Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,891
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
25


      Jam di tangan sudah menunjukkan hampir pukul 7 malam.  Aku baru sahaja selesai menyimpan beg galas di dalam loker besi di stesen bas St Andrews.  Hanya sepasang baju persalinan dan tuala mandi kubawa sekiranya terpaksa bermalam di sini.  Itupun aku kurang pasti di lokasi mana yang sesuai.  Menurut Omar, terdapat sebuah penginapan asrama untuk pelancong berdekatan dengan stesen bas ini yang menawarkan harga murah.  Cuma penginapan tersebut terletak di atas sebuah pub.  Jadi berkemungkinan suasana penginapan tersebut agak bising sehingga lewat malam.

      Sungguhpun cuaca di luar sudah gelap seperti malam yang pekat, aku melihat ramai sahaja penduduk bandar ini yang masih sibuk ke sana ke mari memenuhi jalan dan barisan kedai di pusat bandar.  Kenderaan masih lagi lalu – lalang di atas jalanraya batu cobble stone menunjukkan bahawa bandar ini walaupun kecil tetapi merupakan penempatan yang sudah berkurun usianya.  St Andrews terkenal atas dua perkara.  Satu sebagai tempat peranginan dan kejohanan sukan golf yang terkemuka di dunia.  Nilai hartanah di kawasan ini lebih tinggi secara puratanya berbanding dengan bandar – bandar lain di Scotland.  Mungkin juga kerana lokasinya yang terletak di persisiran pantai timur wilayah Scotland.  Kedua disebabkan oleh kewujudan institusi pengajian tinggi yang tertua dan berprestij iaitu St Andrews University.  Itu antara fakta yang sempat diceritakan kepadaku oleh Ibrahim pagi tadi semasa dalam perjalanan pulang ke Edinburgh.

      Setibanya di Edinburgh pula, Zharif tidak henti – henti bertanya kenapa aku mengubah rancangan lagi pada saat akhir.  Mungkin dia hairan kerana aku bukan seorang yang mudah menukar fikiran melainkan jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan.  Namun sekurang – kurangnya dia bersetuju untuk menghantarku ke stesen bas petang tadi.  Jenuh jugalah aku mencari dan menunggu bas Stagecoach untuk ke St Andrews.  Mujur aku tiba awal di stesen bas Edinburgh.  Kalau aku terlewat lima minit, mungkin aku terpaksa menunggu bas berikutnya satu jam lagi.  Perjalanan ke sini sahaja memakan masa dua jam lebih.  Banyak juga hentian demi hentian yang ditempuhi sepanjang perjalanan tadi.

      Aku memeriksa sekali lagi pesanan ringkas Amelia dalam telefon bimbit.  Menurutnya, dia masih lagi belum selesai makan malam bersama rakan keluarganya di The Seafood Ristorante.  Aku mula berjalan kaki menuju ke restoran tersebut yang menurut Amelia terletak bersebelahan jalan The Scores.  Melalui padang rumput golf terbuka di sebelah kiriku, serta bangunan binaan lama zaman Victoria yang kini dijadikan hotel – hotel mewah lengkap dengan taman persendirian yang terjaga rapi di sebelah kananku.  Laut North Sea pula luas terbentang di hadapanku.  Masih kelihatan garis ufuk dalam keadaan mulai gelap ini biarpun sedikit pudar.

      Dalam lima minit aku sudah berdiri di tepi jalanraya memandang ke arah sebuah restoran berdinding kaca dan terang benderang disimbah cahaya lampu di sekelilingnya.  Bangunan restoran satu tingkat yang tertenggek di atas tebing laut itu mempunyai rekabentuk minimalis.  Beberapa meja makan di luar kosong mungkin kerana suhu malam yang semakin rendah.  Aku jua turut memakai dua lapis baju di balik jaket kulit ini.  Selapis baju termal yang nipis dan selapis lagi kemeja hitam yang kupakai semasa persidangan di Frankfurt tempoh hari.  Terimbas sewaktu menonton kejohanan golf di kaca televisyen beberapa tahun lepas betapa kencangnya tiupan angin semasa Tiger Wood membuat pukulan di padang golf St Andrews.  Tambahan pula sekarang sudah menjelang musim dingin.  Suhu kujangkakan pada malam ini akan mendadak turun seperti di Glen Nevis semalam.

      Menerusi dinding panel kaca restoran itu, aku dapat melihat susuk tubuh Amelia dari jauh yang sedang duduk bersebelahan dinding kaca tersebut.  Postur badannya serta pergerakan tangannya di meja makan.  Rambutnya dibiar lepas jatuh terurai melepasi paras dada blaus putih yang dipakainya.  Dia kelihatan leka berbual sambil menikmati juadah makanan bersama sekumpulan keluarga Melayu di meja yang sama.  Ada dua orang lelaki Melayu di meja tersebut.  Salah seorangnya nampak agak berusia memakai kaca mata dan baju panas berkolar berwarna biru.  Seorang lagi tinggi dan besar orangnya seperti pemain sukan ragbi.  Kepalanya botak dan memakai kemeja berserta tali leher.  Barangkali tidak jauh beza usia denganku.  Yang lainnya adalah ahli keluarga perempuan yang tidak berapa jelas kelihatan dari tempat aku berdiri.

      Seperti kata Amelia, mereka masih belum selesai menikmati hidangan makan malam.  Aku terfikir untuk menunggu di ruang lobi hotel – hotel mewah di belakang ini, tetapi aku batalkan niat sebaik sahaja terlihat jenama kereta – kereta mewah yang bersusun di hadapan hotel – hotel ini.  Bentley, Rolls Royce, Jaguar, dan Maserati antara lambang – lambang kereta yang aku kenali.  Lantas aku memutuskan untuk tunggu sahaja di luar restoran sambil duduk di meja luar yang kosong tadi.  

      Hampir dua puluh minit setelah aku duduk di atas kerusi yang sejuk itu, pesanan ringkas diterima.  Amelia bertanya di mana aku berada kini.  Aku menjawab pendek.  Di luar.

      Beberapa orang pengunjung restoran yang keluar masuk turut memerhatikanku sewaktu melepasi pintu masuk ini.  Seorang dua pelayan turut keluar bertanya sekiranya aku ingin membuat sebarang pesanan makanan.  Aku hanya menggelengkan kepala dan mengatakan aku sedang menunggu seseorang di dalam.  Mujur juga aku tidak merokok, jika tidak pasti sudah hampir sekotak rokok aku habiskan.  

      Teringat aku kepada Andy dan Arip pada waktu begini, mereka sering keluar menghisap rokok selepas makan malam.  Kadang – kala itu adalah saat yang tenang bagi kami kerana semuanya mendiamkan diri tanpa perlu bersuara.  Waktu merokok merupakan waktu rehat bagi kami.  Selingan waktu yang diberikan selepas mengendalikan mesyuarat yang berjam – jam lamanya.  

      “Mamat.  Sudah lamakah menunggu?”

      Suara Amelia. 

      Menghentikan seluruh lamunan.

      Bingkas aku berdiri menyambut kehadirannya dihadapanku.  Matanya yang bundar dihiasi celak nipis.  Bibirnya juga kelihatan lebih merah daripada biasa.  Di lehernya tergantung loket emas yang sama kulihat di dalam keretapi minggu lepas. 

      Aku tersenyum.

      Kurang pasti kerana apa.  Apakah kerana wajahnya lebih menawan daripada biasa.  Atau mungkin kerana dapat bertemu dengannya semula. 

      Belum sempat aku menjawab soalan Amelia, aku tersedar beberapa pasang mata menatapku dengan penuh perhatian.  Lelaki yang berusia tadi terutamanya, merenungku dengan tajam di sebalik kaca matanya sambil berdiri di belakang Amelia.  Diikuti dengan beberapa orang wanita yang memakai jaket labuh dan tas tangan mewah masing – masing.  Lelaki yang botak dan tinggi bersama – sama mereka tadi turut sama mengamati kehadiranku.  Aku terasa seperti ikan di dalam akuarium.  Ditonton dengan penuh rasa pelik dan tanda tanya.

Previous: 24
Next: 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.