menjadi lelaki yang terakhir dalam hidupnya. Dia sudah tak sanggup menempuhi rasa sakit itu lagi.

“Janji?” soal Sufi.

Izam menganggukkan kepala.

“Zam janji. Zam akan sayang Sufi, jaga Sufi sampai ke akhir hayat Zam. Percayalah, Sufi. Ni janji Zam pada Sufi,” ikrar Izam.

Sufi menguntum senyuman. Ya. Dia percayakan Izam.

“Sufi tau tak? Zam selalu membayangkan diri Zam hidup dalam keluarga yang bahagia, dengan isteri dan anak-anak tersayang di sebuah rumah yang cantik...” luah Izam sambil meletakkan cawan milonya di sebelah.

“Zam?”

“Sufi, Zam dah beli rumah. InsyaAllah, rumah tu akan siap dalam tempoh dua tahun lagi. Lepas kahwin nanti, bolehlah kita duduk rumah sendiri,” ucap Izam dengan penuh bersemangat.

Sufi tersenyum lagi.

“Alhamdulillah,” ucapnya.

“Kita kahwin ya, Fi?” soal Izam.

Sufi menganggukkan kepalanya, lemah.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.