Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,847
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
38


      “I nak you selesaikan baki kontrak perabot I yang tinggal ini.”  Tegas Dato’ Megat.  Kepalanya tegak seolah – olah sudah sedia untuk bertarung. 

      Terlintas di fikiranku, siapa pula musuhnya di sini.

      “Dato’, kami pun ada masalah kewangan kami sendiri yang perlu diselesaikan.  Kos kerja tambahan projek ini bernilai lebih sepuluh juta yang sepatutnya dibayar oleh pihak Dato’ atau pihak bank pun kami terpaksa tanggung dahulu.”   Jawabku sesopan mungkin.  Siapa suka dibentak – bentak begitu.

      “Muhammad, ini bukan masanya nak berkira – kira. You don’t understand the scale of damages that will happen if we fail to deliver this project.  You have to step in dan selesaikan.  Kita dah sampai hujung ini,” ucap Dato’ Megat.  Sedikit memujuk.  Sedikit memaksa.

      Aku dan Rizal berpandangan.

      “Beginilah Dato’, kami boleh membantu.  Tetapi kami perlukan jaminan daripada Dato’.  Memandangkan bantuan ini adalah lebih berbentuk kepada pinjaman untuk menyelesaikan baki kontrak syarikat Dato’.”  Aku cuba mengutarakan penyelesaian.

      “Jaminan macam mana yang you hendak?  I sampai kena cagar rumah anak – anak I untuk dapatkan pinjaman bank.  You tahu tak apa rasanya ambil semula rumah anak – anak you untuk jadikan cagaran.  I am their parent.  Tanggungjawab I adalah untuk menyediakan rumah – rumah untuk mereka.  Bukannya ambil balik untuk buat cagaran.”

      “Tetapi Dato’, kami tetap perlukan sedikit jaminan daripada Dato’.  Dengarnya Dato’ ada hartanah di kota London ini.  Mungkin nilai asetnya berjuta – juta, cukup untuk menampung kos baki kontrak tersebut,” Rizal berkeras.  Dia memandang Dato’ Megat meminta kepastian.

      “I mana boleh jual property di London.  Sejak timbul masalah Brexit baru – baru ini, nilainya habis jatuh merudum.  Daripada sepuluh juta ringgit, dah tinggal empat juta sahaja nilainya.  Rugilah I kalau jual sekarang,” sambut Dato’ Megat sambil menjuihkan mulutnya.

       Aku dan Rizal terus berpandangan.  Kami bagaikan tidak percaya dengan jawapan yang diberikan oleh Dato’ Megat.  Di saat dia mengugut kami kerana merisaukan risiko yang akan dihadapi sekiranya projek ini gagal disiapkan, dia masih lagi memikirkan untung rugi.

      “Kami tidak minta pun Dato’ jual hartanah itu.  Kami cuma perlukan cagaran untuk pinjaman wang ini,” aku menjawab lagi.  Penuh berhemah.

      Telefon bimbitku berdering lagi.  Gambar Amelia dan nombornya terpampang lagi.  Meminta dijawab.  Namun aku tidak berupaya melepaskan diri pada saat – saat genting begini.

      “You nak berkira dengan I, Muhammad?  You tak percaya pada I?”  jawab Dato’ Megat dengan pantas.  Seolah tercabar dengan permintaanku.

       “Dato’, bukan maksud kami untuk menyusahkan mana – mana pihak.  Tetapi kami ada cara untuk mendapatkan pembiayaan tambahan untuk siapkan baki kontrak syarikat Dato’.  Our personal bank perlukan sesuatu aset yang berjumlah sekian banyak bagi meluluskan pinjaman tersebut.  Apabila selesai pembayaran semula nanti, kami batalkanlah cagaran tersebut,” jelasku panjang – lebar.  Aku mahu perkara ini selesai sesegera mungkin.

      Rizal memandangku mengangguk.  Giliran Dato’ Megat pula yang terdiam.  Dia berbisik kepada Singh.  Entah apa butirnya aku tidak dapat tangkap.  Aku hanya berpaling kepada Rizal yang kelihatan sedikit lega.  Hidangan minum petang yang disediakan langsung tidak menyelerakan kami.  Sedikit sahaja yang kujamah.  Itu pun air teh berperisa buah di dalam cawan masih bersisa.

       “Fine.  You beritahu I apa exact requirements from your bank.  Esok Singh boleh review together with my bankers di sini.  I pun kena pertimbangkan the existing mortgage conditions.  What I am saying is that there is no guarantee cara yang you hendak ini boleh berjaya.  Tetapi kita tunggu dan lihatlah esok,” akhirnya Dato’ Megat beralah.  Mengiringkan tubuhnya yang tinggi agam itu jauh daripada kami.  Entah kenapa aku merasa kurang selesa membaca pergerakan tubuhnya.  Terutama sekali apabila pandangan matanya tidak lagi bersungguh.  Pertuturannya pun semakin lewa.  Tersirat dengan nada yang mengejek.

      “Jadi Muhammad, kita sudah kesuntukan masa.  I akan cuba mohon dengan pihak Kementerian untuk bagi peluang pada kita supaya jangan tegas sangat semasa pemeriksaan penyerahan projek nanti.  Itu you serahkan pada I.  Let me do the talking.  You cuma siapkan kerja ini sahaja.  I dengar ada pembekal hendak berjumpa dengan you, kan?  So, to get things moving, baik you fly home secepat mungkin.  You nak duduk sini lama – lama pun buat apa.  Orang bujang berjalan seorang diri bahaya.  Banyak godaan,” Dato’ Megat cuba bergurau.

       Aku ketawa hambar.  Tidak semena – mena aku teringat semula panggilan telefon daripada Amelia yang tidak berjawab tadi.  Aku mengalihkan letak dudukku.  Merasa gelisah semula.

      “Kalau macam itu Dato’, kami bersetujulah buat masa ini dengan aturan penyelesaian yang kita sebutkan tadi.  Esok saya dan Rizal akan berjumpa dengan Singh untuk memeriksa dokumen yang perlu.  Rizal is familiar with the legal and banking requirements,” aku mengulang semula kata sepakat yang telah dipersetujui bagi menyudahkan perjumpaan ini.

      “And you will settle this contract balance immediately?” tanya Dato’ Megat lagi mendesak.

      Aku mengangguk.  “Yes.  We will make it work between us.”

      Dato’ Megat menyentuh misainya yang putih sambil berfikir.  Riak wajahnya nampak reda mendengar kata – kataku.  Hasrat aku dan Rizal sejak mula pertemuan lagi adalah untuk menyelesaikan masalah bersama.  Dan setakat ini, begitulah hasil rundingannya.  Aku pun perlu menjaga nama baik syarikatku dengan Kementerian memandangkan saiz projek ini agak besar dan berupaya menaikkan reputasi kami di kalangan syarikat – syarikat pembinaan yang utama.

      Aku dan Rizal bangkit untuk berjabat tangan selepas meminta diri.  Angin sejuk menerpa sebaik sahaja kami keluar dari pintu hotel.  Langit telah lama gelap.  Rizal bergerak meninggalkanku untuk bertemu Tan Sri Effendy pula untuk perbincangan perniagaan hotelnya yang tertunda disebabkan perjumpaan tadi.

      Dan aku terus mendail nombor telefon Amelia.

Previous: 37
Next: 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.