Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
158,135
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
10


      Aku mengalihkan pandangan ke sekitar ruang legar ini.  Zharif mesti tertunggu – tunggu di kaunter resepsi.  Sebelum melangkah pergi, aku menoleh seketika dan melihat bayangan Amelia sudah tiada.  Mungkin dia sudah keluar dari stesen.  Aku melepaskan keluhan yang panjang.  Sambil melangkah malas, aku bergerak mencari kaunter informasi.  Tidak jauh dari situ, aku terlihat simbol ‘i’ di salah sebuah papan tanda yang terpampang pada dinding stesen.

      Zharif mengangkat tangannya sejurus melihat kelibatku.  Dia memakai jaket tebal berwarna hitam dan topi sukan Nike.  Langkahku percepatkan.  Lantas kami bersalaman dan berpelukan.  Aku menepuk – nepuk bahunya dan tersenyum lebar.

      “Sihat?” tanyaku sambil memandangnya dari atas ke bawah.  Hampir enam bulan aku tidak bertemu dengannya semenjak dia ke sini bersama keluarganya.

      “Sihat,” jawabnya sambil memegang bahuku.

      “Ila dengan budak – budak pun sihat?” tanyaku lagi.

      “Sihat macam biasa.  Cuma sejuk – sejuk ini yang kecil tu tak berapa nak tahan.”

      Aku mengangguk.  Suhu di Edinburgh pada malam ini agak rendah sekitar 8 darjah selsius.  Melihat pakaian adikku yang tebal begini pun sudah mencerminkan kedinginan cuaca di luar.  Aku mengenakan zip pada jaket kulit dan menariknya hingga ke atas bagi mengelakkan angin sejuk bertiup menggigit kulit tubuhku sewaktu mengekori adikku menuju ke keretanya yang terletak di tepi jalan Market Street.  Kami memasuki sebuah kereta Ford Mondeo berwarna perak yang diletakkan bersebelahan lampu jalan.

      “Berapa harga kereta ini?” aku tanya sambil mengagak usia kereta ini.

      “Dalam 700 pound sterling tidak termasuk insurans,” jawabnya sambil memakai tali pinggang keledar.

      “Murahnya,” jawabku dengan spontan.  Zharif tersenyum mengangguk.

      “Mestilah.  Zharif kan bijak orangnya,” adikku memuji dirinya sendiri tanpa segan – silu.  Dia menghidupkan enjin kereta dan membiarkan enjin panas seketika.  Asap putih berkepul – kepul naik dari ekzos apabila diintai menerusi cermin belakang.

      Aku mengangguk sekadar mengiyakan.  Dia perlahan – lahan memutar stering dan kereta ini mula bergerak keluar menuju ke jalan.  Zharif menikah pada usia yang muda sejurus selepas tamat pengajian di universiti tempatan dengan seorang gadis yang merupakan rakan sekolahnya juga.  Aku merasa amat lega sewaktu dia menyatakan hasrat ingin bernikah pada waktu itu.  

      Dahulu dia agak tampan orangnya.  Berkulit putih melepak dan tinggi, Zharif merupakan seorang ahli sukan yang aktif pada zaman sekolahnya.  Mempunyai ramai peminat dan teman perempuan yang sentiasa ingin berkawan dengannya.  Aku pula sering dijadikan teman subahat sewaktu dia melayan teman – teman wanitanya, sehingga aku menjadi keliru dengan nama – nama mereka sewaktu menemani adikku semasa janji temu.

     Sekarang wajahnya sudah sedikit berbeza.  Rambutnya yang dahulu ikal lebat remos di depan, kini sudah menipis dan hampir botak di atasnya.  Badannya juga agak berisi mungkin kerana kurang melakukan aktiviti sukan.  Di wajahnya terpalit garis kepayahan membesarkan anak – anak dan membina keluarga. 

      Zharif membelok di simpang memasuki jalan Blacket Avenue setelah memandu hampir sepuluh minit dari stesen keretapi Waverly.  Dia memperlahankan kereta dan berhenti di hadapan sebuah bangunan empat tingkat tidak jauh dari simpang.  Suasana sepi pada waktu lewat begini.  Kebanyakan tingkap di bangunan ini sudah gelap tidak bercahaya.  Kecuali satu dua bilik yang masih lagi terang di sebalik tirai kamar.

      “Menyewa sendiri atau penginapan universiti?” tanyaku sambil mengekori Zharif memasuki pintu hadapan bangunan ini.

      “Penginapan ini disenaraikan oleh pihak universiti.  Cuma sewanya tiap – tiap bulan perlu dibayar sendiri.  Ramai pelajar lain yang menginap di bangunan ini,” ujar Zharif sewaktu kami menaiki anak tangga ke tingkat atas.

      Dia mengeluarkan kunci apabila tiba di hadapan sebuah pintu unit berwarna perang tua di tingkat dua.  Sebaik sahaja pintu ditolak masuk, adik iparku Ila muncul dari balik pintu menyambut ketibaan kami.  Ruang dalam flat ini agak sederhana saiznya menempatkan ruang tamu yang sempit, dua buah bilik tidur serta sebuah meja makan bulat bersebelahan ruang dapur yang ringkas.  Namun perkakasnya cukup untuk keluarga yang kecil.  Terdapat sebuah sofa panjang di ruang tamu yang kelihatan cukup empuk untuk dijadikan tempat pembaringan.

      “Along dah makankah? Ila ada masak kuah lemak udang siang tadi,” tanya Ila dari dapur.

      Aku segera teringat bungkusan makanan yang ibu kirimkan dari Malaysia.  Lantas aku capai beg galas dan mengeluarkannya ke atas meja makan.

      “Ila, ini ibu ada kirimkan kicap, ikan bilis, dan entah apa lagi yang ibu bungkus dalam ini.”

      Zharif tersenyum lebar melihat bungkusan makanan di atas meja. 

      “Mulanya ibu hendak mengirimkan satu dua kotak makanan semasa Along nak bertolak ke Frankfurt tempoh hari.  Tetapi disebabkan Along menaiki keretapi ke sini, ibu kata lain kali sahaja dia akan kirimkan.  Mungkin menerusi rakan – rakannya yang berada di UK,” jelasku sambil mengambil tempat duduk di kerusi meja makan.

      “Tak mengapa, Along.  Dah bawa barang makanan ini pun kami dah bersyukur banyak – banyak,” ujar Ila. “Dapatlah Zharif merasa masakan Melayu selalu.”

      Zharif menarik muka dan menjeling isterinya.

      “Bukan saya seorang sahaja yang nak makan masakan Melayu.  Ada orang itu sekejap –sekejap nak makan rendang.  Sekejap – sekejap nak makan ayam masak merah.”

      Aku tersenyum melihat gelagat mereka suami isteri.  Untunglah sekurang – kurangnya mereka hidup berteman di rantauan.  Pengalamanku semasa menuntut bersendirian di negara orang dahulu sangat tidak terurus.  Tidur tidak menentu, makan pun apabila teringat sahaja. Tambahan pula, aku tidak pandai masak dan mencari bahan.  Pergi ke pasar pun boleh tersalah beli ikan.

      Kami duduk bersama – sama di meja makan itu setelah Ila menghidangkan nasi panas, lauk udang masak lemak kuning berserta sayur goreng cendawan.  Zharif mencapai botol kicap dari bungkusan yang ibu kirimkan lantas dibuka terus untuk hidangan ini.  Lauk – pauk kujamah dengan begitu berselera disebabkan kelaparan serta sudah seminggu lebih aku tidak merasa masakan panas di rumah. 

      Selesai makan, aku menjenguk seketika anak – anak saudaraku yang sedang lena tidur di katil masing – masing.  Esok mereka perlu bangun awal untuk ke sekolah, ujar Zharif.  Dia mengeluarkan selimut tebal, bantal berserta sehelai tuala mandi dari almari dan diletakkan di atas sofa panjang di ruang tamu.     

      “Along tidur di atas sofa panjang ini tak mengapakan?” tanya Zharif setelah aku menutup pintu bilik anak - anaknya.  Aku hanya mengangguk tanda setuju.  Dalam keadaan letih begini, aku tidak terfikir pilihan lain.

      “Ada tempat lainkah?”

      “Ada.  Atas lantai ini.  Tetapi takut Along tak bangun pagi esok sebab sudah jadi beku.”

      “Sejuk sangatkah pada waktu malam?” ujarku sambil melabuhkan punggung di atas sofa panjang.  Fabriknya kelihatan lusuh.  Namun terasa empuknya.  Mungkin sofa lama yang sudah biasa dijadikan pembaringan.  

      “Kalau nak cuba, tutup sahaja pemanas di tepi ini,” ujar Zharif sambil menunjukkan sebuah pemanas elektrik yang baru dipasangnya di tepi sofa ini.  Aku tersenyum malas apabila diperli begitu oleh adikku.

      Hampir sahaja terlelap di atas sofa panjang itu apabila tersedar aku masih belum solat jama’ Maghrib dan Isya’.  Bingkas aku bangun mengambil wudhu’ dan membentangkan sejadah di ruang tamu tersebut.  Zharif sudah pun menutup lampu ruang tamu dan memasang lampu bacaan di atas meja tepi sofa.  Selesai solat, aku berteleku sebentar di atas sejadah sambil memanjatkan kesyukuran bertemu dengan ahli keluargaku di rantauan.  Fikiranku melayang seketika pada wajah Amelia yang menawan.  Senyuman manis di bibirnya seakan terbayang – bayang di mataku.  Tanpaku sedar bibirku turut mengukir senyuman.

     Aku menarik nafas panjang sebelum meraupkan tapak tangan ke muka tanda selesai berdoa.  Sabarlah hati.  Aku berbisik sendiri.

Previous: 9
Next: 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.