Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,924
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
14


      Aku masuk segera dan menutup pintu.  Aku baringkan Zahrane di atas katilnya lantas bergegas ke bilik air.  Pancuran air panas kuhidupkan semula.  Membasuh buih - buih shampu dari muka dan kepalaku.  Hingga hilang pedih membuka mata.  Dan aku tersenyum sendiri setelah mandi apabila terlihat tuala mandiku masih elok kering tersidai di belakang pintu.

       Setengah jam kemudiannya aku bersandar di sofa setelah selesai mengemaskan permainan budak – budak ini di ruang tamu.  Zahrane sudah lena tidur di pangkuan.  Keletihan menangis agaknya.  Bengkak di belakang kepalanya juga sudah susut.  Sekali – sekala aku tuam belakang kepalanya dengan kain lap yang basah.

      Telefon bimbitku berdering.  Hari ini hari Khamis.  Pasti aku dihubungi lagi berkaitan hal kerja.

      “Helo.”

      “Helo, Encik Muhammad?” tanya suara di dalam telefon.  Aku tidak berapa kenal dengan suara ini.  Dahiku berkerut sambil memandang sekali lagi paparan skrin menunjukkan nombor yang tidak dikenali.

      “Saya,” jawabku pendek.

      “Saya Singh dari pejabat Dato’ Megat.”

      Aku cuba mengingat kembali suara tersebut.  Seakan pernah didengari sebelum ini.

      “Kita pernah berjumpa di pejabat Dato’ semasa perbincangan Perjanjian Usahasama projek pembinaan kampus universiti untuk Kementerian.  Tiga tahun lepas?” terangnya lagi memancing ingatanku.

      Aku mengangguk.  “Oh, ya.  Saya ingat.  Kamu peguam Dato’ kan?”

      Suara itu mengiyakan di dalam telefon.  Aku hairan kenapa pula peguam Dato’ Megat menelefonku.

      “Encik Muhammad, saya diminta untuk mendapatkan persetujuan daripada Encik Muhammad untuk mendakwa syarikat Bikin Hebat atas kes penipuan.  Kita menghadapi kemungkinan disaman oleh pembekal syarikat Bikin Hebat yang kononnya masih belum mendapat sebarang pembayaran.  Jadi Dato’ telah membuat keputusan untuk menyaman syarikat Bikin Hebat serta membuat permohonan court injunction terhadap pembekal – pembekal ini.”

      “Tetapi Singh, kita tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan pembekal ini.  Tiada sebab untuk mereka jadikan kes pun,” balasku bersahaja.

      “Betul, Encik Muhammad.  Tetapi Dato’ tidak mahu mengambil risiko sekiranya pembekal – pembekal ini mengambil tindakan terhadap projek kita nanti.  Saya percaya Dato’ risau mengenai tempoh masa yang begitu genting sekarang,” jelas Singh lagi.

      “Kenapa kita perlu dakwa syarikat Bikin Hebat dengan penipuan?” tanyaku.

      “Kami berpendapat syarikat tersebut sudah menyelewengkan pembayaran yang dibuat kepadanya sebelum ini.  Baki kontrak dengan anggaran baki kerja yang perlu disiapkan adalah jauh lebih rendah dan tidak mencukupi.”

      “Bukankah itu isu komersil yang diuruskan oleh pejabat Dato’?” tanyaku lagi.  Suaraku meninggi.  Aku tidak mahu terlibat dengan kecuaian pengurusan pejabatnya yang kini terang – terang mengheret aku ke kancah percaturan undang – undang.

      “Saya difahamkan, Encik Mohammad, bahawa Dato’ berniat untuk menuntut kerugian daripada pihak yang bertanggungjawab.”

      Barulah aku faham maksud sebenar mengapa peguam ini menghubungiku sendiri.  Semuanya berkisar mengenai wang dan ego yang tinggi.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa syarikat tersebut telah menipu pejabat Dato’ hidup – hidup dan menyebabkan projek kami berada seperti telur di hujung tanduk.  Tetapi bagi Dato’ Megat, itu adalah satu realiti pahit yang tidak dapat diterima.

      “Singh, kamu tahu kita tiada kes dengan Bikin Hebat. There is no breach of trust clause in their contract,” balasku setelah berfikir sejenak.

      “Kita cuma ada dokumentasi daripada segi kegagalan pihaknya membuat penghantaran.  Dan setiap pembayaran yang dibuat kepada mereka telah mendapat kelulusan daripada Jaafar yang merupakan pengurus kamu juga.  Saya rasa lebih baik kita fokus pada cara menyelesaikan masalah yang sedia ada ini.  Contohnya, bagaimana Dato’ hendak membiayai kos tambahan untuk baki kontrak Bikin Hebat?  Saya perlu tahu sebagai rakan usahasama bahawa kepentingan syarikat saya di dalam projek ini tidak terjejas disebabkan kecuaiannya,” ujarku panjang – lebar dengan nada yang serius.  Aku tidak bermain – main apabila ia melibatkan hal kewangan syarikat.

      Singh terdiam seketika.  Mungkin dia tidak menyangka aku akan membantah cadangannya.  Mungkin Dato’ berpendapat aku akan setuju dengan apa sahaja yang dia inginkan tanpa berfikir, seperti lembu dicucuk hidung.

      “Singh, baik kamu bersoal jawab dengan Jaafar.  He seems to be in the centre of this mess,” aku menyatakan pemerhatianku.

      “Dia baru sahaja hantar notis berhenti 24 jam pagi tadi,” ujar Singh dengan suara yang mendatar.  Aku tersenyum lagi.  Menggelengkan kepala kali ini.

      “Baiklah, Singh.  Kamu dapatkan semua dokumentasi daripada Jaafar segera.  Saya rasa tindakannya berkait – rapat dengan perkara ini.  Dan saya tidak mempunyai masalah untuk permohonan court injunction terhadap pembekal sebagai langkah berjaga – jaga.”

      “Dan saya perlu tahu bagaimana Dato’ akan membiaya kos tambahan ini.  Syarikat saya boleh membantu Dato’ untuk menyelesaikan masalah ini.  Tetapi kami perlukan jaminan daripada Dato’ kerana jumlahnya bukan sedikit.”

      “Baik, Encik Muhammad.  Nanti saya sampaikan kepada Dato’.  Mungkin dia akan mencadangkan pengiraan semula pembahagian untung kelak.”

      “Tidak, Singh.  Saya mahukan jaminan berbentuk cagaran.  Aset yang sedia ada.  Bukan berdasarkan jangkaan aliran tunai atau pengiraan untung.  Faham?” tanyaku lagi.  Setiap patah perkataan aku sebut dengan jelas supaya dia faham maksudku.  Sebagai peguam, itu menjadi tugasnya untuk memberi nasihat guaman berkaitan perjanjian melibatkan cagaran.

      “Ya, tuan.”

      Aku mengangguk dan mematikan telefon.


Previous: 13
Next: 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.