Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,924
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
28


      Cahaya bulan penuh malam ini menerangi laluan di tepi pantai.  Kami dapat melihat garisan ombak berlumba – lumba di gigi pantai.  Seorang dua pengunjung turut sama kelihatan berjalan – jalan di bawah cahaya bulan yang terang.  Aku tidak pasti sama ada mereka adalah pelajar ataupun orang dewasa.  Hanyalah figura – figura gelap kelihatan samar dari jauh.

      “Terang sungguh bulan malam ini,” ujarku membuka bicara.  Aku tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkan keindahan wajah Amelia disimbah cahaya purnama.  Hanya menambahkan debaran di dada.

      Amelia mengangguk sambil melihat ke pantai.  “Air laut pun sedang pasang.”

      “Awak pernah dengar kisah pungguk rindukan bulan?” tanyaku memandang bulan yang terang tergantung di langit malam.

      Amelia berfikir sejenak sebelum menjawab.  “Saya tak pasti.”

      “Tersebutlah kisah,” aku memulakan syair.  Amelia tergelak kecil.  Dia melirikkan matanya ke wajahku.  Meneka apalah kisah lucu yang ingin aku sampaikan.

      “Pada satu ketika dahulu ada seorang puteri raja di kayangan.  Wajahnya cantik laksana bulan.  Namanya Puteri Bulan,” aku menjeling ke wajah Amelia yang tersenyum melayan kisah dongeng ini.

      “Puteri Bulan ini sering berkunjung ke bumi.  Melawat sebuah kolam teratai yang tenang airnya.  Oleh kerana dia seorang puteri kayangan, dia sentiasa dikawal rapi oleh dewa – dewa.  Dewa Garuda, Dewa Cenderawasih dan berbagai lagi jenis dewa semasa dia turun melawat kolam teratai.”

      Amelia mengangguk.  Barangkali cuba mengingat kali terakhir dia mendengar nama dewa – dewa ini di dalam kisah klasik.

      “Satu malam, sewaktu Puteri Bulan berada di kolam teratainya bersendirian, muncullah seorang pemuda tampan.  Lebih kurang macam sayalah rupanya.”  Amelia mengetap bibir bawahnya memastikan tawanya tidak lepas.  Masih lagi mengangguk.

      “Nama pemuda ini Pungguk.  Lalu mata mereka bertentangan.  Pungguk terpaku melihat kejelitaan Puteri Bulan.  Malangnya, Dewa Garuda menyedari pertemuan tersebut dan terus menyerang Pungguk.  Dewa Garuda memberi amaran kepada Pungguk untuk tidak datang lagi bertemu dengan puteri kayangan ini.  Pungguk pun pergilah dengan rasa kecewa.  Puteri Bulan pula hanya membisu seribu bahasa.”

      Kali ini wajah Amelia kelihatan tekun mendengar.  Dia tidak lagi tersenyum.

      “Apabila Puteri Bulan naik ke kayangan, dia menjadi tidak keruan dan hatinya ingin bertemu lagi dengan pemuda tersebut.  Lalu dia cuba menyelinap turun ke bumi dan kembali ke kolam teratai.  Alangkah girangnya hati Puteri Bulan kerana rupanya Pungguk sudah lama menanti di kolam itu.  Pungguk terus menyatakan kepada Puteri Bulan bahawa dia telah jatuh hati kepadanya dan ingin bersama dengan Puteri Bulan.  Namun puteri tersebut tahu bahawa itu adalah perkara mustahil kerana Pungguk hanyalah orang biasa.  Puteri Bulan kemudiannya menyerahkan seutas rantainya kepada Pungguk tanda kasih sayangnya.  Tiba – tiba angkasaraya menjadi gegak – gempita dengan teriakan Dewa Garuda dan Dewa Cenderawasih yang dengan laju turun ke bumi.  Mereka menerkam Pungguk dan mengoyak – ngoyakkan tubuh Pungguk.  Dan dibenamkan Pungguk ke dalam kolam teratai itu sehingga tubuh Pungguk menjadi kaku.  Tidak bergerak lagi.”

      “Puteri Bulan menjadi sedih dan hiba melihat keadaan Pungguk.  Namun tiba – tiba tubuh Pungguk bergerak semula di dalam kolam itu.  Sangka puteri, Pungguk masih hidup lagi.  Tetapi kemudian badan Pungguk mengecut dan berubah menjadi seekor burung.  Burung itu terus terbang dari kolam dan hinggap di dahan.  Burung itu berbunyi, ‘pung, guk, pung, guk’.  Jadi sehinggalah ke hari ini, setiap kali burung itu melihat bulan purnama ia akan berbunyi, ‘pung, guk, pung, guk.’  Barangkali mengingatkan bulan tentang dirinya yang masih menanti.”

      Amelia terdiam.  Pandangannya dijatuhkan menatap laluan tempat kami berjalan.  Untuk beberapa ketika dia tidak bersuara langsung.  Hanya hujung rambutnya terbang diselak angin.

      “Sebuah cerita sedih,” akhirnya dia bersuara perlahan.  Matanya masih memandang ke bawah.

      Nasiblah, aku memang tidak berkebolehan menyampaikan lawak jenaka.

      “Cerita dongeng yang biasa.  Ia bukannya kisah cinta tidak berbalas, hanya terpaksa berpisah.  Untuk selama – lamanya,” balasku memikirkan berapa banyak kisah cinta sebegitu yang digarap dalam penulisan klasik timur dan barat.

      “Tidak semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan,” ujarku lagi.

      Amelia mengangguk.  Dia kembali diam.  Berada di alam fikirannya sendiri.

      Aku pula merasa terpukul apabila melihat dia diam begitu.  Aku ingin mendengar gelak tawanya yang bisa menghidupkan jiwaku.

      “Apa maksud kebahagiaan bagi Amelia?” tanyaku.  Memancing perhatiannya semula.

      Amelia membuka mulutnya seakan ingin berkata – kata.  Tetapi kemudian dia berfikir sejenak.

      “Pada saya, kebahagiaan itu adalah merasa cukup dengan apa yang ada.  Ada keluarga, ada kaki, ada mata, ada akal fikiran.  Segala pemberian yang ada pada saya sekarang,” jawabnya sambil memandang wajahku.

      Giliran aku pula terdiam.  Aku tak menyangka langsung jawapan yang terbit daripada mulut gadis yang jauh lebih muda ini.  Mungkin hasil didikan yang baik oleh keluarganya.  Aku sendiri tidak pernah terfikir begitu semasa zaman mudaku.  Hanya apabila usiaku sudah meningkat dewasa, baru aku mengenal kemanisan rasa bersyukur dengan pemberian Tuhan.  Itupun setelah diuji dengan pelbagai pengalaman dan kehilangan.

      “Mamat pula bagaimana?”

      Aku memandang wajahnya.  Merenung jauh ke dalam kelembutan matanya.  Aku terasa seperti bahagian baru hidupku sedang bermula.  Seolah – olah aku kembali mengenal dunia dari  mata hatinya.

      “Saya inginkan bulan dan bintang.  Langit tertinggi.”

      Suaraku sedikit serak.  Mungkin kerana merasa malu pada gadis ini.  Hidupku selama ini penuh dengan perlumbaan dan caturan permainanan dunia.  Mengejar wang ringgit tidak henti – henti.

      “Sejak muda lagi, saya sentiasa mengejar tempat yang tertinggi.  Seperti diciptakan untuk berlari ke langit.  Saya menyangka kebahagiaan terletak di puncak yang tertinggi.”

      Pandanganku menjadi kosong.  Menerawang kisah pahit getir yang telah dilalui semasa zaman mudaku.  Tidak pernah cukup.  Tidak mengenal erti berhenti.  Langsung tidak mempeduli ruang kosong yang semakin lama semakin merebak tiapkali aku mendekati puncak itu.

      “Hidup saya adalah sebuah medan pertempuran.  Seluruh jiwa saya dipenuhi dengan bekas dan parut,” jawabku lagi sambil mendepangkan tangan seolah – olah sedang memeriksa parut dan kesan luka pertempuran halimunan itu.  Hanya itu sahaja yang ku peroleh.  Bukannya bahagia.

      Aku mengangkat mukaku kembali memandang Amelia.  Pandangannya bening menembus terus ke dalam jiwaku.  Aku sudah tidak punya apa – apa benteng pertahanan yang mampu aku dirikan untuk menyembunyikan kekuranganku.  Semuanya jelas terpampang pada malam itu.  Saat aku berdiri di hadapannya, aku tidak punya apa – apa lagi untuk dibanggakan kepadanya.  Hanya rasa rendah diri meresap jauh di dalam kalbu.

      Terasa tanganku dipegang dan ditarik lembut apabila Amelia menyambung semula langkahnya.  Kami melangkah beriringan dalam diam membiarkan suara ombak berterusan menghempas pantai.  Kala itu aku terasa seperti haiwan terbiar yang ditemui dan dibawa pulang oleh seseorang yang baik hati.  Tidak terungkap lagi kata – kata dari bibirku buat masa itu.  Hanya nikmat ketenangan berada di samping Amelia.

Previous: 27
Next: 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.