Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,210
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
18


      Datang hanya membawa diri.  Dengan debaran hati yang bertalu – talu.  Sambil mendongak melihat langit yang memutih dilitupi lapisan awan tebal, aku memasukkan tanganku ke dalam saku jaket kulit.  Baru terasa suhu cuaca yang menyucuk sejuk walaupun hari masih siang.  Mungkin kerana matahari masih tidak kelihatan sejak dari pagi. 

      “Hai awak.”

      Aku berpaling ke arah suara yang lembut itu.  Terus terbangun dari bangku apabila mendapati Amelia sudah berada di hadapanku.

      Wajahnya berseri – seri sambil tersenyum lebar melihatku.  Berbaju kuning lembut dan berseluar jeans biru panjang.  Rambut panjangnya diseka ke belakang telinga.  Tangannya juga sepertiku diselukkan ke dalam jaket berfabrik jeans biru muda.  Melihatnya aku terasa seperti runtuh satu benteng perasaan yang kuampu selama ini.  

      “Hai.”  Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutku.

      Tenggorok ini seakan tersekat.

      Aku berdiri menatap wajahnya tidak berkata apa – apa.  Sama seperti barisan pokok – pokok tinggi di keliling taman ini yang sudah luruh daunnya.  Tekun memerhati detik yang terhimpit antara kami berdua.  Sepinya sungguh lantang sekali.

      “Senangkah cari tempat ini?” ujarnya memecahkan sunyi yang mengepung.  Di akhir baris katanya terserlah senyuman manis.

      Aku mengangguk.  Lakaran peta yang aku kaji pagi tadi masih terbayang di fikiranku.  Juga jadual perjalanan sistem pengangkutan bas awam.

      “Mamat datang dari mana?” tanyanya lagi.  Tidak berpuas hati dengan reaksiku yang masih diam membisu.

      “Saya datang.  Maksud saya tadi baru selesai solat Jumaat di Edinburgh Central Mosque,” kelam – kabut aku menyusun ayat.

      “Mamat tinggal di mana?”

      “Saya duduk di rumah adik saya di Blackett Avenue.  Sekitar kawasan universiti rasanya,” jariku menunjuk – nunjuk ke arah yang tidak pasti.  Dia mengangguk perlahan.

      Kami masih berdiri.  Beberapa orang kanak – kanak kecil berlari – larian di tepi kami meninggalkan ibu mereka yang sedang leka berbual di bawah pokok – pokok yang berdaun kuning keemasan.

      “Katanya Amelia ada urusan di sini pagi tadi.  Sudah selesaikah urusannya?” aku bersuara sambil memandang sekeliling.  Sangkaku mungkin Amelia datang berteman.  Atau kemungkinan ada seseorang yang menanti Amelia di sekitar kawasan ini.

      “Sudah.  Pagi tadi saya meneman kakak ke sebuah kedai komputer di bangunan belakang sana.”  Jelasnya sambil menunjukkan jari ke arah belakangku.  Aku langsung tidak berpusing.  Masih asyik menatap raut wajahnya.

      “Kakaknya di mana?” tanyaku berhati – hati.

      “Kakak sudah pulang.  Dia ada on-call shift di hospital malam ini.”

      Aku mengangguk seolah berpuas hati.

      Sesekali angin bertiup menyisir rambutnya yang panjang.  Tangannya menyeka kembali rambut panjang itu ke belakang telinga.  Aku menjadi terpegun melihat kehalusan kulit tangannya yang putih melepak.  Ingin sahaja aku mencapai tangan itu lantas menarik tubuhnya ke pelukanku.  Namun aku masih waras.  Masih berupaya mengawal laku diri sebagai seorang lelaki dewasa yang tahu batas dan adab pergaulan.  Aku mengalihkan pandangan ke bawah.  Menatap kasutku sambil menghela nafas yang panjang.                                                                                         

      Angin bertiup lagi.  Menghembus sepi.

      “Mari,” ujarku seraya melangkah pergi dari bangku itu.  Aku tidak pasti sama ada aku dapat mengawal debaran kencang di dalam hati ini sekiranya dia duduk bersebelahan denganku di atas bangku itu.

      “Jadi, apa yang Amelia telah lakukan di Edinburgh semenjak dua tiga hari lepas? Ada melawat ke tempat – tempat yang menarikkah?” tanyaku.  Hatiku meluap – luap dengan perasaan ingin tahu apa yang terjadi padanya sehingga dia terlupa menghubungiku sebelum ini.

      “Sebenarnya saya ke Glasgow.  Bersama kakak dan kawan – kawannya.  Sehari selepas kita tiba di sini.” Aku terdiam mendengar penjelasannya.

      “Itu sebab saya lewat hubungi Mamat.”

      Aku pula terasa segan.  Gadis ini seolah – olah boleh membaca fikiranku.

      “Mamat pula bagaimana?” dia bertanya sambil memandang ke arahku.

      Saya tunggu awaklah, pantas sahaja hatiku menjawab.

      “Saya tidak ke mana – mana.”  Tak sanggup pula hendak menyambung.  Kalau boleh aku mahu diamkan sahaja keresahan yang bertandang merengkuh jiwa beberapa hari lepas.

      Kami berjalan perlahan – lahan melalui timbunan daun – daun musim luruh yang gugur di atas laluan ini.  Bunyi rangup daun – daun kering ini dipijak seperti irama yang mengasyikkan.

      “Apakah musim kegemaran Amelia?” tanyaku sambil memandang wajahnya.

      “Musim panas.  Saya suka pada warna – warna yang terbit pada musim panas.”  Bibirnya mengukir senyuman.

      “Kenapa dengan warna – warna tersebut?” tanyaku kehairanan.

      “Warnanya indah.  Suasananya ceria dan menggembirakan.  Segalanya kelihatan terang dan berwarna –warni.”

      Aku mengangguk sekadar mengiyakan.  Aku tidak pernah ke negara ini semasa musim panas.  Mungkin kerana cuacanya tidak jauh berbeza dengan negaraku.  Suhu yang tinggi dan pancaran matahari yang terik.

      “Mamat?” tanyanya memandangku.

      “Saya tidak suka musim panas,” jawabku pendek.

      “Mengapa?” dia pula menjadi kehairanan.

      Aku menggelengkan kepala. “Saya tidak suka pada cuaca yang panas.  Dan banyak lalat.”

      “Saya suka musim luruh.  Saya rasa warna – warnanya lebih menarik dan meredupkan,” ujarku lagi.

      Amelia pula mengangguk.  Seketika dia memandang dedaun pokok – pokok di sekeliling kami.  Matanya yang bundar itu menjadi asyik memerhatikan dedaunan tersebut.  Aku merenung wajahnya.

      “Saya tidak berkebolehan untuk merakam keindahan warna – warna ini dalam lukisan.  Sekiranya saya mampu, pasti saya abadikan keindahan saat – saat ini di atas kanvas,” aku bersuara perlahan.

      “Mungkin Mamat patut mencubanya,” balasnya.  Sepasang mata itu melirik lembut kepadaku.

      Aku ketawa kecil. “Saya gagal mata pelajaran Seni.  Cikgu cakap saya tidak mempunyai bakat langsung.  Tetapi kelasnya juga membosankan."

      “Amelia pula bagaimana?” tanyaku dengan penuh rasa minat.

      Dia menunduk memandang kasutnya seketika.

      “Saya boleh melukis sedikit – sedikit.  Sekadar mencoret lakaran pemandangan secara ringkas,” jawabnya setelah berfikir sejenak.

      “Baguslah.  Adakah ia satu hobi?” tanyaku sedikit teruja.  Aku tidak menyangka gadis berkelayakan jurutera ini meminati seni lukisan.

      “Lebih kurang.  Kadang – kala saya akan memerhatikan keadaan sekeliling dan watak orang – orang di dalamnya.  Kemudian saya akan lukiskan kembali riak wajah mereka serta pemandangan tersebut di atas kanvas.  Atau pada buku coretan saya,” jawab Amelia sedikit tersipu.  Mungkin dia merasa segan menceritakan perkara ini kepadaku.

      Matanya melirik seketika kepadaku sebelum menjatuhkan pandangannya kembali ke daun – daun kering yang bertaburan di sekitar kasut kami.

      “Apakah satu hari nanti saya berpeluang melihat lukisan Amelia?” tanyaku sambil tersenyum.

      Gadis ini hanya ketawa kecil sambil mengangkat bahunya.

      “Ia hanyalah lakaran biasa – biasa,” jawabnya lagi.

      Kami melangkah lagi mengikut laluan yang disediakan.  Langit yang awalnya dilitupi awan sudah mula kelihatan biru.  Mungkin matahari akan kelihatan sebentar lagi.

      “Bukankan seni itu adalah sebuah luahan perasaan yang tidak terungkap dengan kata – kata? Tidak mungkin ia hanya biasa– biasa sahaja.  Selalunya ia membawa maksud tersendiri.  Mungkin impian atau tafsiran pelukis itu sendiri terhadap keindahan alam.  Contohnya Van Gough.  Dia melukis keindahan suasana langit malam dengan begitu dramatis.  Sedangkan orang lain hanya memandang langit malam itu penuh dengan kegelapan. Tetapi malam menjadi hidup dalam lukisannya,” aku bercerita panjang – lebar.  Aku teringat lagu Don McLean mengenai kisah pelukis tersebut.

      “Tetapi sayang dia mati membunuh diri.” Sambungku lagi. 

      “Anehkan? Seorang pelukis yang mampu mengabadikan keindahan alam ini akhirnya memilih untuk menamatkan hidupnya dengan cara yang memilukan.”

      Amelia turut terdiam.  Kemudian dia kembali bersuara.

      “Baru – baru ini saya ada menghadiri sebuah kelas seni di mana seorang pengukir tanah liat menjemput beberapa orang buta untuk menceritakan raut wajah orang – orang kesayangan mereka.  Kemudian pengukir ini akan membentuk wajah – wajah tersebut pada tanah liat.  Selepas itu, pengukir akan menjemput orang – orang kesayangan mereka untuk melihat sendiri ukiran wajah mereka menerusi tafsiran atau ingatan orang – orang buta ini.”

      Aku mendengar sepenuh perhatian.  

      “Hebat sekali kerana ukiran tersebut hampir menyamai wajah – wajah mereka,” jelas Amelia lagi.  Kekaguman.

      “Bagaimana orang buta tersebut mengetahui bentuk wajah mereka?”

      “Mungkin menerusi sentuhan tapak tangan.”

      “Kemudian bagaimana mereka mengingatinya?  Bagaimanakah orang buta tersebut boleh membayangkan?” tanyaku lagi.  Juga merasa kagum seperti Amelia.

      Amelia tersenyum sambil mengangkat bahunya. “Mungkin mereka ada deria lain yang membantu mereka mengingatinya.”

      “Atau mungkin mereka mengingatinya dengan hati,” ujarku pada diri sendiri.

      Amelia terdengar ayatku lalu turut mengangguk.

      Aku menatap wajah Amelia.  Terpegun pada kejernihan raut wajahnya.  Penuh ketenangan.  Mendamaikan. 

      Sekiranya selepas ini aku ditakdirkan menjadi buta, aku ingin wajah itu hidup bersinar dalam kegelapan yang akan kutempuhi.

      Angin bertiup lagi.  Menghembus beberapa helai rambut nakal yang jatuh menutup sebahagian daripada wajah Amelia.  Lantas aku menyelak helaian rambutnya itu ke belakang semula.  Mata kami bertentangan seketika.  Merenungku.  Lidahku terus menjadi kelu.

      Gadis itu mengalihkan pandangannya dan melangkah semula tanpa berkata apa – apa.  Aku menuruti jejaknya dalam diam.  Sedikit menyumpah kerana tanganku terlepas menyentuhnya tanpa sedar.  Aku tidak dapat membaca reaksi Amelia pada waktu itu.  Dia terus berjalan sambil mendiamkan diri.

Previous: 17
Next: 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.