Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,268
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
39


     Deringan demi deringan.  Jam menunjukkan hampir pukul 8 malam.  Aku mencekak dahi.  Tidak tahu sama ada masih sempat untuk mengotakan janjiku pada malam ini.

      Telefon diangkat.  Sebelum Amelia sempat berkata apa – apa, aku segera bersuara.

      “Amelia.  Saya minta maaf sangat – sangat.”

      “Mamat di mana sekarang?  Sudah sampai di stesen Cambridgekah?”

      “Saya sebenarnya masih di London.  Baru selesai mesyuarat.”

      Amelia terdiam sebentar.  “Habis itu bagaimana?”

      “Amelia sudah berada di restoran?  Bersama mama dan papa?”

      “Ya.  Kami sudah mula makan kerana waktu sudah agak lewat,” suara Amelia menjadi perlahan.

      “Saya tidak pasti sekiranya Amelia boleh menunggu.  Perjalanan saya ke sana sekurang – kurangnya memerlukan satu jam lebih,” ujarku setelah mencongak – congak dalam kepala tempoh masa yang diperlukan bagi menaiki keretapi ke Cambridge.

      Amelia terdiam lagi.

      “Restoran pun mungkin sudah hampir tutup,” nada suaraku berubah.  Aku menjadi serba – salah.

      “Tetapi Mamat, kita sudah berjanji.  Tiada cara lainkah untuk Mamat datang malam ini?” suaranya seakan merajuk.  Namun masih menyimpan harapan.

      Aku terfikirkan Rizal dan kereta mewah yang dipinjamkan kepadanya oleh Tan Sri Effendy.  Namun kurang sopan rasanya untuk meminta digunakan bagi urusan peribadi.  Apa pula alasan yang ingin aku berikan kepada Rizal.

      “Saya minta maaf, Amelia.  Memang mesyuarat petang tadi langsung tidak dirancang.  Saya pun tidak menyangka ia berlarutan hingga ke malam.”

      “Mamat,” rayu Amelia separuh berbisik.  Mungkin tidak mahu didengari orang lain di sekelilingnya.

      “Esok pagi bolehkah Amelia?  Saya akan tiba di Cambridge awal pagi untuk berjumpa mama dan papa.”

       Aku tidak mendengar jawapan daripada Amelia.

      “Amelia?”

      “Esok pagi, betulkah?” tanya Amelia memastikan.

      “Betul, sayang,” lancar sungguh mulut aku menjawab.  Tidak tertapis pula apabila mendengar suaranya merajuk manja.

      Amelia tergelak kecil.  Barangkali tersipu.  Sungguhpun itu bukan kali pertama dia mendengarkannya selepas pertemuan kami di Hyde Park kelmarin.  Pertemuan pada harijadiku.

      “Jadi kita berjumpa esok pagi untuk sarapan?”

      “Sarapan.  Baiklah, saya akan datang dengan perut yang kosong,” janjiku penuh semangat.

      “Janganlah datang dengan perut kosong.  Makanlah sedikit,” ujar Amelia memujuk.

      Aku tersenyum sendiri.  Mendengarkan suaranya kembali ceria.

      “Baiklah,” aku menjawab perlahan.  Masih tersenyum.

      “Pasti ya, Mamat.  Petang itu kami akan bergerak ke Devon untuk melawat Uncle Dollah.  Untuk beberapa hari.”

      “Insya Allah, Amelia.  Saya jumpa Amelia pagi esok.”

      Amelia mengucapkan selamat malam sebelum meletakkan telefon.  Dia perlu kembali menyertai makan malam bersama keluarganya.

      Aku masih lagi tersenyum dalam perjalanan pulang ke hotel.  Langsung tidak mempeduli hiruk – pikuk suasana jalan dan lalu - lintas orang – orang di sekeliling.  Esok pagi aku perlu bergerak awal menuju ke stesen keretapi King’s Cross bagi mendapatkan keretapi terawal ke Cambridge.  Bercampur – aduk perasaan yang menari - nari di dalam hatiku.  Rasa seronok untuk bertemu Amelia.  Rasa berdebar untuk berjumpa orang tuanya.  Entah apa agaknya pandangan mereka terhadapku.  Aku merangka jawapan – jawapan yang boleh kuberikan sekiranya ditanya hasrat perhubunganku dengan Amelia.

     Niatku hanya satu.  Aku berhasrat benar untuk menjalinkan hubungan dengan Amelia di atas landasan yang betul.  Kehadirannya dalam hidupku semenjak beberapa pertemuan lalu menyedarkan aku bahawa aku tidak mahu kehilangannya.  Kemunculannya seolah dinanti.  Pelengkap ruang kosong yang tidak aku sedari sebelum ini.  Dan aku pasti bahawa rentetan peristiwa yang tertulis sepanjang tempoh perkenalan yang singkat ini membawa maksud yang baik dan harapan yang elok bagi kami berdua.

      Tidurku diulit lena.  Ditemani gugusan impian yang mendatang bersama Amelia.

      Seindah taburan bintang yang menghiasi langit malam.

Previous: 38
Next: 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.