Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,210
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
43


      Bersendirian di atas bangku ini aku terkenangkan saat – saat pertama berjumpa Amelia.  Wajah gadis sombong yang memandangku dengan tidak acuh pada mulanya.  Aku tergelak sendirian.  Terasa bagaikan berada di alam mimpi apabila pertama kali pandangan kami bertaut.  Apabila mengenal hati budinya.  Petah bicaranya.  Entah mengapa hatiku terbuka dalam tempoh yang sesingkat itu.  Seolah sudah tertulis.   

      Angin bertiup lembut.  Kembali pada saat ini.  Saat yang sepi dan kosong di tengah – tengah laman menyaksikan keheningan musim luruh.  Aku memandang sekeliling.  Masih sabar menunggu kehadiran Amelia.  Mengikut firasat hatiku, dia akan datang menemuiku.  Tidak dapat aku jelaskan bagaimana.  Hanya perasaan kuat yang bergema dalam dada.

      Aku teringat pertemuan dengannya di taman ini pada harijadiku minggu lepas sehari sebelum mesyuarat tergempar dengan Dato’ Megat.  Dia menungguku di bangku ini.  Berdiri di bawah rimbunan daun kuning keemasan.  Memakai jaket hitam dan beg sandang biru gelap di belakangnya.  Rambutnya yang panjang ditutup separuh dengan snowcap berwarna kelabu.  Mungkin kerana kesejukan.  Memakai skirt berpetak – petak seperti gadis sekolah dan legging hitam menutup kakinya.  Aku tersenyum sewaktu pandangannya menyambut kedatanganku.

      “Adik baru balik dari sekolahkah?” aku mengusik.

      Amelia tergelak.  Dia mencapai tanganku dan kami bergerak beriringan.  Tangannya sebelah lagi memegang cawan kertas berisi air kopi yang masih lagi panas.  Dia menyuakan minumannya kepadaku.

      “Air apa?” tanyaku mengerutkan dahi.

      “Spiced pumpkin latte.  Cubalah, sedap rasanya,” jawabnya sambil melirik kepadaku.

      Aku menggelengkan kepala dan tersenyum.  “Saya tidak minat sayur labu.”

      “Kenapa?” tanyanya kehairanan.

      “Kerana rupanya agak pelik.”

      Amelia tergelak besar.  Dia cuba menutup mulutnya tetapi tangannya sudah kugenggam kemas.  Keriangan yang terpancar pada wajahnya kutatap sepenuh hati.  Aku ingin mengabadikan saat – saat ini sebelum aku pulang ke tanah air kelak.

      “Mamat ini seorang yang cerewet,” ujarnya setelah kembali reda.

      Aku mengangguk.  “Lagi?”

      “Seorang yang berwajah garang.  Dan sukakan cabaran.”

      Senyuman terukir di bibirnya sewaktu aku mengilas pandang kepadanya.

      “Giliran saya pula?” aku meminta izin.  Dia mengangguk sambil melirik matanya kepadaku.

      “Amelia umpama salju.  Saat – saat pertama salju turun dari langit.  Ringan.  Indah.  Mendamaikan.”

      Langkah Amelia terhenti.  Dia berpaling kepadaku.  Matanya yang bundar menatap wajahku.  Barangkali mencari kejujuran di sebalik kata – kata itu.

      "Mengundang seluruh rasa.  Dan harapan," sambungku.  Menyambut pandangan matanya yang mendalam.

      “Sungguh? Mamat tidak bermain – main dengan saya?” tanya gadis itu.  Suaranya berbaur manja.  Menginginkan kepastian.  Menduga niat dan hala tuju hatiku.

      Jari – jemarinya hangat dalam genggaman tanganku.

      “Sungguh, sayang.”

      Aku merenung wajah Amelia.  Menghirup kemanisan saat itu.  Setiap patah kataku membiaskan hasrat.  Setiap laku.  Setiap nada yang kututurkan hanya bersulamkan keikhlasan.  Bagaimana lagi harus aku bentangkan perasaan ini.

      Amelia memelukku erat.  Dan berbisik di telingaku.

      “Selamat harijadi, Mamat.”

      Dakapan hangat itu merupakan hadiah harijadinya kepadaku.

      Mungkin juga hadiah perpisahan sekiranya dia tidak datang bertemuku di sini.  Aku kembali kepada penantian yang menyeksakan ini.  Apakah Amelia tidak mahu lagi kehadiranku dalam hidupnya.  Apakah Amelia tidak jujur dalam luahan perasaannya kepadaku selama ini.  Atau apakah aku tersalah tafsir.  Tiada ertikah genggaman tangannya.  Dakapannya.  Suara dan pandangannya.  Tidak bermaknakah apa yang kami lalui selama ini.

      Gemersik bunyi dedaun luruh ditiup angin di belakang bangku ini.  Sebak rasa hati apabila menyedari Amelia tidak akan datang.  Barangkali ini keputusan suara  hatinya yang perlu aku hormati.  Barangkali selama ini aku bertepuk sebelah tangan.  Barangkali. 

      Aku tidak tahu.

      Hati dan perasaan Amelia. 

      Bodoh sungguh aku ini.  Mengesat mataku dengan kasar lantas berdiri.  Sudah dua jam aku berada di sini.  Tidak perlu lagi menunggu lebih lama.  Segalanya sudah jelas.  Aku perlu akur pada ketetapan yang tercoret di kalam Ilahi.

      Mendongak seketika melihat pohon – pohon kaku yang berdiri sepi.  Mereka menjadi saksi kepada hancurnya sebuah harapan.  Senyuman pahit kupaksa di bibir.  Sudah tiba masanya untuk aku bergerak pergi.  Dan segala kenangan indah bersama Amelia aku tinggalkan di sini.  Layu dalam kedinginan musim luruh.

 

Previous: 42
Next: 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.