Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,883
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
11


      Aku terjaga apabila anak buahku yang bongsu, Zahrane memanjat sofa ini dan menepuk perutku.  Berlentung – lentang bunyi perutku dijadikan gendang.  Aku berpura – pura tidak sedar dan melelapkan mata semula.  Dari ekor mata aku melihat dia masih lagi memerhatikanku.  Aku berharap dia akan menjadi bosan dan meninggalkanku sendiri.  Sangkaanku tersasar kerana dia terus memanjat atas badanku dan meletakkan kepalanya di atas dadaku.  Telinganya tepat di atas degupan jantungku.

      Dahiku berkerut hairan.  Adakah budak kecil ini sedang memeriksa sama ada pakciknya ini masih hidup atau tidak.  Aku biarkan dia berbuat begitu untuk beberapa ketika sehingga adik iparku muncul dari bilik bersama – sama anak sulungnya Haziq yang kelihatan sudah siap untuk ke tadika.

      “Haziq, come and have your breakfast.  We are leaving in ten minutes,” ujar Ila sambil menyediakan roti bakar dan cereal.  Anak buahku yang sulung itu dengan segera mencapai mangkuk plastik yang berwarna oren berserta sudu plastik yang sepadan lantas duduk di meja makan.

      Zahrane terdengar suara ibunya itu mengangkat kepalanya lantas duduk kembali.  Aku terpaksa mengalah bangun memandangkan dua beranak tersebut sedang bersiap untuk meninggalkan flat ini.  Zahrane kudukung bersama ke meja makan sambil memerhatikan abangnya menikmati sarapan pagi.

      “Zahrane tu belum mandi lagi.  Sekejap lagi Zharif balik dari shift kerja nanti dia uruskan.  Ila perlu bawa Haziq ke tadika sekarang,” ujar adik iparku sambil mencapai begnya dan beg sekolah Haziq.

      “Patutlah masam bau budak ini,” ujarku pula sambil mencium leher dan pipi Zahrane yang tembam seperti pau ayam.

      “Lampinnya pun belum sempat ditukar lagi.  Pagi - pagi lagi Haziq dah buat perangai.  Itu yang lewat sikit Ila nak uruskan budak – budak ini,” ujarnya lagi sambil mencapai kasut Haziq di balik pintu dan memakaikannya pada anak buahku.

      “Tak mengapa.  Along akan tunggu Zharif balik.  Lagipun kami mungkin tidak ke mana – mana hari ini.  Semalam sudah seharian memanjat trek di Arthurs’ Seat,” jawabku agar dia tidak risau untuk membiarkan aku dengan Zahrane dalam keadaan begini.  Kedua – duanya masih belum mandi pagi.

      Semalam merupakan hari pertama aku menghabiskan masa di kota Edinburgh.  Zharif mengajak aku bersiar – siar setelah dia kembali daripada shift kerja sebagai pekerja penyenggaraan bangunan separuh masa di Universiti Edinburgh.  Kami bernasib baik semalam kerana cuaca agak baik dan tidak terlalu sejuk.  Malah matahari bersinar dengan terang.  Zahrane juga kami bawa bersama mendaki trek di Arthur’s Seat berdekatan dengan Holyrood Park yang terletak tidak jauh dari flat ini.  Hampir satu jam kami mendaki trek yang sedikit curam itu untuk sampai ke puncak.

      Terasa mengahnya apabila tiba di puncak setelah bergiliran mendukung Zahrane.  Muka Zharif yang putih berubah menjadi kemerah – merahan.  Dia menarik nafas panjang – panjang.  Aku pula terus duduk menghenyakkan punggung ke atas rumput sambil menikmati pandangan kota Edinburgh dari puncak itu.

      Terdapat sebuah istana lama terletak di atas satu bukit yang timbul di tengah – tengah himpunan rumah dan bangunan – bangunan bertingkat rendah.  Warna – warna bangunan itu adalah kombinasi kelabu suram dan merah bata yang pudar.  Sepadan dengan usia kota tua ini.  Kota Edinburgh berbentuk seperti lembah yang dikelilingi oleh empat atau lima puncak bukit pada setiap penjurunya.  Dan menurut sejarah, istana lama di tengah – tengah kota itu merupakan simbol dan kediaman rasmi keturunan raja bagi seluruh wilayah Scotland.

      Kami menghabiskan masa di puncak Arthurs' Seat tidak lama, malah sebentar cuma kerana Zahrane perlu disalin lampinnya.  Kami membiarkan dia merangkak – rangkak seketika di atas rumput sebelum kembali meletakkannya ke dalam abah – abah untuk dibawa turun.  

      Dari situ,  Zharif terus memandu ke Arcadia Nursery untuk mengambil Haziq yang sudah selesai sesinya pada hari tersebut.  Haziq dan Zahrane menjadi riuh sepanjang perjalanan pulang menyanyikan lagu kanak – kanak bersama – sama. Dan keriuhan itu semakin menjadi – jadi semasa bermain dengan permainan mereka.  Ada ketikanya terdengar suara Zahrane menangis kerana berebut permainan.  Ada ketikanya menjadi sunyi – sepi.  Lantas kujenguk ke dalam bilik mendapati Zahrane sudah tertidur keletihan.  

      Zharif sibuk mengemaskan kain baju yang perlu dicuci serta barang – barang dapur yang perlu dikemaskan.  Sewaktu aku sedang membasuh pinggan mangkuk di dalam sinki, pintu flat diketuk.  Zharif berhenti menyimpan barang lantas membuka pintu.  Seorang lelaki muda berbangsa Inggeris yang berambut panjang menyapanya di muka pintu.  Jiran sebelah yang juga merupakan penuntut universiti peringkat sarjana.  Dia menetap bersama – sama adiknya yang turut sama belajar di peringkat ijazah.

      Aku terpegun seketika apabila lelaki muda itu bertutur dengan pelat di dalam bahasa Melayu.  Dia mengenalkan dirinya sebagai Omar.  Menurut Omar, ibunya berbangsa Indonesia dari Padang.  Berkahwin dengan bapanya yang berasal dari sini dan kini menetap di Inverness, sebuah bandar yang terkenal dengan mitos raksasa dalam tasik di utara Scotland.  Kedua – duanya masih lagi bekerja sebagai guru sekolah.  Antara isi perbualan kami bertiga semasa minum teh bersama di meja makan.  Adik iparku pulang tidak lama kemudian dan memasak nasi biryani untuk hidangan makan malam.

      “Pak long.”

      Lamunanku terhenti apabila tersedar Haziq sudah berdiri di hadapanku sambil menghulurkan tangan.  Wajahnya yang putih bersih dan matanya yang sepet saling tak tumpah seperti wajah ibunya yang berketurunan Cina.

      “Along, Haziq nak salam along sebelum pergi tadika,” tambah Ila dari muka pintu.

      Aku tersenyum lantas menariknya ke dalam pelukan.  Aku cium kepalanya sebelum melepaskan dia pergi ke arah ibunya yang sedang menunggu.  Dia melambai seketika sebelum pintu ditutup dari luar.

      Flat ini menjadi sepi.  Tinggal aku dengan Zahrane dalam pangkuan. Tangannya cuba mencapai apa sahaja perkakas di atas meja untuk ditarik.  Aku mencium kepala Zahrane pula.  Rambutnya yang lebat berceracak seperti bulu landak itu membuatkan lubang hidungku terasa geli.  Hampir sahaja aku terbersin di atas kepalanya.

      “Adik, jom.  Pak long mandikan.  Dah penuh sangat lampin adik ini,” aku bangun sambil mendukungnya ke bilik.  Menjadi buntu pula kerana tidak pernah menyalin lampin bayi.  Aku termenung seketika mengimbas kembali aksi Zharif semasa menukar lampin anaknya di dalam kereta semalam.

      “Adik.  Tunjuk pak long bagaimana nak buka lampin ini,” aku memeriksa lampin tersebut setelah menanggalkan bajunya.  Zahrane menepuk – nepuk tepi pinggang lampin tersebut.  Terdapat satu garisan mudah koyak di tepinya.  Nasib baik budak kecil ini faham cakapku. Aku dirikan Zahrane dan mengoyakkan garis tepi tersebut lantas lampin tersebut jatuh dengan sendirinya.

      “Oi, adik.  Hebat ni.  Macam bau biryani,” aku berseloroh sendiri sambil menahan rasa loya.  Segera aku lipatkan lampin kotor itu dan membungkusnya dengan suratkhabar lama yang tersedia di tepi pintu.  Kemudian Zahrane kuangkat di bawah ketiaknya terus ke dalam tab mandi.  Perlahan – lahan membuka pili air sejuk serta air panas lalu punggungnya kubasuh terlebih dahulu sebelum menyiram seluruh tubuhnya dengan air yang suam – suam kuku.  Zahrane hanya mendiamkan diri berpaut pada lenganku.  Tidak sedikit pun meronta – ronta atau bermain – main.  Risau juga kalau tiba - tiba anak orang ni jatuh tergelincir. 

      Aku tidak sedar bila Zharif pulang dan masuk ke dalam flat.  Terserempak dengannya sewaktu mendukung Zahrane yang berbungkus dengan tuala mandi keluar dari bilik air.  Zharif menyambut Zahrane daripada tanganku sambil mengagah – agahnya dengan manja.

     “Hari ini pak long mandikan adik ya,” suaranya kudengar dari bilik sebelah sewaktu mengunci pintu bilik air untuk mandi.  Entah apalagi butir percakapannya aku tidak berapa pasti setelah air pancur hujan kuhidupkan.  Seluruh deriaku menjadi kabur berada di bawah air pancur itu.  Menghilangkan rasa keletihan semalam.

Previous: 10
Next: 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.