Bab
11
Seminggu kemudian...
Bau
aroma sup ayam menusuk ke rongga hidung Akma, menyebabkan dia tak senang duduk.
Matanya masih difokus pada kaca televisyen meskipun hatinya merayu-rayu agar
dia melangkah ke dapur. Ah, dugaan itu maha hebat! Kalau imannya tidak kuat,
pasti dia sudah berhenti melakukan senam aerobik.
Sufi
melangkah keluar ke meja makan sambil membawa bekalan yang tidak ditutup rapat.
Hidangan yang masih berasap itu membuatkan Akma mengeluh panjang. Dia pasrah
juga akhirnya. Video senam aerobik yang ditontonnya dipausekan.
“Nak juga,” luah
Akma.
“Kat dapur
banyak,” luah Sufi.
Akma menjuihkan
bibir ke arah sup ayam yang sudah disenduk ke dalam tupperware yang diletakkan
atas meja.
“Yang ni?” soal
Akma.
“Untuk Izam,”
jawab Sufi sambil mengukir senyuman. Dia menekan penutup tupperware dan
memasukkannya ke dalam beg kain.
Akma menjungkit
kening.
“Kenapa kau masak untuk
dia?”
“Mak
Izam call tadi. Dia cakap Izam demam panas, sampai tak boleh bangun. Aku nak
pergi tengoklah ni,” balas Sufi.
“Sayangnya
kau kat dia,” sindir Akma.
Sufi
senyum lagi.
“Bakal
suami aku kan?”
“Hey!”
tempelak Akma. Dia mencuit lengan Sufi yang dirasakan mengada. Tak pernah dia
mendengar Sufi menggedik seperti itu.
“Belum jadi suami lagi. Tak payah nak
melebih,” ejeknya.
Sufi
menunjukkan air muka mengejek, tidak hairan dengan tegurannya. Dia tahu Akma
tidak memaksudkannya. Akma yang gembira benar apabila mendapat tahu dia akan
menamatkan zaman bujangnya. Akma yang beriya-iya menawarkan diri untuk menjadi
pengapit. Sufi tahu Akma merestui hubungannya dengan Izam. Sahabat baik
merangkap teman serumahnya itu sememangnya prihatin.
“Fi,
telefon,” luah Akma apabila melihat skrin handphone Sufi yang ditempatkan atas
meja menyala. Agaknya Sufi memilih mode silent. Sebab itulah, nada deringnya
tak dapat ditangkap telinga.
Sufi
memandang muka skrin.
“Siapa
Aunty Amira?” soal Akma, menyibuk seperti selalu.
“Mama
Hash,” jawab Sufi.
Amira
tercengang.
Sufi
terus mengangkat handphone dan melangkah ke dapur, mencari privasi. Walhal Akma
mengekorinya sampai ke ruangan belakang. Akma mahu tahu apa yang akan
dibualkannya dengan mama Hashir.
Pelik. Bukankah
Sufi dan Hashir sudah berpisah? Kenapa dia masih berhubung dengan ibu lelaki
kurang siuman itu? Apa hubungan Sufi dan Hashir sekarang? Bukankah Sufi sudah
memilih Izam sebagai calon suaminya? Mungkinkah ada sesuatu yang dirahsiakan
Sufi dari pengetahuan Akma?
“Assalammualaikum,”
luah Amira sewaktu panggilannya berjawab.
“Waalaikummussalam,”
jawab Sufi, serba salah. “Aunty apa khabar? Sihat?” soalnya ramah.
“Fi
kat mana? Banyak kali mama suruh Hash bawa Fi ke rumah. Kenapa lama tak datang
rumah mama?” soal Amira.
“Fi
kat rumah. Maaf, aunty. Fi sibuk sikit.”
“Boleh
tak Fi datang sini?” soal Amira.
Sufi
terdiam sekejap.
“Err..
Sebenarnya, Fi nak ke rumah kawan. Kawan Fi tak sihat. Fi nak pergi melawat,”
jawab Sufi.
“Fi,
sebenarnya Hash pun tak sihat juga. Dia demam panas. Mama dengan Lia nak bawa
pergi hospital tapi dia degil. Dia tak bangun langsung dari pagi tadi. Dari
semalam dia merungut sakit kepala dan sengal belakang. Tak sangka pula melarat
sampai jadi demam. Sebab tu mama ingat nak suruh Fi datang, pujuk dia,” jelas
Amira.
“Aunty,
Sufi tak berani janji. Sebab belum lagi bertolak ke rumah kawan. Tak tau nanti
pulang pukul berapa,” jawab Sufi.
“Oh,
macam tu...” luah Amira dalam nada kecewa. “Tapi, boleh tak Sufi datang sekejap
lepas balik nanti. Sekejap pun jadilah.”
“Kalau
Fi balik awal, Fi singgah ya. Fi minta maaf sangat-sangat. Sebab Fi dah janji
dengan keluarga kawan nak ke sana,” jelas Sufi.
“Tak
apalah. Kami tunggu. Nanti kalau Sufi dah on the way, call beritahu mama ya,”
pinta Amira.
“Okay,
kalau Fi jadi pergi, Fi call dulu,” luah Sufi meskipun dia tahu ada hati yang
terguris dengan jawapannya.
Apa dayanya. Sufi
sudah terlebih dahulu menabur janji pada wanita lain untuk melawat anaknya.
Sufi mahu mendahulukan janji itu dulu sebelum yang lain. Wanita itu bakal
bergelar mertuanya, harus dilayan bagaikan ibu sendiri suatu hari nanti.
Sedangkan Amira pula ibu kepada bekas kekasihnya, lelaki yang akan dipadamkan
terus namanya dari kotak fikiran satu hari nanti.
“Kenapa
ni, Fi? Kenapa mama Hash call kau?” soal Akma selepas Sufi mengucapkan selamat
tinggal kepada Amira.
“Hash demam panas
juga. Aunty Amira suruh aku ke sana pujuk Hash ke hospital,” jelas Sufi.
“Kau nak pergi?”
soal Akma.
Sufi menggelengkan
kepala.
“Kalau dia teruk macam
mana?” soal Akma, menyibuk.
Sufi terdiam
sejenak.
“Takkanlah aku nak
pergi pujuk Hash. Bakal suami aku sendiri tengah sakit sekarang,” jawabnya.
Sufi mengangkat
beg kain tadi selepas memasukkan satu lagi tupperware berisi bubur. Kunci
keretanya dicapai dari atas rak buku di ruang tamu. Ada picisan rasa dalam hati
yang masih merisaukan Hashir. Tetapi, dia menidakkan rasa itu. Sufi perlu
memilih antara dua. Dia tak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Ah,
tubuhnya tak boleh dipotong dua tanpa memisahkan ia dengan nyawanya!
“Aku dah nak pergi
ni,” luah Sufi.
“Betul kau tak nak
tengok ex gila kau tu dulu? Manalah tau kalau-kalau dia lagi teruk dari Izam?”
soal Akma.
Sufi menggelengkan
kepala.
“Okaylah kalau
macam tu. Jangan menyesal pulak nanti,” balas Akma. “Aku habiskan ya nanti, baki
bubur dan sup ayam ni.”
Sufi tersenyum.
“Makanlah, Akma.
Tak ada orang larang pun,” balas Sufi sambil melangkah ke pintu, meninggalkan
Akma yang dilihatnya sedang mencedok sup ayam ke dalam mangkuk putih yang
diambil dari rak di sebelah sinki.
Beberapa minit
kemudian, deruman enjin kereta Sufi kedengaran. Kereta Myvinya membelok ke
jalan utama, berlari dalam kelajuan sederhana meredah MRR2 yang dipenuhi
kereta. Fikiran Sufi terbang sekejap walau matanya masih difokuskan ke depan
sana, mengenang detik bersama Hashir dulu.
“Fi demam,” luah
Sufi.
Hashir menunjukkan
muka selamba.
“Oh..” ucapnya
sepatah sambil memerhatikan kereta Peugeot edisi terbaru yang dipamerkan di
ruang legar sebuah pasar raya terkemuka.
“Fi tak larat nak
jalan jauh,” luah Sufi.
“Hash rasa macam
nak belilah satu kereta ni, Fi. Tapi, tak ada duitlah,” luah Hashir tanpa
mempedulikan bicaranya.
“Hash, Fi nak
balik,” luah Sufi.
“Fi, sakit ni,
kita tak boleh layan sangat. Lagi dilayan, lagi teruk jadinya. Fi jalan aje
macam biasa, pura-pura macam tak sakit. Nanti lama-lama eloklah tu,” luah
Hashir sambil membelek bronchure kereta yang baru diambilnya. Matanya tampak
teruja melihat gambar-gambar contoh model kereta dalam gambar yang datang dalam
beraneka warna. Sport rim yang dibekalkan sekali untuk model special edition
membuatkan matanya terpaku pada bronchure.
“Hash, Fi
betul-betul tak larat dah,” luah Sufi, mengharapkan pengertian. Dia sudah
terlalu letih untuk melangkah. Kalau dia dipaksa jalan lagi, barangkali dia
akan jatuh terduduk di situ.
“Fi tunggu
sinilah. Hash pergi tengok kereta. Kejap lagi Hash datang balik,” luah Hashir.
Dia menoleh sekejap, memandang Sufi. Kemudian, dia terus melangkah pergi,
meninggalkan Sufi sendirian di sana. Dia memilih Peugeot dari gadis yang
beriya-iya dipikatnya bulan lepas.
Dalam diam, Sufi
memandang lelaki yang tampak sangat obsess dengan kereta yang sudah menapak
jauh di depannya. Adakah kereta-kereta itu lebih penting dari Sufi sendiri?
Kereta itu hanya mesin ciptaan manusia. Tak kiralah bagaimana rupanya atau
berapa harganya, fungsinya adalah untuk membawa manusia dari satu point ke
point lain. Dia manusia, punya hati dan perasaan yang lebih rapuh. Tak bolehkah
Hashir melebihkan dia? Sufi menahan sebak. Dia tahu dia tak punya masa depan
dengan lelaki itu.
“Gila! Kenapa aku nak
rasa bersalah kat mamat tu? Dulu, dia layan aku macam sampah! Kenapa aku perlu
risau? Come on! Wake up, Fi! Cukuplah dia perbodohkan kau dulu,” luah Sufi
kepada dirinya sendiri, mematikan kenangan lama mereka yang berputar dalam
kotak fikirannya. Dia cuba mengejutkan dirinya, menyedarkan dirinya agar tidak
tertipu lagi.
Keretanya
dibelokkan ke arah Puchong. Dia masuk ke persimpangan Saujana Puchong. Beberapa
orang kulit hitam sedang berdiri di bahu jalan, berbicara dengan seorang
perempuan warga tempatan. Ia bukan sesuatu yang pelik. Sudah banyak orang
Malaysia yang berkahwin dengan orang Afrika. Kata mereka, warga asing lebih
sensitif tentang perasaan kaum wanita dari lelaki Melayu.
Kata orang cinta
itu buta. Ada pula yang berpendapat orang yang bercinta itu yang buta. Sufi
merasakan sebaliknya. Manusia celik, sebab itulah kita berupaya untuk jatuh
cinta. Ada yang celik dengan kecantikan atau gaya seseorang itu. Ada yang celik
dengan duit ringgit orang itu. Ada pula yang celik dengan kebaikan seseorang
itu. Cinta bagaikan bongkah yang mempunyai banyak permukaan. Ia terlalu
subjektif.
Satu yang pasti, cinta
boleh membawa kemudaratan kalau tidak dikawal otak yang waras. Boleh jadi,
cinta juga jadi penyebab penyakit sosial manusia kini sudah semakin melarat.
Pemikiran manusia sudah semakin sakit. Cinta duit. Cinta kuasa. Cinta nafsu.
Cinta membawa kepada obsesi yang melampau.
Mungkinkah
kesilapannya, warga Malaya sudah berfikiran terlebih terbuka. Berfikir terbuka
baik untuk perkembangan negara. Tetapi, apabila rakyat berfikiran terlebih
terbuka, ia mengundang masalah. Terlebih itu tidak sentiasa membawa kebaikan.
Pelik kalau
difikirkan kembali. Pada zaman sekarang, individu yang terlibat dalam kes pornografi
boleh diangkat menjadi pemimpin. Orang yang menghina negara sendiri mendapat
tempat di sisi masyarakat, mendapat dana untuk menjadi pengarah filem dan gah
mendapat nama melalui media massa. Sukan yang dulunya dipopularkan untuk
mempromosikan cara hidup sihat dan persaingan sihat kini mengundang bahaya.
Sifat obses manusia terhadap sukan boleh mengundang kejadian tumbuk-menumbuk.
Fikiran Sufi
berhenti memikirkan kisah-kisah pelik itu. Sampai sahaja di sebuah rumah teres
bernombor 20 di Saujana Puchong, Sufi terus mematikan enjin kereta dan
melangkah keluar. Beg kain yang ditempatkan atas seat belakang dibawa keluar
bersamanya sebelum menekan controller untuk mengunci pintu secara automatik.
“Assalammualaikum,”
ucap Sufi sambil membuka selak pagar. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikummussalam,”
jawab Rahmah.
“Mak cik apa
khabar?” soal Sufi sambil menyalami tangan Rahmah dengan penuh hormat. Dia
dihadiahkan dengan satu pelukan mesra dan kucupan di pipi.
“Sayangnya, bakal
menanti mama ni,” luah Rahmah.
Muka Sufi merah
padam.
“Zam, Sufi dah
sampai,” jerit Rahmah.
Derap bunyi kaki
kedengaran. Izam melangkah turun dari tingkat atas. Dia mengukir senyuman.
Dahinya bertampal koyok dengan lingkaran hitam yang mengelilingi matanya.
Bibirnya tampak kering.
“Ala..kesian dia
demam. Dah dua hari MC pun nampak tak sihat lagi,” ucap Sufi sambil mengukir
senyuman.
“Kesian aje?” soal
Izam sambil duduk atas sofa, bertentangan dengan Sufi. Wajah Sufi menyejukkan
hati. Terbang sekejap rasa sakitnya.
“Sup ayam ada.
Bubur ada. Buah pun ada,” luah Sufi sambil mengeluarkan bekas-bekas makanan
yang dibawa bersamanya.
Izam tidak
memandang. Matanya tersangkut pada wajah Sufi.
“Sufi pun ada,”
ucapnya.
“Ngada,” ejek
Sufi. Dia mengekori Rahmah ke dapur, mengambilkan mangkuk dan sudu untuk Izam.
“Jemput makan
Encik Izam,” pelawa Sufi. Dia menghulurkan bubur yang sudah dipindahkan ke
dalam mangkuk kepada Izam.
“Terima kasih, Cik
Sufi,” balas Izam. Dia mengintai ke belakang sekejap, melihat kalau-kalau
mamanya akan keluar semula.
“Sayang awak,”
ucap Izam apabila menyedari Rahmah masih berada di dapur.
Sufi tertunduk
malu.
“Awak sayang saya
tak?” soal Izam.
Sufi memuncungkan
bibir.
“Tak tau,”
jawabnya.
“Sayang kan? Kan?”
soal Izam, mengharap.
Sufi menjongket
bahu.
“Kalau tak sayang,
takkanlah awak masak semua ni. Susah-susah datang sini, hantarkan...” luah Izam, meneka-neka
sendiri.
Sufi mencebik.
“Perasan,”
usiknya.
Izam tersengih
lebar.