Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
23


      Malam menjadi semakin dingin.  Barangkali mencecah 1 darjah selsius.  Omar dan Ibrahim sudah lama memasuki bilik lain untuk tidur.  Aku memilih untuk tidur di sofa ini juga di hadapan pendiang api.  Cahaya api meliang – liuk mencuba untuk menerangi ruang tamu yang gelap ini.  Terlintas di fikiranku bahawa aku masih belum memaklumkan kepada Amelia akan perubahan rancanganku di saat akhir.  Dia tidak akan berada di Edinburgh sehingga hari rabu kelak.

      ‘Amelia.’  Aku menaip ringkas.  Masih terfikir ayat – ayat yang perlu aku susun.

      Aku terleka sebentar melihat cahaya api di dalam pendiang.  Terkejut sedikit apabila telefon bimbitku berbunyi.  Pesanan ringkas diterima.

      ‘Hai Mamat.

      Aku tersenyum membaca balasannya.  Entah apa yang mengujakan pun aku tidak tahu.

      ‘Amelia masih berada di Edinburghkah?’ aku cuba mengagak lokasinya.  Apakah dia sudah bertolak pergi.                                                                                                  

      ‘Saya di St Andrews sekarang dengan kakak.  Kami bertolak siang tadi.

      Mana pula St Andrews ini.  

      Bukankah itu tempat peranginan dan percutian golf yang terkenal di United Kingdom?  Apa agaknya dia buat di sana.  Gadis itu tidak pula menyatakan padaku dia bermain sukan golf.

      ‘Amelia.  Saya minta maaf kerana tidak dapat berada di Edinburgh pada hari rabu ini.’

      ‘Kenapa?’

      ‘Ada urusan kerja di London.  Pejabat hubungi saya siang tadi untuk memaklumkannya.’

      ‘Kalau begitu, bila kita boleh berjumpa?’

      ‘Kita boleh berjumpa di London.’

      ‘Bila penerbangan pulang Mamat?’

      ‘Hari Jumaat.  Rasanya.’  Atau sabtu.  Aku tidak berapa pasti sebenarnya.

      ‘Tetapi saya hanya pulang ke London pada hari Khamis.’  Dia menyambung ayatnya dengan ikon emoji sedih.

      Aku pun berhasrat benar untuk bertemu dengannya lagi.  Selepas pertemuan kami di Harrison Park kelmarin, aku seperti tidak sabar untuk pertemuan seterusnya.  Mujur juga aku sibuk sehari dua ini dibawa oleh Omar dan keluarganya mendaki.  Jika tidak pasti sehari suntuk aku akan memikirkan tentang Amelia.  Seolah – olah aku perlu memandang wajahnya dan menyambung bicara dengannya.  Sesak terasa dada apabila berjauhan begini.  Dia di timur, aku pula di barat.

      ‘Urusan apa agaknya di St Andrews? Bermain golfkah?’ Cuba mencungkil urusannya di sana.  Kenapa dia tidak boleh pulang awal ke Edinburgh?

      ‘Rakan keluarga saya menyambut harijadi di sini esok.  Saya dan kakak dijemput hadir.

      Aku terdiam sebentar memikirkan caranya.  Aku terasa Amelia pun mungkin memikirkan perkara yang serupa.

      ‘Jauhkah St Andrews itu?’ aku menaip.

      ‘Tidak jauh.  Hanya satu jam dari Edinburgh.’  Amelia membalas serta – merta.

      ‘Boleh saya singgah malam esok? Mungkin selepas selesai urusan Amelia, kita boleh berjumpa sekejap.’  Tanyaku dengan penuh pengharapan.

      ‘Boleh.  Saya mungkin selesai urusan pada waktu siang.  Kita boleh berjumpa lebih awal.’  Dia membalas lagi.  Aku tersenyum.  Menepuk dada kelegaan.  Sekarang aku hanya perlu mencari lokasi St Andrews dan memikirkan cara untuk sampai ke sana.

      ‘Baiklah.  Nanti saya hubungi Amelia esok.  InsyaAllah.’ Aku menaip sambil tersenyum sendiri.  Keseronokan untuk bertemunya sudah terbayang jelas di wajahku.

      ‘Baiklah.  Selamat malam, Mamat.

      ‘Selamat malam, Amelia.’  Aku menatap paparan skrin telefon sehingga ia terpadam sendiri.  Dingin malam itu sudah tidak terasa lagi.  Hanya kehangatan tangan Amelia sewaktu di taman tempoh hari menjalar di ingatanku.  Dan cahaya api di dalam pendiang terus meliuk lentuk mengiringiku ke lembah mimpi.

Previous: 22
Next: 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.